Sunday, May 29, 2016

Relevankah Belia bawah 30 tahun ?

Saya tertarik kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengenalpasti bahawa belia berasa terdapat kekangan untuk mereka menyertakan diri di dalam politik. Hal ini disebabkan kerana kerenah birokrasi dan golongan berumur yang susah untuk menerima pandangan mereka. Selain itu, kajian tersebut juga telah mengenalpasti bahawa belia percaya bahawa mereka mampu memberikan sumbangan berharga terhadap masyarakat kerana mereka mempunyai banyak idea-idea yang berinovasi.

Golongan belia perlu diberi kuasa sebagai agen perubahan yang aktif. Hal ini dapat dilakukan oleh kerajaan dan masyarakat dengan cara memperakui sumbangan-sumbangan belia terhadap negara. Kerajaan dinasihatkan untuk mengalakkan dan memperkenalkan lebih banyak program-program substantif, aktiviti, dan latihan kepada belia untuk mempersediakan mereka menjadi agen transfomatif dan perubahan positif yang aktif. Melalui aktiviti-aktiviti ini, belia dapat membina kemahiran-kemahiran kepimpinan.

Pelaburan di dalam membentuk kemahiran kepimpinan di dalam belia dan remaja adalah merupakan pelaburan untuk masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Salah satu jalan untuk memperkembangkan lagi pembangunan kemahiran belia ialah melalui penglibatan di dalam komuniti, penglibatan sivik atau penlibatan di dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Sebagai contoh, apabila belia memasuki umur 18 tahun, ada di antara mereka yang akan menyambung pengajian ke peringkat pengajian yang lebih tinggi dan mereka memerlukan bantuan pendidikan daripada kerajaan untuk membantu mereka meneruskan pengajian. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan RM212 juta untuk sektor kerajaan pada belanjawan 2011 iaitu 2.8% lebih tinggi daripada jumlah yang diperuntukkan pada 2010. Menerusi peruntukkan ini, ia memberikan ruang yang lebih cerah kepada belia untuk menikmati peruntukkan yang diberi (The Star, 2010).

Bagi golongan belia yang berumur 30-40 tahun, kebanyakan daripada mereka telah memasuki alam pekerjaan dan ingin meningkatkan karier mereka. Mereka juga ingin mempunyai kereta dan rumah tersendiri. Oleh itu, kerajaan telah merangka banyak kemudahan kepada mereka seperti Skim Rumah Pertamaku yang telah diperkenalkan oleh kerajaan menerusi belanjawan 2011 khusus kepada belia yang berpendapatan kurang daripada RM 3000 sebulan. Menerusi skim ini, mereka akan diberikan pinjaman 100% tanpa perlu memikirkan mengenai wang pendahuluan sebanyak 10% (The Star, 2010). Oleh itu, ini akan mengurangkan beban mereka dan mereka akan berterima kasih kepada kerajaan. Pada tahap ini tahap kematangan belia adalah amat relevan dalam memacu sebarang kepimpinan belia.

Belia zaman ini seharusnya menyedari kedudukan, kelemahan dan kemampuan mereka. Kesemua itu mesti dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengharungi kehidupan alaf baru ini. Antara persoalan yang perlu mereka jawab adalah ke arah mana hala tuju mereka dalam membawa negara di alaf baru ini. Apakah peranan yang agak signifikan yang mereka mampu sumbangkan kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Bagaimanakah mereka akan mencorakkan senario moral dan sosial negara dalam alaf baru ini. Pencapaian yang bagaimana akan mereka tunjukkan dalam arena pendidikan negara. Sememangnya pencapaian akademik dan ilmu itu sentiasa menjadi ukuran dalam mana-mana masyarakat di dunia ini. Hakikat ini bukan sahaja bertepatan untuk alaf ini yang dikuasai oleh revolusi teknologi maklumat, tetapi telah dibuktikan pada zaman sebelum revolusi industri, malahan juga akan memainkan peranan utama pada masa hadapan nanti. Kecemerlangan ilmu dan penyelidikan itulah yang akan membawa satu-satu masyarakat ke arah kehidupan yang semakin sempurna dan lebih cemerlang. Ilmu dan pengetahuan jugalah yang akan menjadikan satu-satu masayarakat itu dihormati dan disegani sebagai satu masyarakat unggul di dunia. Menyedari akan kepentingan ilmu ini, para belia harus menyedari apakah peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus pembangunan ilmu. Apakah mereka mampu untuk mengembangkan lagi ilmu dan pengetahuan yang mereka ada untuk kesejahteraan orang lain atau sekadar menjadi pengguna pasif dan pemerhati sahaja. Dalam era globalisasi ini, tidakkah para belia mempunyai keinginan untuk turut sama menyumbang ke arah pembinaan satu masyarakat dunia yang canggih dan bertamaddun tinggi serta unggul. Mereka tidak harus lupa, dalam ajaran agama Islam juga ada menekankan akan kepentingan ilmu ini. 

Dalam sebuah hadis Rasul Allah S.A.W ada menyebut yang bermaksud ‘sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan dunia, hendaklah juga dengan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu.’
 
Di samping itu, para belia juga harus berperanan sebagai agen yang mampu untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sememangnya mereka amat perlukan bimbingan dari golongan yang lebih dewasa, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu membimbing diri mereka sendiri. Mereka mesti mempunyai inspirasi dalaman diri mereka bahawa mereka adalah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas diri, rakan, keluarga dan bangsa, serta agama dan negara sendiri. Walaupun bukan semua orang itu boleh menjadi pemimpin kerana batasan masa dan peluang, tetapi dengan latihan dan pendidikan, mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Untuk para belia, antaranya mereka boleh menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing. Bimbinglah rakan sendiri supaya tidak terus dibelenggu oleh masalah ketagihan dadah yang sudah terlalu kronik, supaya meninggalkan perlumbaan motor haram, perjudian, arak, gangsterism, perlakuan sumbang dan pelbagai lagi. Dalam agama Islam sendiri, membimbing manusia ke arah kesejahteraan dan kebaikan adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Ini bertepatan dalam Al Quran, surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:

‘Kamu adalah sebaik-baik golongan untuk umat manusia kerana menyeru kepada kebaikan dan menghalang kejahatan, serta beriman kepada Allah’.

