Friday, August 19, 2016

Apa NASIB pelajar Melayu?

Kontroversi biasiswa JPA terus berlaku saban tahun. Apabila senarai penerima biasiswa dikeluarkan, suara ultra kiasulah yang paling lantang. Mereka akan menyediakan senarai panjang calon-calon mereka yang dikatakan layak tetapi tidak tersenarai. Mereka tidak sedar, masih ramai pelajar Melayu yang layak juga tidak tersenarai. Apakah benar nasib pelajar Melayu telah terbela?
Tidak cukup dengan itu, biasiswa yayasan-yayasan negeri yang ditawarkan turut menjadi rebutan, terutama Yayasan Selangor. Ultra kiasu semakin mendesak supaya mereka juga diberikan peluang yang sama. Saya tidak nafikan hak setiap warganegara, tetapi biarlah berpada-pada, berpandukan kepada ‘formula’ dan garis panduan yang ada.
Jika ada kalangan ahli mereka yang layak tidak dapat atau tercicir, maka hebohlah satu dunia, dengan mengatakan bahawa hak bangsanya dinafikan oleh agensi-agensi tersebut. Mereka akan mencanangkan berlaku diskriminasi. Kenapa perlu ada sistem kuota? Pendek kata, ini tidak adil, itu tidak adil, semuanya tidak adil selagi tidak berlaku fair and square. Tidak lama lagi, jika kerajaan mengiktiraf UEC (Unified Examination Certificate), yakni sijil yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina, perebutan dan persaingan akan menjadi semakin sengit, walaupun ada kalangan mereka yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi mendapat pangkat yang baik dalam peperiksaan.
Isu ini sengaja dipolitikkan oleh ultra kiasu untuk mendapatkan sokongan walaupun hakikatnya pemberian biasiswa JPA adalah terjemahan kepada apa yang terkandung dalam kontrak sosial dan perlembagaan negara yang telah dipersetujui oleh semua kaum. Akibat tekanan dan desakan ini, ditambah pula kepentingan politik, kini pemberian biasiswa tidak lagi mengira kuota, tetapi berasaskan kepada merit peperiksaan semata-mata. Temuduga yang cuba dilakukan oleh JPA ditentang habis-habisan, kerana mereka tahu apa kelemahannya.
Sebaliknya, jika mereka telah mendapat sebahagian besar bantuan tersebut, maka isu ini disenyapkan. Pada saya, jika mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak semua kaum, kenapa mereka tidak bersuara apabila tidak ada orang Melayu (Islam) tidak tersenarai sebagai penerima biasiswa Sun-MAPCU tersebut.
Inilah strategi yang amat licik, biasiswa mereka, untuk mereka sahaja. Manakala biasiswa orang lain hendaklah dikongsi. IPTS untuk mereka sahaja (walaupun terbuka), IPTA mesti dikongsi bersama. Syarikat mereka untuk orang mereka sahaja, manakala syarikat kerajaan mesti dikongsi bersama. Dalam kata lain, hak orang lain mesti dikongsi, manakala hak sendiri untuk bangsa sendiri.
Trend sebegini tidak akan berhenti setakat ini sahaja, ia akan berterusan dalam segala sektor dan profesion pekerjaan. Kesan jangka panjang amat tidak menguntung kita jika tidak ditangani dari sekarang. Syarikat-syarikat bukan Melayu (sektor swasta) akan mengambil graduan-graduan IPTS kepunyaan kaum tertentu. Manakala dalam sektor awam pula yang dikatakan dipenuhi oleh orang Melayu, perlu dibuka kepada semua kaum.
Setiap parti politik berasaskan akan menjadi mata dan telinga atau watch dog dalam jabatan kerajaan. Mereka akan melihat segala ruang dan peluang untuk memberikan yang terbaik kepada kaumnya. Jika ada yang pincang, mereka akan keluar sebagai jaguh. Jika ‘formula’ ini terus dibiarkan berjalan, akhirnya nanti, siapa yang untung, siapa yang rugi? Janganlah dibincangkan keuntungan dalam jangka masa panjang.
Saya amat yakin, apabila dicampur tolak nanti, keputusannya tidak banyak berpihak kepada Melayu dan bumiputera. Puncanya kerana kita tidak menguasai ekonomi. Akibatnya, pribumi terpaksa berpaut atau bergantung kepada kerajaan. Justeru, kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius. Kepentingan jangka pendek tidak akan kekal lama berbanding kepentingan jangka panjang. Justeru, hari ini kita perlu bangkit, apa yang menjadi hak kita, mesti diperjuangkan, kita boleh senyap atau mengalah sahaja. Memang sifat ini baik, tetapi untuk berhadapan dengan ultra kiasu, kita mesti juga turut agresif.
Sebenarnya, saya tidak mahu melakukan tolak campur ini, tetapi perkembangan mutakhir ini menjadi saya begitu teruja. Lebih serius lagi hari ini kebanyakan ahli-ahli perniagaan, dan jutawan bangsa-bangsa tertentu mencurahkan segala derma dan sumbangannya kepada IPTS berasaskan bangsanya yang sahaja. Mereka juga mendapat pengecualian cukai.
Akhirnya nanti, cukai pendapatan akan menjadi semakin kurang. Sudah tentu ia akan meninggalkan kesan kepada IPTA. IPTA-IPTA yang begitu banyak terpaksa berkongsi peruntukan kerajaan. Sedangkan IPTS mendapat solid bantuan daripada hartawan dan jutawan berasaskan kaum.
Saya yakin, dalam jangkamasa panjang, IPTA tidak akan mampu bersaing dengan IPTS berasaskan kaum. Tidak perlulah saya berbicara soal IPTA antarabangsa, sudah tentu kabelnya lebih besar.
Pengajaran yang lalu perlu diambil sebagai iktibar. Ia amat dituntut dalam Islam. Misalnya, kedudukan Bahasa Melayu. Saya telah pergi ke sebuah bank yang baharu sahaja melakukan penggabungan. Polisi bank tersebut, adalah pertama bahasa Inggeris, kedua bahasa Mandarin dan ketiga lain-lain bahasa. Petunjuk atau papan tanda dalam bahasa Melayu dalam bank tersebut hampir tiada, kecuali dua atau tiga orang pekerja kaunter sahaja yang berbangsa Melayu. Itupun mereka begitu berlagak menggunakan bahasa lain. Tidak lama lagi bahasa Melayu akan pupus.
Justeru, di manakah slogan "Malaysian first" yang dicanangkan. Apabila ada di antara kita yang berkata Malay first, heboh satu dunia menuduh orang ini rasis orang itu rasis. Tetapi apabila mereka mengenepikan agenda nasional, mengutamakan bangsa sendiri, itu bukan rasis namanya. Politik rimba apakah ini? Jangan jadi kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.

