Monday, August 31, 2015

Sindiran buat bangsa Merdeka

Saya ingin berkongsi rasa kemerdekaan hasil dari berborak dan perbualan bersama akar umbi dalam mencari apa itu erti kemerdekaan. Adakah kita telah merdeka apabila lembabnya kerajaan tangani kenaikan harga barang, rakyat semakin terhimpit. Bezanya merdeka dan sebelumnya, kini segala-galanya perlu dibayar di tambah pula dengan GST 6%. Ramai yang tidak tahu kemewahan sebelum merdeka, tapi sejarah menceritakan oleh orang tua yang masih hidup, dalam setuju dengan kemodenan, mereka merungut tentang sikap
masyarkat moden dan maju. Rungutan orang tua membawa ke akhir hayat. Pening kepal tengok gelagat anak muda yang maju tapi tidak tahu malu. Tutup sana buka sini, tutup sini buka sana. Akhir sekali, buka semua. Tiba-tiba mengandung. Mak bapa ketawa, sejuk perut mak, anak aku normal, boleh mengandung rupanya.

Kita bersetuju bahawa kemajuan yang kita perolehi ketika ini menjadikan rakyat semakin senang. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Susah ketika sebelum merdeka, senang ketika proses capai kemajuan dan kembali susah apabila sudah maju seperti sekarang.

Kini, sedikit demi sedikit kesempitan sudah mula dirasai. Keluar sahaja sudah memerlukan belanja. Sehari belanja RM50 sudah seperti perkara biasa. Minyak, minum, tol, bil telefon dan belanja harian sebagai perkara yang pasti.

Segalanya perlu dibayar. Begitu juga dengan cukai pintu, barangan dapur, anak sekolah, elektrik dan air, minyak kenderaan, tiusyen anak-anak, tol lebuhraya, telefon tangan, cukai kenderaan, cukai pendapatan, kenaikan harga barangan. Semuanya membebankan. Sedangkan pendapatan hanya sedikit, tapi dek kerana hendak merasakan kemajuan, maka segala-galanya perlu dibayar.

Kerja 5 tahun gaji tidak naik, tapi barangan dan perkhidmatan, harganya naik berkali-kali ganda sehinggakan kerak melebihi periuk dan kini terkeluar dari mulut periuk yang besarnya tidak pernah bertambah besar.

Tiba sahaja bulan OGOS akan ada kempen kibarkan bendera. Hidup seperti terpaksa. Hati sedih, jiwa terkongkong dengan karenah kerajaan dan tanggungjawab, tapi rakyat dipaksa untuk menyambut kemerdekaan. Saban hari media meminta agar sambutan diraikan oleh rakyat dengan menaikkan bendera. Jika 2 ke 5 tahun sebelum ini, terdapat ramai pemilik kenderaan memasang bendera pada kereta mereka, namun sekarang sudah berubah. Perbelanjaan perlu lebih berhemah dan kerana itu RM10 untuk satu bendera, dikira membazir.

Jika dahulu ada syarikat yang ingin menaja bendera dengan mengedarkannya kepada pemandu kenderaan ditol-tol tetapi kini sudah tidak kelihatan. Banyak syarikat yang sekarang sudah tidak mampu lagi menderma.

Bangsa asing melihat KEMERDEKAAN itu satu peluang, bangsa Melayu melihatkan Kemerdekaan itu satu sejarah dan keraian yang berulang. Yang pasti satu untung dan satu rugi. Rugi Melayu adalah kerana beli bendera dan keluar jauh malam, untung bangsa asing adalah kerana jual bendera dan malam duduk rumah makan bersama keluarga. Esok Melayu bangun lewat sedangkan bangsa asing bangun awal untuk terus berniaga.Jika tidak beli bendera mereka pakai baju kuning dan pergi perhimpunan BERSIH.

Berikutan kegagalan kerajaan di dalam menjaga dan menitik beratkan kepentingan rakyat, kita sebenarnya hidup seperti diera penjajahan. Sukar memperolehi barangan di zaman dahulu akibat putus hubungan kerana perang tetapi ketiadaan barangan ketika ini adalah kerana tiada wang untuk membeli barang dan pengusaha pula hentikan pengeluaran barang demi
untuk menaikkan harga barangan tersebut. Keadaan berbeza tapi hakikatnya serupa.

Merdekakah kita?

Dalam banyak-banyak kekesalan, kerajaan seharusnya bersyukur kerana masih ada golongan yang ingin menyambut kemerdekaan. Pasti dilihat nanti bagaimana adanya golongan intelek dan remaja-remaja yang menyambut kemerdekaan di pub-pub, disko dan pusat hiburan sehingga ke pagi.

Kebanyakannya adalah golongan remaja produk kerajaan. Yang terpesong akibat
sistem pelajaran ala British.

Semangat nasionalisme dan kemerdekaan kini semakin pudar. Di dalam kita mengecapi kemerdekaan dan pembangunan yang dicipta oleh pemimpin UMNO sejak dahulu, ternyata ianya menambah beban kepada rakyat. Bangsa Melayu semakin hari semakin tercicir. Pulau Pinang sudah hampir menjadi Singapura, Kuantan sudah menjadi Hatyai, Kuala Lumpur sudah menjadi New York dan Kelang sudah menjadi BRONX. Ada kemajuan, ada kemiskinan dan ada jenayah yang sukar dikawal.

Jenayah akibat kesempitan hidup menjadi-jadi. Sebelum merdeka kita diserang musuh, kini kita diserang penjenayah yang mungkin juga jiran kita sendiri. Hidup tidak seharmoni dahulu kerana ekonomi semakin membimbangkan. Kehidupan rakyat tidak seimbang. Yang kaya, teramat kayanya dan yang miskin semakin menghimpit kemiskinannya. Ada yang menjadi ROBIN HOOD dan ada yang menjadi ARIEL SHARON.

Rakyat sudah ada kasta. Pariya akan berusaha untuk menjadi kaya. Kaedah mereka berbeza. Yang bijak guna akal, yang bodoh guna kederat dan yang ingin mudah, menjadi penjenayah. Rompak sana dan sini. Jentolak bukan lagi untuk projek RMK-10 , tapi untuk merompak bank, membawa lari mesin ATM.

Setiap tahun, Bangsa melayu adalah bangsa majoriti yang menjerit sakan di hari kemerdekaan. Entah apa yang dijeritkan, saya tidak tahu. Namun yang pasti dia menjerit bila semua orang menjerit. Jeritan aku hanya ikutan dan bukan dari pengertian yang sebenar. Benarkah kita sudah merdeka? Persoalan yang dijawab dengan jawapan khayalan para pemimpin sejak dahulu.

Sorakan itu kini terhenti kerana bangsa melayu sudah tidak kekal merdeka. Puas sudah kerajaan meminta supaya kita terus bersorak, tetapi sebenarnya kita bimbang akibat SORAK MENANG, TANAH TERGADAI. Islam kini juga sudah ditindas dan dipermainkan. Bangsa Melayu sudah lama diperalatkan oleh pemimpin dan bangsa lain, kerajaan kononnya memperuntukkan belanja untuk kemajuan bangsa Melayu, sedangkan peruntukan itu lari entah ke mana.

Pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dimana-mana tanpa ada usaha sekatan oleh kerajaan. Kebenaran digelar FITNAH dan TOHMAHAN. Kerajaan cuba membenteras sebarang kenyataan yang dianggap fitnah sedangkan tidak berusaha untuk menidakkan tuduhan dan mencari bukti. Terlalu banyak sekatan untuk mencari kebenaran tetapi kepada kerajaan pintu luas terbuka cuma malas nak cari kebenaran kerana tiada lagi kebenaran. Kerajaan sudah tahu, mencari bukti akan membuka aib diri.Pemimpin No 2 tidak boleh tanya soalan atas No 1 kerana itu juga di panggil kesalahan. Pertukaran semua penyiasat adalah tiada masalah walhal itu timbulkan persoalan dan perspeksi. Adakah kita perlu terus mendiamkan diri bila akar umbi terus menghina antara satu sama lain sedangkan pemimpin terus merencana agenda tanpa fikir kesan arus di bawah. Salah siapa jika perjuangan kita terkubur ?

Di dalam kampung Melayu yang mempunyai penduduk yang ramai keluarga, tidak tentu lagi 10 orang yang berjaya. Hendak salahkan kerajaan? Tentu alasan kerajaan, MELAYU MALAS. Kini Melayu benar-benar Malas. Malas untuk berharap kepada kerajaan, malas untuk percaya kepada kerajaan dan malas untuk menyambut kemerdekaan.

Saya memang mahu merdeka tetapi pemimpin Melayu yang mahu Melayu dijajah semula. Merdekakah kita jika hingga sekarang kita masih berharap untuk menjadi maju seperti bangsa lain? Merdekakah kita jika kita sendiri tidak boleh kritik kerajaan? Merdekakah kita jika kita sendiri di dalam kesusahan untuk sekadar hidup?

Merdekakah kita ?


Thursday, August 27, 2015

Adakah BERSIH itu BERSIH ?

Saya berpandangan kehadiran gerakan sivil di negara ini adalah perlu bagi memastikan wujudnya sistem semak dan imbang dan berupaya menyemarak dan mematangkan lagi sistem demokrasi di negara ini. Kehadiran NGO BERSIH pada awalnya yang berjuang untuk menegakkan lima perkara iaitu pilihan raya adil dan bersih, kerajaan yang telus dan berintegriti, hak untuk berdemonstrasi, memperkukuhkan sistem demokrasi berparlimen dan prihatin terhadap ekonomi negara adalah sesuatu yang dirasakan relevan dengan persekitaran dunia sekarang.
Melalui tuntutan itu, kerajaan melalui pelbagai agensi dilihat sentiasa berhati-hati dalam setiap tindakan yang diambil serta komited untuk memenuhi tuntutan itu. Penubuhan beberapa suruhanjaya seperti SPAD dan RCI, pemansuhan undang-undang lapuk seperti ISA dan lain-lain lagi adalah antara beberapa tindakan drastik yang dibuat oleh kerajaan untuk memenuhi tuntutan NGO BERSIH yang berjuang menuntut keadilan dan ketelusan kata mereka.

Namun, di celah-celah penambahbaikan ini, didapati NGO BERSIH melalui beberapa siri perhimpunan mereka terutamanya dalam Perhimpunan BERSIH 3.0 tahun 2012 dikesan telah bersikap keras dan melampaui jangkaan semua pihak yang cintakan keamanan, kedamaian dan keadilan.
Dalam perhimpunan itu, rakyat secara umumnya menjadi saksi akan kerakusan segelintir peserta-peserta BERSIH 3.0 merosakkan kemudahan awam, menyerang kenderaan polis dan bertindak di luar batasan perhimpunan amam yang diwar-warkan oleh penganjur BERSIH sebelum itu. Kini BERSIH 4.0 dijangka kembali semula dengan kehadiran puluhan ribu penyokong mereka di Bandaraya Kuala Lumpur mulai 29 hingga 30 Ogos 2015. Persoalan utama yang bermain di benak fikiran ini, apakah motif utama mereka? Adakah mereka mempunyai niat lain di belakang tabir?

Di Malaysia polis telah dijadikan kambing hitam oleh para perusuh. Perusuh turut melancarkan provokasi bagi menaikkan kemarahan agar melakukan kekerasan terhadap mereka. Provokasi itu sebenarnya tidak berjaya mempengaruhi pihak polis, pihak polis menumpukan langkah menyuraikan rempuhan dan keangkuhan penunjuk perasaan.