Pada umumnya, peranan para belia masa kini dan akan datang sudah pasti akan menjadi lebih mencabar kemampuan dan ketahanan mereka. Sebagai pewaris negara di masa hadapan, mereka mesti memperlengkapkan diri sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan persediaan yang secukupnya umpama para pejuang yang sentiasa berlatih bagi menghadapi musuh di medan perjuangan. Seterusnya, bagi menghadapi semua ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik pemikiran dan sikap supaya menjadi lebih positif dan proaktif. Untuk menjadi proaktif, idealisme dan keazaman yang tinggi amatlah perlu.

Saya tertarik pandangan yang mengatakan umur 40 tahun untuk golongan belia yang diaplikasi di Malaysia ketika ini sudah tidak sesuai kerana mereka yang berumur 30 tahun ke atas sudah terlalu berusia untuk menerajui mana-mana persatuan belia.

Adakah tujuan awalkan had umur ini kepada 30 tahun adalah bagi membolehkan proses kematangan rakyat di negara ini akan menjadi lebih awal ? Adakah alasan negara lain mereka yang berumur 40 tahun sudah menjadi pemimpin negara tetapi di negara kita golongan ini baru hendak menjadi ketua persatuan belia.

Ada yang membandingkan bahawa pemimpin di Malaysia perlu menjadi seperti di Kanada seperti Justin Trudeau apabila menjadi Perdana Menteri paling muda di dunia. Beliau baru dilantik menjadi pemimpin negara Kanada selepas memenangi pilihan raya dengan menumbangkan Stephen Harper yang telah menjadi Perdana Menteri selama hampir 10 tahun. Kemenangan yang tidak dijangkakan ini telah membuatkan anak bekas Perdana Menteri lagenda, Pierre Elliott Trudeau turut mengembalikan negara Kanada yang konservatif berpuluh tahun menjadi liberal. Jika melihat sejarah, beliau anak bekas Perdana Menteri lagenda, Pierre Elliott Trudeau yang telah di asah bakat kepimpinan oleh ayahnya.

Di Malaysia sendiri telah terbukti Dato' Seri Najib  adalah pemimpin muda yang menjadi Menteri Besar Pahang pada umur 29 tahun .Adakah relevan membandingkan had umur belia dengan sifat kepimpinan?  Bagaimana pula nasib pemimpin yang naik daripada jalanan  ? Persoalannya dengan adakah kerajaan sendiri mengambil kira dasar peremajaan parti yang di gembar-gemburkan? Cuba lihat barisan kepimpinan adakah selari dengan dasar yang mereka laungkan acapkali bila ingin mengambil hati belia.

Adakah tidak drastik  dasar belia di turunkan secara mendadak sehingga umur 30 tahun atau perlu melalui fasa pertama bermula dengan umur 35 tahun seperti negara maju Singapura di mana belia mereka di iktiraf umur 35 tahun. Kajian terperinci perlu di buat agar pertubuhan belia tidak terkubur secara halus dan tanpa batu nisan.

Apakah kerajaan bersedia menyediakan platform pada golongan bawah 40 tahun untuk bersuara ? Apakah tujuan kewujudan parlimen belia yang berumur bawah 30 tahun ini di lihat relevan dan sudah cukup matang dalam memimpin belia atau sekadar sebagai tetamu di program-program politik dan majlis tertentu sahaja. Kenapa kerajaan tidak memperkasakan Parlimen Belia bawah 30 tahun tanpa menyentuh pertubuhan belia yang lain? Agenda Belia adalah agenda negara. Belia adalah aset terpenting negara. Saya tertarik kata Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi ;

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." 

Adakah kerajaan sudah bersedia melihat generasi belia akan datang terhimpit akibat ideologi kematangan  kepimpinan melalui umur belia di sekat atau terus mengikut arus ombak yang hanya meninggalkan buih-buih di lautan ?



Tuesday, May 17, 2016

Bila Melayu Hilang Kuasa

Melayu semakin hilang kekuatan untuk mempertahankan jati diri, hilang kuasa politik, semakin hilang keistimewaan hak yang dalam masa yang sama menghilangkan juga hak Islam pada agen Melayu di tanah Malaysia.
Bukti? Melayu terlalu mudah ‘diguna-guna’ dalam janji dan strategi bukan Melayu atau Melayu yang tidak melihat Melayu pada konteks Islam dengan pelbagai kisah akujanji, persepakatan atau gabungan agenda dan gerakan bersama.
Melayu jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi. Menurut Dr Ismail Md Salleh, pada 2004, jumlah pemilikan ekuiti orang Melayu dan bumiputera hanyalah RM100 bilion dan kemungkinan besar menjelang 2020, Melayu dan bumiputera masih tidak mampu untuk mencapai pemilikan ekuiti sebanyak 30%. Satu rumusan ringkas oleh Dr Ismail mengenai 3 faktor yang mengekang pencapaian Melayu dan bumiputera ini salah satunya ialah kelemahan mekanisme dalam melaksanakan agenda Melayu. (Wacana Bulanan DBP dengan Prof Dr Ismail Md Salleh- Ketidakseimbangan Pencapaian Ekonomi antara Kaum di Malaysia; Mengelak Bom Jangka)

Dalam isu pendidikan, bila dibenarkan saja penubuhan IPTS yang majoritinya bukan Melayu, dan tak terikat dengan kaum, senyap tiada siapa yang pertikaikan. Tapi, bila keutamaan dalam pengambilan pelajar di IPTA ditujukan kepada Bumiputera, boleh pula bukan Melayu merungut. Melambak bukan Melayu di IPTS yang jumlahnya telah melebihi 500 buah berbanding jumlah IPTA yang hanya 20 buah dan 24 politeknik bawah kerajaan. Sekarang, monopoli milik siapa? Siapa yang mendesak siapa? Dan siapa yang kena?
Melayu pecah! Hasilnya Melayu bertebar dengan karakter ekstrim, kacau-bilau atau berlepas diri. Itu pecahan masyarakat Melayu hari ini. Dan programmer yang menyusun strategi ini bagai tersembunyi. Tidak nampak siapa ‘kepala’ idea ini kerana Melayu diapit antara urusan bukan Islam atau Islam yang korup. Memang tiada pilihan.
Justeru, bagaimana mungkin kita mengumpul kembali ketuanan Islam pada agen utama bergelar Melayu di tanah Malaysia ini? Sedang konsep pemecahan Melayu dan terkedepannya agenda bukan Islam ini terus  dilaksana, didokong dari masa ke masa.