Wednesday, August 17, 2016

Siapa yang RASIS ?

Orang Melayu menerusi bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain. Ini adalah pendapat saya sebagai anak Melayu yang sekian lama memendam rasa.

Saya ingin juga menyiarkan semula petikan kata-kata pemimpin MIC Tun V.T Sambanthan pada 1Jun 1965. Katanya "Pada tahun 1955 kita telah memenangi pilihan raya dengan majoriti yang tinggi, selanjutnya mendapat kemerdekaan dalam masa dua tahun kemudian. Dalam jangka masa itu, kita terpaksa berbincang dan menangani pelbagai perkara termasuk soal kewarganegaraan. Persoalannya di sini, apakah yang dilakukan oleh orang Melayu memandangkan kita bercakap menyentuh perkauman? Apakah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Melayu? Mereka mempunyai 88 peratus daripada pengundi menyokong mereka"

Kata Tun V.T.Sambanthan lagi, "Jika kita lihat di serata negara Asia dan Asia Timur, kita akan mendapati kaum India tidak akan diterima di Ceylon dan juga tidak diterima di Burma. Sama halnya dengan kaum Cina, mereka tidak diterima di Thailand, Vietnam, Kemboja dan di negara-negara lain. Apakah bantuan berhubung kewarganegaraan yang mereka peroleh di semua wilayah tersebut?"