Jelaslah, langkah awal yang tersusun—mengesani lebih awal cara perusuh bakal bertindak telah menyelamatkan Malaysia daripada kancah konflik yang lebih besar. Cuma antara rusuhan di London dan Malaysia, pihak polis London lebih cepat membawa mereka yang ditangkap ke muka pengadilan, manakala di Malaysia masih meneliti fakta kes. Dan, inilah perbezaan besar sehingga sikap anarki yang ditunjukkan itu bertukar menjadi suatu perjuangan yang mempunyai impak besar kepada pembangkang, menaikkan ego mereka. Di London, semakin sehari semakin ramai mereka yang dikesan melakukan jenayah itu dikesan dan dibawa ke muka pengadilan.

Apabila lambat mengambil tindakan undang-undang, maka semakin banyak keburukan kerajaan akan dijadikan bahan provokasi dan seterusnya mengheret kepada pemesongan fakta yang kurang tepat, yakni dari kesalahan melakukan perhimpunan haram kepada kezaliman pihak polis. Itulah yang terjadi ketika ini, media baru telah berjaya membangkitkan cognitive surplus dan tokoh tambah itulah sebenarnya telah menyebabkan pengurusan persepsi rakyat menjadi semakin sukar. Meskipun kerajaan terus melancangan perang di alam siber, strategi dan teknik perang propembangkang lebih memberikan kesan, mendapat jumlah hit yang tinggi.

Mereka memang amat mengharapkan kesan yang lebih besar berbanding perhimpunan Bersih 1.0 yang beberapa bulan sebelum pilihan raya ke-12 diadakan. Pilihanraya umum ke-14 bakal berlangsung kurang 24 bulan menurut jangkaan—momentum itu akan memberikan harapan mencapai kemenangan dan mampu merampas kuasa pentadbiran negara.

Yang menariknya, Britain sudah mula memikirkan kesan buruk ICT – telefon pintar dan laman sosial, sedangan Malaysia sejak kemunculannya lagi sudah mengambil lakah berjaga-jaga. Jika cadangan mengharamkan telefon pintar dikuatkuasa, maka tentunya Britain akan menjadi negara yang amat takut dengan tindakan oleh rakyatnya sendiri. Britain tentunya akan menggubal undang-undang untuk menyekat atau mengharamkannya, tetapi di Malaysia, ia masih boleh dikesan kerana persiapan undang-undang telah pun disediakan sejak mendapat petunjuk akan adanya masalah jika penggunaan alatan tersebut diberikan kebebasan tanpa had.

Pada pendapat saya perhimpunan kali ini akan menjadi medan tunjuk perasaan anti kerajaan yang di lihat akan memberi impak besar kepada sosioekonomi jika tidak di bendung dengan lebih awal. Persoalannya adakah kita sudah bersedia menghadapi cabaran ini ? Apakah peranan ahli politik kita ? Apakah peranan media ? Adakah Bersih ini cukup Bersih ?

Monday, August 24, 2015

Bangsatkah bangsa Melayu ?

Pernahkah kita mendengar, terbaca atau melihat orang Melayu menghina agama-agama lain melalui perilaku yang biadap, kurang sopan atau sebagainya? Melayu cukup hormat akan pegangan atau kepercayaan orang lain.

Persoalannya adakah Melayu hanya mahu dan mampu berdiam diri sahaja sekiranya perbuatan-perbuatan biadap terus berlaku dan berleluasa sehingga sampai ke tahap 'cacing cucuk ke mata' atau 'si kaduk naik ke junjung'?

Selain Melayu dan agama Islam dihina, juga hak istimewa Melayu dipersoalkan. Apa yang menjadi masalah dengan hak istimewa tersebut atau ketuanan Melayu? Adakah dengan hak dan ketuanan ini, bukan Melayu merempat dan menjadi hamba? Malah siapa yang lebih hebat hari ini, Melayu yang bergelar tuan atau Cina yang bergelar hamba?

Fakta sejarah jelas membuktikan bahawa Malaysia sebelum ini dikenali dengan Tanah Melayu. Setelah dijajah oleh kuasa asing khususnya British melalui dasar pecah dan perintah serta dasar ekonomi British, Melayu dipinggir dan terpinggir daripada arus kemajuan terutamanya dalam bidang pendidikan dan ekonomi. Kaum asing dibelai dan dibantu manakala Melayu dibiarkan seperti pepatah kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kehausan.

Sekian lama hak Melayu lebih kurang 500 tahun bukan sahaja dinafikan bahkan dirampas. Salahkah sekiranya hak tersebut dikembalikan secara berperingkat tanpa sedikit pun merampas milik orang lain?

Ramai orang bukan Cina, terutamanya bumiputera, melihat sokongan kaum Cina kepada Pembangkang lebih merupakan sokongan kepada pemerkasaan kuasa politik orang Cina melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP)bagi menghakis dan seterusnya menghapuskan apa-apa sahaja keitimewaan bumiputera seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia.

Corak pengundian kaum Cina dan dasar DAP yang dilihat anti segala-galanya yang membabitkan kepentingan bumiputera dan agama Islam merupakan satu petunjuk jelas bahawa sudah wujud gelombang mahu memperkasakan kuasa kaum Cina dalam politik setelah mereka menguasai ekonomi.

Siapakah dipersalahkan jika ada yang menganjurkan slogan 1 Melayu 1 Bumiputera sebagai jawapan kepada pengundian bercorak perkauman sebahagian besar kaum Cina hari ini?

Saya selalu bertanya mengapa bila orang Melayu bercakap soal hak pribumi maka ia dianggap sebagai perkauman, tetapi apabila kaum Cina bercakap soal sekolah Cina, bahasa Cina dan ekonomi kaum Cina tidak dianggap perkauman?

Apakah kempen-kempen politik DAP yang mempertikaikan konsep perkongsian kuasa kerana dipimpin oleh orang Melayu bukan merupakan satu kempen perkauman? Malangnya tiada pula ada akhbar-akhbar milik kaum Cina menganggap kenyataan DAP tersebut sebagai kenyataan berbaur perkauman.

Mengapa apabila ditubuhkan Perkasa maka ia dianggap pertubuhan perkauman, namum ratusan pertubuhan lain yang bersandar dan bertunggakkan kepentingan kaum Cina tidak dianggap perkauman oleh akhbar-akhbar yang dikuasai oleh kaum Cina?

Apakah bukan satu sikap perkauman apabila ada kaum Cina yang menggesa dan mendesak bahasa Melayu dijenamakan semula sebagai bahasa Malaysia? Kononnya, nama bahasa Melayu bersifat perkauman dan menyebabkan mereka merasa tidak selesa dan serasi untuk belajar dan bercakap. Mungkin suatu hari nanti apa sahaja ikon kebangsaan yang ada nama Melayu mahu dihapuskan atas alasan tidak mencerminkan konsep 1 Malaysia.

Jika gerakan ini bertujuan menyatupadukan orang kaum Bumiputera demi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam, maka ia tidak harus dianggap agenda perkauman. Ia harus dianggap sebagai satu perjuangan yang sah dan mulia. Namun jika ia bertujuan menyatukan kaum bumiputera bagi tujuan menindas dan menghancurkan kaum Cina maka konsep ini harus dianggap perkauman dan ditentang sehabisnya. Saya sendiri tidak akan bersetuju dengan sebarang konsep menindas dan menghancurkan kedudukan kaum lain.

Ramai juga yang tertanya-tanya apakah kumpulan-kumpulan NGO yang sering menggunakan konsep 1 Malaysia untuk mendesak penghakisan hak-hak bumiputera bukan merupakan satu tindakan perkauman? Mengapa orang Melayu sering dianggap perkauman bila bercakap soal penyatuan Melayu sedangkan kaum lain boleh sahaja bercakap soal penyatuan mereka tanpa bantahan orang Melayu? Bangsatkah bangsa Melayu ?


Saturday, August 22, 2015

Anak Kecil Main Api

Semalam apabila mendengar lagu anak kecil main api di program Gpms saya teringat senikata lagu anak kecil main api yang di tulis oleh Dato Dr Nordin Kardi "Melayu kan gagah di nusantara" yang menusuk hati saya .Dato Dr Nordin Kardi pernah menjadi moderator semasa pembentangan saya dan sahabat-sahabat semasa di UiA dahulu semasa program PAT di sana. Saya telah membentangkan tajuk "Peranan Media Sosial dalam Samudera Biru" dan menekankan kepentingan anak bangsa dalam menguasai bidang ini. Baru-baru ini PM sekali lagi menekankan kepentingan media sosial dalam mempertahankan dasar kerajaan. Adakah seruan ini hanya sekadar dendangan tidur? Saya tidak mahu menangguk di air yang keruh kerana Melayu memang mudah lupa. Tidak mungkin seorang ketua tak kira semut hitam atau semut api sahaja dapat menangkis fitnah ini tanpa bantuan barisan semut yang lain.Mana semangat soladariti seperti setiakawan dalam semut? Adakah semut api Melayu mudah lupa?

GPMS Negeri Melaka telah memberi watikah pelantikan Datuk Hajah Mas Ermieyati Samsudin Timb Menteri Pelancongan dan Kebudayaan sebagai panel penasihat Gpms Negeri kerana sumbangan beliau dalam pembangunan belia dan ingin berkongsi idea dan sumbangan untuk menaikkan perjuangan pendidikan anak bangsa. YB Datuk Hjh Mas Ermieyati yang saya kenali dulu adalah Ketua Puteri Umno Melaka , Setiausaha Perhubungan Negeri dan kini menjadi Ketua Puteri UMNO Malaysia merangkap Timb Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Saya pernah membantu beliau di program Konvensyen Media Sosial bersama SMMK , semasa bertanding ahli parlimen dan KPUM.Pada pandangan saya beliau seseorang yang gigih , amanah dan rajin dalam melakukan sebarang tugasan. Harapan saya agar beliau pegang pada azimat lagu anak kecil main api agar Melayu terus gah di Nusantara agar anak bangsa terus maju ke hadapan.

Tidak siapa yang dapat menyangkal bahawa Melayu sekarang ini berada dalam kedudukan yang agak kritikal baik dari segi sosial, ekonomi dan politik. Statistik khusus tidak dapat di ajukan namun secara kasar nya ianya dapat di lihat dan di rasai oleh kita sendiri.

Dari semua sudut Melayu itu terus tertekan. Keruntuhan kaum Melayu tidak dapat tidak seharusnya sudah di jangka tetapi sehingga hari ini isu kemerosotan Melayu dalam semua bidang dalam negara ini masih tidak di maklumkan secara terbuka kerana isu ini amat sensitif untuk di bahaskan.

Namun mungkin Melayu sahaja yang merasakan perlu untuk isu sensitif ini di jaga tetapi kaum lain sudah mula mendesak pelbagai kemudahan sehingga adakalanya mereka tersasar dengan mempersoalkan hak dan keistimewaan orang - orang Melayu.

Adakalanya kita agar runsing dengan persoalan mereka yang merangkumi persoalan tentang agama Islam khususnya persoalan - persoalan seperti hukum murtad yang di katakan sebagai mencabuli hak individu Islam sehingga di label hukum tersebut sebagai satu hukum yang jahil dan secara langsung menghina Islam itu sendiri. Itu mungkin di lihat sebagai remeh tetapi isu ini melanggari integriti Agama Islam itu sendiri dan sekiranya isu ini di jawab maka ianya mungkin akan berlarutan sehingga memecah belahkan perpaduan kaum. Justeru itu Melayu sendiri khususnya kepimpinan yang sedia ada merasakan bahawa perpaduan kaum itu penting sehingga terpaksa menelan bulat - bulat kritikan mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap hukum syarak agama Islam.