Mungkinkah lagi kita mengembalikan kekuasaan (siyadah) majoriti agen Islam (Melayu yang sejak berzaman sebati dengan Islam dalam pengamalan hidup) untuk melaksanakan agenda Islam sebagaimana berlaku pada kepimpinan asabiyyah Quraisy di tanah orang Ansar yang berbilang suku pada zaman Rasulullah dulu?
“Pemimpin Islam mesti dari Quraisy”. Ya! Asabiyah Quraisy (Muhajirin) mendapat kuasa kepimpinan di tanah orang Ansar (Madinah) yang bukan disebabkan Quraisy itu mulia dengan utusan Rasul atau  keberkatan kaum. Tapi, rahsia arahan ini adalah kerana kuasa/dokongan yang wujud pada Quraisy dan memberi kekuatan kepada pemimpin serta kuasanya itu akan ditaati. –Muqaddimah Ibnu Khaldun-
Kaum lain masih mampu bersatu pada perkara yang mengancam mereka sekalipun mereka juga berbeza fahaman politik. Mereka bersatu untuk kesamaan hak seperti yang didapati oleh pribumi. Matlamat MCA tak jauh dari DAP; menyediakan yang terbaik untuk kaum Cina. Juga DAP.

Cina bersepakat terutama dalam menjadi penguasa ekonomi di tanah Melayu. Sekalipun orang Cina tersebut buta huruf, tapi mereka akan turut membantu membeli akhbar Cina iaitu akhbar Sin Chew Jit Poh, iaitu antara akhbar yang mempunyai edaran dan keuntungan tertinggi di Malaysia.
Juga, mereka boleh bersatu dalam Perhimpunan Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Dhong Zhong) di Johor Bahru pada 6 November 2012 dan meluluskan 36 usul berhubung politik, pendidikan, budaya, agama dan sosial. Kandungannya sama seperti yang terkandung dalam tuntutan “Suqiu” 1999. Antara 17 tuntutan Suqiu yang telah dikemukan oleh 2,095 NGO Cina ini ialah kesamarataan agama, taraf Bumiputera dihapuskan, menghapuskan sistem ‘kuota’, kesamarataan peluang perniagaan di semua peringkat, serta mengkaji dan memansuhkan Akta Pelajaran 1996 iaitu membenarkan sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Bulan Ogos 2010, MCA pernah menggariskan 13 resolusi dalam Kongres Ekonomi Cina yang memuatkan permintaan terhadap kerajaan untuk mementingkan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.
Perlembagaan dicabar! Hak Islam terkontang-kanting di negara sendiri!
Dan, Melayu tak perlu mudah lupa akan kisah diperlekehkan sehingga mencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 selepas tamat Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Berbalik pada kita sendiri. Penyerahan kuasa atau mandat akan datang bakal diberikan kepada siapa?
Kemungkinan 1 ; mungkin kepada orang bukan Islam sekalipun mereka bukan majoriti dan tiada penekanan pada agenda Islam kerana mereka lebih ‘menguasai’ kebajikan rakyat, atau
Kemungkinan 2 ; kepada Muslim Melayu yang berwibawa yang akan tetap membawa agenda Islam.

Bayangkan Bila Melayu Hilang Kuasa. Apa pilihan kita ada ?

 

Wednesday, May 11, 2016

Tingginya jasa seorang guru

Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya

Demikianlah indahnya bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk Usman Awang mantan Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru. Ternyata puisi tersebut mengiktiraf insan mulia bergelar guru sebagai insan yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial seterusnya menjadi insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Malah, kejayaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan seorang guru yang dengan lembut dan sabarnya mendidik dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak didiknya. Justeru, memang tidak dapat disangkal lagi golongan guru merupakan barisan hadapan yang sangat penting dalam usaha menyediakan rakyat yang berpendidikan dan berakhlak mulia yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara ke arah kemajuan. Seterusnya generasi inilah yang bakal memacu pembangunan negara agar negara berada pada landasan yang tepat dan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang maju. Begitulah besarnya peranan, jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Oleh itu, apakah cara dan wadah yang paling bermakna dapat dilakukan oleh seseorang pelajar untuk menghargai jasa dan pengorbanan gurunya?