"Di Burma, seperti yang kita semua sedia maklum, kaum India telah diusir keluar, di Ceylon mereka tidak diberikan taraf warganegara seperti juga di Burma. Saya tahu dan anda juga tahu. Apa yang sedang berlaku di Malaya? Di sini kita mendapati pemimpin Melayu berkata, "Kita akan menerima mereka sebagai saudara, kita akan berikan mereka sepenuh peluang untuk meneruskan kehidupan di negara ini, kita akan beri mereka peluang untuk menjadi warganegara". Seterusnya pada tahun 1957, dengan tidak mengambil kira kebolehan berbahasa (Melayu) ribuan orang India, Cina dan Ceylon menjadi warganegara. Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain daripada bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini."

Jadi apa salahnya saya memaparkan semula kata-kata pemimpin Cina dan India di atas? Inilah yang dinamakan salah satu kontrak sosial yang tidak tertulis di dalam perlembagaan tetapi ianya adalah sebagai satu catatan sejarah dan telah dipersetujui bersama.

Saya bukan mereka-reka tetapi ianya adalah fakta bagi menunjukkan betapa baiknya orang Melayu menerima pendatang menjadi warganegara dengan percuma. Sepatutnya kata-kata pemimpin Cina dan India ini dituliskan dalam buku teks sejarah sekolah menengah supaya generasi muda Cina dan India tahu dan faham tentang sejarah mereka. Disebabkan mereka tidak faham lah mereka menuntut segala macam perkara walhal Tok nenek mereka sudah berjanji akan sentiasa memelihara hak-hak istimewa orang Melayu bagi membalas jasa baik orang Melayu memberi kewarganegaraan secara percuma dan mudah kepada mereka.

Bayangkan kalau orang Melayu ini sifatnya seperti Yahudi, jangan mimpilah dapat duduk senang lenang di sini, malah atas ihsan kewarganegaraan itu mereka lebih kaya daripada tuan rumah. Orang yang dulunya menumpang akhirnya menjadi tuan kepada rumah. Sudahlah ekonomi mereka kaut, politik pulak mereka hendak sapu sama. Manusia jenis apakah mereka ini?

Saya hanya mewakili segelintir suara hati dan roh Melayu yang di lihat semakin padam di mamah zaman.

Jadi salahlah buku teks sejarah yang saya belajar? Saya tidak mahu sebut perihal Chin Peng yang membunuh orang Melayu di Tanah Melayu atau kumpulan gerila Harimau Tamil Eelam (LTTE)Sri Lanka yang juga kumpulan pemisah tetapi turut membunuh ramai golongan Muslim Sri Lanka yang merupakan saudara muslim kami.  Jika segala mengenai LTTE dan Hindraf disokong itu baru rasis dan mewakili gerakan subversif yang mengancam negara.


Berani kerana benar, takut kerana salah. Siapa yang rasis sebenarnya ?

Tuesday, August 9, 2016

Politik Melayu tidak matang ?

