Sunday, March 27, 2016

RASUAH jalan pintas ke neraka

PERKATAAN ‘rasuah’ berasal daripada perkataan Arab, ‘al-risywah’. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.
Di negara ini, dari segi undang-undang, semua perbuatan ‘memberi dan menerima suapan’ adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Berikutan kes rasuah yang melibatkan pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan rasuah bernilai RM 107 Juta. Hal ini menjadi gegaran kepada dunia penajwat awam dan menjadi isu hangat. Persoalannya ketirisan ini adakah berlaku kerana cintakan dunai yang lebih atau sememangnya menjadi satu tabiat.
Rasuah bukanlah satu fenomena baru. Ia suatu fenomena universal tanpa batasan waktu dan tempat. Tiada negara boleh mendakwa bebas daripada jenayah rasuah. Kewujudannya bermula sejak sejarah peradaban manusia yang dinodai oleh sifat-sifat tamak dan haloba. Rasuah merupakan satu jenayah berat yang mudah menular ke dalam sistem hidup masyarakat.
Membanteras gejala rasuah di dalam masyarakat adalah satu jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh Allah SWT. Perbuatan ini dengan sendirinya mencemar Islam dan negara. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat, malah mereka telah mengakibatkan agama Islam tercela dan negara musnah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk neraka.”
Rasuah terus bermaharajalela, amaran Nabi SAW tidak sedikitpun menakutkan mereka. Tetapi buat mereka yang imannya sudah diselaputi oleh serakah duniawi, sabda Rasulullah SAW itu tidak akan mencecah ke hati nuraninya. Rasulullah SAW juga meramalkan akan datang muncul satu zaman yang mana manusia menjadikan wang sebagai berhala mereka.
Setiap kepingan wang atau dolar menjadi agama mereka. Perut-perut mereka menjadi tuhan-tuhan mereka. Perempuan-perempuan mereka menjadi kiblat mereka. Imam mereka sudah hilang kecuali namanya sahaja. Seks menjadi tumpuan mereka. Kemuliaan seseorang itu akan diukur berdasarkan kekayaannya.
Dalam hal ini, terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan baginda melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah. Rasuah adalah satu daripada dosa besar manakala rasuah paling keji dan besar dosanya ialah rasuah berkaitan hukum. Ini kerana hukum ditetapkan oleh Allah SWT, sementara manusia hanya pelaksana.
Dalam konteks rasuah di Malaysia, paling banyak kita menerima laporan ialah mengenai salah laku penjawat awam kerana seolah-olah mereka sahaja yang bersalah dalam hal ini. Sebenarnya, yang patut juga dipersalahkan ialah tangan yang memberi kerana dalam sistem persaingan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat dan tujuan.
Persoalan yang melingkari penjawat awam, misalnya dalam kes yang melibatkan negara kehilangan lebih satu bilion ringgit ekoran masalah kutipan cukai oleh pihak berkuasa kastam memberikan gambaran seolah-olah penjawat awam sahaja yang bersalah. Penjawat awam dikatakan menerima sejumlah wang bagi memberikan laluan kepada kemasukan barangan yang diisytiharkan cukai yang rendah ataupun dilepaskan begitu sahaja.
Seharusnya pihak SPRM perlu juga membuat penyiasatan mendalam mengenai kejujuran syarikat atau orang perseorangan yang membawa masuk barangan tersebut. Tanpa membuat siasatan dan bertindak mengenakan hukuman yang berat ke atas syarikat terbabit, maka semakin lama akan menyebabkan penjawat awam terasa seolah-olah mereka terus dijadikan kambing hitam dalam usaha kerajaan menghapuskan gejala rasuah dalam masyarakat.
Perlu juga disiasat secara jelas apakah motif sebenar sesebuah syarikat yang banyak bertindak sebagai ‘philanthropist’ atau dermawan dengan mengeluarkan bantuan dan tajaan dalam jumlah yang besar kepada sesebuah badan sukarela ataupun pertubuhan. Apakah syarikat-syarikat itu benar-benar ikhlas sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya?
Perbuatan rasuah sejak permulaan sejarah lagi sudah berlaku. Rasuah datang dalam pelbagai kaedah. Ada melalui acara permainan golf, janji pakej umrah malah tidak keterlaluan rasuah menggunakan wanita cantik untuk memperoleh sesuatu perkara yang dihajatinya, selain menggunakan wang dan menaja percutian mewah seseorang. Kebiasaannya, orang yang dijadikan sasaran ialah mereka yang mempunyai kedudukan atau ada kuasa membuat keputusan berhubung dengan apa yang diinginkan itu.
Contoh klasik mengenai perkara ini boleh kita lihat melalui hubungan cinta antara Samson dan Delilah. Samson merupakan seorang panglima besar dan tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa. Disebabkan ketaksubannya terhadap kecantikan Delilah, mereka akhirnya terjerat dengan kesilapan sendiri. Samson mendedahkan kelemahan yang ada pada dirinya, iaitu rambutnya yang panjang dan tidak pernah digunting.
Mengetahui kelemahan tersebut, pada suatu hari ketika Samson tertidur di pangkuan Delilah, rambutnya digunting. Selepasnya kekuatan Samson menjadi lemah, dan ketika itulah seluruh kerajaan yang dipimpin oleh Samson jatuh dan menjadi milik penduduk Palestin. Legenda itu kemudiannya dijadikan asas permusuhan antara Islam dan Kristian sehingga menerbitkan rasa marah yang mendalam. Legenda itu kemudiannya dibangkitkan kembali oleh tentera Perang Salib untuk membunuh kekuatan empayar Islam.
Menurut anggaran terbaru, negara dikatakan mengalami kerugian besar jika gejala rasuah tidak dapat dibendung. Baru-baru ini didedahkan pula lebih RM1 bilion telah berlegar dalam kelompok tertentu sehingga menyebabkan SPRM membuat sasaran untuk mendapatkan kembali RM3 bilion menerusi siasatan yang melibatkan kakitangan kastam secara besar-besaran. Lebih enam puluh orang telah disiasat dan sebahagian besar sedang menunggu untuk didakwa di mahkamah.
Kesedaran mengenai keburukan rasuah yang dikempenkan setiap masa nampaknya kurang memberi kesan menyeluruh. Dengan menjadikan penjawat awam sebagai sasaran utama, ia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang bermaruah, kerana puncanya masih belum dapat dibasmi sepenuhnya.
Disebabkan rekayasa perniagaan moden memerlukan persaingan, maka syarikat yang inginkan projek kerajaan sanggup memperuntukkan sebahagian kecil wang untuk melobi dan belanja keraian tertentu asalkan projek itu menjadi miliknya.
Senario ini perlu diselidiki secara mendalam jika kita ingin menghapuskan rasuah. Persoalan rasuah adalah tidak sama dengan tanggapan apabila penawaran menjadi lebih kecil manakala permintaan semakin meningkat, menyebabkan perlumbaan menjadi sengit. Asas persaingan adalah membentuk suasana pertandingan yang sihat, tetapi tentunya ada muslihat lain di sebalik persaingan tersebut. Inilah yang seharusnya dibasmi secara menyeluruh oleh SPRM ataupun pihak berkuasa.
Seseorang penjawat awam yang dikaitkan dengan rasuah haruslah diurus dengan baik dan tidak menjadikan mereka berada dalam tekanan yang melampau. Kemungkinan rasa tertekan yang dialami oleh mereka yang tertuduh menyebabkan lebih menyakitkan hati penjawat awam apabila mereka dibawa ke balai polis dengan tangan bergari. Mereka seharusnya diberikan layanan yang mesra, dan cara siasatan yang tidak menyebabkan tertuduh terasa bagaikan berada dalam suasana aib yang besar.
Persoalan mengurus mereka yang tertuduh perlu dilaksanakan secara berhemah. Meskipun mempunyai bukti, tetapi sebenarnya berdasarkan undang-undang, selagi mahkamah belum membuat keputusan bersalah, maka tertuduh perlu dilayan sebaik mungkin.
Pihak yang mengurus usaha membanteras rasuah sepatutnya juga dapat mencari bukti untuk mendakwa mereka yang memberi rasuah. Pemberi rasuah perlu dikenakan hukuman lebih berat berbanding mereka yang menerima. Jika pemberi rasuah dikenakan hukuman lebih berat, bermakna intensiti penjawat awam melakukannya adalah kecil kerana tidak ada pihak terlalu terdesak meminta untuk diberikan kelonggaran atau pelenturan undang-undang.
Semua pihak perlu memperkuatkan iktikad dan semangat untuk membanteras rasuah. Orang politik khususnya perlu menjadi kumpulan pendesak yang kuat kerana teladan yang diperoleh penjawat awam membekas dalam karier mereka sendiri. Jangan jadi ketam anak berjalan lurus.



Saturday, March 26, 2016

Apa tinggal untuk legasi politik Melayu ?

Cuba lihat apa kata Sayidina Muawiyah apabila kerajaan Kristian cuba mempengaruhinya bagi menjatuhkan ‘rival’ politiknya Sayidina Ali. Beliau menulis kepada raja Kristian, “Saya telah mengetahui bahawa anda beranggapan pemerintahan Ali lemah, dan memutuskan untuk menyerangnya kerana beranggapan Muawiyah tidak akan membantu Ali. Demi Allah, sangkaan anda keliru. Ini adalah masalah ‘ghairat’ Islam. Jika anda berani menyerang Ali maka diantara tentera-tentera yang berperang di puhak Ali, Muawiyah akan berdiri di barisan paling hadapan!”

Barangkali sudah tiba masanya wujud aliran ketiga dalam senario politik Melayu. Yakni golongan yang boleh dan mampu berpolitik secara matang dan profesional dalam bidang masing-masing. Mereka yang lebih objektif, rasional dan ‘gentleman’ dalam menghadapi perbezaan pegangan politik.

Namun keprihatinan, kesetiaan, komitmen dan kecintaan mereka terhadap agama, negara dan bangsa tidak diragukan. Aktiviti politik mereka mungkin terhad pada musim pilihan raya sahaja, tetapi sebaik sahaja rakyat membuat keputusan dan pembentukan kerajaan (sama ada pusat atau negeri) telah disahkan oleh perlembagaan, mereka akan berkerja penuh tekun, disiplin dan amanah di sektor-sektor yang telah dipertanggung-jawabkan.

Jika dasar yang mereka dukung dirasakan tidak sesuai, itu tidak dijadikan alasan untuk ‘mensabotaj’ kerajaan ‘dari dalam’, sebaliknya ditegur dan dibaiki mengikut peruntukan dan peraturan yang sedia ada. Atau jika masih tidak berjaya juga mereka akan ‘berpolitik’ dengan menggunakan kuasa undi yang ada di tangan mereka pada pilihanraya yang akan datang.

Perlu adanya golongan menengah Melayu yang mempunyai pegangan yang mantap dengan Islam di sudut keyakinan dan keimanan (fardu Ain) sekaligus mempunyai kemahiran dan ilmu dalam bidang-bidang profesional seperti ekonomi, kejuruteraan, kedoktoran, kebudayaan dan lain-lain (fardu Kifayah).

Dengan sifat Mukmin mereka mampu memperbaiki keadaan orang Melayu yang sedang diserang oleh pelbagai gejala sosial, jenayah dan keruntuhan akhlak. Manakala dengan kepakaran dan ilmu yang tinggi, mereka mampu menyelesaikan masalah Melayu yang ketinggalan di bidang ekonomi, akademik, teknologi dan sains.

Mereka mungkin mempunyai satu persepsi yang berbeza dengan mengenengahkan satu keyakinan baru bahawa tidak ada mana-mana parti politik pun yang boleh mendakwa survival bangsa Melayu terletak ditangan parti tersebut, tetapi sebalik survival parti tersebutlah yang bergantung kepada orang Melayu.

Adalah tidak tepat jika bangsa Melayu cuba dimajukan secara reaktif, yakni dengan saranan menyandarkan kekuatan mereka kepada ‘public victory’ (pada parti), sedangkan mereka seharusnya dibangunkan secara proaktif dengan membina kekuatan diri sendiri (‘personal victory’) terlebih dahulu.

Parti yang kuat tidak menjamin bangsa yang kuat, kerana perjuangan bangsa, negara dan agama tidak boleh berhenti walau apapun masalah yang melanda parti. Parti Kongres boleh ditinggalkan apabila rakyat India melihat Kongres hilang upaya oleh masalah dalamannya. Parti Kaomintang yang begitu berjasa, ditinggalkan oleh rakyat Taiwan apabila dilihat kurang demokratik terhadap pandangan generasi baru negara.

Begitu juga Golkar di Indonesia, LDP di Jepun dan di mana-mana jua – hakikatnya parti hanyalah satu jalan kecemerlangan bangsa, agama dan negara adalah matlamat. Matlamat hanya ada satu, tetapi jalan mencapainya banyak. Bangsa yang bijak tidak akan meletakkan hanya satu jalan sahaja untuk menuju matlamatnya!