Memang tidak dapat dinafikan, golongan pelajar merupakan individu yang paling hampir dan amat mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi pelbagai ranjau dan liku kehidupan. Bermula di peringkat tadika sehinggalah ke menara gading, ilmu pengetahuan ditimba tidak putus-putus bagai air sungai yang mengalir. Bahkan ketika di sekolah, seorang guru umpama ibu dan ayah kepada pelajar yang mendidik dan mengawasi pelajar sejurus selepas sesi persekolahan bermula sehinggalah usai sesi persekolahan. Juseru pelajar mesti bergaul dengan guru persis seperti mereka bergaul dengan ibu bapa di rumah. Sebagai pelajar, mereka perlu berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar harus senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia apabila berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan memberi salam, mengucapkan salam sejahtera, serta ucapan terima kasih perlulah sentiasa bermain di bibir seorang pelajar. Bahasa yang sopan dengan nada suara yang lemah lembut semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar kerana adalah tidak wajar seseorang pelajar meninggikan suara di hadapan gurunya. Hormatilah guru sebagaimana kita menghormati ibu bapa. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru yang menjalankan tugasnya. Segala arahan dan suruhan guru dipatuhi. Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Selain itu, kejayaan yang cemerlang seseorang pelajar dalam pelbagai bidang sama ada kurikulum mahupun kokurikulum juga satu cara menghargai jasa seorang guru. Guru mana yang tidak gembira apabila anak didiknya mengukir kejayaan dalam peperiksaan. Hati guru yang mana yang tidak berbunga bangga apabila anak didiknya cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja penting untuk kecemerlangan diri tetapi dalam masa yang sama mampu menggembirakan hati seorang guru serta turut dapat mengharumkan nama sekolah. Kecemerlangan yang diperoleh secara langsung dapat menyejukkan hati guru yang mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu bertungkus-lumus dan berhati waja untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan yang diduduki seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM). Kejayaan yang tercipta diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih payah guru tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun keladi ataupun mencurahkan garam ke laut. Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar bahawa guru tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih.

Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para pelajar seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri dengan kegiatan negatif yang boleh merosakkan nama baik guru dan sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan perhatian oleh para pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan kegagalan guru mendidik para pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes dianggap terpencil, tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh negara seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, untuk mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas dan peranan yang dimainkan guru, para pelajar perlulah sentiasa mengamalkan perbuatan yang positif serta menjauhkan diri daripad terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa persekolahan. jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan penghormatan kepada guru yang telah banyak berjasa.

Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak lagi berkhidmat sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal ini sambutan Hari Guru perlulah diraikan sebaik mungkin dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semasa sambutan Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka sebagai menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan madu kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru. Sesungguhnya guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak didiknya walaupun telah banyak ilmu dicurahkan kepada bakal pemimpin negara pada masa depan ini. Tingginya jasa seorang guru hanya Allah mampu membalasnya.





posted from Bloggeroid

Tuesday, April 26, 2016

Relevankah SUMPAH MELAYU ?

Maka pada 10 Februari 1946, dibaca oleh orang Melayu mengenai sumpah Melayu untuk Melayu. Maka mereka bersumpah bahawa inilah asas keramat orang Melayu untuk terus membentuk tamadun bangsa untuk terus kekal relevan. Hari ini sumpah itu hanya dalam lipatan sejarah. Hari ini sumpah itu seakan di khianati kerana orang Melayu sendiri berfikiran bahawa mereka perlu berubah – berubah dengan kemajuan – berubah untuk meninggalkan – nilai murni bangsa – secocok dengan pembangunan moden dunia dan nilai baru yang sesuai dengan pendidikan moden. Kita bercerita untuk melepaskan sejarah, melanggar sumpah dan terus maju bersama-sama bangsa lain. Kita memilih menukar ketuanan kepada ketuanan rakyat. Ketuanan yang lepaskan hak yang selama ini ada, menjajakan pegangan untuk memperoleh kuasa dan mendabik dada menjadi pejuang politik yang tidak bermakna untuk bangsa itu sendiri.

Sebenarnya ketuanan rakyat yang dilaungkan adalah penjualan hak yang ada. Sebenarnya kesamarataan dalam demokrasi yang diperjuangkan lupa, bahawa Melayu yang mengekor dan belum lagi boleh berlari. Perjuangan Melayu adalah untuk Melayu, tidak perlu digeruni dan di perlu dikhuatiri. Perjuangan Melayu adalah untuk meningkatkan Melayu agar serasi bila bercerita mengenai kemodenan dan pembangunan agar kemajuan itu tidak timbul hanya di kelit mata kemudian di landa kepayahan hidup dan keciciran bangsa.

Kenapa Melayu takut membicarakan sumpah mereka? Kenapa Melayu takut membicarakan perjuangan Melayu? Adakah kerana ini menghilangkan rasa moden di kalangan mereka? Adakah ini menunjukkan bahawa kita tidak maju bila membicarakan tentang perjuangan bangsa?

Melayu sebenarnya perlu sedar dan perlu menjelaskan. Ketegasan kita memperkatakan hak dengan penjelasan yang sempurna. Kita perlu pertahankan sumpah kita kerana kita tidak mahu kedaulatan Melayu mengalir meninggalkan kita – lebih buruk bila Melayu beransur hilang di bumi sendiri.

Kita mesti mengenal apa yang perlu kita perjuangkan dan pertahankan. Jangan terleka dengan perjuangan politik yang mementingkan segelintir mereka yang mahu terus berkuasa. Kita mahu mereka yang turut membicarakan hak yang perlu dipertahankan demi Melayu untuk Melayu.

Ini adalah untuk semua, yang tinggi melangit, yang sedang duduk mencoret polisi dan kita yang berkeliaran di muka bumi menjadi rakyat Melayu yang kini seakan kehilangan maruah diri. Jangan angkuh membicarakan kemodenan dalam erti melupakan nilai Melayu kita yang ada. Jangan angkuh membicarakan pembangunan dengan menggadai hak kita.

Melayu itu perlu dicernakan semula. Dalam erti mempertahankan yang ada. Dalam erti memperjuangkan semula, yang telah terlepas akibat melanggar sumpah kita. Melayu itu perlu bangkit dalam melihat bahawa kita bukan ketinggalan tetapi kita semakin hari semakin pupus di muka dunia. Kita perlu menceritakan semula Melayu itu – dalam suasana baru tetapi penuh bermaruah dan tidak perlu segan pada apa yang kita ada.

Sekiranya ada antara kita – menyatakan sumpah ini kuno dan ketinggalan, maka katakan pada mereka, sumpah itu kekal membicarakan perjuangan kita dan yang terlupa adalah mereka yang palsu menyatakan bahawa ketuanan Melayu adalah sisa-sisa sahaja, perlu di campak bersama sampah-sampah lain yang tidak berguna dan bukan budaya yang perlu dipertahankan kerana mereka sedang menuntut kuasa untuk berdendam sesama Melayu yang ada dan mereka tidak ubah seperti sampah yang jijik untuk Melayu melihatnya.

