Sunday, May 29, 2016

Relevankah Belia bawah 30 tahun ?

Saya tertarik kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah mengenalpasti bahawa belia berasa terdapat kekangan untuk mereka menyertakan diri di dalam politik. Hal ini disebabkan kerana kerenah birokrasi dan golongan berumur yang susah untuk menerima pandangan mereka. Selain itu, kajian tersebut juga telah mengenalpasti bahawa belia percaya bahawa mereka mampu memberikan sumbangan berharga terhadap masyarakat kerana mereka mempunyai banyak idea-idea yang berinovasi.

Golongan belia perlu diberi kuasa sebagai agen perubahan yang aktif. Hal ini dapat dilakukan oleh kerajaan dan masyarakat dengan cara memperakui sumbangan-sumbangan belia terhadap negara. Kerajaan dinasihatkan untuk mengalakkan dan memperkenalkan lebih banyak program-program substantif, aktiviti, dan latihan kepada belia untuk mempersediakan mereka menjadi agen transfomatif dan perubahan positif yang aktif. Melalui aktiviti-aktiviti ini, belia dapat membina kemahiran-kemahiran kepimpinan.

Pelaburan di dalam membentuk kemahiran kepimpinan di dalam belia dan remaja adalah merupakan pelaburan untuk masyarakat Malaysia pada masa akan datang. Salah satu jalan untuk memperkembangkan lagi pembangunan kemahiran belia ialah melalui penglibatan di dalam komuniti, penglibatan sivik atau penlibatan di dalam aktiviti-aktiviti sosial.

Sebagai contoh, apabila belia memasuki umur 18 tahun, ada di antara mereka yang akan menyambung pengajian ke peringkat pengajian yang lebih tinggi dan mereka memerlukan bantuan pendidikan daripada kerajaan untuk membantu mereka meneruskan pengajian. Oleh itu, kerajaan telah memperuntukkan RM212 juta untuk sektor kerajaan pada belanjawan 2011 iaitu 2.8% lebih tinggi daripada jumlah yang diperuntukkan pada 2010. Menerusi peruntukkan ini, ia memberikan ruang yang lebih cerah kepada belia untuk menikmati peruntukkan yang diberi (The Star, 2010).

Bagi golongan belia yang berumur 30-40 tahun, kebanyakan daripada mereka telah memasuki alam pekerjaan dan ingin meningkatkan karier mereka. Mereka juga ingin mempunyai kereta dan rumah tersendiri. Oleh itu, kerajaan telah merangka banyak kemudahan kepada mereka seperti Skim Rumah Pertamaku yang telah diperkenalkan oleh kerajaan menerusi belanjawan 2011 khusus kepada belia yang berpendapatan kurang daripada RM 3000 sebulan. Menerusi skim ini, mereka akan diberikan pinjaman 100% tanpa perlu memikirkan mengenai wang pendahuluan sebanyak 10% (The Star, 2010). Oleh itu, ini akan mengurangkan beban mereka dan mereka akan berterima kasih kepada kerajaan. Pada tahap ini tahap kematangan belia adalah amat relevan dalam memacu sebarang kepimpinan belia.