Pandangan ini seharusnya tidak dicurigai, justeru orang Melayu juga yang akan mendapat manfaatnya jika ada dua bentuk aliran perjuangan di kalangan orang-orang Melayu kini. Tidak kira sama ada aliran yang memperkuatkan parti orang Melayu untuk menguatkan bangsa Melayu ataupun aliran yang menguatkan bangsa Melayu secara lansung tanpa penyerahan total kepada sesebuah parti, maka jika kedua-duanya aliran ini bergerak secara lancar, sudah tentu bangsa Melayu-Islam juga akan mendapat manfaatnya. Inilah kematangan berpolitik namanya.

Aliran ketiga ini bebas untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada pihak NGO, parti politik (kerajaan atau pembangkang), organisasi korporat, tanpa melihat dan dilihat secara prajudis. Asalkan peluang diberikan, sarana logistik memadai, prinsip asas Islam serta kepentingan bangsa dan peraturan negara dapat dijaga, maka mereka boleh bekersama dengan siapa sahaja untuk membina kecemerlangan. Mungkin ini yang dikatakan ‘tidak ke mana-mana tetapi ada di mana-mana’.

Idea perlu ujudnya aliran ketiga ini bukanlah untuk lebih memecahkan orang Melayu, tetapi hanya untuk menangani perpecahan yang sedia ada dengan satu cara yang lebih matang, diplomasi dan intelektual. Inilah yang berlaku di kalangan profesional, pendakwah dan tenaga kerja Islam sewaktu berlaku perbezaan politik antara Sayidina Muawiyah dan Sayidina Ali.

Yang ‘bergaduh’ atas ijtihad masing-masing ialah kedua pemimpin itu… Tetapi masyarakat Islam yang lain terus menumpukan kepada bidang dan peranan masing-masing. Sebab itu sejarah membuktikan bahawa perkembangan dakwah Islmiah, ilmu pengetahuan Islam, empayar Islam dan kemajuan-kemajuan yang lain tidak terhenti sekalipun terjadi peperangan antara kedua-dua sahabat besar itu.

Maksudnya, tidak semua golongan meninggalkan tugas mereka untuk turut bersama-sama berpolitik dengan Sayidina Ali dan Muawiyah. Bahkan mereka terus berkerja dengan gigih dan profesional kerana meletakkan kepentingan Allah dan Rasul tertinggi di atas segala-galanya. Jika tidak masakan Islam boleh terus berkembang dengan cepat dan meluas?

Sayangnya, minda kita sedikit terusik apabila modal wacana parti-parti politik bukanlah lagi terfokus kepada idea, perancangan dan program memperkasa umat yang bertaraf tinggi. Sebaliknya lebih pada agenda picisan yang diwarnai oleh mainan kata, sindirian, ejekan, dan sebagainya.

Apa yang umat Melayu dapat dari ‘wacana’ seperti ini? Apakah ini yang dinamakan kematangan berpolitik? Baik pada yang memulakan isu, mahukan pada yang memainkan isu, gejala politik ‘lipstik’ dan ‘kosmetik’ ini seharus tidak dibiarkan mengisi ruang minda dan pemikiran Melayu.

Inilah yang akan menyuburkan budaya taksub sama ada atas jenama agama ataupun bangsa di kalangan orang-orang Melayu. Sedangkan apa yang diperbalahkan itu (tidak kira mana pihaknya) belum tentu relevan untuk memajukan bangsa dan agama.

Mungkin itu cuma agenda politik, bukan agenda Melayu apalagi agenda Islam. Kata orang, ‘What we see depends mainly on what we look for’, maka bangsa Melayu seharusnya melihat perkara-perkara besar untuk mendapat manfaat yang besar.

Mungkin kita tidak akan dapat menghapuskan perbezaan pandangan, sikap dan worldview tentang banyak perkara di kalangan orang-orang Melayu, tetapi kita boleh membina satu kematangan dan keharmonian untuk ‘menguruskan’ perbezaan ini. Marilah kita sinergikan perbezaan ini menjadi satu ‘perkongsian pintar’ bukan sebagai satu pertentangan. Ingatlah, tidak semestinya setiap perbezaan adalah satu pertentangan! Apa lagi yang tinggal untuk Melayu ?


Saturday, March 19, 2016

Rasuah dan kehancuran negara

Perkembangan dunia mengenai isu Greece (Yunani) yang tercekik dengan hutang. Pemberi hutang seluruh dunia meminta wang mereka kembali dan kerajaan ini tidak mampu membayar hutang tersebut dengan masa dan jumlah yang ditetapkan. Ini menyebabkan saya tertanya-tanya apakah yang menyebabkan kerajaan ini tenat sehinggakan ianya tidak mampu membayar duit kepada para pesara mereka?

Satu faktor daripada ribuan yang menyebabkan tragedi ini terjadi adalah budaya rasuah yang menjadi darah daging kerajaan dan masyarakat Yunani. Jika anda seorang yang pernah memberi duit kopi, begitulah juga kebanyakan rakyat Yunani. Duit kopi di dalam bahasa Yunani bebunyi ‘Fakelaki’ yang bermaksud sampul surat kecil. Fakelaki diserahkan bersama fail kepada kakitangan kerajaan untuk mempercepatkan temujanji dan juga untuk memudahkan proses mendapatkan permit dan sebagainya. Dianggarkan sebanyak 3,5 billion Euro digunakan oleh rakyat Yunani untuk merasuah kakitangan dan jabatan-jabatan kerajaan. Kakitangan kerajaan merupakan sejumlah besar daripada penduduk Yunani. Pada tahun 2011 dianggarkan suku daripadanya bekerja dengan kerajaan.

Rasuah melemahkan negara Yunani. Dengan rasuah banyak perniagaan gelap berleluasa seperti pelacuran, pengedaran dadah, penyeludupan barangan tanpa cukai dan sebagainya. Sempadan negara Yunani juga lemah dengan rasuah. Kemasukan penjenayah daripada negara luar menyebabkan separuh daripada jenayah di Yunani dilakukan oleh pendatang luar.

Rasuah yang berleluasa menyebabkan pendapatan kerajaan Yunani berkurangan. Para usahawan dan peniaga lebih sanggup membayar rasuah daripada membayar cukai. Duit yang sepatutnya mengalir untuk kemakmuran rakyat masuk ke poket kakitangan kerajaan. Ahli politik Yunani pernah mengeluarkan kenyataan bahawa sukan rasmi rakyat Yunani adalah mengelak cukai! Satu sukan yang mahal kerana ianya menyebabkan cukai berjumlah 30 Billion Euro menjadi abu dan asap.

Kecewa dengan keadaan negara yang parah ini ramai rakyat Yunani berhijrah ke luar. Dianggarkan 3 juta rakyat Greece tinggal di luar berbanding sejuta rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara buat masa ini. Ramai antara mereka berpendidikan tinggi dan juga usahawan yang berjaya.

Sebagai contoh adalah George Koukis yang mempunyai harta berjumlah 500 juta Euro. Kekayaannya adalah hasil kerja kuat setelah beliau keluar daripada Yunani. Beliau kini tinggal dan membayar cukai di Switzerland. Beliau amat lantang mengkiritik kerajaan dan juga tabiat buruk rakyat Yunani. Di dalam satu temuramah Koukis menyatakan pencuri besar duit negara Yunani adalah tidak lain daripada golongan pemimpin negara yang terlalu lama berada di atas sehinggakan mereka tidak dapat membezakan yang mana poket sendiri dan poket kerajaan. Rakyat pula sangat bodoh memilih kelompok yang sama untuk memerintah negara Yunani. Memang benar, pemimpin politik di negara Yunani terdiri daripada sanak-saudara dan kenalan daripada empat dinasti iaitu Papandreou, Karamanlis and Mitsotakis. Merekalah yang menguasai politik Yunani sejak tahun 1944 lagi.

Namun Yunani yang tenat ini akhirnya sedar sedikit pada tahun 2015 mereka akhirnya mempunyai seorang Perdana Menteri yang bukan daripada dinasti ataupun golongan atasan. Perdana Menteri yang berusia 40 tahun ini mewarisi segala kekacauan dan kekalutan yang sudah berakar umbi. Mampukah beliau menyelamatkan negara yang dahulunya sangat gemilang ini?

Kisah Yunani ini merupakan kisah ulangan tamadun manusia. Ianya pernah berlaku beratus-ratus kali dan sudah pastinya akan berulang kembali. Masyarakat manakah yang akan menghadapi tragedi yang sama seperti ini? Lihatlah ciri-ciri di atas, jika ianya wujud pada sesuatu masyarakat, maka ianya mengikuti jalan yang sama seperti negara Yunani.

Saya teringat petikan terjemahan Surah Ar-Rad Ayat kesebelas yang berbunyi, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.

Saya teringat kata-kata Dato Seri Zakaria Jaafar bekas Timbalan Pesuruhjaya SPRM yang kini merupakan Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia kita jangan benarkan seorang yang menaiki kapal menebuk kapal bagi minum air. Jangan biarkan kapal karam akibat daripada nafsu manusia. Adakah sejarah kejatuhan kerajaan Melayu Melaka 1511 akan berulang ?




Thursday, March 17, 2016

Relevankah Himpunan Jatuh Kerajaan ?

Malaysia, Kuala Lumpur khususnya, telah menyaksikan beberapa perhimpunan aman beberapa tahun kebelakangan ini. Apa yang dikatakan sebagai perhimpunan aman, bertukar ganas. Ada apa-apa yang telah berubah sejak perhimpunan-perhimpunan tersebut? Adakah perhimpunan jalanan mempunyai kesan ke atas kerajaan dan ahli politik? Apa manfaat petisyen online kepada Rumah Putih berkenaan Kerajaan Malaysia?

Satu-satunya perkara yang berlaku adalah perhimpunan yang bertukar ganas ini telah menjadikan Malaysia tumpuan perhatian antarabangsa. Barack Obama masih lagi datang ke Malaysia untuk mengeratkan hubungan diplomatik. Najib masih ke US untuk bermain golf dengan Obama. Narendra Modi masih lagi datang ke Malaysia dan menjemput Malaysia melabur di India. China masih lagi berhasrat untuk meningkatkan dagangan dengan kerajaan. David Cameron masih lagi meneruskan lawatan luarnya ke Malaysia. Anwar Ibrahim masih lagi mereput di dalam penjara. Jadi apa yang telah dicapai?

Kesan Perhimpunan Jalanan? Perhimpunan jalanan tiada apa-apa selain menyusahkan peniaga yang jujur dan amanah yang bekerja sepanjang masa untuk menyara hidup. Harta benda dirosakkan, sampah dibuang merata, orang ramai tercedera dan perniagaan mengalami kerugiaan.

Anda hanya akan menyusahkan orang lain yang kononnya nasibnya anda perjuangkan. Akan terdapat seorang yang akan memulakan kekacauan dan akan menjadi huru hara. Penganjur perhimpunan sebelum ini mengatakan pencetus kekacauan ini merupakan upahan pihak ketiga untuk memulakan huru hara. Jangan salahkan sesiapa jika itu berlaku kerana anda telah memberikannya platform untuk bertindak demikian.

Apabila video keganasan perhimpunan jalanan disiarkan di televisyen dan laman sosial media serata dunia, apa yang dicetuskan adalah perasaan takut. Sektor pelancongan pasti terkena tempiasnya. Syarikat asing mengelak melabur di Malaysia. Lebih teruk, syarikat antarabangsa menutup hub mereka di Malaysia dan berpindah ke negara yang lebih ‘selamat’. Ini akan menyebabkan kesan domino. Ramai akan kehilangan kerja. Ekonomi negara terumbang ambing. NIlai ringgit turun, inflasi dan cukai naik.

Dalam jangka masa panjang, orang yang sama berjalan ketika perhimpunan ini adalah orang yang akan menderita. Ahli politik tidak akan terjejas.

Isu telefon bimbit yang kecil di Low Yat baru baru ini telah mencetuskan ketegangan perkauman. Bayangkan, di dalam masa yang menguji ini, ada yang tidak bertanggungjawab dan mencetuskan kekacauan sebegini di perhimpunan jalanan? Jika keadaan menjadi tidak terkawal, penganjur dan peserta mesti bertanggungjawab.

Adakah Kita Patut Berdiam Diri? Semestinya tidak. Itu adalah jenayah yang lebih besar. Terdapat cara yang mematuhi perlembagaan untuk menjatuhkan kerajaan. Fikirlah bagaimana. Jika anda tidak mempunyai kemampuan berfikir, janganlah pula merosakkan apa yang ada dengan turun ke jalan raya.