Ini sepatutnya dikenang semula-kerana yang hilang kita, yang dikurangkan hak kita dan yang ada penipuan mereka yang membawa bunga-bunga palsu untuk kita – tidak berbau dan tanpa semangat dan roh sebenar.

Perjuangkan dan pertahankan – maruah bangsa agar kita menginsafi yang hilang pada kita kerana kita Melayu lupa bercerita – kita tidak hilang di dunia – wujud sebagai daun kering yang menanti terlerai dari pepohonan sungguhpun jejak ada tapi tidak bermakna.



posted from Bloggeroid

Antara jawatan dan amanah

Di dalam Islam, jawatan itu ada pulangan. Sebabnya, apabila individu itu menghabiskan masa dan tenaga untuk umat maka dia berhak menerima gaji. Gaji itu pula hendaklah setimpal supaya ia mencukupi untuk makan dan pakai. Tidak meminta-minta kepada orang lain atau asakan nafsu sehingga barangkali terlibat dalam rasuah. Bagaimanapun, persoalan besar di sini adakah pulangan atau amanah yang jadi matlamat?

Kita dilarang meminta jadi pemimpin. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW apabila didatangi oleh Abu Musa. Dia berkata kepada Rasulullah: “tolong ambil kami jadi ketua”.

Kemudian Nabi bersabda:

“Demi Allah, kami tidak akan lantik pekerjaan ini kepada seorang yang meminta jawatan atau orang yang nampak rakus mahukan jawatan”.

Dalam kes lain, Abu Zar bertanya kepada Nabi SAW “lantiklah saya jadi Gabenor.”

Baginda bersabda lagi:

“Kamu ini lemah”.

Ini menggambarkan dalam dunia sekarang, ramai yang tidak ada kemampuan tetapi minta mahu jadi pemimpin. Ini antara sebab berlakunya politik wang. Mereka gunakan wang untuk beli undi. Maksud lemah yang disebut oleh Baginda SAW itu apabila seseorang meminta dipilih atau dilantik sebagai pemimpin atau rakus. Rakus itu bahaya kerana biasanya orang yang meminta-minta jawatan itu sebab hendakkan pulangan. Pada hari kiamat kelak, sikap ini akan membawa kita kepada kehinaan.

Sebab itu kata Nabi SAW:

“siapa yang meminta jawatan, kita hendaklah tolak mereka awal-awal”.

Hikmah tidak minta jawatan antaranya kerana orang yang minta jawatan tidak akan mendapat bantuan orang lain. Sebabnya, dia hendak sangat jawatan itu. Jadi, orang akan serah bulat-bulat kepada dia seorang untuk melakukan tugas.

Walhal, jika kita diberi sesuatu jawatan tanpa meminta-minta, kita akan diberi bantuan. Rakan-rakan akan kata, “Tak apa, kamu tak nak jawatan tetapi kami akan bantu”.

Rasulullah ada bersabda yang antara lain maksudnya:

“Tanda-tanda akhir zaman ialah jika umatku melakukan 15 perkara maka layaklah Allah turunkan bala. Satu daripadanya ialah apabila amanah menjadi tempat untuk dapat habuan, maka di kala itu bala akan turun”.

Apabila berebut jawatan, ekonomi akan merudum, politik pun tidak stabil. Maka, Allah jadikan orang lain menguasai kita. Masyarakat perlu membuat pilihan berdasarkan neraca keimanan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan kepimpinan umat seperti pemilihan jawatan tertinggi UMNO. Kita perlu tegas. Mereka yang ada ciri-ciri seperti di atas tadi hendaklah dibuang. Sebaliknya, kita perlu pilih calon yang bersifat tawaduk iaitu orang yang tidak mahu tonjolkan diri.

Antara yang penting dalam memilih pemimpin adalah aspek solehnya calon berkenaan. Apabila soleh maka dia akan menjaga amanah sebagai pemimpin. Maka kita tidak perlu bimbang tentang berlakunya penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau pun rasuah. Orang itu juga mestilah yang kuat dari segi jasmani dan akal iaitu mempunyai ilmu. Dia juga mesti orang yang takut kepada hisab (perhitungan Allah) dan membuat baiah yakni menjadi wakil orang bawahan untuk pastikan segala kehendak Allah terlaksana di muka bumi.

Mungkin timbul persoalan, bagaimana hendak memilih pemimpin yang amanah jika golongan pemilihnya ramai yang korup. Tetapi kaedah Islam menetapkan bahawa Allah tidak akan menghimpunkan umatnya dalam kesesatan. Maknanya, akan ada dalam masyarakat golongan yang nakal dan yang baik. Jika benar-benar tawaduk, insya-Allah akan dibuka hati orang untuk mengundi atau pilih calon-calon yang soleh tadi.

Islam tidak halang kita mencipta sistem pemilihan seperti demokrasi tetapi kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada itu. Dalam Islam kita ada satu lagi sistem yang disebut syura. Islam tidak ajar bahawa majoriti jadi penentu sebagaimana di Barat.

Kita wajib memilih pemimpin di kalangan orang yang layak sebagai mana firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya…” (An-Nisa’: 58).

Allah beri syarat negara yang berkat itu mesti wujud keadilan sosial dan ekonomi. Ini dijelaskan oleh firman Allah yang bermaksud:

“Dan jika penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan
kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka sudah usahakan”. (al-A’raf: 96)

Namun, Allah juga memberi amaran yang bermaksud:

“Maka mereka berpaling ingkar, lalu kami turunkan banjir yang membinasakan dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) dengan dua kumpulan kebun yang berisi pohon-pohon yang pahit buahnya dan pohon-pohon yang jarang berbuah serta sedikit pohon bidara. Demikianlah kami membalas mereka disebabkan kekufuran mereka…” (Saba’: 16-17)

Kalau kita merujuk kepada pemilihan UMNO, boleh kita katakan rosak UMNO rosaklah negara. Sebab, ia adalah parti pemerintah masa kini. Maksiat yang berlaku contohnya amalan politik wang akan merosakkan negara. Pemimpin yang kufur dengan nikmat Allah menjadi penyebab kepada kelaparan dan ketakutan di kalangan rakyat.