Kita harus mengkaji dan melihat peranan yang di mainkan oleh organisasi Cina khususnya pertubuhan bukan kerajaan, parti - parti pembangkang Cina dan media - media Cina yang tidak terikat membicarakan isu - isu tuntutan yang secara jelas mahu menghakis pegangan dan hak keistimewaan Melayu itu sendiri. Mereka berani dan di lihat sebagai tidak sensitif terhadap perasaan orang - orang Melayu. Apa yang kita mampu lakukan hanya mencabar agar mereka supaya jangan bermainkan api tetapi tidak langsung meneliti asal usul keberanian mereka yang kini se olah - olah berani memijak kedaulatan dan maruah bangsa Melayu.

Siapa yang harus di salahkan, di mana perjuangan bangsa?

Bagi pembangkang dan mereka yang memegang ideologi pembangkang, kerajaan harus di salahkan dan kesalahan ini merujuk kepada UMNO sebagai nadi pertubuhan orang -orang Melayu yang memegang kuasa politik. Ada pula antara pendapat yang mengatakan bahawa Melayu sendiri harus di persalahkan atas kemunduran mereka sehingga kaum lain mampu mengatakan apa sahaja. Sememang nya isu mencari siapa yang salah itu penting agar kesalahan itu tidak berlaku lagi lalu dapat di bendung serta di ambil langkah - langkah baru yang bersesuaian untuk memartabatkan kembali bangsa Melayu itu. Namun asas yang perlu bagi kita adalah kesedaran. Kesedaran ini perlu untuk kita menarik nafas yang panjang lantas melakukan usaha pembaharuan agar bangsa ini dapat semula bertapak dengan kukuh. Justeru itu bagi menimbulkan kesedaran maka pengetahuan mengenai kedudukan Melayu harus di maklumkan tanpa sekatan biarpun ianya amat memilukan. Jangan pula kita sorokan kebenaran hanya kerana kita mahu rakyat terus tertipu dengan khayalan bahawa Melayu itu bangsa yang utuh dan dominan di Malaysia ini. Jangan kita palsukan hakikat kononnya kita masih memegang kuasa khususnya kuasa politik sedangkan kini kuasa politik bergantung kepada kedudukan ekonomi yang mampu meletakkan tanda harga pada kuasa politik pegangan kita. Kita jangan sorokkan statistik pencapaian Melayu dengan menukar angka - angka yang akan menunjukkan bahawa kita sudah maju dan sudah punyai pegangan kuat politik dan ekonomi sedangkan itu hanya satu pembohongan pada diri yang mampu menjahanamkan bangsa kita sendiri.

Apakah sekiranya statistik, 254,000 penagih dadah dengan peningkatan mendadak setiap jam "statistik Agensi Dadah kebangsaan" yang menjerumuskan majoriti penagih adalah belia Melayu tidak merisaukan kepimpinan negara ini?

Apakah lebih dari 90% industri peruncit negara ini di pegang oleh kaum Cina termasuk perniagaan barang makanan halal tidak merisaukan Melayu itu sendiri.

Apakah kita tidak ketinggalan dengan pegangan majoriti sektor pembinaan, sektor pembekalan peralatan dan bahan bangunan yang di pegang hampir 95 % oleh kaum Cina.

Industri Telekomunikasi seperti telefon bimbit dan lain - lain alat telekomunikasi sungguhpun baru tiba di Malaysia sekitar 8-10 tahun sudah kita di pegang oleh bangsa lain tidak memeranjatkan kita. Contoh terbesar isu Low Yat.

Televisyen yang kini mula di dominasi oleh bangsa - bangsa lain adalah satu hakikat yang perlu di maklumkan untuk menimbulkan kesedaran Melayu itu sendiri.Siapa pemilik Astro?

Adakah pernah kita membuat kajian harta - harta pegangan kaum Cina khususnya dari segi bangunan dan perumahan di bandar - bandar utama berbanding dengan harta - harta Melayu.

Pernahkah kita di sedarkan tentang kemerosotan pegangan tanah rizab Melayu di seluruh negara.

Sebenarnya pelbagai statistik sekiranya di beri oleh kerajaan Malaysia kepada kita untuk di nilai amat merisaukan bangsa kita yang semakin terjejas kehadiran nya di Malaysia. Kita dapat melihat sekeliling kita industri besar yang di pegang oleh kaum lain khususnya Cina berbanding dengan Melayu. Kita dapat lihat sekiranya mahu bahawa Melayu adalah hamba pada pegangan ekonomi yang telah di dominasi oleh kaum lain khususnya Cina dan kini mereka mula untuk menonjolkan kehadiran nya di negara ini.

Siapakah yang sebenarnya khianat pada Melayu? Apakah kita lupa melihat bandar Kuala Lumpur itu sendiri, berapa banyak bangunan yang tergadai terjual kepada usahawan Cina yang mempunyai tempat tertinggi di mata kepimpinan Melayu. Kita lihat kehadiran agensi kerajaan seperti Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) yang kini bergelar UDA Holding Berhad, tanyakan kepada mereka berapa banyak tanah yang telah mereka cagar kan dan jual lantas kini segi tiga emas Kuala Lumpur itu sendiri seakan "China Town" kecuali bangunan UDA yang terletak di Jalan Imbi.

Kita belum meneliti peranan Peladang, FAMA, Nelayan dan beberapa pertubuhan peladang yang sebenarnya memeras ugut petani kecil lantas membenarkan kapitalis membolot kekayaan hanya sebagai orang tengah. Lihat bagaimana mereka memeras petani seperti penternak ayam lalu menyalurkan hasil belian murah mereka kepada peraih - peraih Cina yang menjadi saluran pembekal kepada pasar - pasar besar seperti Giant, Tesco dan Care Four. Di mana orang - orang Melayu yang sebenarnya menjadi penggiat ekonomi tersebut ?

Nelayan adalah satu contoh klasik pemerasan agensi kerajaan ke atas penggiat ekonomi tersebut. Berapa ramai sebenarnya nelayan berbangsa lain di Malaysia ini? Siapa pula yang menjadi pembekal utama sumber ikan di negara kita ini? Siapa pemegang utama menjadi pembekal kepada pasar - pasar utama negara kita ini khususnya pasar 'hyper" . Sekali lagi persoalan yang timbul ialah di mana kedudukan Melayu dalam kerancakan ekonomi negara ini ?

Sebenarnya apa yang berlaku adalah agihan tidak seimbang antara Melayu itu sendiri. Sungguhpun pembuat dasar senantiasa memikirkan kepentingan Melayu tetapi Melayu dalam agensi kerajaan sendiri hanya memikirkan diri sendiri lantas sanggup melakukan apa sahaja untuk diri sehingga mengorbankan Melayu lain. Melayu berada dalam apa yang saya kategori kan sebagai "sakai" dalam ekonomi negara kita ini. Cuma segelintir Melayu yang DIKAYAKAN untuk menjadi pemangkin petunjuk bahawa Melayu itu sudah berjaya di bumi Malaysia. Dengan menjadikan beberapa Melayu yang terpilih menjadi kaya maka indeks keseluruhan pegangan Melayu individu dan kerajaan akan menunjukkan kekuatan palsu MELAYU dalam ekonomi negara .

Baru - baru ini kita telah di gegarkan bahawa kejayaan Barisan Nasional mentadbir Malaysia adalah melalui perkongsian kuasa antara kaum di negara ini. Sungguhpun begitu setakat hari ini kejayaan perkongsian kuasa itu di lihat dari segi pembangunan fizikal negara dan bagi saya adalah selama mana kita masih hidup harmoni dari tarikh 13 Mei 1969. Perkongsian kuasa dalam erti yang sebenarnya tidak wujud bagi kaum Cina dan kaum - kaum lain di Malaysia. Apa yang ada hanya satu gimik pilihan raya yang mahukan undi dari bangsa lain kepada Barisan Nasional termasuk UMNO yang kini merosot secara mendadak sokongan orang - orang Melayu terhadap partinya. Dalam erti kata yang lain undi Cina amat di perlukan bagi membolehkan Melayu terus hidup dengan sebilangan kecil kepimpinan tertinggi memegang kuasa politik. Ini sebenarnya tidak dapat di sangkal oleh kerajaan memerintah dan sekiranya kita lihat perpecahan politik antara kaum Cina - MCA dan DAP, maka peratus perpecahan ideologi politik mereka amat kecil berbanding dengan peratus perpecahan dari sudut ideologi politik Melayu yang merangkumi UMNO-PAS dan KEADILAN. Sebenarnya ini sepatutnya menggerunkan kita.

Kita juga dapat melihat dari bahawa penyandang jawatan penting politik dari Setiausaha Politik, Timbalan Menteri dan Menteri memang sudah terbahagi dan peningkatan kaum - kaum lain kini semakin subur dalam politik negara ini. Kesuburan kehadiran mereka memang menunjukkan penyatuan dalam pemerintahan tetapi asas nya masih sama - pemberian hak politik kepada bangsa - bangsa lain di buat berteraskan perkongsian kuasa yang menjerumus kepada pemberian kuasa orang - orang Melayu tanpa pulangan yang menguntungkan kita.

Melihat dari sudut yang lain pula, apakah ada keseimbangan perkongsian kuasa politik dengan ekonomi dalam negara ini. Apakah berlaku peratusan yang sesuai dalam kita mengorbankan kuasa politik dan mereka mengorbankan kuasa ekonomi? Apakah mereka dalam industri - industri besar sanggup menerima kontraktor - kontraktor Melayu atau semestinya mereka mendahulukan bangsa mereka yang mereka anggap lebih berkaliber dalam melakukan sesuatu kerja kontrak.

Bagi memudahkan andaian, rumah banglo untuk orang Cina di siapkan oleh kontraktor Cina dan rumah banglo orang - orang Melayu turut di siapkan oleh orang - orang Cina. Kenapa, kualiti kerja ? Mungkin tetapi peluang langsung tidak di berikan sehinggakan kontraktor kecil bumiputera tersebut terus melukut di tepian gantang. Yang lebih menyepikan kita adalah barangan kontrak pembinaan, sekiranya kontraktor Melayu yang di lantik harus merujuk kepada "hardware" bangsa Cina yang mendominasi perniagaan tersebut.

Siapa pula yang berani menyangkal bahawa sekarang ini kuasa politik di pegang oleh dalang - dalang yang mempunyai kekuatan ekonomi? Seperti yang telah saya katakan sebelum ini kekuatan ekonomi dapat meletakkan tanda harga pada kuasa politik yang di pegang oleh orang - orang Melayu. Apakah ini satu kenyataan palsu atau sebenarnya kalau kita lebih terbuka berdiskusi mengenainya maka kita ketahui bahawa rasuah adalah alat yang menjadi kuasa sebenar bagi membeli kuasa politik negara ini. Siapa pula yang jadi majoriti perasuah dalam negara ini? Kita belum mengkaji atau mendapatkan statistik menyeluruh tetapi dari pengamatan kita, siapa yang sering di tangkap sebagai penerima rasuah dan siapa pula yang menjadi pemberi nya.