Belia zaman ini seharusnya menyedari kedudukan, kelemahan dan kemampuan mereka. Kesemua itu mesti dijadikan iktibar dan pengajaran untuk mengharungi kehidupan alaf baru ini. Antara persoalan yang perlu mereka jawab adalah ke arah mana hala tuju mereka dalam membawa negara di alaf baru ini. Apakah peranan yang agak signifikan yang mereka mampu sumbangkan kepada agama, keluarga, bangsa dan negara. Bagaimanakah mereka akan mencorakkan senario moral dan sosial negara dalam alaf baru ini. Pencapaian yang bagaimana akan mereka tunjukkan dalam arena pendidikan negara. Sememangnya pencapaian akademik dan ilmu itu sentiasa menjadi ukuran dalam mana-mana masyarakat di dunia ini. Hakikat ini bukan sahaja bertepatan untuk alaf ini yang dikuasai oleh revolusi teknologi maklumat, tetapi telah dibuktikan pada zaman sebelum revolusi industri, malahan juga akan memainkan peranan utama pada masa hadapan nanti. Kecemerlangan ilmu dan penyelidikan itulah yang akan membawa satu-satu masyarakat ke arah kehidupan yang semakin sempurna dan lebih cemerlang. Ilmu dan pengetahuan jugalah yang akan menjadikan satu-satu masayarakat itu dihormati dan disegani sebagai satu masyarakat unggul di dunia. Menyedari akan kepentingan ilmu ini, para belia harus menyedari apakah peranan dan sumbangan mereka dalam merancakkan lagi arus pembangunan ilmu. Apakah mereka mampu untuk mengembangkan lagi ilmu dan pengetahuan yang mereka ada untuk kesejahteraan orang lain atau sekadar menjadi pengguna pasif dan pemerhati sahaja. Dalam era globalisasi ini, tidakkah para belia mempunyai keinginan untuk turut sama menyumbang ke arah pembinaan satu masyarakat dunia yang canggih dan bertamaddun tinggi serta unggul. Mereka tidak harus lupa, dalam ajaran agama Islam juga ada menekankan akan kepentingan ilmu ini. 

Dalam sebuah hadis Rasul Allah S.A.W ada menyebut yang bermaksud ‘sekiranya kamu inginkan akhirat, hendaklah dengan ilmu, jika kamu inginkan dunia, hendaklah juga dengan ilmu, dan jika kamu inginkan kedua-duanya, hendaklah juga dengan ilmu.’
 
Di samping itu, para belia juga harus berperanan sebagai agen yang mampu untuk membimbing masyarakat ke arah kebaikan dan kesejahteraan. Sememangnya mereka amat perlukan bimbingan dari golongan yang lebih dewasa, tetapi pada masa yang sama mereka juga perlu membimbing diri mereka sendiri. Mereka mesti mempunyai inspirasi dalaman diri mereka bahawa mereka adalah sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab ke atas diri, rakan, keluarga dan bangsa, serta agama dan negara sendiri. Walaupun bukan semua orang itu boleh menjadi pemimpin kerana batasan masa dan peluang, tetapi dengan latihan dan pendidikan, mereka boleh menjadi pemimpin yang baik. Untuk para belia, antaranya mereka boleh menjadi pemimpin kepada rakan-rakan mereka sebagai pembimbing. Bimbinglah rakan sendiri supaya tidak terus dibelenggu oleh masalah ketagihan dadah yang sudah terlalu kronik, supaya meninggalkan perlumbaan motor haram, perjudian, arak, gangsterism, perlakuan sumbang dan pelbagai lagi. Dalam agama Islam sendiri, membimbing manusia ke arah kesejahteraan dan kebaikan adalah satu tuntutan yang wajib dilaksanakan. Ini bertepatan dalam Al Quran, surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud:

‘Kamu adalah sebaik-baik golongan untuk umat manusia kerana menyeru kepada kebaikan dan menghalang kejahatan, serta beriman kepada Allah’.

Pada umumnya, peranan para belia masa kini dan akan datang sudah pasti akan menjadi lebih mencabar kemampuan dan ketahanan mereka. Sebagai pewaris negara di masa hadapan, mereka mesti memperlengkapkan diri sendiri dengan pelbagai kelengkapan dan persediaan yang secukupnya umpama para pejuang yang sentiasa berlatih bagi menghadapi musuh di medan perjuangan. Seterusnya, bagi menghadapi semua ini, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendidik pemikiran dan sikap supaya menjadi lebih positif dan proaktif. Untuk menjadi proaktif, idealisme dan keazaman yang tinggi amatlah perlu.

Saya tertarik pandangan yang mengatakan umur 40 tahun untuk golongan belia yang diaplikasi di Malaysia ketika ini sudah tidak sesuai kerana mereka yang berumur 30 tahun ke atas sudah terlalu berusia untuk menerajui mana-mana persatuan belia.

Adakah tujuan awalkan had umur ini kepada 30 tahun adalah bagi membolehkan proses kematangan rakyat di negara ini akan menjadi lebih awal ? Adakah alasan negara lain mereka yang berumur 40 tahun sudah menjadi pemimpin negara tetapi di negara kita golongan ini baru hendak menjadi ketua persatuan belia.