Laksanakan tanggungjawab anda di kotak undi. Jika anda mempunyai masa lapang, pergi ke kawasan kubu kuat Barisan Nasional dan yakinkan penduduk di sana supaya jangan mengundi BN lagi kerana pemimpin korup tetapi perlu penilaian yang adil. Walaupun ianya pilihan yang lebih sukar, ia merupakan pilihan yang betul. Jika 52% yang mengundi pembangkang tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan, usahakan untuk 70% pula.

Jika anda mahukan negara Malaysia yang sentiasa mengadakan perhimpunan jalanan walau kerana terdapat kenaikan harga lampin bayi dan menukar PM setiap tahun teruskan dengan perhimpunan.

Bayangkan keluarga yang dah merancang percutian di Kuala Lumpur. Bayangkan anggota polis yang dah merancang dan membayar untuk percutian keluarga. Semuanya perlu dibatalkan. Adakah penganjur dan mereka yang ingin menyertai perhimpunan ini akan membayar pampasan atas kerugian mereka?

Jika anda percaya polis anti pembangkang, maka galakkan anak anda untuk menjadi pegawai polis. Berhenti pekerjaan anda sekarang dan mohon untuk menjadi pegawai polis dan tegakkan apa yang anda percaya betul.

Turun ke jalanraya untuk berhimpun tidak akan mengubah apa-apa. Ianya tindakan yang gilakan publisiti. Lihat apa yang berlaku di Mesir melalui Arab Spring dan Tanah Arab yang jatuh akibat demonstrasi jalanan adakah mereka masih aman?

Negara yang jatuh akibat demontrasi nanti pasti akan jatuh akibat demonstrasi dan contoh terdekat di Thailand. Tidak kira anda warna merah atau kuning pasti akan mewujudkan perbalahan antara satu sama lain. Bila ia akan berhenti?

Tunjukkan kuasa kita di kertas undi. Anda mampu mengubahnya. Kita merancang tetapi Allah sebaik-baik perancang.



Wednesday, March 16, 2016

Hapuskan Sekolah Vernakular !

Sikap militan kaum Cina mempertahankan sistem sekolah imigren dari negara asal menimbulkan persoalan. Adakah benar ia bertujuan untuk mempertahankan budaya mereka? Atau adakah sesuatu terselindung disebalik alasan untuk mempertahankan budaya mereka?

Sebenarnya orang Cina tidak ada masalah untuk mempelajari bahasa negara-negara maju. Cuba dilihat orang-orang Cina yang berada di Amerika, mereka sedia bertutur harian dalam bahasa Inggeris loghat cakap Amerika. Mereka sedia asimilasi dengan suasana budaya negara tersebut.

Apa masaalahnya di sini? Adakah kerana orang Cina minoriti dari segi jumlah tetapi majoriti dari segi ekonomi dan ini menjadikan mereka bersikap angkuh?

Orang Cina sebagai kaum yang berniaga dan berdagang rata-rata adalah kaum yang pragmatik. Tetapi mereka juga bijak dalam mencongak dalam bertolak ansur. Disatu aspek mereka kononnya beralah tetapi ianya mungkin helah untuk mencapai sesuatu yang lebih untung dan lumayan.

Tidak dapat tidak, perlu diakui perjuangan dan kepentingan mereka adalah ekonomi. Orang Cina tidak akan mahu melihat kekuatan mereka terancam. Setiap peniaga Melayu mempunyai pengalaman di sabotaj ramai-ramai oleh pakatan kaum Cina yang dalam keadaan biasa akan bersaing sesama mereka.

Adakah sekolah Cina dipertahankan sebagai salah satu senjata tersirat untuk mereka mengekalkan kuasa ekonomi? Fikirkan ?

PARA majikan syarikat swasta yang dikuasai oleh kaum Cina di negara ini wajar akur terhadap gesaan kerajaan supaya menghentikan amalan mengenakan syarat penguasaan bahasa Mandarin untuk melantik individu mengisi jawatan kosong.

Jika ia diteruskan bermakna jawatan di sektor swasta yang dikuasai kaum itu hanya menjurus untuk mereka berketurunan Cina sahaja.

Jika ditinjau, isu penggunaan syarat penguasaan bahasa Mandarin sudah dibangkitkan lima tahun lalu, berikutan peningkatan puluhan ribu mahasiswa bumiputera gagal mendapat pekerjaan dalam sektor swasta.

Setelah beberapa kali isu ini dibangkitkan, ia bagaikan tidak diendahkan. Kini timbul persepsi bahawa sektor awam yang antara lain mensyaratkan lulus bahasa Malaysia dilihat untuk orang Melayu.

Sementara sektor swasta yang banyak dikuasai syarikat Cina hanya untuk mereka yang menguasai bahasa Mandarin. Apa akan terjadi jika jurang rasa tidak puas hati mengenai persepsi itu dibiarkan.

Hakikatnya agak sukar untuk menarik kaum Cina yang berkelayakan untuk berkhidmat dengan jabatan dan agensi kerajaan.

Kajian mengenai fenomena ini pernah dilakukan, tetapi ia berlalu pergi tanpa tindakan untuk memperbaiki keadaan.

Begitu juga di sektor swasta yang terus dengan persepsi perkauman tatkala masyarakat majmuk negara ini telah hidup bersama-sama sejak lebih 50 tahun lalu.

Gejala ini sepatutnya tidak timbul lagi seandainya para majikan Cina sedia mempunyai nilai tatasusila hubungan baik antara kaum dan menolak sebarang amalan diskriminasi.

Mungkin ada majikan yang berpendapat mereka mempunyai hak sepenuhnya untuk menentukan wajah muka pekerja yang mereka ambil dengan hanya menuruti perhitungan kepentingan komersial semata-mata.

Tetapi kita percaya bahasa Mandarin seharusnya tidak boleh dijadikan syarat umum yang jelas merupakan suatu amalan diskriminasi bahasa, lebih-lebih lagi bagi bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan negara ini.

Walaupun dunia perniagaan di negara ini didominasi oleh satu kaum, itu tidak bermakna majikan boleh mengamalkan diskriminasi dalam pengambilan pekerja hingga mewujudkan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan kaum lain.

Namun begitu, jika diambil bekerja, peluang menjawat jawatan tinggi untuk kaum Melayu, India dan lain-lain perlu juga diambil kira. Bukan sekadar cukup syarat kuota dan memperalat mereka bagi mendapat projek dan tender kerajaan.

Sesungguhnya negara ini memberi tempat kepada semua kaum untuk mencari rezeki dan hidup aman. Untuk itu, kita harus sentiasa menjaga sensitiviti antara kaum walau dalam keadaan apa sekalipun. Ini kerana tanpa perpaduan antara kaum, negara yang aman, makmur dan maju tidak akan dapat dicapai.
Alasan yang sering didengari adalah untuk komunikasi dengan bos-bos dan taukeh-taukeh yang hanya fasih bercakap dan membaca dalam bahasa Cina. Adakah langsung mereka ini tidak boleh bertutur bahasa Melayu?

Kenapa perlu demikian? Sampai bila harus berterusan?

Selain itu, kononnya satu lagi alasan adalah kerana ekonomi Cina yang sedang membangun. Itu tak masuk akal kerana pada masa dahulu semasa ekonomi Cina tidak begitu maju diskriminasi yang sama tetap dilakukan. Berapa peratus perniagaan orang Cina melibat negara China?

Bahasa menjadi alasan mereka untuk hanya memberi peluang pekerjaan untuk kaum mereka. Dengan demikian, hanya penuntut-penuntut sekolah vernakular Cina saja yang akan dapat pekerjaan. Penuntut sekolah tersebut jugalah akan terus mendapat pendedahan dan peluang kepada perniagaan, industri dan kemahiran yang mereka kuasai.

Bolehkah disimpulkan pengekalan sekolah Cina dan penggunaan bahasa Cina mempunyai kaitan dengan diskrimiansi ekonomi? Adakah ini juga helah untuk terus mendominasi ekonomi dan mahu terus enggan berkongsi dengan kaum-kaum lain?

Jika demikian niat, sekolah Cina adalah pemangkin kepada diskriminasi kaum dalam ekonomi. Bolehkah ini menjadi sebab tambahan bagi sistem sekolah vernakular dihentikan. Nampaknya ia seolah-olah meningkatkan diskriminasi antara kaum! Hapuskan Sekolah Vernakular !


Saturday, March 12, 2016

Dunia, Malaysia dan Rasuah

Rasuah berlaku di sektor awam dan swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2007 menyatakan: "Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill."

Rasuah sebagai antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran - ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna - hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda - kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar - subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang, dan peningkatan kemiskinan. Antara tahun 2001 hingga 2010, hampir enam trilion dolar disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa.

Dianggarkan, setiap tahun, satu trilion dolar pengubahan wang secara haram berlaku di negara-negara miskin dan kurang membangun; dianggarkan juga, setiap tahun, 38 ke 64 bilion dolar hasil dalam bentuk cukai di negara sedang membangun, tidak dipungut kerana rasuah.

Ketirisan satu trilion dolar, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun; kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur, telah dilesapkan. Perangkaan tahun 2012 mendedahkan, separuh daripada 61 juta kanak-kanak yang tercicir sekolah rendah berlaku di Sub Saharan Afrika.

Jika rasuah berjaya dihapuskan di Sub Saharan Afrika, setiap tahun, 10 juta kanak-kanak akan mendapat kemudahan sekolah, 500,000 guru boleh dilantik, dan lebih 11 juta penghidap HIV/AIDS dapat dibekalkan ubat antiretroviral.

Rasuah turut berlaku di negara maju - negara kaya, dalam pertubuhan antarabangsa; malah berlaku pada skala lebih besar, memberikan impak global hingga menjejaskan kehidupan insan di serata dunia. Bermakna, mereka di negara maju, tidak sebersih kain yang putih - tidak sejernih air di telaga zamzam.

Sektor swasta tidak sunyi daripada skandal rasuah. Pada tahun 2012, bank ternama antarabangsa dikenakan denda 21 bilion dolar atas pelbagai kesalahan membabitkan fraud, mengelak cukai, manipulasi kadar faedah dan pelaburan berisiko tinggi. Syarikat Siemens pada tahun 2008, telah mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah dengan menyediakan peruntukan 50 juta dolar, di bawah klasifikasi Bajet Rasuah Tahunan. Syarikat Siemens didenda 800 juta dolar di bawah akta The Foreign Corrupt Practices, Amerika Syarikat.

Pada tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Amerika Syarikat didenda 236 juta dolar di bawah akta yang sama. Selama 25 tahun, syarikat Walmart menjadi subjek Foreign Corruption Act; Walmart akhirnya mengaku secara konsisten telah membayar rasuah di Mexico antara tahun 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran China.

Institusi-institusi antarabangsa tidak bebas daripada pelbagai skandal. Nama baik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tercemar berikutan pendedahan skandal program 'oil-for-food' yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan syarikat di beberapa negara, antaranya, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman, Perancis, Russia dan Switzerland.

Program Millenium Development Goals (MDG), diperkenalkan pada tahun 2000, bertujuan membantu nasib lebih satu bilion manusia yang berpendapatan kurang daripada satu dolar sehari; rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi meningkat 48 bilion dolar lebih tinggi.

Sumber ekonomi dan kegiatan ekonomi di bawah sistem pemerintahan komunisme terletak di bawah kawalan langsung negara. Maklumat dikawal secara ketat, media berada di bawah kawalan pemerintah dan masyarakat awam tidak mempunyai kebebasan bersuara secara terbuka. Sistem pemerintahan sedemikian membolehkan akar rasuah tumbuh melata.

Bermula dengan era Deng Xiaoping pada tahun 1978, meskipun kekal dengan doktrin politik berteraskan komunisme, Negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baharu penswastaan.

Kekayaan baharu mencetuskan masalah baharu. The Washington-based Global Financial Integrity menganggarkan 2.83 trilion dolar telah dialirkan keluar secara haram dari China di antara tahun 2005 hingga 2011. Lebih 150 'economic fugitives' dari China, majoritinya terdiri daripada pegawai yang mempunyai rekod melakukan rasuah dilaporkan berada di Amerika Syarikat.

Sumber Reuters melaporkan Interpol mempunyai waran tangkap terhadap 69 warga China atas kesalahan rasuah, menggelapkan wang, fraud, dan sogokan. Xinhua News Agency pada Julai 2014, melaporkan sejak tahun 2008, 730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali.

Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang dilanda masalah rasuah; mengumumkan pendirian tegas bahawa kepemimpinan beliau berazam untuk membanteras rasuah. Dalam ucapan sulungnya selepas mengambil alih kepemimpinan negara, Presiden Xi antara lain menegaskan: "Inside the party, there are many problems that need to be addressed, especially the problems among party members and officials of corruption and taking bribes, being out of touch with the people, undue emphasis on formalities and bureaucracy; ...to forge iron, one must be strong."