Majoriti penagih dadah yang berada di Pusat Pemulihan adalah dari belia - belia Melayu. Melayu ?

Majoriti mereka yang menerima rasuah sekiranya di amati secara terbuka tanpa statistik khas adalah orang - orang Melayu. Melayu ?

Apakah sebenarnya masalah orang - orang Melayu, apa kah sebenarnya masalah pemimpin - pemimpin Melayu?

Sebenarnya jawapan kepada beberapa persoalan di atas ada kepada kepimpinan Melayu itu sendiri. Kepada siapa projek - projek di salurkan dan kepada siapa di beri kontrak - kontrak mereka juga yang tahu. Kedudukan Melayu dalam politik serta bagaimana hambanya Melayu kepada ekonomi negara ini, mereka juga yang tahu. Perkongsian politik yang di berikan, mereka juga yang tahu mengapa.

Apakah mereka menjual bangsa mereka sendiri? Apakah Melayu tidak mampu, atau sebenarnya mereka yang di beri peluang untuk maju adalah mereka yang akan memajukan individu yang memegang kuasa politik. Sebenarnya di mana kesalahan kita kalau kita bandingkan dengan pemegang lesen komunikasi CELCOM yang kini merosot berbanding dengan pemegang lesen Maxis yang kini subur sungguhpun CELCOM adalah syarikat pertama memegang lesen tersebut. Apakah tidak langsung kita kaji mengenai individu yang menjadi tunjang utama dalam CELCOM sebelum penjualannya. Mungkin tidak salah kalau saya katakan - Melayu itu adalah antara Melayu yang terbodoh di dunia ini. Begitu juga Syarikat Penerbangan Malaysia MAS berbanding dengan Syarikat Penerbangan Air Asia. Apakah tidak boleh sekali lagi saya katakan bahawa Melayu yang menunjangi MAS sebelum "bail out" kerajaan adalah Melayu yang terbodoh di dunia.Siapa CEO MAS sekarang?

Tanyakan pula kepada Melayu - Melayu yang menjaga kutipan TOL, apakah syarikat mereka mempunyai hasrat untuk membangkitkan mereka dengan memberi kemudahan pembelajaran, kursus dan sebagainya untuk menjamin masa depan mereka atau syarikat yang telah untung berbillion tersebut lebih rela melihat anak - anak Melayu menghulur tangan mengutip tol.

Terlampau banyak persoalan dan terlampau banyak yang boleh di lakukan - cuma apabila diri mendahului segala nya - di tambah dengan ketamakan - maka di gadai nya bangsa. Dan satu pesanan khusus saya - Parti Keramat martabatkan bangsa dan jangan menggadai nya.

Mohd Saifullah Bin Dolmat
Setiausaha Gpms Negeri Melaka




Kelas Pengajian Silat

Gpms Bandar Melaka bersama Gerak Insan Seni (Perguruan Ranting Ayahanda Tuan Guru Yahya) menganjurkan kelas silat setiap hari Selasa malam untuk anak-anak qariah di Melaka. Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi / whatsup Ustazah Masita di 013-6421944/ Saifullah 0172968316 atau inbox Ustazah Masita atau Sekretariat Gpms Bandar Melaka.


Tuesday, August 11, 2015

Masalah Politik Sate Melayu

"Dato' telah membuat satu keputusan yang sangat bernas, pelik mengapa orang lain tidak dapat memikirkan seperti yang Dato fikirkan"

"Saya kira Dr adalah orang yang paling berautoriti dalam bidang ini, apa yang Dr cakap adalah hujjah utama kami"

"Boss, cekap betul boss menyelesaikan masalah tadi, kami tak sangka hal yang amat rumit nampak begitu mudah bila boss bagi penyelesaian"

Ini mungkin segelintir bentuk pujian yang dilontarkan kepada tokoh ilmuan Islam, tokoh politik, ahli akademik, ketua syarikat dan lain-lain. Adakah pujian ini dibenarkan oleh Islam dibuat secara terbuka di hadapan individu terbabit?

Saya berkongsi sedikit pandangan berkenaan bahaya sangka buruk jenis dosa yang semakin membiak di dalam masyarakat kita. Namun begitu, sebenarnya masih banyak isu dan fakta berkaitan sangka buruk yang belum sempat untuk saya kongsikan.

Isunya adalah puji memuji, apakah pandangan Islam untuk kita mmeuji seseorang di hadapannya?. Apakah pula bezanya dengan membodek dan pujian

Diriwayatkan dalam sebuah hadis :-

عَنْ أبي مُوسَى قال سَمِعَ النبيُّ رَجُلاً يُثْني عَلَى رَجُلٍ ويُطْرِيه في المِدْحَةِ فقال أهْلَكْتُمْ أوْ قَطَعْتُمْ ظَهْرَ الرَّجُلِ

Ertinya : Rasulullah s.a.w mendengar seorang lelaki memuji lelaki lain dan berlebih-lebih dalam pujiannya maka Rasulullah s.a.w : Kamu telah merosakkannya dan telah memotong belakangnya (seolah-olah) " ( Riwayat Al-Bukhari, no 2663

Sekali baca kelihatan kita ditegah sama sekali untuk memuji sesorang di hadapannya. Namun Imam Badr Al-Aini ketika menghuraikan hadis ini menyebut pujian yang "memotong belakang" itu adalah dalam konteks seseorang terlalu berlebihan dalam pujiannya sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang yang dipuji sehingga menyebabkan datangnya sifat ‘ujub dalam diri, merosakkan hati, menghancur keikhlasan dan merasa diri benar lagi hebat sentiasa. Padahal realitinya tidak sedemikian

Perkara ini dalam kata lainnya adalah 'membodek'. Ia kerap berlaku kepada orang berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan keduniaan. Justeru jika anda memegang jawatan penting, pemutus keputusan di syarikat atau organisasi, anda perlu berhati-hati kerana akan muncul ramai pemuji dan pemuja yang boleh bertujuan 'bodek'. Kali ini sangka buruk dalam hal ini perlu atas nama berhati-hati dan beringat. Namun bukan semua akan demikian, mungkin segelintirnya akan memuji dengan benar.

Pujian melampau jenis ‘bodek' bukan sahaja boleh dibuat melalui ungkapan lisan malah ia juga dibuat melalui pergerakan fizikal seperti cium tangan dan sebagainya. Hasilnya, orang yang diperlakukan sedemikian boleh diuji dengan hebat sehingga mereka akan menjadi seorang yang menyangka superior atas segala sesuatu, terbijak, paling berpengaruh dan lain-lain. Sehingga tiada lagi proses peningkatan perlu dibuat. Inilah yang pernah memerangkap perasaan bekas Perdana Menteri, beliau sendiri mengakuinya banyak kali, terbaru di dalam web beliau apabila beliau mengatakan :-

"Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan.: ( rujuk http://www.chedet.com/)

Bekas perdana menteri terangkap dengan pujian dan gerakan sokongan orang di sekelilingnya. Kebanyakan mereka yang memuji bukan 'pujian sebenar' namun hanya dibuat kerana kepentingan diri masing-masing. Agar dilihat taat, orang setia dan lain-lain.

Ini biasa berlaku bagi orang berjawatan. Lihat sahaja boss di syarikat anda bekerja, sudah tentu ada yang 'kipas' di dalam mesyuarat, di luar mesyuarat dan lain-lain. Sehingga adakalanya keputusan yang 'TIDAK BIJAK' dilihat bijak akibat bodekan dan pujian palsu ini. Selepas si boss tiada jawatan baru akan diketahui pujian itu hakiki atau palsu semata-mata. Inilah yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri.

Budaya 'kipas' dan 'bodek' ini tidak lain kecuali satu tindakan yang haram di sisi Islam dan ia ternyata dari hadis di atas. Yang mana ia pasti membawa kesan buruk kepada penerima 'bodekan'. Malah kesan buruk itu bukan sahaja terhenti kepada orang yang di'bodek' malah seluruh organisasi akan terkesan. Sudah tentu, apabila keputusan yang salah terus dipuji dan disokong kerana 'bodek', akhirnya memudaratkan masyarakat, organisasi.

Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar. Ia tidak jatuh dalam kategori 'bodek' tapi ia masih mempunyai kebahayaan yang mendalam kesannya. Sebuah hadis berbunyi :-


احثوا التراب في وجوه المداحين

Ertinya : Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji ( Abu Daud, no 4170 )

Sebahagian para ulama mentakwilkan maksud hadis ini kepada pujian kepada yang tidak layak , dan mengada-adakan yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar sentiasa, juga merasa hebat. (Umdah al-Qari, 22/132 )

Imam Al-Khattabi ketika menghuraikan hadis di atas berkata :-


فَأَمَّا مَنْ مَدَحَ الرَّجُل عَلَى الْفِعْل الْحَسَن تَرْغِيبًا لَهُ فِي أَمْثَاله وَتَحْرِيضًا لِلنَّاسِ عَلَى الِاقْتِدَاء بِهِ فِي أَشْبَاهه , فَلَيْسَ بِمَدَّاحٍ

Ertinya : Barangsiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka ia TIDAKLAH TERMASUK dalam kategori "maddah" iaitu yang pemuji terkeji" ( Ma'alim as-Sunan)

Pengajaran dari hadis sudah tentu jangan terlalu banyak memuji orang dihadapannya walalupun pujian itu adalah BENAR DAN IKHLAS kerana ia tanpa disangka boleh membawa perasaan lupa diri, dan menghilangkan ikhlas dalam kerja-kerja yang dilakukannya. Kerana itulah sebuah hadis sohih menyebut :-


سمع النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ رجلًا يُثنى على رجل ويُطْرِيهِ في المِدْحَةِ، فقال أهلكتم ـ أو قطعتم ـ ظهر الرَّجل

Ertinya : Musa Al-Asyaary berkata : Rasulullah mendengar seorang lelaki memuji seorang lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu telah memotong diri lelaki tersebut" ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, tidak boleh dinafikan Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam situasi-situasi tertentu dan kepada individu tertentu. Situasi tertentu seperti :-

a- Orang yang kehilangan keyakinan diri dalam buat perkara baik. Tatkala itu, kita ungkit kebaikkan tindakannya untuk beri kembali semangat dan ada orang yang menghargai kerja baiknya.

b- Orang yang melakukan tugasan kebaikan yang sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala itu, boleh diberikan pujian atas keberaniannya dan berniat agar ia mampu dicontohi oleh orang lain.

c- Individu yang layak dicontohi dan diyakini punyai kekuatan iman yang baik dari tergoda dengan sifat ‘ujub (ta'ajub dengan kehebatan diri). Tatkala itu, harus memujinya dengan pengetahuannya. Tujuan utama agar orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan role model dan contoh ikutan. Hal ini jelas adalah nabi s.a.w memuji secraa terangan beberapa sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai ( Aminul Ummah ) individu yang paling jujur dari umat Muhammad, dan pujian kepada Umar al-Khattab r.a :


لو سلك عمر بن الخطاب طريقاً لسلك الشيطان طريقاً آخر

Ertinya : Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain ( kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya') ( Riwayat Al-Bukhari)


Dan juga sebuah lagi hadis :-

ما طلعت الشمس على رجل خير من عمر

Ertinya : Tiadalah terbitnya matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat dari Umar " ( Riwayat Al-Hakim, 3/96 ; Sohih isnadnya)


Hadis ini bersifat simbolik menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar r.a kepada umat Muhammad s.a.w. Sebenarnya terlalu banyak hadis-hadis yang menunjukkan pujian baginda kepada para sahabatnya terutamanya sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.

d- Kanak-kanak dipuji oleh guru dan ibu bapanya bagi merangsang minda dan keyakinan diri si kanak-kanak.

e- Pemimpin yang telus, adil, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t dengan kadar sederhana.