Titik persamaan yang boleh menjamin manfaat bersama nampaknya semakin kabur dan luntur dalam lautan api permusuhan, dendam dan hasad dengki yang semakin marak. Cara menyerang lawan begitu aggresif hingga boleh meletakkan situasi pada keadaan ‘kalah jadi abu, menang jadi arang.”
Pertembungan bukan sahaja berlaku di musim pilihanraya tetapi terus berlaku pada setiap masa dan ketika. Pihak yang yang kalah, seolah-olah tidak boleh menerima hakikat dan terus menjolok yang di atas. Manakala pihak yang menang pula, masih tidak puas hati dan terus menghenyak yang di bawah.
Rasanya tidak salah untuk melihat beza gaya politik kita dengan gaya berpolitik di Amerika misalnya. Biasanya apabila terjadi pertandingan merebut jawatan presiden, calon-calon yang bertanding akan begitu agresif berkempen. Dan apabila keputusan diterima tidak begitu memuaskan hati (merujuk kepada kes Al Gore dan George W. Bush dalam pilihanraya Amerika suatu ketika dulu) mereka merujuk kes itu ke mahkamah.
Namun setelah mahkamah memutuskan yang Bush ada pemenang mutlak, Al Gore menerimanya dan bekata, “Bush adalah presiden saya dan rakyat Amerika seluruhnya.” Dan selepas itu serang menyerang tidak berlaku lagi.
Rakyat tidak kira anggota Parti Demokrat ataupun Republikan akan terus berkerja membina negara dengan polisi dan prinsip yang dibuat oleh parti Republikan yang telah diamanahkan membentuk kerajaan. Masing-masing berfikir dan bertindak bagaimana hendak memaksimakan keuntungan rakyat dan keutuhan negara sepanjang tempoh pemerintahan Republikan.
Jika adapun kritikan tetapi ia disuarakan secara matang di meja perundingan yang melibatkan wakil-wakil yang wibawa dan kompeten. Ia tidak melibatkan seluruh rakyat, di seluruh tempat dan di semua perkara.
Maksudnya, pegawai kerajaan, ahli ekonomi, para profesional, ahli akademik, golongan pekerja dan petani tidak sibok ‘berpolitik’ kerana mereka telah memberi tumpuan dan disibokkan oleh tanggung-jawab dan peranan di bidang masing-masing.
Kerajaan pada ketika itu, lebih berperanan sebagai alat negara secara global bukan lagi sebagai jentera parti secara sempit. Sebagai balasan, kerajaan akan menerima komitmen serta kesetiaan bukan sahaja daripada anggota parti tertentu tetapi dari seluruh rakyat.
Nampaknya kematangan yang sama belum ada di kalangan orang Melayu. Sama ada di pihak manapun sama-sama masih kuat terikat dengan kepentingan parti walaupun musim pilihanraya telah berlaku. Akibatnya, yang menang gagal ‘mengisi’ kemenangan manakala yang kalah pula terus menggigit tidak kira masa, tempat dan perkara.
Apa sahaja yang dikatakan ‘putih’ oleh satu pihak, pihak yang sebelah lagi akan berkata ‘hitam’. Dan rakyat seluruhnya turut terheret dalam gaya politik ‘separuh masak’ ini ke jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta, pusat pengajian tinggi, mesjid, sekolah-sekolah, kedai-kedai kopi, kaki lima dan lain-lain tempat. Akibatnya, orang Melayu berpolitik hampir setiap masa, setiap tempat dan setiap perkara.
Malah lebih parah lagi bila keputusan, pertimbangan, penilaian dan pengkajian tidak lagi bersandarkan pada etika sesuatu kerja, disiplin ilmu atau sikap profesional dalam sesuatu bidang tetapi lebih dipengaruhi oleh sentimen politik kepartaian.
Untuk memberi sesuatu jawatan misalnya, perlu diteliti sipulan orang parti mana? Untuk memberi satu tender atau kenaikan pangkat misalnya, terlebih dahulu diselidiki pegangan politik seseorang ketimbang kemampuan di bidang-bidang yang berkenaan. Dan praktik ini nampaknya mula membudaya dalam semua parti yang diterajui oleh orang Melayu.
Budaya negatif ini telah merugikan bangsa Melayu secara khusus dan negara secara umum. Politik kalah-mati yang diamalkan sekarang jika tidak ditangani dengan baik, orang Melayu akan menjadi semakin emosi berbanding rasional dalam menghadapi sesuatu isu peringkat nasional atau antarabangsa.
Sikap profesional berdasarkan analisa ilmu dan kepakaran di bidang-bidang tertentu akan terpinggir secara beransur-ansur oleh sentimen kepartian yang melampaui batas-batas parti politik. Mungkin seorang pentadbir yang cekap dan amanah boleh tersingkir kerana adanya calon lain yang lebih diyakini pendirian politiknya oleh sesuatu pihak.