Rakyat China diingatkan bahawa tentera China tewas kepada tentera Jepun pada tahun 1894 walaupun pertahanan China memiliki kapal yang mahal daripada Eropah. Sejarawan menyifatkan kekalahan China adalah disebabkan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin tinggi China ketika itu. Presiden Xi memberi amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika rasuah tidak dihentikan. Li Keqiang dalam sidang akhbar pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mac 2013, menegaskan: "stirring vested interest may be more difficult than stirring the soul...; clean government should start with oneself,. Only if one is upright himself should he ask others to be upright. After entering public service, we should give up all thought of making money".

Pegawai kerajaan dan menteri yang hidup mewah, mengadakan majlis keraian secara besar-besaran termasuk majlis perkahwinan, disiasat, diminta mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan anggota keluarga diperkenalkan dalam kalangan ahli parti dan anggota pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat hiburan dan pelacuran, dan tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak tahun 2013, lebih 200,000 pegawai dijatuhkan pelbagai hukuman.

Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan. Jika kerajaan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

India terkenal sebagai demokrasi terbesar dunia, memberi ruang kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Namun demokrasi yang mengizinkan kebebasan bersuara tidak banyak membantu membendung rasuah secara berkesan. Amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran negara. Ia dibimbangkan semakin merebak.

Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan. Pada 13 Mac 2001, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan penglibatan pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera.

Dua wartawan Tehelka.com menyamar sebagai ejen Syarikat West End International, berunding untuk mendapatkan kontrak bagi membekalkan peralatan keselamatan. Kamera dipasang secara sulit merakamkan transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman, Presiden Parti Bharatiya Janata menerima sogokan 100,000 Indian Rupee (2,170 dolar).

Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai kanan tentera minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000. Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.

Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah peringkat tinggi; tetapi kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai ejen Pakistan dan kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan kerajaan.

Direktorat Badan Perisikan India, Pihak Berkuasa Percukaian, Jabatan Kastam dan Polis, bergabung tenaga, melakukan pelbagai siasatan terhadap Tehelka.com. Ironinya, siasatan lebih menumpukan kepada etika kewartawanan dan bukannya perlakuan rasuah yang didedahkan.

Kesudahannya, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal didakwa pada September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai tentera. Shanker Sharma, pelabur terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa dakwaan. Bilangan staf Tehelka.com menguncup daripada 120 orang pada tahun 2001 kepada empat orang pada tahun 2003, di samping aset syarikat yang tinggal hanya tiga komputer dan beberapa kerusi berdebu. Bermakna, Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.

India disifatkan memiliki budaya rasuah berterusan dan berulang. Data tahun 2003 menunjukkan hanya 15 peratus daripada Dana Membasmi Kemiskinan, sampai kepada rakyat miskin. Laporan The Centre of International Policy yang berpangkalan di Washington bertarikh November 2010 mencatatkan, sejak mencapai kemerdekaan, India dianggarkan kehilangan 452 bilion dolar, pada kadar 20 bilion dolar setahun melalui pemindahan wang ke luar negara secara haram.

Wawancara Julian Assange yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011, menyatakan rekod simpanan wang dalam bank-bank di Switzerland dari kalangan warga India mengatasi warga lain dunia.

Di Jepun, Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Kakuei Tanaka melalui proses perbicaraan mengambil masa tujuh tahun. Pada Oktober 1983, Tanaka disabitkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka mengemukakan rayuan. Pada Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengekalkan keputusan; Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.

Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat, dipilih sebagai Ahli Parlimen (DIET) kawasan Niigata dengan kemenangan majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada Disember 1983. Seluruh prosiding perbicaraan Tanaka melewati 17 tahun.

Ketika Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993, proses rayuannya masih belum selesai; bermakna Tanaka terlepas daripada menjalani hukuman. Soal selidik dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati, populariti Tanaka tidak terjejas kerana Skandal Lockheed, malah Tanaka berada di ranking teratas berbanding Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato. Dalam kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil berat nasib rakyat, dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada era pasca Perang Dunia Kedua.

Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah, berada pada ranking ke-18. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai status sifar rasuah pada peringkat petty corruption yang melibatkan pegawai bawahan, tetapi berlaku structural corruption secara besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal besar untuk survival, menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik.

Skandal Lockheed 1976, antara faktor yang mendorong Amerika Syarikat menggubal The Foreign Corrupt Practices Act. Skandal besar lain di Jepun adalah kes Recruit (1989), menjadi punca kepada kejatuhan pentadbiran Perdana Menteri Noboru Takeshita, kes-kes kontraktor Zenecon (1993-1994), mengakibatkan beberapa Prefectural Governors disabitkan kesalahan dan seorang daripadanya membunuh diri, dan skandal Bank of Japan/Kementerian Kewangan (1997-1998), mengakibatkan tangkapan, peletakan jawatan dan membunuh diri beberapa pegawai tinggi.

Budaya politik yang berlangsung di Jepun pasca Perang Dunia Kedua mencatatkan belanja bagi tujuan kempen pilihan raya mencecah 10 bilion dolar; sebahagian besar perbelanjaan ditaja oleh kumpulan yang dikenali sebagai Yakuza, kumpulan mafia yang berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun, menghulurkan derma kepada ahli-ahli politik, kemudiannya mendapat perlindungan daripada ahli politik.

Structural Corruption begitu endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik naungan dan budaya imbuhan lalu terbina segi tiga yang reput, persepakatan, di antara ahli politik, anggota birokrasi dan tokoh perniagaan.

Amerika Syarikat tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Spiro Agnew adalah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan. Agnew berkompromi untuk tidak mencabar dakwaan di bawah Federal Income Tax Evasion Act jika dakwaan rasuah politik digugurkan. Beliau dikenakan denda 10,000 dolar, dihukum tiga tahun probation dan ditegah daripada mengemukakan rayuan.

Skandal Watergate berlaku pada 17 Jun 1972. Presiden Richard Nixon mengetahui dan terlibat dengan operasi espionage tersebut. Selain menyogok wang untuk menutup kes, Presiden Nixon turut menggunakan CIA untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan, memusnahkan bukti dan memecat staf yang tidak mahu bersubahat dengannya; perbuatan salah guna kuasa yang ketara. Apabila penglibatan Presiden Nixon tidak lagi dapat dilindungi, beliau meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974. Pengganti beliau, Presiden Gerald Ford memberikan Richard Nixon pengampunan di atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah lakukan ketika menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.

Apakah moral di sebalik skandal yang berlaku di tiga negara demokrasi ini. Ia mencerminkan sistem nilai dalam masyarakat yang terperangkap dalam paradoks antara undang-undang, moraliti dan emosi. Betapa jawatan dan status, memberikan imuniti melepaskan seseorang yang melakukan kesalahan daripada menjalani hukuman. Ia melibatkan persoalan moral, betapa ikatan emosi di antara pengikut dengan pemimpin, betapa esprit de corps di antara mereka yang berada dalam liga yang sama, mencetuskan kesetiaan yang menghalang proses keadilan dapat dilaksanakan; mereka saling mempertahankan, saling melindungi, saling membela rakan dan kawan daripada dikenakan hukuman.

Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau, memetik contoh daripada negara era silam, merumuskan kerosakan rasuah berlaku apabila rakyat sudah tidak mengambil kisah, malah memberikan kesetiaan yang membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung pada pemimpin hingga hilangnya minda dan jiwa merdeka; akibatnya masyarakat juga terperangkap dalam putaran ganas rasuah dan menjadi masyarakat yang rasuah, hatta tidak berupaya mengawal pemimpin daripada melakukan rasuah.

Institusi agama sewajibnya berpegang kepada etika dan nilai moral yang tinggi. Namun, dunia didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican. Antaranya, Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal kewangan bernilai 23 juta Euro.

Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti diperingatkan dalam firman Allah SWT, Surah Al-Mu'min, ayat 39 bermaksud: "...,sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bazzar, Thabrani-Al-Targhib bermaksud: "Tidak dapat bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga ia ditanya empat perkara: Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan? Tentang ilmunya, apakah ia mengamalkannya? Tentang hartanya dari mana ia dapat dan ke mana ia belanjakan?"

Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Adakah Malaysia sebuah negara Islam berani tangani rasuah ? Tepuk dada dan tanya pemimpin.


Wednesday, March 9, 2016

Gerhana kegelapan politik Malaysia

Kecelaruan politik Malaysia ekoran daripada masalah dalaman yang dihadapi oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang sehingga kini kedua-duanya masih belum menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dalam masa yang terdekat. Malahan, masalah yang dihadapi oleh kedua-duanya nampaknya menjadi semakin tenat dan bertambah rumit. Jika masalah dalaman yang dihadapi oleh pembangkan membawa kepada berkuburnya Pakatan Rakyat serta berpecahnya parti PAS ekoran daripada penubuhan Parti Amanah Negara oleh bekas tokoh-tokoh penting dalam PAS. Barisan Nasional khususnya UMNO juga tidak dapat mengelak daripada menghadapi perpecahan ekoran daripada beberapa pimpinan tertinggi dan bekas-bekas veteran UMNO yang bukan sahaja tidak lagi menyokong Dato’ Najib selaku Presiden UMNO malah turut menyerang pentadbiran beliau.

Kecelaruan politik Malaysia dapat juga dilihat daripada situasi politik yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia iaitu Kerajaan Negeri Selangor yang kini diterajui oleh Azmin Ali selaku Menteri Besar. Selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP serta tidak lagi menyertai Pakatan Harapan, Kerajaan Negeri Selangor yang dibentuk daripada kerjasama politik di antara PKR (14 Kerusi - 1), DAP (15 Kerusi) dan PAS (15 Kerusi - 2) kini berada dalam keadaan yang tidak menentu. Ini kerana, walaupun DAP dan PAS menjadi seteru politik namun kedua-duanya masih sama-sama berada dalam exco yang diketuai oleh Azmin Ali. Situasi ini sebenarnya menyebabkan Azmin Ali berada dalam keadaan yang sangat sukar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor. Apatah lagi, beliau dapat menjadi Menteri Besar bukan atas kehendak PKR dan DAP, tetapi atas pendirian PAS yang tidak bersungguh-sungguh secara konsisten menyokong Datuk Seri Datin Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Di peringkat pimpinan pusat, PKR mempunyai hubungan dan kerjasama politik yang sangat baik dengan DAP berbanding dengan PAS. Namun di Selangor, PAS masih mempunyai kerjasama politik dengan PKR kerana Azmin Ali yang mempertahankannya. Azmin Ali memerlukan sokongan PAS untuk mempertahankan Kerajaan Negeri yang kini diterajuinya. Pimpinan PKR dan DAP sebenarnya tidak dapat membuat banyak perkara untuk menekan Azmin Ali agar memutuskan hubungan dengan PAS kerana bimbang ianya boleh menyebabkan berlakunya percaturan lain yang boleh menyebabkan Kerajaan Pakatan di Selangor jatuh kepada Kerajaan Barisan Nasional. Ditambah pula, PKR sebenarnya masih banyak bergantung dengan undi penyokong-penyokong PAS di kawasan Parlimen dan DUN yang mereka tandingi, termasuklah di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang telah dimenangi oleh Azmin Ali sendiri.

BN Terengganu pula semakin tenat bila Ahmad Said (Adun BN) membuat usul tidak percaya pada MB Terengganu. Jika MT berani membuat usul dengan memecat Ahmad Said pasti pilihan raya kecil akan di lakukan. Persoalannya mampukah BN menang dengan lambakan isu yang terpalit? Tambahan janji Ahmad Said yang akan membongkar isu PM yang pasti menjadi modal besar pilihan raya nanti. Lambakan liabiliti hasil tindakan pemimpin rakus pasti akan membuat perpeksi buruk untuk BN.

Dari segi prestasi ekonomi Malaysia ketika ini, kejatuhan harga minyak dunia ternyata memberikan kesan negatif kepada pengurusan kewangan negara. Ini kerana hasil yang berkaitan dengan petroleum merupakan antara sumber terpenting dalam pendapatan negara. Oleh itu, apabila harga minyak dunia terus berada dalam keadaan yang tidak stabil, maka ianya akan menyebabkan kantung kewangan negara akan menjadi tipis untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat. Kejatuhan nilai ringgit dikala negara sedang menanggung kesan negatif akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia ternyata telah menambahkan lagi beban kewangan negara. Negara bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian akibat daripada penurunan hasil eksport komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit tetapi juga turut menyebabkan kos import menjadi semakin mahal. Perkara ini sudah pasti akan menyebabkan industri-industri yang bergantung kepada bekalan import akan menanggung peningkatan kos pengeluaran/operasi. Situasi ini tentunya secara tidak langsung memberikan impak yang tidak sihat kepada ekonomi negara.