Ada yang membandingkan bahawa pemimpin di Malaysia perlu menjadi seperti di Kanada seperti Justin Trudeau apabila menjadi Perdana Menteri paling muda di dunia. Beliau baru dilantik menjadi pemimpin negara Kanada selepas memenangi pilihan raya dengan menumbangkan Stephen Harper yang telah menjadi Perdana Menteri selama hampir 10 tahun. Kemenangan yang tidak dijangkakan ini telah membuatkan anak bekas Perdana Menteri lagenda, Pierre Elliott Trudeau turut mengembalikan negara Kanada yang konservatif berpuluh tahun menjadi liberal. Jika melihat sejarah, beliau anak bekas Perdana Menteri lagenda, Pierre Elliott Trudeau yang telah di asah bakat kepimpinan oleh ayahnya.

Di Malaysia sendiri telah terbukti Dato' Seri Najib  adalah pemimpin muda yang menjadi Menteri Besar Pahang pada umur 29 tahun .Adakah relevan membandingkan had umur belia dengan sifat kepimpinan?  Bagaimana pula nasib pemimpin yang naik daripada jalanan  ? Persoalannya dengan adakah kerajaan sendiri mengambil kira dasar peremajaan parti yang di gembar-gemburkan? Cuba lihat barisan kepimpinan adakah selari dengan dasar yang mereka laungkan acapkali bila ingin mengambil hati belia.

Adakah tidak drastik  dasar belia di turunkan secara mendadak sehingga umur 30 tahun atau perlu melalui fasa pertama bermula dengan umur 35 tahun seperti negara maju Singapura di mana belia mereka di iktiraf umur 35 tahun. Kajian terperinci perlu di buat agar pertubuhan belia tidak terkubur secara halus dan tanpa batu nisan.

Apakah kerajaan bersedia menyediakan platform pada golongan bawah 40 tahun untuk bersuara ? Apakah tujuan kewujudan parlimen belia yang berumur bawah 30 tahun ini di lihat relevan dan sudah cukup matang dalam memimpin belia atau sekadar sebagai tetamu di program-program politik dan majlis tertentu sahaja. Kenapa kerajaan tidak memperkasakan Parlimen Belia bawah 30 tahun tanpa menyentuh pertubuhan belia yang lain? Agenda Belia adalah agenda negara. Belia adalah aset terpenting negara. Saya tertarik kata Profesor Doktor Yusuf Al-Qardhawi ;

"Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku." 

Adakah kerajaan sudah bersedia melihat generasi belia akan datang terhimpit akibat ideologi kematangan  kepimpinan melalui umur belia di sekat atau terus mengikut arus ombak yang hanya meninggalkan buih-buih di lautan ?



Tuesday, May 17, 2016

Bila Melayu Hilang Kuasa

Melayu semakin hilang kekuatan untuk mempertahankan jati diri, hilang kuasa politik, semakin hilang keistimewaan hak yang dalam masa yang sama menghilangkan juga hak Islam pada agen Melayu di tanah Malaysia.
Bukti? Melayu terlalu mudah ‘diguna-guna’ dalam janji dan strategi bukan Melayu atau Melayu yang tidak melihat Melayu pada konteks Islam dengan pelbagai kisah akujanji, persepakatan atau gabungan agenda dan gerakan bersama.
Melayu jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi. Menurut Dr Ismail Md Salleh, pada 2004, jumlah pemilikan ekuiti orang Melayu dan bumiputera hanyalah RM100 bilion dan kemungkinan besar menjelang 2020, Melayu dan bumiputera masih tidak mampu untuk mencapai pemilikan ekuiti sebanyak 30%. Satu rumusan ringkas oleh Dr Ismail mengenai 3 faktor yang mengekang pencapaian Melayu dan bumiputera ini salah satunya ialah kelemahan mekanisme dalam melaksanakan agenda Melayu. (Wacana Bulanan DBP dengan Prof Dr Ismail Md Salleh- Ketidakseimbangan Pencapaian Ekonomi antara Kaum di Malaysia; Mengelak Bom Jangka)