Pada masa yang sama, kita perlu menyegerakan penubuhan kerajaan perpaduan untuk menyelamatkan umat Islam dan Melayu. Demokrasi acuan Barat membentuk parti untuk jadi pemimpin negara. Jika ini diamalkan ia jadi pertembungan yang tidak berkesudahan. Sebabnya sistem kepartian jadi penyebab kepada pecah belah.

Sentimen lama dalam politik perlu dibuang. Kita wajib menyahut seruan perpaduan sebagai mana yang sedang diusahakan oleh kalangan pemimpin UMNO dan Pas. Jika ini direalisasikan, golongan pendakwah pun lebih bebas mengkritik sebab tidak akan dilihat bias kepada mana-mana parti.

Buat renungan buat pemimpin politik dan NGO. Antara jawatan dan amanah ?



posted from Bloggeroid

Sunday, April 24, 2016

Belia , CCRIS PTPTN dan kerajaan

Isu CCRIS kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mula hangat diperkatakan kini. Polemik ini bertambah rumit dengan beberapa isu yang berkaitan seperti penyediaan pendidikan percuma, pengurusan kewangan kerajaan, sistem Ujrah yang dilakukan pihak PTPTN ,CCRIS peminjam dan masa depan pelajar Melayu.

Dalam menangani isu ini, saya menyeru semua pihak supaya dapat melakukan perbincangan meja bulat secara intelektual untuk mencari jalan penyelesaian seperti mana yang ditekankan dalam Islam dan bukannya melalui jalan demonstrasi yang hanya meningkatkan emosi tanpa memberikan kefahaman yang jelas terhadap isu tersebut. Daripada sudut pandangan saya menyokong agar PTPTN terus penambahbaikan dari sudut sistem dan implimentasi. Keadaan semasa menunjukkan mahasiswa IPT masih memerlukan bantuan sara hidup bagi meneruskan kehidupan mereka sebagai pelajar IPT. Ini bertepatan dengan objektif penubuhan PTPTN. Dengan adanya PTPTN rakyat yang mendapat tawaran ke universiti tapi tidak berkemampuan boleh meminta pinjaman mudah alih. Untuk penambahbaikan mutu perkhidmatan PTPTN, saya mencadangkan sistem caj perkhidmatan 1% atau caj lain dihapuskan terus dan ditanggung oleh kerajaan sebagai komitmen memberikan kemudahan pinjaman kepada mahasiswa. Ini bertepatan dengan sistem pinjaman Islam dan mampu mengurangkan beban mahasiswa apabila mereka tamat pengajian nanti.

Saya juga menyeru kepada semua pihak supaya tidak berlumba-lumba menjadikan pendidikan sebagai suatu medium untuk menjuarai isu berdasarkan sentimen tanpa kajian terperinci. Ilmu ialah hak setiap individu dan pihak kerajaan perlu memastikan setiap rakyatnya menikmati pendidikan yang sempurna dalam mencapai agenda pembangunan Negara. Selain daripada isu pemberian kemudahan pinjaman kepada mahasiswa untuk belajar di IPTA/S, penting untuk melihat sistem dan modul pembelajaran yang diguna pakai samada ia boleh melahirkan tenaga mahir atau sekadar pekerja biasa akibat daripada sistem yang mementingkan peperiksaan.

Saya menyambut baik tindakan kerajaan yang sedang memperkukuhkan bidang pendidikan teknikal dan kemahiran agar memberi lebih pilihan kepada pelajar. Bagi pelajar yang menuntut di IPTS, beban pinjaman terpaksa ditanggung apabila mereka mula menduduki alam pekerjaan. Dana untuk operasi bagi institusi pendidikan itu seharusnya bukan datang daripada mahasiswa, sebagai contoh universiti di Singapura telah membuktikan dengan prestasi yang baik universiti mampu beroperasi hasil jualan kajian yang telah dijalankan.

Saya harap parti politik supaya tidak menggunakan isu ini sebagai “political mileage” untuk mendapatkan sokongan sesetengah pihak. Apa yang penting dalam isu ini ialah kebajikan rakyat dalam mendapatkan pendidikan yang sempurna berdasarkan unjuran kekuatan mampu urus kerajaan. Saya yakin pendidikan percuma bukanlah sesuatu yang mustahil dan fantasi bahkan kerajaan telah membuktikan pendidikan percuma bagi sekolah rendah menengah, institut kemahiran dan teknikal serta pelajar matrikulasi. Namun bagi mencapai pendidikan percuma diperingkat ijazah bukanlah usaha semalaman seperti yang dijanjikan sesetengah pihak. Masyarakat awam diminta tidak mudah terpengaruh dengan janji penghapusan PTPTN bersandarkan formula-formula mudah kerana dalam mentadbir Negara pelbagai aspek perlu diteliti.

Kerajaan juga perlu berfikir implikasi 1.25 juta rakyat Malaysia yang telah menerima CCRIS dan 30-40% terdiri daripada graduan yang tamat belajar.

Adakah sebarang kajian terperinci di lakukan? Adakah kerajaan sudah bersedia untuk menerima kesan gelombang pengundi muda yang semakin kurang mesra kepada parti kerajaan khususnya? Pada jangkaan saya peti undi 3 dan 4 pasti akan kembali menunjukkan impak pada PRU akan datang nanti.

Adakah kerajaan pernah mengumumkan perincian-perincian berikut  untuk memahami masalah ini dengan menyeluruh agar langkah susulan itu tepat dengan punca masalahnya, iaitu:

1. Profail pendapatan bulanan bersih peminjam-peminjam PTPTN – berapa ramai yang bergaji di atas RM2,500 sebulan, berapa ramai yang bergaji di bawah RM1,000 sebulan dan lain-lain

2. Profail kejayaan mendapatkan kerja atau mendapatkan kerja yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan – berapa ramai yang masih menganggur, berapa lama diperlukan sebelum mendapat kerja yang setimpal, berapa orang pemegang ijazah yang mendapat kerja berkelulusan lebih rendah seperti diploma dan lain-lain.

3. Profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang mendapat kerja – berapa ramai peminjam yang berakhir dengan ijazah yang tidak diiktiraf, berapa banyak kolej yang tidak menyediakan kemudahan bertaraf universiti, peratusan kejayaan graduan kolej-kolej swasta dan IPTS mendapat kerja selepas tamat pengajian ?

Ini adalah contoh-contoh maklumat yang sangat diperlukan untuk membentuk satu pemahaman yang adil mengenai masalah keberhutangan golongan belia.

Adakah kerajaan tidak berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab dan perlu di hukum CCRIS ?

Pada pandangan saya kerajaan perlu membela rakyat khususnya belia yang kian terperangkap dengan gaji minimum , suasana ekonomi global , masalah kos pengajian , IPTA/S yang di ambil dan persekitaran politik yang kian suram buat masa ini. Langkah CCRIS bukan satu langkah yang bijak.







posted from Bloggeroid

Saturday, April 23, 2016

Kiasu jangan menjolok sarang tebuan !

Pepatah Melayu ‘jangan dijolok sarang tebuan’ antara lain memberi maksud usah diganggu orang yang tidak mengganggu orang lain. Dalam konteks hari ini, pepatah itu sesuai dijadikan renungan kalangan tertentu di negara ini yang semakin berani menghina orang Melayu dan agama Islam. Tindakan mereka secara terang-terangan kebelakangan ini menimbulkan persoalan apakah yang mendorong mereka bertindak sedemikian. Walau apa pun niat, kecenderungan dan tujuannya, perbuatan seperti itu bukan saja mengguris hati umat Islam tetapi menyemarakkan rasa marah.

Kebelakangan ini, wujud kelompok kafir di Malaysia yang semakin berani melakukan tindakan provokasi berbaur penghinaan terhadap Islam. Pada pandangan saudara, apakah punca perkara ini semakin berleluasa berlaku? Dr Zakir Naik menyampaikan ilmu di Malaysia juga di jadikan isu.

Punca berlaku perkara ini jika dilihat secara luaran memberi makna mereka ingin mencabar status quo yang sudah lama diterima di negara ini. Golongan ini mahu mengubah keadaan yang mana Islam dan budaya Melayu sudah sebati di negara kepada suasana lain atau lebih liberal. Selain itu, sokongan pihak tertentu dari luar negara termasuk pertubuhan agama yang hendak menukar dominasi pengaruh Islam di negara ini kepada pengaruh agama lain atau fahaman liberalisme dan pluralisme turut menjadi punca insiden yang melukakan hati umat Islam. Kelompok ini menggunakan segala sumber yang mereka ada sama ada dalam kerajaan atau pembangkang dan juga badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperkukuh agenda mereka secara beransur-ansur. Saya melihat ini dalam sudut makro yang mana mereka mahu membuat perubahan terhadap sistem negara kita. Menerusi tindak-tanduk mereka ini, jelas bahawa mereka tidak senang dengan apa yang dimiliki Malaysia, mereka tidak menghayati Rukunegara, tidak menerima konsep kenegaraan Malaysia itu sendiri, seolah-olah selama ini mereka hidup dalam dunia lain. Mereka enggan menerima kepimpinan Melayu dalam kerajaan, Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Apabila mereka mendapat ruang menerusi kedatangan pengaruh liberalisasi yang dibawa segelintir pemimpin Melayu sendiri, dibantu NGO yang mendapat sokongan Barat dengan berlindung di sebalik pelbagai nama atau bergerak dalam persatuan sosial, mereka menyebarkan fahaman pluralisme dan liberalisme agama dalam masyarakat. Mereka menilai apabila pluralisme dan liberalisme agama mempengaruhi anak muda Islam hari ini, maka mudah bagi mereka menegakkan agenda mereka. Kelompok ini beranggapan sekarang adalah masa paling sesuai untuk memaksa agenda mereka dengan kuat walaupun dalam Pilihan Raya Umum (PRU) mereka tidak menang menerusi pembangkang. Inilah antara punca yang dapat dikenal pasti mengapa perkara ini terjadi.

Saya sangat setuju dengan keadaan sekarang bahawa kedudukan politik Melayu lemah. Kita juga sedar hampir semua sektor perniagaan di Malaysia dikuasai bukan Melayu, bermakna mereka tahu kita tidak ada kebebasan membuat keputusan politik yang kuat yang memberi makna kerajaan mungkin tidak mampu mengambil tindakan serius untuk menangani apa-apa isu yang timbul membabitkan Melayu dan Islam. Di samping itu, masalah kepartian kita terlalu menebal yang mana dalam hal membabitkan kepentingan ummah, sehingga sekarang sukar untuk menyedarkan PAS betapa pentingnya politik berasaskan ummah. Mereka tenggelam langsung ke dalam percaturan politik perebutan kuasa dan ditekan DAP serta Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu kemas mengikat PAS. Saya bersyukur PAS supaya membatalkan tahaluf siyasi dengan DAP.

Pendirian saya dalam hal ini amat tegas bahawa menolak tahaluf siyasi PAS dengan DAP kerana kerjasama PAS dan DAP bertentangan dengan syariat Islam berdasarkan situasi yang berlaku dalam negara sekarang apabila terbukti berlaku penentangan, permusuhan dan penghinaan terhadap Islam yang bertujuan melaksanakan agenda perubahan ke atas sistem negara yang diamalkan selama ini. Kerjasama orang Islam dengan puak yang menolak Islam adalah haram dan tahaluf itu mesti ditamatkan dengan segera. Lebih malang lagi, PAS kini menjadi perisai kepada agenda yang hendak dibawa oleh kelompok ini. Boleh dilihat PAS banyak melindungi dan mempertahan golongan ini seperti yang berlaku dalam isu kalimah Allah dan perlakuan pasangan muda yang mempersenda Islam baru-baru ini. Dalam hal ini, UMNO juga tidak begitu lantang bersuara dan saya tidak pasti mengapa. Berdasarkan analisis saya, apabila politik Melayu Islam tidak mempunyai kekuatan perpaduan, maka kita tidak akan ada kekuatan keputusan politik. Keputusan politik datang daripada perpaduan. Jika kita gagal memupuk perpaduan, kekuatan dalaman orang Islam dan kuasa politik akan lemah maka kita tidak mempunyai kuasa pemutus dalam politik.

Sejak timbul beberapa tindakan penghinaan terhadap Islam seperti yang dilakukan pasangan kontroversi Alvin Tan dan Vivian Lee serta Duta Vatican di Malaysia, penghinaan Dr Zakir Naik berdakwah di Malaysia perlukah satu tindakan awalan dilakukan oleh kerajaan, pihak berkuasa agama Islam dan NGO Islam untuk menangani situasi ini daripada terus berleluasa?

Dalam hal ini saya mendesak kerajaan supaya lebih tegas untuk melaksanakan Islam sebagai agama Persekutuan dan serius memastikan terlaksananya undang-undang yang dapat menjaga segala aspek menyentuh Islam dan orang Melayu serta institusinya. Kita tidak mahu kerajaan terlalu berlembut dengan kelompok ini. Sudah tiada masa untuk berlembut dengan mereka yang berniat mahu menjatuhkan Islam. Yang penting siapa saja yang membawa agenda yang jelas mahu menentang Islam, mereka ini harus ditentang. Kita akan mendesak kerajaan untuk memastikan Akta Keharmonian yang hendak diperkenalkan itu melindungi kesucian dan kehormatan Islam serta orang Melayu. Akta itu juga perlu mampu mengawal dan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang melanggarnya atau menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk mengeji, menghina dan sebagainya terhadap Islam dalam apa juga medium.

Seperti yang diketahui masih ramai umat Islam yang tidak mengambil endah atau peduli isu membabitkan penghinaan terhadap Islam. Apakah cara atau jalan yang boleh diambil untuk menyedarkan golongan ini?

Umat Islam yang tidak mengambil endah dan ada juga yang tidak menerima maklumat dengan tepat dan mereka tidak faham isu yang melanda Islam di negara ini. Sebahagian daripada mereka pula ada yang terpengaruh dengan fahaman liberalisme dan pluralisme agama sehingga lahir kenyataan daripada mulut mereka, mengapa hanya hendak bertindak terhadap orang kafir yang menghina Islam tetapi yang Islam dikecualikan. Kita perlu faham, ini isu berasingan. Jika ada orang Islam yang menghina agamanya sendiri, kita mempunyai enakmen dan undang-undang syariah untuk mengambil tindakan terhadapnya, tetapi jika dilakukan orang kafir, sudah tentu ia berbeza. Golongan Islam liberal ini yang hendak sangat membela orang kafir ini sebenarnya hendak meneutralkan suasana tetapi ia tidak boleh begitu. Orang Islam yang membela tindakan bukan Islam menghina Islam adalah dayus kerana ia hanya memberi ruang kepada bukan Islam untuk lebih berani selepas ini menyerang Islam. Kita harus sedar bahawa dalam syariat Islam, Islam tegas menjaga kehormatan agama, akidah, harta dan nyawa umatnya. Ini yang perlu diberi keutamaan termasuk oleh pihak kerajaan. Hari ini, sudah terang dan nyata berlaku penghinaan terhadap Islam, maka kerajaan sepatutnya mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan asas kenegaraan dan nilai kemasyarakatan dijaga. Kalau kita terlalu bertolak-ansur, takut-takut semua hal berkaitan Islam akan diperkotak-katikkan, yang mana akhirnya sistem masyarakat rosak dan runtuh.

Kita perlu satu gerakan massa diwujudkan atau dilakukan umat Islam bagi menangani cabaran dihadapi umat Islam di Malaysia hari ini yang menghadapi gelombang penghinaan daripada golongan kafir, pengaruh liberalisme, pluralisme dan bermacam lagi selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang?

Saya hanya mahu menyedarkan seluruh umat Islam di negara ini bahawa agenda yang dibawa pihak bukan Islam ini perlu ditentang bersama walaupun kita berbeza fahaman politik atau budaya dan kaum. Saya menyeru kepada semua NGO Islam yang terdiri daripada pelbagai bangsa sama ada Melayu, Cina dan India Muslim untuk sama-sama bersatu padu dalam mempertahankan Islam daripada ancaman musuh Islam. Saya percaya, kita boleh mencari titik pertemuan untuk menghadapi agenda ini tetapi malangnya, cara politik pembangkang di Malaysia ini menunjukkan seolah-olah kalau jadi pembangkang, maka akan bangkang apa saja walaupun ia mempunyai kebaikan. Umat Islam perlu berazam menamatkan budaya politik seperti ini. Sepatutnya kita dalam Islam yang mempunyai persamaan dalam aspek akidah, ibadah, akhlak dan muamalah yang sama boleh bersatu. Akan tetapi apabila berada dalam medan politik, kita gagal bersatu. Di Malaysia, kita memiliki sunnah yang sama, mazhab yang satu, keturunan dan bangsa yang sama serta bahasa yang juga sama, tetapi oleh kerana kita tidak membina aspek ini menjadi jambatan pengukuh antara umat Islam, maka sukarlah usaha untuk berdepan dengan agenda golongan kafir ini. Umat Islam perlu sedar apa yang berlaku hari ini adalah permusuhan nyata bukan Islam terhadap orang Islam dan orang Melayu.