Oleh itu, rakyat marhaen secara keseluruhannya tentu sekali ingin agar Malaysia dapat keluar daripada belenggu politik dan ekonomi yang tidak stabil seperti yang sedang dihadapi ketika ini, supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni serta dapat memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyatnya. Ingin menikmati kesejahteraan hidup merupakan fitrah bagi semua manusia tidak kira latarbelakang bangsa mahupun agama. Namun persoalan utama dalam kontek Malaysia ialah mampukah Pakatan Harapan merealisasikan impian tersebut ? Berdasarkan petunjuk prestasi pentadbiran mereka di beberapa buah negeri yang pernah dan sedang mereka tadbir, ternyata Pakatan Harapan hakikatnya lebih kurang sama sahaja dengan Kerajaan Barisan Nasional. Bezanya Pakatan Harapan masih ‘kurang dosanya’ berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional kerana mereka masih belum diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan Pusat.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan kerana jika diperhalusi nescaya akan didapati bahawa punca utama yang menyebabkan kecelaruan politik dan ekonomi yang sedang melanda Malaysia ketika ini adalah berpunca daripada sistem demokrasi-kapitalism yang digunakan untuk mengurus dan mentadbir Malaysia. Maka, jika sekalipun para pemimpin Pakatan Harapan mempunyai niat yang murni untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni nescaya mereka tidak akan dapat menangani kerosakan secara sistematik yang dihasilkan oleh sistem demokrasi-kapitalis.

Belajar terus Belajar.


Tuesday, March 8, 2016

Gerhana parti keramat Melayu

Selagi PAS kekal bersendirian dan tertumpu kepada negeri-negeri Pantai Timur, ia tidak menjadi ancaman yang serius kepada kerajaan BN di peringkat Persekutuan.

Keadaan berubah dengan penubuhan PKR. PKR telah berjaya menarik orang-orang yang kecewa, yang tidak mendapat tempat dalam UMNO, golongan opportunist dan yang marah kepada pemimpin-pemimpin UMNO tidak kira sama ada alasannya munasabah atau tidak. PKR telah membuktikan bahawa ia hanya mempunyai satu matlamat: berjuang untuk menjatuhkan Kerajaan BN untuk membolehkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai hasrat mereka, termasuk mengorbankan hak orang Melayu dan kedudukan agama Islam.

Melihat perpecahan orang Melayu, orang Cina khususnya, yang memang pandai membuat perkiraan, telah bersatu di belakang DAP, mengambil faedah daripada undi penyokong PKR dan PAS untuk menjatuhkan BN dan menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat yang akan memerintah. Selangor dan Penang selepas PRU13 adalah misalan yang baik. Wakil PAS di jadikan sebagai Menteri Besar menyebabkan penyokong-penyokong PAS merasa bahawa mereka telah berjaya menubuhkan sebuah “Kerajaan Islam”. Maka bertakbirlah mereka di sepanjang jalan menunjuk perasaan. Hakikatnya majoriti ahli Exco adalah ahli-ahli DAP dan merekalah yang sebenarnnya berkuasa. Jika dulu “Pak Kadok menang sorak kampung tergadai, sekarang Haji Kadok menang takbir negeri tergadai.” Semua ini orang Melayu, khususnya dalam PAS, mesti sedar.

Melihat keadaan ini, NGO-NGO Cina mula menunjukan sikapnya yang sebenar: tamak dan “kiasu”. Mereka mula membuat tuntutan-tuntutan yang tidak berpatutan yang melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan khususnya mengenai hak orang Melayu dan kedudukan Islam. Tindakan Gereja Katholik juga sangat merbahaya. Semua perbuatan itu bukan sahaja boleh menggugat perpaduan negara, malah ketenteraman negara. Semua ini tidak berlaku semasa orang Melayu teguh di belakang UMNO.

Perbuatan itu mesti dibendung. Untuk itu Kerajaan hendaklah memikir semula mengenai keperluan mengadakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kita tidak patut takut kepada kritikan mengenainya. Singapura dan Brunei mempunyai undang-undang yang serupa. Tidak pula dikritik. Apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Guantanamo adalah lebih teruk dari penahanan di bawah ISA. Adakah SOSMA sekuat ISA ?

Di samping itu, Kerajaan tidak patut terlalu berlembut apatah lagi takut kepada mereka sehingga tidak berani mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka. Tidak guna mempuyai undang-undang jika tidak berani menggunanya.

UMNO juga mesti berusaha untuk menarik balik pengundi yang telah lari kepada PAS dan PKR malah sanggup mengundi DAP kerana taat kepada PKR dan PAS. PAS dan UMNO perlu berfikir untuk berkerja sama, sekurang-sekurangnya di peringkat Persekutuan untuk mempertahankan Kerajaan Persekutuan daripada jatuh kepada PKR dan DAP. PAS mesti sedar bahawa perjuangan asal mereka adalah untuk Melayu dan Islam; bahawa jika Pakatan Rakyat berkuasa DAP akan menjadi parti dominan, bukan PKR atau PAS; bahawa PKR tidak boleh diharap untuk membela orang Melayu dan agama Islam; bahawa DAP adalah lebih chauvinistic daripada MCA atau Gerakan; bahawa PKR atau PAS tidak boleh mengawal cita-cita DAP seperti UMNO mengawal MCA atau Gerakan. Maka jika PAS tidak mahu hak Melayu dan kedudukan agama Islam digugat, ia hendaklah berkerjasama dengan UMNO.

Sebenarnya, di antara PAS dengan UMNO sudah tidak ada apa bezanya lagi. Demikian juga tidak ada apa bezanya di antara Kelantan yang diperintah oleh PAS selama lebih kurang 40 tahun, dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia selain daipada mengadakan kaunter bayaran berasingan untuk lelaki dan perempuan. Dulu Qari’ah haram mengambil bahagian dalam tilawah Al-Qur’an. Sekarang ia sudah harus! Apa yang menjadi “penghalang” bukan ideology tetapi kepentingan diri. Pemimpin-pemimpin di kedua buah parti takut hilang kedudukan, jawatan dan pendapatan masing-masing, jika bercantum. Soalan: adakah itu asas perjuangan mereka? Masalah ini pun boleh di atasi jika kedua parti berkerjasama untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan, selepas keputusan pilihanraya di isytiharkan.

Anak Negeri Sabah dan Sarawak juga patut sedar bahawa kedudukan mereka dalam Perlembagaan adalah serupa dengan kedudukan orang Melayu. Jika mereka mahu kedudukan mereka selamat, mereka hendaklah bersama-sama orang Melayu, UMNO dan BN. Bahawa sebahagian daripada mereka beragama Kristian tidak pernah menjadi masalah. Mereka boleh terus mengamalkannya seperti biasa dalam Bahasa Kadazan dan sebagainya. Yang dibantah oleh orang Islam, terutama sekali di Semenanjung Malaysia, ialah cubaan untuk menggunakan kalimah “Allah” dalam bible dan upacara agama dalam Bahasa Melayu, kerana motifnya adalah untuk mempengaruhi orang Melayu menganut agama Kristian. Ini jelas dilarang oleh Perlembagaan Malaysia.

Jika PAS dan parti-parti Anak-Anak Negeri Sabah dan Sarawak boleh bersama- sama dengan UMNO dan BN, Kerajaan Persekutuan akan selamat walau pun orang Cina bersatu di belakang DAP. Apabila mereka merasa bahawa keadaan itu akan merugikan mereka, mereka akan mula berfikir semula untuk berkerjasama dengan BN. Orang Cina membuat perkiraan mengikut untung-rugi. Itu sahajalah prinsip mereka.

Kita sekali-kali tidak mahu meminggirkan orang Cina. Semenjak PRU 1955, UMNO memberi kawasan-kawasan majority Melayu yang selamat kepada calon-calon MCA dan MIC semata-mata untuk memberi representasi yang lebih kepada mereka. Apa yang berlaku selepas PRU13 pun adalah pilihan mereka sendiri. Pengundi-pengundi Cina yang berdiri sebulat suara di belakang DAP mungkin akan berfikir semula apabila mereka menimbang semula untung-ruginya.

Pengundi-pengundi India patut bertanya diri mereka sama ada Kerajaan Pakatan Rakyat akn menjaga kepentingan mereka lebih baik daripada rekod BN selama lebih daripada lima dekad.

Umur PKR terikat dengan umur Dato Seri Anwar Ibrahim, tidak lebih dari itu.

Kerajaan mestilah bersikap tegas dan tidak melayan tuntutan-tuntutan melampau itu. Malah tindakan undang-undang hendaklah diambil terhadap mereka jika mereka melanggarnya. Di kebelakangan ini, Kerajaan nampak seolah-olah takut mengambil tindakan undang-undang terhadap aktivis yang menyebabkan mereka semakin melampau. Malah ada aktivis yang menghina lagu Kebangsaan yang bukan sahaja tidak dihadapkan ke mahkamah tetapi diberi bantuan kewangan untuk membuat film yang memburukkan Malaysia. Cuba bayangkan bagaimana Singapura akan bertindak dalam keadaan yang serupa. Seperti disebut tadi, Kerajaan mestilah memberi pertimbangan serius untuk mengadakan semula ISA. Pelampau hanya faham ketegasan, bukan diplomasi.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga patut sedar diri. Sebenarnya UMNO sebagai sebuah parti Melayu berada di atas landasan yang betul. Yang dipersoalkan ialah pemimpin-pemimpinnya. Mereka, isteri dan anak-anak mereka dilihat sebagi hidup mewah di luar kemampuan mereka yang membangkitkan isu rasuah. Saya dapati, politik wang dan tertutupnya pintu untuk “orang baru” memasuki dan memenangi apa-apa jawatan dalam hierarchy UMNO adalah faktor utama mengapa kalangan professional tidak menyertai UMNO di tambah lagi skandal yang menemui jalan buntu tanpa jawapan konkrit.Mereka lebih mendapat tempat dalam PAS. Jika hal ini berterusan UMNO akan ketandusan pemimpin dan akan hanya tinggal nama di Muzium sahaja.

Belajar terus belajar.


Sunday, March 6, 2016

Siapakah pilihan pemimpin yang ada ?

RASULULLAH SAW menyebutkan, dalam suatu perjalanan dan pengembaraan hendaklah kamu memilih seseorang untuk menjadi ketua atau pemimpin.

Ini membuktikan betapa pentingnya setiap orang memilih pemimpin untuk menjadi ikutan baik di segala bidang organisasi, lebih-lebih lagi yang berhubungan pemerintahan negara dan seumpamanya.

Salah satu perkara yang harus diberi perhatian serius ialah mengelakkan daripada memilih pemimpin yang mengamalkan rasuah, tidak amanah dan salah guna kuasa, iaitu satu penyakit yang cukup berbahaya dan boleh memufliskan rakyat dan negara.

Penyakit ini bukanlah wabak baharu tetapi sejenis pekung atau kanser yang belum dapat diubati atau dihapuskan kerana sifat manusia yang tamak kekayaan dan kuasa. Ia berlaku hampir di semua negara dan Malaysia tidak terkecuali, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi pembangkang.

Sedikit masa dahulu kita dihebohkan dengan “politik wang” dalam bidang politik dan “rasuah dalam bola sepak” dan lain-lain lagi. Apakah penyakit kronis ini terus berjalan atau sebaliknya yang menjadi momok bagi rakyat dan negara?

Kita juga dihebohkan mengenai pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua pihak yang memiliki kekayaan tidak setimpal dengan pendapatan dan ada yang memiliki berpuluh-puluh akaun bank di dalam dan luar negara sehingga ada berjumlah berbilion ringgit. Begitu juga seorang pemimpin mempunyai berbagai jawatan disandangnya, dan ini seolah-olah untuk memperkayakan dirinya serta tidak mahu diberikan kepada pihak lain. Siapa salah dalam hal ini, orang memberi jawatan atau yang menerima jawatan?

Kisah mengenai pemimpin yang mengutamakan kroni dan mengamalkan pilih kasih juga bukan perkara baharu selain pelantikan “penyokong” untuk menduduki kerusi sesuatu jawatan berkaitan kerajaan dan rakyat walaupun mereka tidak layak dan tidak sewajarnya dilantik kerana terlibat dengan wang rakyat, rasuah dan tidak punya amanah serta lain-lain kes yang diketahui masyarakat.

Skandal demi skandal membabitkan puluhan juta dan bilion ringgit didedahkan serta ada di antaranya tidak boleh di bicarakan dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Penyakit kronis ini seakan-akan episod yang kita lihat setiap masa, ia menjadi wabak menjangkiti dan menyerang sendi-sendi denyut nadi kehidupan masyarakat kita. Ia bukan sekadar penyakit di kalangan orang perseorangan atau kumpulan tertentu, tetapi seolah-olah menjadi satu wabak yang tiada penawarnya.