Ataupun ada pula pentadbir atau pengurus yang bertindak bukan atas penilaian ilmu dan etika bidang kepakarannya (walaupun ia memiliki kemampuan itu) dalam jabatan, agensi dan unit yang diterajuinya.
Bayangkan apa akan jadi jika sesuatu perkara, polisi, isu atau dasar yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seluruhnya telah disorot oleh seorang pentadbir, pengurus atau pengerusi melalui kacamata pemikiran dan jiwa yang lebih dipengaruhi oleh untung-rugi parti yang disokongnya.
Jika sikap yang sama menular ke bidang pendidikan, ekonomi, budaya, sukan dan lain-lain maka lama-kelamaan akan berleluasalah penguasaan tenaga kerja yang tidak pakar di semua bidang di semua peringkat sama ada di daerah, negeri dan negara.
Yang dominan nanti ialah tenaga yang hanya ada ketaatan tetapi tidak ada kepakaran, yang dengan ini nanti akan menyebabkan umat Melayu tidak akan menjadi bangsa yang cemerlang.
Walaupun ada banyak persatuan tetapi orang Melayu seharusnya punya satu kesatuan. Yang berbeza cuma cara dan kaedah, tetapi prinsip dan matlamat tetap sama. Pada waktu tenang, kaedah yang sesuai dengan ketenangan digunakan, tetapi pada waktu tegang, kaedah yang sesuai dengan keadaan itu pula digunakan. Dalam hal ini sekali lagi kematangan bangsa Cina terserlah.
Kecapaian di bidang ekonomi dan akademik oleh bangsa Cina misalnya, sentiasa diiringi oleh tuntutan-tuntutan politik yang matang dan kena pada masanya. Sebagai contoh, secara berkesan, kaedah ini telah berjaya menambah ruang dan peluang mereka dalam bidang akademik dengan terbinanya berbagai-bagai institusi pengajian tinggi swasta, mengamalkan budaya dan bahasa dengan lebih meluas. Ya, parti politik mereka berbeza, tetapi perbezaan itu lebih bercorak ‘the same differences’.
Cuba lihat kematangan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang politik dan ketenteraan buat menghadapi dunia Islam. Sebaik sahaja WTC diserang mereka terus bersatu dengan Amerika, kononnya untuk memerangi keganasan. Negara-negara Eropah juga telah berjaya mengatasi perbezaan pendapat dalam bidang ekonomi apabila rela menggunakan mata wang yang sama untuk menghadapi era ekonomi global yang lebih mencabar. Mereka tidak membesarkan krisis yang ada apabila ada cabaran dari pihak ketiga. Malangnya, kematangan yang sama belum ada dalam senario politik Malaysia.
Kebencian akan membunuh kerasionalan. Kebencian orang Melayu kepada penjajah menyebabkan lahirnya segelintir mereka yang memilih komunis (PKM) sebagai cara berjuang menegakkan keadilan, sedangkan komunis bukanlah ideologi dan parti yang lebih baik daripada penjajah. Ketidakmatangan ini boleh berulang jika bangsa Melayu tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk menilai.
Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”
Barangkali sudah tiba masanya ujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpoliik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.
Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.
Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.
Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).
Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.
Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.
Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.
Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.
Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!
Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.
Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.
Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.
Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.
Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?
Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan,  dan sebagainya.
Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.
Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.
Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.
Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan!