Friday, July 31, 2015

Relevankah Ta'kan Melayu Hilang di dunia ?

Kata keramat yang pernah dilaungkan oleh seorang hulubalang terkuat di Nusantara suatu ketika dahulu. Laksamana Hang Tuah pasti tidak menyangka bahawa kata-kata “tidak akan melayu hilang di dunia” yang diungkapkannya satu ketika dulu kini masih berkumandang. Tetapi pada masa sekarang teriakan tersebut di laungkan dengan lebih lantang lagi.

Jika dulu, pahlawan-pahlawan tanah melayu lincah berpencak silat, berkeris, bertombak dalam menangkis musuh-musuh yang mahu memusnahkan ketuanan raja melayu, tetapi sekarang di zaman yang serba moden, cara yang berlainan digunakan tanpa melibatkan pertumpahan darah. Hanya dengan menggunakan kebijaksanaan dan kepandaian, penulis jamin kata-kata keramat tersebut akan terus kekal sampai bila-bila.

Usaha mempertahankan melayu di alaf baru dilihat lebih mencabar berbanding zaman dahulu kala. Pada masa kini, sesiapa yang memainkan isu melayu, mereka akan dituduh rasis dan tidak ada semangat perpaduan antara kaum. Oleh sebab itu kebanyakkan orang melayu tidak berani untuk bangkit dan menyebut perkataan melayu kerana takut dituduh rasis. Begitulah hebatnya pengaruh yang dibawa oleh pemimpin anti Melayu.

Semua sedia maklum bahawa parti politik bermatlamatkan kuasa dan akan melakukan apa saja termasuklah memperkuda agama demi memenuhi matlamat tersebut. Maka tidak hairanlah Pembangkang berjaya mencemaskan dengan memainkan isu perkauman menghasut pengundi-pengundi kaum lain untuk tidak menyokong kerajaan kerana mendakwa untuk melayu saja.

Kaum melayu pada pandangan saya berada dalam krisis identiti, kaum melayu ibarat menumpang di tanah tumpah darah sendiri, sering terikut-ikut apa yang dilakukan oleh kaum lain. Kaum melayu dilihat seperti hilang identiti sebenar dimana suatu ketika dahulu melayu begitu terkenal di Nusantara. Malah bahasa melayu pernah menjadi lingua franca antara pedagang yang datang berdagang ketika itu.

Selepas kedatangan penjajah, hingga sekarang melayu masih tercari-cari identiti sebenar. Malah mana-mana Negara yang pernah dijajah pasti akan tercari-cari identiti nasionalnya dan dalam masa yang sama cuba memenuhi tuntutan membentuk Negara bangsa. Apatah lagi dalam masyarakat yang berbagai budaya, polemik ini bukan mudah untuk dihadamkan jika tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Disebalik kecelaruan ini, Islam dilihat sebagai tunjang yang paling kukuh dalam mengembalikan identiti melayu. Kebangkitan Islam dalam kalangan orang melayu paling jelas pada era 70-an dimana ia selari dengan proses pembangunan Negara pada ketika itu. Disitu, kaum melayu kembali mendapat identiti sebenar dan tidak dinafikan kejayaan orang melayu ketika itu mula bertambah.

Tetapi masa kini, melayu dilihat kembali hilang jati diri, agama yang suatu ketika dulu menjadi penampan kepada kaum melayu sekarang dilihat kurang relevan hasil daripada dakyah yang dibawa oleh parti lawan. Parti yang menggunakan Islam sebagai senjata utama untuk berpolitik dilihat menyalahgunakan agama untuk memecahbelahkan melayu. Setiap fatwa yang dikeluarkan dikalangan pemimpin sering kali menimbulkan pertelingkahan antara Melayu yang menyokong parti yang berbeza.

Disaat pertelingkahan ini lah peluang yang sebaiknya digunakan oleh anti Melayu untuk cuba menanamkan benih-benih kebencian tehadap kaum melayu. Dap cuba menghasut kaum lain untuk bangkit menentang melayu dengan menabur janji-janji manis. PRU 13 yang lepas, kerajaan ternyata kehilangan majoriti undi dari kaum cina.