Penyakit ini sangat sukar diubati tanpa kesungguhan, sikap dan sifat amanah yang mendalam serta takut akan balasan Tuhan dan hukuman, sama ada di dunia ataupun akhirat oleh mereka yang dijangkiti penyakit itu, bahkan pemimpin yang tahu ajaran agama pun kadang-kadang terlibat dengan amalan rasuah dan tidak amanah.

Bagi umat Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat terutama oleh mereka yang diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir, sama ada orang politik atau penjawat awam.

Firman ALLAH bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 188).

Yang dimaksudkan memakan harta benda dengan cara batil, selain mencuri termasuk melalui perbuatan rasuah dan tidak amanah.

Firman ALLAH bermaksud: “Barang siapa menzalimi (mengambil) tanah orang satu jengkal, maka pada hari kiamat ALLAH akan menimpakan kepadanya tujuh kali ganda dari tanah yang diambilnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbuatan rasuah disebut juga sebagai perbuatan zalim kerana mereka yang melakukannya telah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, umpama sesuatu yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat, diguna untuk diri sendiri atau keluarga dan golongan tertentu, termasuk kroni dan penyokong politik.

Rasuah dan tidak amanah, salah guna kuasa, penyelewengan dan amalan pilih kasih adalah satu perbuatan khianat, merugikan rakyat dan negara. Orang yang rasuah dan tidak amanah, tidak layak dipilih sebagai pemimpin atau untuk mewakili kita semua sama ada di Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan-Dewan Undangan Negeri di negara kita ini.

Siapakah pilihan pemimpin yang kita ada ?

Belajar terus belajar.


Saturday, March 5, 2016

Pesanan buat parti keramat

Soalan yang sering ditanya di kalangan orang Melayu ialah apakah tujuan menyertai parti-parti politik di negara kita? Apakah erti menyokong UMNO, Pas atau PKR?

Jika ditanya kepada penyokong Pas, pastinya matlamat mereka ialah untuk Islam sungguhpun kadang-kadang perilaku tidak mencerminkan perjuangan. Suatu ketika lalu, ada juga yang melihat ia sebagai jalan ke syurga.

Jika ditanya orang Melayu yang menyokong PKR, mereka secara mudahnya menjawab mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Bagi UMNO pula, ramai generasi muda hari ini sudah tidak lagi boleh bercakap apa sebab mereka menyertai UMNO. Idealisme perjuangan agama dan bangsa sudah jarang diutarakan.

Selepas tewas beberapa negeri dalam pilihan raya umum yang lalu, terdapat pandangan dan suara-suara yang menyatakan UMNO perlu berani melakukan perubahan. Malangnya tidak ramai yang membicarakan apakah bentuk perubahan yang perlu dilakukan.

Adakah ia merupakan perubahan struktur organisasinya,atau perubahan prinsip perjuangannya atau berubah rupa bentuk keahliannya atau hanya perubahan pucuk pimpinan? Justeru saranan perubahan ini menimbulkan polemik dan kegelisahan di kalangan orang Melayu. Ada yang tertanya-tanya, apakah perubahan yang dilaung-laungkan itu akan menjejaskan visi atau idealisme perjuangan UMNO untuk Agama Islam, Bangsa Melayu dan Negara Malaysia?

Bagi saya UMNO perlu berani berubah untuk kembali kepada asal-usul tujuan penubuhannya. UMNO hari ini walaupun masih bermatlamatkan untuk agama, bangsa dan negara tetapi dilihat tidak lagi mencerminkan idealisme perjuangan tersebut.

Sebenarnya perjuangan UMNO adalah jelas sejak ia ditubuhkan iaitu UMNO berjuang mengangkat martabat agama Islam dan UMNO berjuang utk mengangkat harakat bangsa melayu.

UMNO mengangkat martabat agama Islam ialah bila mana UMNO terlibat dalam pembetukkan perlembagaan negara, pemimpin UMNO dengan jelas meletakan Agama Islam sebagai agama persekutuan dgn membenarkan agama lain diamalkan secara aman termaktub dalam perkara 3 perlembagaan negara. Kita lihat waima negara Indonesia merupakan negara Islam teramai jumlah umat Islamnya pun tidak meletakkan Islam sebagai agama persekutuan negara tersebut.

Apa yang tidak nampak di mata orang Melayu hari ini ialah hasil daripada perjuangan UMNO itulah membolehkan agama Islam mendapat pelbagai peruntukan untuk membangun dan mengembangkan dakwah Islam. Demikian juga kedudukan bangsa Melayu hari ini ialah hasil perjuangan UMNO.

Bukti UMNO berjuang mengangkat harakat bangsa,ialah dinyatakan dgn jelas dalam perlembagaan seperti dalam perkara 32,kedudukan DYMM Agong dan kedudukan raja raja berperlembagaan, Perkara 152, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan; Perkara 153, hak istimewa orang orang Melayu. Tidak banyak negara yang sanggup melakukan semua ini demi menjaga kesejahteraan peribumi mereka. Namun UMNO dengan jelas melakukan satu tindakan yang cukup jelas dan berani melakukan semua ini kerana ia selari dengan penubuhannya untuk agama dan bangsa.

Cuma akhir-akhir ini UMNO tidak ternampak jelas memperjuangkan keperluan dan kepentingan agama Islam dan juga ternampak kendur dalam mempertahankan hak bangsa Melayu. Ini kerana UMNO berasa selesa kerana semua ini dilaksanakan menerusi jentera kerajaan sedia ada hasil pembentukan perkara-perkara dalam Perlembagaan yang diperjuangakn oleh UMNO sebelum ini. Sikap menyerahkan semuanya kepada kerajaan telah memberi imej kurang baik kepada UMNO dan menyebabkan orang Melayu mula menjauhkan diri dari UMNO.

UMNO hari ini juga diberi imej sebagai sebagai parti yang tubuhkan untuk mengaut kekayaan negara. Dilabelkan sebagai parti kroni, parti perkauman dan sebagainya. Semua ini terjadi bukan kerana ia tidak lagi memperjuangkan agenda tiga perkara tersebut tetapi kerana jurang kepimpinan yang terlalu jauh telah mewujudkan persepsi sedemikian. Pemimpin di lihat rakus dan terpalit pelbagai skandal dengan laporan yang menjatuhkan maruah kepimpinan dari dalam dan luar negara.

Salah satu punca jurang kepimpinan di atas dengan di peringkat akar umbi ialah UMNO sudah hampir menjadi seperti parti Kongres di India dan Golkar di Indonesia pada tahun 90-an. Barisan kepimpinan kedua-dua parti ini diakhir hayatnya tidak lagi datang daripada para pejuang rakyat dan mewakili pelbagai lapisan masyarakat di bawah. Sebaliknya ia di pimpin oleh lapisan kepimpinan parti berasaskan kumpulan keluarga dan rangkaian keturunan pemimpin sebelum ini. Ini menyebabkan parti tersebut menjadi parti elit yang tidak lagi dijiwai oleh rakyat bawahan seperti dahulu.

Sungguhpun UMNO belum lagi menjadi sebuah parti elit seperti itu, namun imej-imej tersebut kian menampakkan wajahnya. Di sesetengah tempat, UMNO sudah menjadi parti anak beranak yang menguasai hampir ke semua jawatan utama parti. Apakah ini akan menambah sokongan kepada UMNO atau sebaliknya? Saya percaya jika ini berleluasa akhirnya sokongan kepada UMNO akan kian mengecil.

UMNO hanya akan kuat kembali jika semua pemimpinnya kembali kepada tujuan asal penubuhan UMNO. Ia juga harus memberi ruang kepimpinan kepada semua lapisan masyarakat. Imej pemimpin yang menerajui UMNO harus mencerminkan orientasi perjuangan agama, bangsa dan tanah air (negara). Peremajaan UMNO jangan sekadar retorik dan hanya ucapan manis di bibir sahaja.

Saya yakin jika ini dapat diusahakan UMNO akan kembali kukuh. Memanglah kita akan menerima tekanan dari parti lawan mahu pun parti dalam komponen BN sendiri, tetapi pengukuhan UMNO adalah merupakan pengukuhan BN.

Belajar terus Belajar




Friday, March 4, 2016

Jangan ulang sejarah Melayu !

Selama lebih 500 tahun , bangsa Melayu terlibat dalam kancah peperangan dan perebutan kuasa sesama sendiri yang akhirnya merugikan bangsa Melayu.Kerakusan dan nafsu serakah membunuh perpaduan di kalangan orang melayu. Bangsa Melayu akhirnya menerima padah apabila perebutan kuasa mengundang campurtangan kuasa asing. Ibarat menangguk di air keruh,mereka campurtangan dengan penuh muslihat. Kegagalan membaca muslihat tersebut mengakibatkan seluruh nusantara terjajah. Orang melayu terpaksa bertuankan kuasa asing selama hampir 500 tahun. Sejarah tidak pernah menipu. Tetapi sejarah tidak pernah diambil iktibar oleh pelaku dan mereka yang terlibat.Walaupun kini, kedudukan dan status bangsa Melayu agak terbela di bawah peruntukan perlembagaan negara,tetapi tidak bermakna bangsa melayu harus duduk berpeluh tubuh dan berbangga dengan apa yang ada. Realiti yang harus diakui adalah bangsa Melayu kini berpecah kepada beberapa bahagian.Apakah bangsa Melayu tidak mampu bersatu atau bangsa Melayu akan selamanya berpecah?

Sejak dulu lagi, ketaatan dan kesetiaan bangsa Melayu adalah berpaksikan kepada insitusi kesultanan.Sultan menjadi lambang kepada kekuasaan dan simbol kekuatan Melayu. Segalanya berubah apabila negeri-negeri Melayu ditakluki oleh kuasa asing.Sultan terpasa menerima penasihat yang kononnya menasihati sultan daripada sudut pentadbiran negeri.Manakala sultan pula hanya berkuasa kepada hal-ehwal berkaitan orang Melayu dan agama Islam.Sedikit demi sedikit kuasa sultan terhakis.Keadaan ini berlangsung sehingga perang dunia pertama. Bangsa Melayu melihat kegagalan sultan dalam mempertahankan hak-hak mereka mengakibatkan segelintir bijak pandai Melayu menibuhkan pertubuhan demi membela hak-hak mereka yang dirasakan tertindas. Menjelang 1946, orang Melayu bangkit bersatu menentang gagasan Malayan Union.Kebangkitan kali pertama ini dikepalai oleh Onn Jaafar salah seorang bangsawan Johor.Kebangkitan ini disertai beberapa persatuan-persatuan Melayu yang akhirnya melahirkan UMNO. Ini adalah merupakan pemulaan kepada politik kepartian bangsa Melayu. Kejayaan UMNO menjatuhkan Malayan Union menjadi titik tolak kepada perpaduan bangsa Melayu ketika itu. Bangsa Melayu ketika itu dianggap telah bersedia dan cukup gagah bagi mencapai kemerdekaan atau berkerajaan sendiri.

Langit tidak selalu cerah. Hakikatnya, perbezaan ideologi dan matlamat perjuangan menjadi satu perkara yang subjektif. Pada 1951, sebuah parti berteraskan Islam dan Melayu ditubuhkan hasil inisiatif golongan berpendidikan timur tengah. Situasi ini menyebabkan bangsa Melayu terpecah dua. Soal politik parti sebagai punca kepada perpecahan perlu dilihat secara jelas.Apakah bangsa melayu benar-benar terkesan akibat politik parti? Sikap bangsa Melayu yang begitu taksub kepada parti politik menjadikan orang melayu berpecah. Sebagai contoh perbandingan, India yang mempunyai hanya 4 buah parti sahaja. Parti tertua iaitu Parti Kongres India atau INC berjaya mendominasi politik india selama beberapa dekad. Hanya selepas itu,barulah lahirnya parti-parti lain seperti Baharatiya janata (BJP) dan Perikatan progresif Bersatu. Walaupun berlainan ideologi,mereka tetap lagi boleh bersatu.Matlamat membentuk bangsa India tetap menjadi matlamat utama. Menjelang 2050, India akan bakal menjadi kuasa ekonomi dunia pada masa depan. Apa yang ingin ditunjukkan adalah politik yang berasaskan kepartian dan bangsa mampu menjadi pendukung kepada perpaduan dan kestabilan ekonomi. India melalui Presiden Modi mereformasikan ekonomi India melalui motonya “Make in India” dan “Smart Cities” menunjukkan bahawa sekiranya wujud perpaduan,maka tiada apa yang mustahil untuk dicapai.Apa yang boleh dikatakan adalah politik kepartian bukanlah penyebab kepada perpecahan bangsa atau tamadun sekiranya visi dan misi berada di landasan yang tepat.

Persoalan tentang titik pertemuan perpaduan Melayu adalah perkara paling sukar untuk ditentukan.Persoalan titik pertemuan perpaduan melayu sangat subjektif.Ada pandangan yang mengatakan titik pertemuan adalah Islam.Manakala ada juga yang berpendapat bahawa bangsa merupakan titik perpaduan bangsa Melayu.Semua ini tidak pernah menjadi kenyataan.Apa sebenarnya titik perpaduan Melayu? Apakah kita memerlukan seorang pemimpin yang tegas dan berani dalam menyatukan bangsa Melayu? Profesor Diraja Ungku Aziz pernah menyatakan dalam satu temubualnya dengan Utusan Melayu bahawa perpaduan Melayu dapat direalisasikan sekiranya ada pemimpin yang berhati waja dan tegas. Dalam erti kata lain, seorang pemimpin itu tidak harus berkompromi dengan meletakkan syarat untuk perpaduan.

Dalam parti politik Melayu hari ini,pemimpin-pemimpin yang bersifat tegas dan garang tidak punyai tempat di dalam politik Malaysia.

Tidak berkompromi tentang isu yang melibatkan Islam-Bangsa Melayu kini diancam dengan pelbagai ideologi dan pegangan yang mengelirukan. Islam liberal,Islam demokrat antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh bangsa Melayu. Bangsa Melayu dimulaikan kerana Islam.Selama ratusan tahun,masyarakat Melayu menjadikan islam sebagai pegangan hidup. Hari ini,islam sedang diserang dipelbagai penjuru. Adalah menjadi kewajipan kerajaan dan bangsa Melayu mempertahankan islam daripada dicemari oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.Islam menjadi panduan bangsa melayu dalam membawa perpaduan Melayu.
Akhirnya sejarah yang dilalui setiap tahun hanya meninggalkan bangsa Melayu begitu saja tanpa ada apa-apa genda penyatuan. Seperti kata Profesor Diraja Ungku Aziz perpaduan orang Melayu sukar dilaksanakan kerana orang Melayu tidak pandai.Apakah orang Melayu tidak pandai membaca sejarah dan mengambil iktibar daripadanya?Atau kata-kata Ungku Aziz adalah sindiran kepada orang Melayu yang tidak nahu mengambil inisiatif kepada perpaduan Melayu.

Saya amat sedih bila Melayu telah mengulangi sejarah pada hari ini dengan sifat pemimpin lama dan pemimpin muda bersatu yang mendesak antara satu sama lain tanpa henti. Pemimpin Melayu pula semakin ramai alpa dengan dunia bila di tuduh terpalit dengan isu tanpa jawapan yang relevan kepada akar umbi. Semalam , hari ini dan esok jawapan sentiasa berubah sehingga menimbulkan persepsi. Jika lebih banyak mudarat dari rahmat lepaskanlah kuasa dan jika tidak muhasabah diri kenapa biarkan Melayu bergaduh tanpa noktah. Jangan biarkan bangsa lain bertepuk tangan hasil daripada peperangan ini. Ingat sejarah dan jangan sesekali biarkan anak cucu kita kencing atas kubur kita satu hari nanti.

Belajar terus Belajar






Thursday, March 3, 2016

Antara babi dan rasuah

Bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia, bila disebut tentang babi, maka akan timbul perasaan jijik peringkat paling tinggi di dalam jiwa mereka. Perasaan ini mungkin terbit kerana Islam melarang umat Islam memakan daging haiwan tersebut. Bagi tujuan beribadat, orang Islam perlu bersuci secara menyamak anggota tubuh badan yang tersentuh dengan haiwan tadi atau apa-apa yang terbit/keluar daripadanya seperti najis, kencing dan sebagainya.

Berikutan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua orang Islam di semua peringkat umur tahu bahawa hukum memakan daging babi adalah haram dan jika tersentuh, maka perlu disamak.

Di sini kita boleh membuat satu kesimpulan yang longgar bahawa pengharaman memakan daging dan sifat pengotor haiwan tersebut telah menyebabkan masyarakat Melayu Islam di Malaysia mempunyai satu tanggapan yang menjijikkan terhadap haiwan yang bernama babi ini.

Di dalam ajaran agama Islam setiap yang haram, jika dilakukan, maka ia boleh mendatangkan dosa kepada si pelakunya. Bagaimanapun dalam sesetengah hal, kita sering mempunyai tanggapan yang berbeza-beza terhadap sesuatu perkara sedangkan hukumnya adalah sama.

Kita ambil contoh rasuah dan salah guna kuasa. Kedua-duanya merupakan suatu amalan yang diharamkan oleh agama Islam dan dianggap satu jenayah oleh undang-undang negara. Persoalannya, adakah tahap jijik kita -sebagai orang Islam-terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa ini berada pada tahap yang sama sebagaimana kita memandang jijik terhadap babi tadi?

Jika berdasarkan kepada tanggapan ramai, amalan rasuah masih berleluasa di negara kita walaupun pelbagai langkah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasinya. Daripada penubuhan Badan Pencegah Rasuah hinggalah kepada penubuhan Institut Integriti Malaysia, masalah ini dilihat semakin berlarutan.

Buktinya, kedudukan Malaysia di dalam senarai Corruption Perceptions Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) masih lagi tertinggal berbanding dengan Singapura, Hong Kong, Jepun mahupun Taiwan.
Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa CPI ini tidak tepat kerana ia merupakan suatu suatu tanggapan (perception) dan bukan sesuatu yang sebenar, tetapi itulah sebenarnya pandangan kasar masyarakat terhadap masalah rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

Tanggapan (perception)merupakan satu rangkaian usaha atau tindakan di mana masyarakat menterjemah dan menyusun ransangan yang diterima oleh pancaindera untuk menghasilkan satu pengertian atau makna tentang apa yang mereka perhatikan di sekeliling mereka. Jadi apa yang kita dengar, kita lihat dan kita baca tentang sesuatu akan secara tidak langsung akan memberikan kepada kita satu tanggapan atau gambaran tentang perkara itu juga.

Pada pandangan saya usaha menangani masalah rasuah di Malaysia akan mengambil masa yang lama melainkan pihak kerajaan bersungguh-sungguh dalam usahanya. Ini kerana pada tanggapan saya (dan juga mungkin tanggapan ramai), masalah rasuah di Malaysia bukan sahaja melibatkan penjawat awam mahupun swasta, malah ia turut melibatkan golongan pemimpin politik dan juga mereka yang berada di dalam institusi kehakiman.

Bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Justeru, jalan yang terbaik untuk mengelak tanggapan sebegini wujud, punca yang menyumbang kepada pembentukan tanggapan tadi perlu dihapuskan.

Banyak kepincangan yang berlaku sekarang baik di dalam dunia perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya menjelaskan kepada kita bahawa unsur-unsur kebendaan, sifat ananiah (mementingkan diri sendiri) dan runtunan hawa nafsu merupakan paksi utama yang digunapakai oleh kebanyakan anggota masyarakat di dalam membuat keputusan mereka. Lebih malang lagi apabila ia menjadi pedoman utama segelintir pihak yang mempunyai kuasa di dalam sesebuah badan atau pertubuhan.

Maka tak hairanlah jika dalam pada kerajaan berusaha sedaya upaya menyemai nilai-nilai murni di dalam anggota masyarakat baik di peringkat keluarga, masyarakat, syarikat korporat mahupun di kalangan penjawat awam melalui pelbagai dasar dan slogan; kita masih lagi dihidangkan dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa, keruntuhan akhlak (baik remaja mahupun dewasa) dan sebagainya.

Di sini kekuatan iman dilihat amat perlu dalam diri setiap insan kerana iman bukan saja dapat memelihara dirinya daripada melakukan perkara yang menyalahi arahan agama bahkan juga dapat mencegah dirinya daripada menjerumuskan dirinya ke dalam suasana yang boleh mendatangkan syak wasangka masyarakat ke atas dirinya dan juga institusi yang diwakilinya.

Sebagaimana Islam melarang perlakuan zina dengan mengharamkan punca kepadanya seperti berdua-duaan di tempat sunyi, begitulah pendekatan yang perlu diambil dalam menangani masalah rasuah ini.

Sebab itulah generasi awal Islam menolak sebarang perkara yang boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam amalan ini. Malah mereka cuba mengelaknya sehabis mungkin sehinggakan para hakim dilarang untuk dipayung ketika hujan kerana dikhuatiri mereka akan terasa terhutang budi yang akhirnya boleh menyebabkan mereka tidak dapat memberi keadilan semasa menjalankan tugas.

Dengan kata lain, dalam usaha mencegah sebarang kemungkaran yang berlaku, agama Islam menganjurkan pendekatan pencegahan di peringkat akar umbi lagi, bukan bila masalah sudah merebak dan membesar.

Berbanding kaum Cina -yang merupakan penggemar daging babi - masyarakat Melayu Islam merupakan yang paling ramai terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia. Cuba kita lihat di media bangsa mana yang selalu di hadapkan rasuah. Harapkan pemimpin umpama ketam mengajar anak jalan lurus. Antara dosa makan babi atau rasuah ?

Dalam hal ini kita perlu fikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah amalan rasuah terutamanya di kalangan orang Islam di negara kita. Mungkinkah dengan mengubah tanggapan masyarakat bahawa rasuah dan salah guna kuasa , bukan sahaja haram, bahkan menjijikkan - sebagaimana penghukuman yang dibuat ke atas haiwan babi- dapat mengurangkan masalah ini?


Wednesday, March 2, 2016

Sekolah vernakular punca perpecahan

Dari kecil lagi masyarakat kita dibahagi mengikut kaum; dan kalau menjelang umur 18 tahun, barulah kita menggalakkan perpaduan kaum, ternyatalah tindakan ini adalah terlalu lambat. Oleh kerana itu, sistem pendidikan rendah dan menengah kita mesti dibentuk semula untuk mengelak pembahagian dan perpisahan mengikut barisan kaum.

Sebelum kita bersekolah adalah mudah membuat kawan daripada kaum dan bangsa yang lain. Dalam masyarakat kita yang cukup majmuk, pada bila-bila masa kanak-kanak tentulah bermain dan berborak dengan rakan seumur mereka, tidak kira bangsa. Masalahnya muncul apabila kanak-kanak masuk sekolah. Kalau mereka semua menghadiri sekolah yang sama, tiadalah masalah - tetapi oleh kerana pihak kolonial enggan menyokong satu sistem sekolah untuk semua rakyat, kita sudah biasa dengan menghantar anak-anak kita ke sekolah mengikut keturunan masing-masing.

Kalau terdapat cukup peluang untuk kanak-kanak bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada keturunan lain di luar sekolah, kita masih boleh mengelak persoalan polarisasi kaum. Tetapi dalam zaman urbanisasi ini, kita hidup dalam masyarakat di mana kanak-kanak tidak berinteraksi dengan jiran kerana mereka lebih gemar bersembang dan bergaul dengan rakan sekolah.

Hakikatnya sekarang ialah, anak Melayu pergi sekolah kebangsaan, kalau anak Cina pergi sekolah jenis kebangsaan Cina, kalau anak India pergi sekolah jenis kebangsaan Tamil, mana adanya perpaduan nasional? Realitinya, kita sudah mengamalkan suatu sistem pendidikan berdasarkan segregasi.

Saya kadangkala membangkitkan isu ini dengan rakan keturunan Cina , tetapi respon mereka hampir selalunya sama: pendidikan dalam bahasa ibunda kritikal untuk mengekalkan budaya dan identiti Cina! Tambahan pula, kata mereka, dengan pembangunan pesat di negara Cina, sesiapa yang fasih dalam bahasa Mandarin, tentulah masa hadapannya cerah. Namun demikian, pada pendapat saya kompromi antara kaum-kaum di Malaysia sangat mustahak demi masa depan negara kita.

Biasanya penyokong sistem yang diamalkan sekarang akan mengelakkan isu perpaduan dan pergaulan antara pelajar-pelajar daripada keturunan yang berlainan. Tetapi, ini bukanlah isu yang kecil; kalau anda hanya mempunyai kawan baik daripada satu kaum, apa kemungkinan anda boleh bergaul, berinteraksi dengan mereka yang mengamal budaya dan agama yang lain?

Oleh itu, mustahil menafikan kenyataan ini: sistem pendidikan kita pada masa sekarang menjejaskan perpaduan nasional. Penyelidik-penyelidik di Britain sudah mendapati kanak-kanak yang menghadiri sekolah di mana para pelajar terdiri daripada kanak-kanak yang terutamanya dari satu kaum sahaja, lebih mungkin bertembung dengan masalah berkawan dengan dan memahami orang daripada keturunan dan kaum yang lain.
Ini bukan maksud kita mesti memansuhkan sekolah jenis kebangsaan; bagi sebahagian rakyat, sistem sekolah ini mungkin lebih sesuai daripada sekolah kebagsaan. Tetapi saya berpendapat sekolah kebangsaan seharusnya memadai bagi kebanyakan pelajar dan ibu-bapa.