Dalam isu pendidikan, bila dibenarkan saja penubuhan IPTS yang majoritinya bukan Melayu, dan tak terikat dengan kaum, senyap tiada siapa yang pertikaikan. Tapi, bila keutamaan dalam pengambilan pelajar di IPTA ditujukan kepada Bumiputera, boleh pula bukan Melayu merungut. Melambak bukan Melayu di IPTS yang jumlahnya telah melebihi 500 buah berbanding jumlah IPTA yang hanya 20 buah dan 24 politeknik bawah kerajaan. Sekarang, monopoli milik siapa? Siapa yang mendesak siapa? Dan siapa yang kena?
Melayu pecah! Hasilnya Melayu bertebar dengan karakter ekstrim, kacau-bilau atau berlepas diri. Itu pecahan masyarakat Melayu hari ini. Dan programmer yang menyusun strategi ini bagai tersembunyi. Tidak nampak siapa ‘kepala’ idea ini kerana Melayu diapit antara urusan bukan Islam atau Islam yang korup. Memang tiada pilihan.
Justeru, bagaimana mungkin kita mengumpul kembali ketuanan Islam pada agen utama bergelar Melayu di tanah Malaysia ini? Sedang konsep pemecahan Melayu dan terkedepannya agenda bukan Islam ini terus  dilaksana, didokong dari masa ke masa.

Mungkinkah lagi kita mengembalikan kekuasaan (siyadah) majoriti agen Islam (Melayu yang sejak berzaman sebati dengan Islam dalam pengamalan hidup) untuk melaksanakan agenda Islam sebagaimana berlaku pada kepimpinan asabiyyah Quraisy di tanah orang Ansar yang berbilang suku pada zaman Rasulullah dulu?
“Pemimpin Islam mesti dari Quraisy”. Ya! Asabiyah Quraisy (Muhajirin) mendapat kuasa kepimpinan di tanah orang Ansar (Madinah) yang bukan disebabkan Quraisy itu mulia dengan utusan Rasul atau  keberkatan kaum. Tapi, rahsia arahan ini adalah kerana kuasa/dokongan yang wujud pada Quraisy dan memberi kekuatan kepada pemimpin serta kuasanya itu akan ditaati. –Muqaddimah Ibnu Khaldun-
Kaum lain masih mampu bersatu pada perkara yang mengancam mereka sekalipun mereka juga berbeza fahaman politik. Mereka bersatu untuk kesamaan hak seperti yang didapati oleh pribumi. Matlamat MCA tak jauh dari DAP; menyediakan yang terbaik untuk kaum Cina. Juga DAP.

Cina bersepakat terutama dalam menjadi penguasa ekonomi di tanah Melayu. Sekalipun orang Cina tersebut buta huruf, tapi mereka akan turut membantu membeli akhbar Cina iaitu akhbar Sin Chew Jit Poh, iaitu antara akhbar yang mempunyai edaran dan keuntungan tertinggi di Malaysia.
Juga, mereka boleh bersatu dalam Perhimpunan Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Dhong Zhong) di Johor Bahru pada 6 November 2012 dan meluluskan 36 usul berhubung politik, pendidikan, budaya, agama dan sosial. Kandungannya sama seperti yang terkandung dalam tuntutan “Suqiu” 1999. Antara 17 tuntutan Suqiu yang telah dikemukan oleh 2,095 NGO Cina ini ialah kesamarataan agama, taraf Bumiputera dihapuskan, menghapuskan sistem ‘kuota’, kesamarataan peluang perniagaan di semua peringkat, serta mengkaji dan memansuhkan Akta Pelajaran 1996 iaitu membenarkan sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Bulan Ogos 2010, MCA pernah menggariskan 13 resolusi dalam Kongres Ekonomi Cina yang memuatkan permintaan terhadap kerajaan untuk mementingkan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.
Perlembagaan dicabar! Hak Islam terkontang-kanting di negara sendiri!
Dan, Melayu tak perlu mudah lupa akan kisah diperlekehkan sehingga mencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 selepas tamat Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Berbalik pada kita sendiri. Penyerahan kuasa atau mandat akan datang bakal diberikan kepada siapa?
Kemungkinan 1 ; mungkin kepada orang bukan Islam sekalipun mereka bukan majoriti dan tiada penekanan pada agenda Islam kerana mereka lebih ‘menguasai’ kebajikan rakyat, atau
Kemungkinan 2 ; kepada Muslim Melayu yang berwibawa yang akan tetap membawa agenda Islam.

Bayangkan Bila Melayu Hilang Kuasa. Apa pilihan kita ada ?

 

Wednesday, May 11, 2016

Tingginya jasa seorang guru

Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya

Demikianlah indahnya bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk Usman Awang mantan Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru. Ternyata puisi tersebut mengiktiraf insan mulia bergelar guru sebagai insan yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial seterusnya menjadi insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Malah, kejayaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan seorang guru yang dengan lembut dan sabarnya mendidik dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak didiknya. Justeru, memang tidak dapat disangkal lagi golongan guru merupakan barisan hadapan yang sangat penting dalam usaha menyediakan rakyat yang berpendidikan dan berakhlak mulia yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara ke arah kemajuan. Seterusnya generasi inilah yang bakal memacu pembangunan negara agar negara berada pada landasan yang tepat dan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang maju. Begitulah besarnya peranan, jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Oleh itu, apakah cara dan wadah yang paling bermakna dapat dilakukan oleh seseorang pelajar untuk menghargai jasa dan pengorbanan gurunya?

Memang tidak dapat dinafikan, golongan pelajar merupakan individu yang paling hampir dan amat mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi pelbagai ranjau dan liku kehidupan. Bermula di peringkat tadika sehinggalah ke menara gading, ilmu pengetahuan ditimba tidak putus-putus bagai air sungai yang mengalir. Bahkan ketika di sekolah, seorang guru umpama ibu dan ayah kepada pelajar yang mendidik dan mengawasi pelajar sejurus selepas sesi persekolahan bermula sehinggalah usai sesi persekolahan. Juseru pelajar mesti bergaul dengan guru persis seperti mereka bergaul dengan ibu bapa di rumah. Sebagai pelajar, mereka perlu berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar harus senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia apabila berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan memberi salam, mengucapkan salam sejahtera, serta ucapan terima kasih perlulah sentiasa bermain di bibir seorang pelajar. Bahasa yang sopan dengan nada suara yang lemah lembut semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar kerana adalah tidak wajar seseorang pelajar meninggikan suara di hadapan gurunya. Hormatilah guru sebagaimana kita menghormati ibu bapa. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru yang menjalankan tugasnya. Segala arahan dan suruhan guru dipatuhi. Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Selain itu, kejayaan yang cemerlang seseorang pelajar dalam pelbagai bidang sama ada kurikulum mahupun kokurikulum juga satu cara menghargai jasa seorang guru. Guru mana yang tidak gembira apabila anak didiknya mengukir kejayaan dalam peperiksaan. Hati guru yang mana yang tidak berbunga bangga apabila anak didiknya cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja penting untuk kecemerlangan diri tetapi dalam masa yang sama mampu menggembirakan hati seorang guru serta turut dapat mengharumkan nama sekolah. Kecemerlangan yang diperoleh secara langsung dapat menyejukkan hati guru yang mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu bertungkus-lumus dan berhati waja untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan yang diduduki seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM). Kejayaan yang tercipta diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih payah guru tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun keladi ataupun mencurahkan garam ke laut. Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar bahawa guru tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih.

Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para pelajar seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri dengan kegiatan negatif yang boleh merosakkan nama baik guru dan sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan perhatian oleh para pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan kegagalan guru mendidik para pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes dianggap terpencil, tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh negara seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, untuk mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas dan peranan yang dimainkan guru, para pelajar perlulah sentiasa mengamalkan perbuatan yang positif serta menjauhkan diri daripad terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa persekolahan. jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan penghormatan kepada guru yang telah banyak berjasa.

Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak lagi berkhidmat sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal ini sambutan Hari Guru perlulah diraikan sebaik mungkin dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semasa sambutan Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka sebagai menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan madu kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru. Sesungguhnya guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak didiknya walaupun telah banyak ilmu dicurahkan kepada bakal pemimpin negara pada masa depan ini. Tingginya jasa seorang guru hanya Allah mampu membalasnya.





posted from Bloggeroid