Walaupun semua jenis pujian dalam beberapa situasi seperti ini dibenarkan, si pemuji tidak tergolong dalam kategori yang dilarang oleh Islam. Satu lagi ingatan Nabi s.a.w bagi orang yang ingin memuji adalah :-

إن كان أحدكم مادحًا أخاه لا محالة فليقُل: أحْسَب كذا وكذا إن كان يَرى أنه كذلك، وحَسِيبُه الله، ولا يُزكِّي عَلَى الله أحدًا

Ertinya : Sekiranya ada dari kalangan kamu ingin tidak dapat untuk mengelak dari perlu memuji saudaranya, maka katakanlah : "Aku rasa akan dikira amalan sekian sekian yang dilakukannya..dan Allah akan mengiranya, dan tiadalah seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah.

Seterusnya terpulang kepada orang yang dipuji untuk mengawal perasaan dalamannya agar menerima pujian dengan segera mengembalikan kepada izin Allah dan kuasaNya. Justeru, perisai ini akan dapat menghalang dirinya dari merasakan itu kehebatan yang diusahakannya semata.

Sebagai diajar oleh para sahabat Nabi apabila mereka dipuji, mereka akan terus berdoa secara rendah diri dengan doanya :-

اللهم لا تؤاخذني بما يقولون ، واغفر لي مالا يعلمون (واجعلني خيراً مما يظنون)

Ertinya : Ya Allah janganlah kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka, dan ampunkankan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (jadikanlah daku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan) (Riwayat Abi Syaibah, no 35703, 7/242 ; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)

Sehebat-hebat Nabi s.a.w yang berjaya membuka Mekkah pun tunduk dan menyerahkan pujian kepada Allah, dan demikian juga Zulqarnain sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Kahfi, kejayaannya membina tembok hebat dan kukuh dikembalikan kepada Allah.

Namun demikian, orang yang dipuji janganlah pula terlalu merendah diri secara salah sehingga mencerca diri secara terbuka apabila dipuji orang ramai. Ia tidak diperlukan, jika ingin menewaskan perasaan ujub di hati, cercalah diri secara sendirian.

Jangan juga tiba-tiba berterus terang menyebut diri tidak ikhlas atau apa jua yang merosakkan kepercayaan orang kepada diri.

Jangan pula berlebihan membawa kisah pujian kepada ramai orang lain kerana ia boleh membawa satu penyakit lain di kalangan pendengar pula iaitu HASAD DENGKI.

Jangan juga mengambil pujian itu secara serius dan berhasrat mendapatkannya lagi. Kerana sekali ia terbuku di hati sedemikian, ia akan merosakkan niat dan melemahkan kerja amal kepada pemburuan pujian manusia yang sementara.

Akhirnya, apabila tiada lagi pujian, tamatlah juga usaha kita. Lebih bimbang, usaha berterusan tapi tamatlah catatan amal dan pahala di sisi Allah kerana dilakukan kerana manusia. Nauzubillah.

Bukan juga niat saya untuk motivasikan anda untuk terus dan asyik memuji tanpa memikirkan kebahayaan kepada diri yang dipuji dan diharap turut fikirkan orang lain yang mendengar dan membaca pujian-pujian, ada yang mudah jadi cemburu secara tiba-tiba.

Terus terang, dalam dunia internet ini terdapat ramai bloggers yang kerap dipuji sehingga menimbulkan cemburu di sisi pembaca lain atau bloggers lain yang kurang popular. Ini menyebabkan ada kalangan mereka yang menghantar kecaman, kutukan kepada bloggers merosakkan minda dan kemampuan di bloggers menghasilkan tulisan yang baik. Bayangkan, sampai begitu sekali !!.

Akhirnya, benar terdapat nas yang menyebut bahawa pujian dan nikmat yang diperolehi oleh amalan solehnya seseorang (tanpa ia berniatkan untuk mendapat pujian) adalah merupakan satu nikmat awal dari Allah untuknya, namun kita perlu teringat bahawa terdapat individu yang telah menikmati pujian atas amalan baiknya di dunia ini mungkin akan terlepas dari pulangan nikmat di akhirat. Demikian intipati kata-kata khalifah Abu Bakar yang bimbang nikmat awal di dunia akan menghalang nikmat di akhirat. Itulah akibat terselit keinginan pujian dunia semasa lakukan amal soleh. Demikian berhati-hatinya Abu Bakar as-Siddiq. Allah Akbar !

Tidak dinafikan sedikit-sedikit penghargaan dan pujian perlu untuk merangsang terus menulis secara percuma, bekerja dan beramal untuk ummah, namun ia perlu dilihat secara berhati-hati.

Semoga Allah memelihara kita semua dari tersalah guna pujian yang sebenarnya manis buat hati untuk terus berjuang memartabatkan Islam.

Belajar terus Belajar.


Monday, August 10, 2015

Relevankah Parti Keramat di kuburkan ?

Walaupun sebagai orang kecil saya terpanggil untuk memperkatakan sesuatu mengenai UMNO. UMNO ingin berubah. Itulah yang dinyatakan sendiri oleh pemimpin-pemimpinnya. Untuk itu, UMNO hendaklah melihat kemerosotan sokongan dalam pilihan raya yang lalu sebagai satu amaran bahawa sokongan terhadapnya adalah ‘bersyarat’. Ia boleh luntur sekiranya parti itu mengabaikan pembinaan kekuatan nilai-nilai teras yang menjadi tunggak jati diri Melayu-Islam seperti amanah, jujur dan lain-lain, juga gagal menyelesaikan masalah kos sara hidup masyarakat bawahan.

Apa yang menimpa parti Kongres di India, Golkar di Indonesia, LDP di Jepun, Koumintang di Taiwan perlu dijadikan iktibar, bahawa walau betapa besar sekalipun jasa sesebuah parti namun ia tetap ditinggalkan oleh rakyat sekiranya gagal memenuhi aspirasi dan tuntutan terkini generasi kemu. Dalam konteks yang sama sejarah UMNO sendiri menunjukkan bahawa ia boleh tergugat bukan kerana ‘kekuatan’ lawannya, tetapi kerana kelemahannya sendiri. UMNO perlu bermuhasabah secara jujur – mengakui kelemahan-kelemahan yang ada dan memulakan langkah terancang untuk menjadi ‘role model’ parti yang integriti dan kompetensi.

UMNO masih punya peluang untuk memimpin bangsa Melayu membina kekuatan dalaman (iman dan perpaduan) dan kekuatan fizikal (ekonomi, politik dan teknologi). Dunia yang semakin global, mendesak manusia menjadi semakin tribal – kesedaran untuk mempertahankan identiti bangsa, negara dan agama masing-masing semakin meningkat. Sikap terlalu ‘asyik’ dengan perancangan menjadi maju tanpa mempedulikan pembinaan semangat patriotik, kasihkan bangsa dan cintakan agama akan hanya meninggikan tempat jatuh. Kebimbangan ini sangat berasas justeru masalah sosial di kalangan remaja, jenayah di kalangan masyarakat bawahan, rasuah di kalangan orang atasan adalah akibat langsung daripada runtuhnya nilai-nilai teras itu.

UMNO mesti memberi tumpuan yang lebih untuk mempertahankan semangat cintakan agama, bangsa dan negara tanpa mengorbankan tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan teknologi. Memahami cabaran luaran dan memantapkan kekuatan dalaman adalah satu kewajipan buat UMNO demi meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu dan survival negara dalam era globalisasi. Sikap ‘think global but act local’ (pemikiran bertahap global tetapi bertindak berdasarkan keadaan dan kepentingan bangsa dan negara sendiri) harus ada dalam diri pemimpin dan ahli-ahli UMNO.

UMNO perlu sedar bahawa orang Melayu-Islam kini inginkan sesuatu yang lebih ‘advance’ selaras dengan perkembangan dan cabaran mutakhir. Bangsa Melayu inginkan pakej ‘2 in 1’ – pembangunan dan kerohanian bersepadu – untuk memelihara nilai teras (agama), jati diri (bangsa) tanpa mengorbankan keselesaan hidup (pembangunan) yang diperlukan oleh setiap manusia. Untuk memenuhi tuntutan ini, UMNO harus bersikap proaktif yakni tidak bertindak semata-mata untuk menyaingi parti pembangkang. Sebaliknya UMNO mesti realistik dalam menilai situasi terkini dan bertindak sesuai dengan kedudukannya sebagai parti pemerintah untuk semua kaum di Malaysia. UMNO tidak perlu cuba menonjolkan sesuatu yang lebih drastik dan agresif agar kelihatan lebih ‘Islam’, lebih ‘racist’ atau lebih ‘humanis’ dari parti politik yang lain.

Apa yang perlu ialah ahli dan pemimpin UMNO mesti membina keperibadian, karektor dan akhlak yang lebih murni berteraskan ajaran Islam; lebih komited membela bangsa dan negara berasaskan sifat amanah; lebih ‘competent’ berkhidmat dengan ilmu dan kepakaran terkini; lebih diplomasi dan toleran menghadapi perbezaan berasaskan semangat perpaduan sejati. Tegasnya UMNO mesti dilihat dan diyakini – to be seen and to be believed – sebagai wadah golongan profesional beragama di Malaysia. Imej Islam yang harus ada pada UMNO adalah bersih, progresif, dinamik, inovatif, konsisten, kreatif dan profesional.

UMNO harus sedar, bahawa tahap penghayatan, kefahaman serta keghairahan golongan menengah Melayu terhadap Islam telah semakin meningkat. Hal ini bukan sahaja perlu diikuti perkembangannya, bahkan UMNO perlu bertindak pro-aktif untuk menyediakan satu model Islam yang lebih komprehensif dan holistik untuk diterima oleh rakyat. Tahap ilmu dan amalan Islam golongan ini yang semakin meningkat memerlukan setiap ahli UMNO lebih-lebih lagi para pemimpinnya turut mempertingkatkan akhlak dan amalan Islam mereka. Selaras dengan misi menerajui Islam progresif dan dinamik UMNO mesti berada setahap tinggi berbanding orang yang hendak mereka pimpin.

Langkah ini bukanlah sesuatu sukar bagi UMNO, sekiranya ahlinya faham sejarah perjuangan UMNO sendiri yang berkait-rapat dengan Islam. Ramai ulama dan pencinta Islam turut berjuang bersama UMNO ketika menghadapi penjajah Inggeris dahulu. Penjajahan Inggeris telah dapat diatasi bukan sahaja oleh semangat nasionalisme Melayu tetapi yang lebih utama oleh roh perjuangan Islam dalam dada ahli-ahli UMNO. Tegasnya, seruan kembali kepada roh perjuangan asal parti yang dilaungkan oleh pemimpin atasan UMNO, mestilah kembali kepada roh penghayatan Islam yang sebenar.

Untuk itu setiap ahli UMNO perlu meletakkan keredhaan Allah dan beribadah kepada-Nya sebagai misi dan tujuan hidup. Parti hakikatnya adalah ‘vehicle’ untuk melaksanakan niat dan tujuan itu. Sebarang konflik di antara perjuangan parti dan perjuangan mencari keredaan Allah mesti dihindarkan dalam diri setiap pejuang UMNO. Golongan agamawan dalam UMNO mesti merangka satu program latihan dan kepimpinan berasaskan Islam yang mana hasil akhirnya setiap diri akan merasakan ujudnya ‘Pemantau’ dalaman yang menjadikan mereka ikhlas, bersih dan amanah dalam perjuangan.

Masalah penyelewengan, perebutan kuasa dan politik wang berlaku akan dapat diatasi sekiranya setiap anggota mantap nilai-nilai iman dan patuh syariahnya. Tegasnya hanya ‘kuasa’ iman dan syariat Islam sahaja yang akan dapat menghalang ahli-ahli UMNO daripada terus bertelagah sesama sendiri hingga mengorbankan amanah untuk berbakti kepada rakyat. Hanya dengan etika dan disiplin lahiriah sahaja tidak memadai untuk menghalang sepenuhnya hal-hal negatif daripada terus berlaku dalam UMNO.

UMNO perlu sedar, bahawa nilai-nilai daripada penghayatan aspek Fardu Ain sangat penting untuk menyerlahkan kegagahan Islam di bidang fardu kifayah. Hanya rasa takut kepada Allah, dalam diri manusia yang boleh membendung sifat tamak, hasad dengki dan lain-lain sifat negatif. UMNO akan bertambah kukuh sekiranya semua ahlinya dapat melihat satu ‘link’ (pertautan) yang serasi dan bersepadu antara perjuangan menegakkan Fardhu Ain dan Fardhu kifayah. Ulama dalam UMNO perlu menjelaskan bahawa amalan Fardhu Ain yang sebenar akan memberi ketulusan, kekuatan dan kebijaksanaan yang tinggi dalam usaha menegakkan fardu Kifayah.

Solat misalnya, walaupun ia adalah amalan fardu Ain tetapi peranannya bukan untuk mendapat pahala sahaja. Tetapi solat adalah mekanisme pembentukan diri yang cemerlang di tiga dimensi – dengan Allah, dengan manusia dan dengan pekerjaannya. Solat bukan sahaja dapat mencegah perbuatan fasya’ dan mungkar, tetapi mampu melahirkan nilai-nilai murni seperti bersih, menepati waktu, berdisiplin, fokus, cergas, amanah, kreatif, dinamik dan lain-lain dalam perhubungan sesama manusia dan juga perkerjaan seseorang. Jumlah bilangan rukun fikli (perbuatan) yang melebihi bilangan rukun qauli (bercakap) dalam solat itu sendiri menggambarkan bahawa umat Islam perlu lebih banyak berbuat daripada bercakap – maksudnya ‘action oriented’!

Begitulah juga puasa, zakat, haji dan sebagainya – walaupun semuanya amalan fardu Ain tetapi ia memberi kesan lansung kepada soal ekonomi, sosial, budaya dan lain-lain di bidang fardu kifayah. Malah, menifestasi keberkesanan amalan-amalan fardu Ain diukur pada keberkesanan dan kecekapan seseorang Muslim dalam menegakkan amalan fardu kifayah. Bukan itu sahaja, bahkan amalan fardu Ainlah yang memastikan seseorang itu jujur, telus, amanah dan mempunyai lain-lain nilai murni dalam pergaulan dan pekerjaannya. Justeru, jangan dilihat amalan fardu Ain itu terbatas kepada soal personal semata-mata tetapi ia berkait juga dengan soal interpersonal dan keprofesionalan seseorang. Inilah Islam wajah dinamik – yang mensepadukan peranan dan kesan amalan fardu Ain dan fardu kifayah dalam seluruh bidang kehidupan!

Sebab itulah perjuangan Rasulullah saw diasaskan dua peringkat – Makkiyah dan Madaniyah. The consciousness of the Creator’ dan ‘sense of mission’ yang jelas diperingkat Makkah menjadi asas kukuh menegakkan Islam progresif, dinamik dan produktif di peringkat Madaniyah. Jika tidak, kerancakkan membina kemajuan dan pembangunan material akan diganggu oleh keruntuhan nilai-nilai manusiawi sama ada dalam masyrakat atau dalam parti sendiri!

Untuk itu juga, institusi Islam dalam UMNO dan kerajaan juga perlu lebih kreatif, inovatif dan produktif untuk melaksanakan aspirasi Islam sebenar. Individu-individu dalam institusi itu harus sedia dan terbuka untuk berbincang, menegur dan ditegur untuk mendapat pendekatan terbaik mengenengahkan Islam sebagai satu sistem hidup. Institusi-institusi Islam ini perlu membuat satu anjakan paradigma agar matlamat, pendekatan dan budaya kerjanya kelihatan lebih dinamik, kritis dan berdaya saing.

Persepsi buruk sesetengah pihak yang melihat institusi-institusi Islam kerajaan tidak lebih hanyalah sebagai badan ‘propaganda’ UMNO atau tukang angguk (‘yes man’) para pemimpin atasannya perlu diatasi. Ulama-ulama UMNO harus menyumbang idea dan membentangkan pelan tindak yang konkrit agar Islam dijadikan asas, teras dan pendorong bagi menjayakan cita-cita untuk membina kekuatan politik, ekonomi, teknologi dan pertahanan di kalangan negara-negara Islam.

End in Mind yang harus ada dalam program pengukuhan dalaman UMNO dapatlah disimpulkan seperti berikut:

· Menghayati semula roh perjuangan asal UMNO yang sangat berkait dengan ajaran Islam dan adat Melayu.

· Menyuburkan idealisme perjuangan ahli UMNO menerusi pemantapan misi dan visi hidup yang jelas.

· Memperteguh perpaduan sesama anggota UMNO dengan memantapkan rasa persaudaraan berdasarkan Iman dan prinsip parti.

· Membina kesetiaan yang padu kepada pucuk kepimpinan atasan dengan sama-sama merujuk kepada nilai-nilai agama, parti dan negara.

· Meningkatkan sokongan dan keyakinan rakyat melalui program ekonomi khususnya untuk masyarakat bawahan.

· Melaksanakan program dakwah Islamiah yang lebih berkesan, multi-dimensi, praktikal, ‘versetile’ dan kontemporari tanpa terikat dengan pertikaian politik kepada golongan menengah Melayu.

· Mengurangkan sifat materialistik dan budaya tamak di kalangan pemimpin dan ahli di semua peringkat parti dengan menanamkan nilai-nilai kerohanian bersumber ajaran Islam dan adab bangsa yang tinggi.

Inilah beberapa input yang saya kira boleh membantu UMNO memperkukuhkan nilai-nilai dan jati diri pemimpin dan ahlinya, untuk menghadapi ancaman musuh dalaman parti. Hanya apabila musuh dalaman dapat diatasi, barulah UMNO dapat menghadapi musuh dalam negara dan akhirnya menghadapi Barat – musuh dari luar negara. Masih ada rakyat yang melihat UMNO dengan penuh harapan – melihat slogan, ikrar dan janji yang berkobar-kobar. Apakah program pengisian yang telah dan akan diatur? UMNO perlu telus dan serius untuk menyelesaikan program muhasabah dirinya yang belum selesai-selesai. Sanggupkah?


Sunday, August 9, 2015

Apabila politik wang jadi taruhan

Allah Taala mengesahkan tentang betapa buruknya perangai kaum Bani Israel berpolitik sebagai pengajaran kepada seluruh manusia, khususnya umat Islam. Firman Allah Taala :

"Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka; Bahawasanya Allah telah melantik Tholut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab; Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata;Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Tholut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan pengurniaan-Nya), lagi meliputi ilmu-Nya." (Al-Baqarah:247)

Kisah ini benar-benar berlaku di zaman dahulu, apabila bangsa Yahudi terhina dengan sehina-hinanya lantaran mereka meninggalkan kitab Taurat, sehingga mereka ditakluk oleh bangsa lain. Setelah beberapa generasi mereka hidup hina merempat, maka Allah mengutuskan seorang nabi mendidik mereka semula dengan kitab Allah. Akhirnya mereka sedar dan insaf, serta bersedia untuk berjuang, menegakkan negaranya semula. Mereka telah memohon petunjuk Allah melalui nabi agar dapat melantik seorang raja yang menjadi pemimpin negara mereka.

Tiba-tiba Allah menunjukkan seorang tokoh yang bernama Tholut supaya dilantik menjadi pemimpin mereka dalam perjuangan menegakkan semula negara namun begitu penyakit rohani masih ada dalam diri mereka, apabila kaum Bani Israel itu menolak dengan alasan raja yang dicadangkan tersebut bukanlah seorang yang kaya di kalangan mereka, Tholut yang dicadangkan itu bukanlah seorang kaya-raya. Nabi itu memberi tahu bahawa petunjuk Allah supaya melantik seorang yang berilmu dan gagah perkasa, Tholut adalah tokoh paling layak.

Kisah ini menunjukkan bahawa politik berteraskan harta menjadi penyakit bangsa yang Yahudi yang dimurkai Allah. Allah juga mendedahkan sifat kebendaan bangsa Yahudi dengan firman-Nya :

"Wahai Rasul! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya; Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendeta-pendeta palsu) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata; Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar." (Al-Maaidah:41)

Ini menunjukkan bahawa penyakit kebendaan telah merebak sehingga hilangnya perhitungan akal, lalu suka menerima berita bohong dan mengambil harta haram melalui rasuah dan lain-lain.

Cabaran keadaan yang sama juga dialami oleh para pemimpin Makkah dan pengikutnya. Rasulullah S.A.W menghadapinya apabila dihujahkan dengan kebendaan. Allah berfirman :

"(Dan mereka berkata) Kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu (wahai Muhammad), sehingga engkau memancarkan matair dari bumi, bagi Kami."

"Atau (sehingga) engkau mempunyai kebun dari pohon-pohon tamar dan anggur, kemudian engkau mengalirkan sungai-sungai dari celah-celahnya dengan aliran yang terpancar terus-menerus."

"Atau (sehingga) engkau gugurkan langit berkeping-keping atas kami, sebagaimana yang engkau katakan (akan berlaku); atau (sehingga) engkau bawakan Allah dan malaikat untuk kami menyaksikannya."

"Atau (sehingga) engkau mempunyai sebuah rumah terhias dari emas; atau (sehingga) engkau naik ke langit; dan kami tidak sekali-kali akan percaya tentang kenaikanmu ke langit sebelum engkau turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami membacanya. Katakanlah (wahai Muhammad):” Maha Suci Tuhanku! Bukankah aku ini hanya seorang manusia yang menjadi Rasul?"

Para ulama merakamkan kisah Rasulullah S.A.W ketika baginda menegaskan kepada Adi bin Hatim R.A. seorang pemimpin Arab terkenal sebelum Islamnya, sabda Rasulullah S.A.W, "Wahai Adi! Aku tahu mengapa kamu tidak mahu menerima Islam, kerana Islam dilihat bersama-sama dengan orang-orang yang lemah dan tidak ada kekuatan. Akan tetapi akan tiba masanya Islam mencapai kemenangan sehingga harta melimpah ruah, sehingga tidak ada lagi orang mahu menerimanya."

Demikianlah politik wang atau matlamat kebendaan menjadi wabak yang merosakkan manusia sejak dahulu sehingga sekarang, hilangnya harga diri manusia yang dijadikan Allah berakal dan fikiran supaya dapat menilai benar dan salah serta menggunakan harta menjadi alat, bukan diperalatkan oleh harta yang tidak berakal.

Apabila harta menjadi matlamat, maka hilanglah nilai kemanusiaan yang mulia serta martabatnya yang tinggi jatuh lantas menjadi hina. Akhirnya menjerumuskan diri sendiri lebih hina dan menghinakan bangsa serta umat. Kerana pada masa itu segala pertimbangan akal dan petunjuk Allah ditolak apabila harta menjadi ukuran benar dan salah.

Bangsa Melayu ditarbiyah dan dididik dengan politik wang dan kebendaan. Penyakit yang membarah ini diakui sendiri oleh semua pemimpin dengan menyatakan bahawa ianya sudah menjadi penyakit yang membusukkan usus. Paling bahaya ianya juga telah merebak ke dalam jentera kerajaan dan rakyat Melayu apabila di setiap kali pilihanraya umum atau kecil.

Orang-orang Melayu hilang jati diri, sehingga tidak mampu bertongkat dengan hak istimewa yang diberi nafas sebagaimana yang tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini masih berlaku walau pun menang majoriti paling besar dalam pilihan raya sejak beberapa dekad yang lalu.

Duit ditabur dengan sebanyak-banyaknya untuk membeli undi Melayu supaya tetap mengundi parti Melayu.Media arus perdana bersama para penulis upahan, sehingga terus berkhayal dalam kejahilan dan kemiskinan dan tidak kenal perubahan yang berlaku dalam dunia terkini.

Allah menegaskan bahawa harta negara yang banyak tidak mampu membela seluruh rakyat dengan adanya penyakit tersebut. Ini kerana apabila harta negara yang boleh dianggap sebagai darah yang tidak mengalir ke dalam seluruh jasad kerana berlakunya senario orang-orang kaya tertentu yang berlegar di kalangan kamu.

Maka kekayaan negara dikikis atau dibocor oleh pemimpin yang kaya dengan rasuah atau menyalah gunakan kuasa untuk mendapat kekayaan bagi diri dan kroninya. Apatah lagi adanya orang-orang kaya yang mendapat peluang dengan rasuah atau sentiasa berpeluang kerana bersekongkol dengan pemimpin yang khianat terhadap rakyat dan harta negara. Puncanya apabila berpolitik kerana wang dan matlamat kebendaan, bukannya menunaikan amanah.

Allah telah menunjukkan contoh dalam al-Quran petunjuk sepanjang zaman di mana adanya tiga serangkai Firaun (raja), Haman (Perdana Menteri) dan Qarun (hartawan).

Rakyat termiskin dibantu dengan duit dan kemudahan sementara sahaja, tetapi tidak boleh membebaskan diri daripada kepompong kemiskinan. Rakyat yang tidak memiliki tanah tempat kediaman diburu ketakutan peras ugut dengan milik sementara sepanjang masa, atau terpaksa meneroka tanah tanpa kebenaran rasmi dan dibiarkan supaya menjadi mangsa ugutan.

Setiap kali pilihan raya maka duit menjadi senjata kempen dengan bekalan daripada pemilik harta Qarun penyumbang tetap yang mendapat segala peluang tetap selepas pilihanraya, atau membocorkan peruntukan yang wajib ditunaikan bagi kemudahan rakyat. Maka berlakulah projek terbengkalai atau projek cacat yang meruntuhkan kerana tidak sempurna.

Setiap kali pemilihan kepimpinan wang tetap digunakan, kerana kedudukan dalam parti akan dapat menjamin kehidupan dan segala kesempatan. Di sana pula tetap ada para Qarun yang bersedia menyumbang bagi memperjudikan diri masing-masing.

Penyakit ini pernah menjadi sebab bersejarah kejatuhan umat terdahulu dengan hina, termasuk kuasa besar yang paling kaya dengan tamadun kebendaannya. Semuanya dikisahkan oleh Al Quran supaya menjadi petunjuk kepada seluruh manusia di sepanjang zaman, termasuklah orang-orang melayu terkini.

Ketika bangsa lain berpolitik memilih parti yang menjaga bangsa masing-masing dalam persaingan masyarakat majmuk, tiba-tiba bangsa Melayu masih mengagihkan duit dan segala habuan segera. Maka tunggulah padah menimpa diri sendiri, jangan menyalahkan orang lain.

Akhirnya dengarlah pesanan Rasulullah S.A.W (bermaksud), "Ambillah pemberian, selagi sebenarnya pemberian yang berhak. Maka apabila sudah menjadi rasuah dalam perkara al-Din (agama dan cara hidup) maka janganlah kamu mengambilnya dan jangan pula meninggalkannya, nescaya menghalang kamu daripada menjadi fakir dan sentiasa berhajat. Ingatlah Islam sentiasa dalam pusingan (menang dan kalah, mulia dan dihina), maka kamu hendaklah sentiasa bersama Islam di mana sahaja keadaannya. Ingatlah, akan berlakunya pertelingkahan di antara kitab (al Quran) dan pihak yang berkuasa memerintah negara, kamu jangan sekali-kali berpisah daripada kitab al Quran. Ingatlah, akan adanya para pemimpin yang menghukum kerana diri mereka, bukan kerana menolong kamu." (Rujuk Mu'jam al Kabir li at-Tabarani Jilid 4 M/S:499)

Dalam hadith yang lain pula diharamkan kepada orang yang berada mengambilnya kecuali selepas itu diberi kepada orang yang sebenarnya memerlukan bantuan.

Ingatlah maksud Rasulullah bahawa memilih politik wang atau kebendaan akibatnya bencana menimpa umat.


Saturday, August 8, 2015

Rasional Fitnah Isu Derma terhadap Pemimpin

Perbezaan pendapat bukanlah masalah. Tetapi yang kerap menimbulkan masalah ialah SIKAP orang yang berbeza pandangan itu. Kerap kali sikap itulah yang menimbulkan perbalahan, bukan perbezaan itu. Malah pada banyak keadaan, perkara khilaf yang dipertikaikan menyebabkan terkorbannya akhlak budi yang lebih aulawiyat dipertahankan.

Sering saya bertanya, dan sering juga saya ditanya. Kekadang oleh sebab kedangkalan ilmu saya banyak berdiam. Cuba terus belajar. Ke sana kemari, mendengar dan meneliti. Pada ketika itu saya berpegang kepada apa yang diyakini dan tinggalkan apa yang diragui. Namun saya tidak pernah menutup pintu untuk mendengar dan berbincang. Tetapi apa pun akhlak dan adab mesti dipertahankan. Jangan dicampur soal personal dan jurusan ilmu dan kaedah berfikir yang sifatnya lebih profesional.

Yang memertahankan qunut hingga meninggalkan solat berjemaah. Yang tidak berqunut, berhujjah sehingga mencarikkan ukhwah. Kenapa? Dia itu wahabi, tauhidnya uluhiyyah dan Rububiyyah. Dia itu As’ariah dan Maturidiah dengan jumud Sifat 20. Dia itu Salafi yang menentang bid’ah. Dia itu Sufi, yang asyik dengan tazkiatun nafsi. Dan kini di Malaysia, ada yang menjawab (bahkan menulis), “saya muslim Ahli Sunah” bila ditanya soalan, “apa agama kamu?”Ketika ditanya mengapa jawapan kamu begitu? Dia menjawab, “saya nak bezakan dengan muslim wahabi”
Ah, apakah ini langkah ke depan, atau langkah ke belakang atau langkah pusingan U?

Padahal sewaktu kecil dahulu kita diajar melalui Kitab Risalah Tauhid (tauhid), Mutaa Badrin (feqah), Penawar Bagi Hati (akhlak atau tasawuf). Itulah kitab yang mengenalkan kita kepada agama yang holistik. Kemudian bila meningkat dewasa, di universiti mula pula belajar lebih tinggi. Ataupun melalui majlis usrah yang dikendalikan oleh para naqib dan mas’ul. Kedua-dua kaedah menuju matlamat yang sama – menanamkan roh tauhid. Tidak ada sebab untuk ‘bergaduh’. Memang ada perbezaannya, tetapi titik pertemuannya terlalu banyak!

Oleh sebab Al Ghazali menghentam Ibnu Sina dan Al Farabi dengan hujjahnya dalam al Munqizul minad Dalal dan Tahafut al Falasifah, saya yang begitu dekat dengan Ihya Ulumuddin turut mengambil sikap berhati-hati dengan Ibnu Sina dan tokoh-tokoh yang sewaktu dengannya. Tetapi bila Ibnu Sina disebut sebagai role model, saya tidak membantah. Mereka mungkin ada hujah yang tidak saya ketahui. Pada saya biarlah gajah sama gajah yang berhujjah, saya yang kancil ini ambil sahaja yang yakin, yang muktamad dan masyhur… itu pun belum dan tidak habis-habis untuk diamalkan.

Saya melihat kesan ilmu dan sumbernya. Bukan hanya melihat kesan tetapi meninggalkan sumber. Atau bukan hanya meneliti sumber tetapi meminggirkan kesan. Kedua-duanya harus sebati dan serasi. Akhlak adalah buah ibadah. Ibadah adalah buah ilmu. Ilmu itu sumber keyakinan dan kepercayaan. Alhamdulillah, kini saya rasa serabut iktilaf, furu’ dan bid’ah terungkai dengan jelas. Dalil di sana dan di sini kekadang sama setara dan seimbang. Tidak ada obsesi diri dan puak. Tidak ada kafir mengkafir. Tidak ada penyakit ‘ana khairu minhu – aku lebih baik daripada kamu!

Fitnah kini lebih teruk lagi di kalangan skop pemimpin politik di Malaysia. PM di tuduh menerima derma sebanyak 2.6 Billion sehingga di laporkan hingga peringkat media antarabangsa. Matawang merudum teruk sehingga USD 1 bersamaan RM 3.92 dan menimbulkan perspeksi fitnah lagi. Fitnah ini tidak di kawal pasti akan mewujudkan sosiopolitik yang tidak stabil di Malaysia.
Tiada dalil atau sumber rujukan yang boleh di percayai untuk menangkis fitnah ini dan yang terbaru fitnah ini menjadi lebih teruk apabila pegawai SPRM di tukarkan secara tiba-tiba. Adakah perspeksi rakyat Malaysia pada pemimpin boleh di kawal lagi bila jawapan yang di beri oleh pemimpin identiti penderma tidak boleh di dedahkan? Rakyat tiada sumber jawapan dan di dendang lagi dengan fitnah dari pihak tidak bertanggungjawab. Fitnah mula wujud apabila wang derma bernilai lebih RM 2.6 B dan mula bermain di fikiran rakyat yang kian di momok dengan berita negatif dari pihak pembangkang.

Apakah jalan penyelesaian fitnah wang derma RM 2.6 Billion ini? Menurut pandangan saya insan kerdil ini kita perlu kembali kepada penyelesaian Islam apabila PM sendiri perlu telus memberitahu siapa penderma dan penerima duit tersebut. Penyelesaian dalam Islam amat mudah jika untuk menjawab isu fitnah dengan menyatakan kebenaran bagi menangkis segala tohmahan. Rakyat Malaysia sangat rasional dan pasti menerima apa jawapan ikhlas daripada pemimpin mereka. Katakanlah kebenaran walaupun pahit . Jawapan ini pasti memberi keyakinan semula kepada rakyat. Tanggungjawab pemimpin adalah kepada Allah. Ingat amanah Allah ini bukan kemegahan tetapi pasti akan di tanya di akhirat kelak atas setiap apa yang di kerjakan.


Friday, August 7, 2015

SAVING MALAYSIA , USD:RM 3.92 ?

SAVING MALAYSIA BEFORE THE PERMANENT ECONOMIC DEATH, USD1

Honestly, I smiled and giggled when I read the content of my friend’s article on ‘Salah Ahmad Mazlan atau Tun Daim’ . I was shocked to see YB Dato’ Hj Ahmad Bin Maslan and YABhg Tun Daim Zainuddin were dragged to popularise his article. Living by being popular probably. I said to myself, “Kesian sungguh ...”.

Nevertheless, I applaud for his strive and drive efforts to pull something through to convince his bosses in the organisation where he works. Bare this in mind, the truth will still prevail as the world is now dictated by humans’ perception and it is just a matter of time, it will be self inflicted by humans’ own hands.

Neither an economist nor investment banker, but it takes a true street player to have the experience facing the real on the ground challenge to understand how it works and not merely dependent on statistics like GDP, GNP plus believe in rating given by agencies like S&P and Moody’s. I have to admit that I felt sad for him, as a person who has claimed himself to be a senior psy-war specialist, to have ‘cut and paste’ statistics without understanding and able to cross referencing what he has written.

Even though I have been challenged, I told myself why do I have to prove myself using Bitcoin Obliterates Theory, Quantity Theory or even analysing via Candlesticks Charts. It would be a waste of time. He would not understand in the first place.

I look up to the success of YABhg Tun Dr Mahathir’s proposed peg at RM3.80 to a US dollar. True it has raised many eyebrows. The best part was when he claimed that he was lucky that he did not read Economics during his university days. Otherwise, he would have had a mental block depending on economic theories and statistics.

As a person who saw IDR Rupiah went up to Rp16,000 to an American dollar over a few days at the point when all statistics and fundamentals were stable, when there was not even smog in the air like it has always been in Indonesia, the stock and currency market crashed, to some of us it was Economic Doom’s Day.

Today having the chance to be friends with ex-international rating agencies’ top executives in various businesses, I also found out that ratings on nations and securities are all based on fundamentals, plus ‘a good time out with them’. The dependence on organisations that organise statistics and ratings fully too is not healthy as the truth remains with the people and their feelings in the streets whether they are happy or under pressure.

My friend, I am very sure that you did not realise that one of the important aspects that contributed to the downfall of the Rupiah was due to the USD debt exposure at the national level. Obviously this was due to the lower USD financing cost as compared to IDR financing cost.

As the case now, 1MDB has an exposure of USD42.0 billion. In Malaysia, only Petronas would be logical to have such a large debt exposure. Worse situation is the said debt is not backed by fully USD revenue, but mostly ringgit based. A bubble burst will occur soon as what had happened in Indonesia should no action be taken soon.

Therefore my friend, you do not have to lay your figures up to quadruple digits and up to 5 decimal points to prove your fact. You, yourself has confirmed that the economic stability is based on the ‘feel good factor’ even at the time when all efforts have been implemented to curb the economic issue.

Looking at the current development, there is no sign that ‘the feel good factor’ will happen. Even now when Malaysia Ringgit is closing into RM3.80 and oil price futures index shows signs of falling, there is no effort made by the Prime Minister to announce immediate economic policies to curb the crisis.

First step forward to build this ‘feel good factor’ like what had happened in Indonesia is for Bapak Suharto to step down. Same goes to Malaysia now, this have to happen first.

As much as we were proud with the fact that Malaysia did better in pegging our ringgit to a dollar, avoiding IMF to dictate our economy, Indonesia is doing better now. Not because of IMF but because of a growing population.

In Malaysia, our population is growing but driven by foreign workers. As for the locals especially professionals, there have been series of brain drain. Malaysians have given up and only have one hope. PM please make a clear statement to SPRM without prejudice.

Only then, we will regain what we call as ‘The Feel Good Factor’




Wednesday, August 5, 2015

Matangkah Politik Melayu ?

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu agresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”

Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.

Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.

Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan berkata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.

Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.

Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara.

Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggung-jawab dan peranan di bidang masing-masing.

Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara secara global bukan lagi sebagai jentera parti secara sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti tertentu tetapi dari seluruh rakyat.

Nampaknya kematangan yang sama belum ada di kalangan orang Melayu. Sama ada di pihak manapun sama-sama masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibatnya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan manakala yang kalah pula terus menggigit tidak kira masa, tempat dan perkara.

Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’. Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, mesjid, sekolah-sekolah, kedai-kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu berpolitik hampir setiap masa, setiap tempat dan setiap perkara.

Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian tidak lagi bersandarkan pada etika sesuatu kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian.

Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipulan orang parti mana? Untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat misalnya, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang ketimbang kemampuan di bidang-bidang yang berkenaan. Dan praktik ini nampaknya mula membudaya dalam semua parti yang diterajui oleh orang Melayu.

Budaya negatif ini telah merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, orang Melayu akan menjadi semakin emosi berbanding rasional dalam menghadapi sesuatu isu peringkat nasional atau antarabangsa.

Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampaui batas-batas parti politik. Mungkin seorang pentadbir yang cekap dan amanah boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak.

Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.

Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu perkara, polisi, isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengurus atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang lebih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya.

Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat sama ada di daerah, negeri dan negara.

Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran, yang dengan ini nanti akan menyebabkan umat Melayu tidak akan menjadi bangsa yang cemerlang.

Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.

Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.

Cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ketenteraan buat menghadapi dunia Islam. Sebaik sahaja WTC diserang mereka terus bersatu dengan Amerika, kononnya untuk memerangi keganasan. Negara-negara Eropah juga telah berjaya mengatasi perbezaan pendapat dalam bidang ekonomi apabila rela menggunakan mata wang yang sama untuk menghadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Mereka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga. Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia.

Kebencian akan membunuh kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahirnya segelintir mereka yang memilih komunis (PKM) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menilai.

Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”

Barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.

Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.

Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.

Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).

Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.

Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.

Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!

Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.

Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.

Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.

Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.

Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?

Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan, dan sebagainya.

Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.

Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.

Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan!

Mohd Saifullah B Dolmat


Tuesday, August 4, 2015

Didik Belia Benci Rasuah !

Menurut sejarah Jepun, rasuah mula diperkatakan pada era Edo (1603-1868) yang diistilahkan sebagai “sidepno-shito” yang bermaksud ‘wang dari bawah meja’. Apabila disebut sahaja rasuah, terbayanglah kepada kita ada dua pihak iaitu yang memberi dan yang menerima. Menyedari betapa seriusnya keadaan ini belia perlu berikrar untuk membanteras perbuatan rasuah hingga ke akar umbi. Hal ini kerana rasuah adalah umpama barah yang akan meruntuhkan negara jika tidak dibendung dengan segera. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang individu mudah terlibat dengan rasuah.

Antara faktor berlakunya gejala rasuah ialah kepimpinan seseorang individu yang lemah. Individu yang mempunyai kepimpinan yang lemah, tidak yakin pada diri sendiri dan mudah dipengaruhi oleh orang lain untuk melakukan rasuah. Mereka mudah disogok dengan pelbagai kemewahan seperti harta benda, wang ringgit, kedudukan dan pangkat. Malah sejarah juga telah membuktikan bahawa bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon tumbang ekoran perbuatan rasuahnya dalam skandal ‘Water Gate’. Ada kalanya penerima rasuah dianggap sebagai kerbau dicucuk hidungnya dan mudah patuh dengan kehendak pemberi rasuah. Akibatnya, amalan rasuah menyebabkan masyarakat hilang kepercayaan terhadap individu dan kepimpinan organisasi berkenaan.

Pada masa yang sama, kurangnya didikan agama dan didikan moral mendorong berlakunya perbuatan rasuah dalam masyarakat kita. Individu yang tidak mempunyai iman yang kukuh dan mantap akan mudah terpesong. Golongan seperti ini akan menggunakan kedudukan dan peluang yang ada pada dirinya untuk menerima habuan tanpa berasa bersalah. Dengan tidak memikirkan akibatnya, rasuah menjadi rutin dalam tugas mereka. Malah individu yang terlibat dengan rasuah tidak berasa malu atau takut kepada Allah serta balasannya sama ada di dunia ataupun pada hari akhirat.

Rasuah juga berlaku kerana wujudnya birokrasi dalam sistem pemerintahan yang secara tidak langsung memberi peluang kepada pegawai-pegawai kerajaan daripada berbagai-bagai peringkat mengambil kesempatan. Hal ini berlaku kerana proses pengurusan pentadbiran terpaksa melalui banyak saluran. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentulah pemprosesan sesuatu permohonan memerlukan masa yang lama atau panjang. Bagi individu yang terdesak atau mahu segera menyelesaikan masalah, mereka akan mudah memberikan imbuhan dengan harapan pemprosesan permohonan didahulukan oleh penerima rasuah. Oleh hal yang demikian, sudah tentu situasi ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati terhadap golongan yang tidak terlibat dengan rasuah.

Di samping itu, amalan rasuah turut meninggalkan pelbagai kesan. Malah, amalan rasuah jika tidak dicegah akan terus merebak dan membawa banyak kesan negatif kepada individu, masyarakat ataupun negara. Individu yang terlibat dengan rasuah akan dipandang hina oleh masyarakat. Keluarga mereka juga akan dicemuh dan dipulaukan oleh jiran-jiran. Apabila seseorang menjadikan rasuah sebagai amalan biasa, sudah tentulah amalan ini akan merebak dan mempengaruhi orang lain. Oleh itu, rasuah perlu dibanteras segera supaya tidak memberi kesan buruk terhadap sistem pentadbiran dan sosial negara. Masyarakat perlu mengambil sikap berwaspada agar perbuatan rasuah tidak menjadi ‘barah’ dalam masyarakat.

Sebenarnya, jika perbuatan rasuah tidak dibendung, kehidupan masyarakat dan birokrasi sistem pemerintahan akan terganggu dan sekali gus menyebabkan imej negara pada mata dunia tercalar. Seluruh masyarakat, bangsa dan negara akan menjadi kucar-kacir dan hancur seperti yang pernah berlaku dalam sejarah tamadun besar dunia seperti di Mesir dan Mesopotamia. Natijahnya, negara tersebut bukan sahaja akan dipandang serong oleh negara lain. Malahan, hubungan dagangan yang sedia ada juga akan terputus dan ekonomi negara akan terjejas teruk lalu agenda pembangunan negara akan terbantut. Oleh itu, perbuatan rasuah yang bagaikan duri dalam daging hendaklah dibanteras sejak awal lagi.

Kesimpulannya, rasuah merupakan musuh negara yang berbahaya dan perlu dibanteras melalui kerjasama anggota masyarakat dan pihak berkuasa.Adakah kita rela melihat tabiat buruk ini terus menular? Tegasnya, adalah penting bagi semua pihak untuk melaporkan gejala rasuah kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

Pemimpin juga perlu menunjukkan contoh yang baik jangan jadi seperti ketam ajar anak jalan lurus. Sifat integriti dan ketelusan perlu ada antara pemimpin dan rakyat. Tidak perlu bimbang dan jangan sembunyikan sesuatu dari rakyat sehingga mewujudkan perspektif negatif. Tidak salah dedahkan akaun persendirian dan bentangkan tanpa berselindung jika itu adalah kebenaran.

Islam mengharamkan umatnya memberi dan menerima rasuah. Jika kita sayang akan negara kita, cegahlah rasuah sebelum parah. Sesungguhnya, amalan rasuah hanya menjual prinsip, maruah dan harga diri!