Jadi bangkitlah soalan seterusnya: mengapa kebanyakan keluarga Cina dan India membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan? Saya fikir terdapat dua sebab utama: isu akademik dan iklim sosial.

Sebagai seorang pelajar sekolah kebangsaan, saya mengaku kualiti akademik di sekolah kebangsaan amat rendah. Tiada bandingan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina; di sana, guru-guru berdedikasi dan mendorong pelajar-pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Di sekolah kebangsaan, guru-guru lebih kerap tiada motivasi untuk mengajar. Tambahan pula, sekolah jenis kebangsaan mengajar bahasa ibunda pelajar Cina dan Tamil; tentulah ibu-bapa Cina dan Tamil lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan berdasarkan pengalaman sahabat saya yang menghantar anak ke sekolah vernakular.

Masalah yang lain, lebihlah rumit: iklim sosial di sekolah kebangsaan biasanya tidak begitu bertolak ansur. Sebagai contoh kejadian yang baru berlaku bila seorang guru di satu sekolah menengah kebangsaan memberitahu pelajar-pelajarnya bahawa budak India merupakan anak pelacur, di antara banyak lagi kenyataan yang menghina. Kejadian seperti ini begitu jarang di sekolah menengah kebangsaan seorang guru berkata rakyat Malaysia berketurunan Cina tidak boleh dipercayai untuk mempertahankan negara Malaysia dan memanggil "pendatang asing". Di sekolah-sekolah lain, aktiviti-aktiviti kadangkala diadakan pada hari Ahad atau hari perayaan agama yang lain, dan kakitangan sekolah bukan selalunya bertolak ansur. Semua kejadian kecil ini, menjadi alasan untuk menakutkan bagi ibu-bapa Cina dan India.

Sistem sekolah kebangsaan haruslah dibentuk semula kalau kita betul-betul mahu memupuk perpaduan. Guru-guru dan kakitangan sekolah mestilah lebih bertolak ansur dan lebih bermotivasi. Mereka yang enggan menerima hakikat bahawa kita tinggal di negara dan masyarakat yang majmuk patut berdepan dengan akibat yang serius. Untuk meningkatkan motivasi guru-guru, gaji harus naik. Kalau kerajaan kita mahu memupuk semangat perpaduan di sekolah kita, guru-guru mestilah jadi contoh untuk para pelajar agar sistem sekolah kebangsaan kita menjadi sistem sekolah kebangsaan, bukan sistem sekolah Melayu.

Selain itu, isu bahasa juga mesti ditangani. Sekolah kebangsaan tidak boleh menggantikan sekolah jenis kebangsaan, tetapi mereka masih boleh mengadakan kelas-kelas untuk bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Ini lebih baik daripada tidak mengadakan apa-apa kelas untuk bahasa ibunda kaum lain. Apabila isu bahasa ditangani, dan apabila ibu-bapa boleh mempercayai guru-guru ini, tiadalah halangan kepada satu sistem sekolah kebangsaan.

Semua, biarlah masyarakat Melayu ataupun masyarakat-masyarakat bukan Melayu, mesti sedia berkompromi sedikit. Dalam iklim masyarakat yang majmuk, hanya kompromi akan mengelakkan keganasan dan huru-hara. Mungkin cadangan-cadangan saya tidak begitu sesuai untuk masyarakat kita; itu tidak apa. Yang kita mesti tumpukan ialah masalah perpaduan; masalah sistem sekolah kebangsaan. Suatu sistem yang pada terasnya merupakan sistem yang dibahagi mengikut keturunan akan menyumbang kepada polarisasi kaum. Apa-apa sistem pun, biarlah sistem kerajaan, sistem pendidikan, sistem korporat, asalkan mengikut dasar pemecahan rakyat dari segi kaum, akan tetap gagal menyatupadukan rakyat. Cadangan ini adalah hasil perbincangan dan pengalaman ibubapa bangsa lain di samping mendesak agar sekolah vernakular di hapuskan.

Belajar terus Belajar


Tuesday, March 1, 2016

Melayu dan duit kopi

Keresahannya terhadap nasib bangsa jelas apabila sesekali saya cuba mencari ungkapan terbaik untuk merumuskan kemelut Melayu. "Malang sekali jika bangsa kita, termasuk pemimpinnya, mudah dibeli".

Faktor kelemahan pemimpin Melayu. tidak tegas melaksanakan dasar-dasar berkaitan kepentingan bangsa. Bangsa saya bukan rasis, sebab dasar yang dikata untuk menolong orang Melayu sebenarnya baik untuk negara.

Kalau orang melihatnya dari segi perkauman, dia tidak nampak bahawa dasar untuk menolong orang Melayu, dalam bidang ekonomi khususnya, baik untuk semua. Kalau tidak, kalau orang Melayu semakin terpinggir, jika kaum lain membolot kekayaan negara, ia akan menimbulkan kemarahan dan mungkin berlaku rusuhan kaum lagi. Saya kira kaum Cina yang sedar pun bersetuju dengan pandangan ini.

Malangnya, pemimpin Melayu melihat ini dari segi kepentingan peribadi, bukan untuk orang Melayu seluruhnya. Pemimpin hanya mementingkan kuasa, nak menang, nak pastikan dalam pilihan parti dia tidak akan tergugat, segala projek yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat disalurkan orang-orang tertentu sahaja. Orang politik banyak menyelewengkan projek yang sepatutnya untuk kepentingan rakyat dan negara. Setelah memerhatikan hal ini, saya tidak anti-Umno. Saya berpendapat, jarang-jarang ada orang politik Umno yang memikirkan kepentingan Melayu-Islam secara serius. Dia hanya memikirkan projek yang menguntungkan peribadi.

Ringkasnya, kepimpinan Melayu hari ini tidak lagi melihat kepentingan Melayu seluruhnya. Sepatut tidak memisahkan Melayu dari segi sokongan mereka kepada orang tertentu, atau kepada parti lain, sama ada pro-Umno atau dia menyokong pemimpin tertentu dalam Umno.

Oleh itu, pemimpin kita jangan bersifat terlalu politikal, terlalu peribadi, mereka perlu bersifat demokrat, pertengahan, "ummatun wasatan".

Satu lagi kelemahan pemimpin ialah dia melantik orang yang hanya boleh menyokong dia, tidak akan membantah dasar atau arahan mereka. Sebab itu kita lihat, banyak institusi Melayu diketuai oleh mereka yang diragui kelayakannya. Maksud saya ia bukan dilihat dari segi kelayakan fizikal dan ilmu sahaja, tetapi juga meritokrasi dari segi moral dan budayanya. Pemimpin harus bijaksana, apakah dia sentiasa memikirkan kepentingan rakyat atau bangsanya.

Misalnya pemimpin terlibat skandal, apa tindakan segera kita untuk mengatasinya? Begitu juga ada pegawai kerajaan yang saya dengar, ada buku (skandal) tentang dia, tetapi pegawai itu ada juga di situ.

Saya ada menulis sebelum ini tentang pandangan awam, selalunya kita menolak pandangan awam dengan mengatakan ianya tidak betul, tidak bertanggungjawab, seolah-olah pandangan rasmi itu betul dan tidak boleh ditegur.

Contohnya, buku atau laman web mengenai seseorang, yang dianggap skandal, lalu diharamkan buku atau web tersebut.Orang tidak akan menulis tentang sesuatu yang tidak pasti, kerana orang takut juga didakwa di mahkamah. Tentu ada fakta yang betul. Takkan orang nak menulis cerita bohong. Jika betul anak jantan dan bersih saman web tersebut dan amalkan sikap berani kerana benar.

Kita di Malaysia ini, saya tak fikir orang berani sangat mencipta sesuatu yang tidak betul mengenai orang tertentu, yang biasanya dianggap sesuatu yang salah.

Masalahnya, kita tidak terbuka. Jika orang yang sama (didakwa bermasalah), dia masih duduk dalam sistem, bagaimana kita hendak mengharap sistem menjadi cekap. Kita sukar mendapat bukti untuk dakwa di mahkamah. Katalah seseorang yang diketahui rasuah. Tetapi kita tidak boleh membawa di ke mahkamah kerana tiada bukti. Apa susahnya? Kalau seseorang itu gajinya RM10 ribu sebulan, tetapi dia mempunyai rumah yang berharga RM20 juta, itu bukan bukti?

Dari mana dia dapat duit sebanyak itu? Dari loteri, atau duit dadah, atau Amerika yang bagi? Apakah ini bukan bukti?

Sekurang-kurangnya para pemimpin atau penguasa negara bawa dia ke mahkamah dan tanya di mana kamu dapat wang sebanyak ini. Ini tidak, kita berpegang sangat bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah. Jadi dengan cara ini banyaklah orang lepas.

Bukti yang nyata bukan hanya dalam mahkamah. Bukti yang nyata ialah pada pandangan masyarakat. Dengan itu, kalau kita kata kita akan membasmi, memerangi dan membanteras rasuah, orang akan ketawa!

Sekali lagi, bagaimana fenomena ini boleh berlaku dan nampaknya seperti diterima? Ini kerana budaya kepimpinan yang tidak menuju ke arah kepentingan masyarakat. Saya tidak menuduh selama ini pemimpin tidak membuat sesuatu untuk kepentingan rakyat. Memang semua dasar dan pembangunan dibuat untuk kepentingan negara dan rakyat.

Tetapi perlaksanaannya? Dasarnya bagus, teorinya bagus, tetapi praktiknya mungkin tidak betul kerana yang melaksanakannya adalah orang-orang yang selama ini menimbulkan masalah.

Bayangkan, kalau misalnya kita melantik perasuah menjaga pintu Malaysia, orang dari negara asing seperti China dan India sebagai illegal immigrant mudah bolos, kerana dia tidak ada semangat kebangsaan dan tidak takut kepada Tuhan.

Kesannya, kita tidak tahu sudah berapa ramai orang asing sudah masuk ke dalam negara kita?

Begitu juga dalam bidang pendidikan, tentang bahasa Melayu. Mengapa ada orang menganggap bahasa Melayu tidak boleh mengangkat kemajuan bangsa? Ini tidak, ada yang beri alasan, jika kita hendak menjadi bangsa yang maju, mesti menguasai bahasa Inggeris. Ini pandangan pemimpin Melayu sendiri. Ini bukan pandangan yang betul, tidak berdasarkan ilmu.

Maka, sekarang ini kacaulah sistem pendidikan negara. Bayangkan kanak-kanak yang tidak tahu bahasa Inggeris, hari pertama dia masuk sekolah (7 tahun), dia kena belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa yang dia tidak tahu!

Mana ada negara dalam dunia ini yang memaksa rakyatnya belajar dalam bahasa yang mereka tidak menguasainya di peringkat itu? Belajar ilmu dalam bahasa yang dia tidak tahu. Tak ada lah, ini karut!

Rakyat terpaksa menerima, seolah-olah tidak boleh membantah.

Masalahnya di negeri kita, akhbarnya tidak bebas, kalau kita hendak memberi pandangan membantah (dasar ini), tidak keluar. Suara kita tidak sampai, jadi seluruh rakyat yang kadang-kadang yang kurang berfikir, dia menganggap keputusan itu (mengajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris) betul.

Lalu ada orang berkata kepada saya, Jepun dan China pun sudah banyak yang belajar bahasa Inggeris. Saya kata, betul. Tetapi mereka tidak menggantikan bahasa pengantarnya ke bahasa Inggeris.

Memang mereka hendak menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama. Mereka berbuat begitu kerana ada tujuan tertentu. Kita tidak, kita hendak menjadi maju dengan menolak bahasa kita sendiri. Majulah kita!

Kita ini orang Islam, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Islam sudah lebih 700 tahun, konsep Islam, syariat Islam, ilmu Islam, budaya Islam dan sebagainya kita fahami melalui bahasa kita.

Contohnya, perkataan ijab qabul tak ada dalam bahasa Inggeris, nikah pun tak ada. Engaged makna bertunang itu betul. Perkataan kenyang pun tak ada dalam bahasa Inggeris. Paling habis pun mereka kata "I'm full". Full pada kita maknanya penuh.

Ini saya bagi contoh sahaja. Sebenarnya beratus perkataan kita yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Ini kerana 60 atau 70 peratus bahasa Inggeris adalah pinjaman. Tetapi orang tidak tahu.

Kecelaruan ini sentiasa berlaku di negara ini dan kadangkala membuat rakyat semakin bertambah persoalan yang bermain di fikiran. Kita berperang dengan persepsi negatif tetapi adakah sebarang tindakan relevan yang di ambil? Pemimpin mungkin tidak duduk di kedai kopi atau jalanan tapi isu ini sering menjadi pertikaian. Persoalannya mampukah kita bertahan ?

Belajar terus belajar.