Disaat kaum melayu bertelingkah sesama sendiri, cina dilihat semakin bersatu kuat. Orang melayu diperbodohkan, cina bertepuk tangan, itukah yang kita mahukan? Selagi lawan masih menggunakan pendekatan Islam songsang dalam perjuangan politik, kaum melayu tetap tidak akan bersatu sampai bila-bila.

Maka tidak menghairan jika kuasa politik melayu semakin merosot di Malaysia. Jika benar mahu memperjuangkan Islam, mengapa mereka tidak duduk semeja dengan kerajaan dan berbincang dengan ikhlas tentang perpaduan nasional dengan lebih berkesan? Tetapi yang berlaku sebaliknya apabila sanggup mengeluarkan kenyataan yang beliau lebih rela makan babi dengan Lim Guang Eng daripada makan ayam. Jadi dimana keikhlasan dalam memperjuangkan Islam?

Apa yang berlaku pada PRU 13 lebih kepada percaturan elit politik, bukannya datang dari perubahan pemikiran rakyat. Kerajaan harus menyedari hal ini dan berusaha untuk memperlihatkan perbezaan mereka dengan Pembangkang.

Jika Barisan Nasional optimis dalam memperjuangkan nasib bangsa melayu, tidak mustahil kata-kata yang diungkapkan oleh Hang Tuah akan terus dilaungkan oleh generasi yang akan datang. Percayalah, perjuangan Hang Tuah tidak terhenti setelah Hang Jebat ditikam tetapi perjuangan Hang Tuah berterusan hingga ke hari ini di mana kaum Melayu masih lagi relevan di Malaysia. Jadi janganlah disia-siakan apa yang diperjuangkan oleh Hang Tuah terhadap orang melayu selama ini.

"Ta 'kan Melayu Hilang di dunia "


Mohd Saifullah


Wednesday, July 8, 2015

Mana maruah pemimpin dan rakyat ?

Situasi iklim politik negara hari ini seram sejuk dibuatnya. Fitnah, tuduh menuduh dan hasut menghasut semakin menular tanpa mempedulikan natijah yang bakal menimpa kepada bangsa dan negara. Rakyat yang tidak berdosa hari ini disajikan dengan cerita-cerita yang meloyakan berbaur fitnah, tuduh-menuduh dan pelbagai hasutan yang tidak diambil ikhtibar oleh ahli-ahli politik yang taksub membabi buta semata-mata kepentingan mereka dan kuasa. Paling dukacita situasi politik meloyakan ini hanya melibatkan orang Melayu yang beragama Islam saja.

Budaya politik hanyir dan meloyakan ini nampaknya menjadi medan baru bagi mereka yang gilakan kuasa. Tindakan ahli-ahli politik hari ini seolah-olah mereka sudah hilang pertimbangan dan kewarasan serta tidak lagi menggunakan akal yang dianugerahkan Allah dengan sempurna sehingga agama dipertaruhkan sebagai agenda untuk berkuasa.

Al-Quran dan Hadis tidak lagi menjadi rujukan dan pedoman, sebaliknya digunakan sebagai elemen dan batu loncatan demi kuasa. Manakala sikap suka memfitnah dan kebencian sesama bangsa sendiri yang ada dalam diri orang menjadi amalan yang jelas boleh menghancur dan menggangu-gugat keamanan dan kekuatan umat Islam. Hari ini orang Melayu dipersendakan manakala ada pihak hanya mampu tersenyum gembira akan kebodohan segelintir sikap orang-orang Melayu yang suka mencela dan mengaibkan sesama mereka.

Sekali sekala kita hendaklah melihat sejarah akan natijah akibat menularnya budaya dan gejala politik hanyir dan meloyakan ini. Tentu ahli-ahli politik yang memperjuangkan agama Islam boleh menterjemahkan ayat-ayat dalam Al-Quran dan Al-Hadis mengenai kisah-kisah sejarah akibat sikap penyakit fitnah dan mengadu-domba kepada bangsa Melayu beragama Islam. Lihat bagaimana sejarah Islam dan runtuhnya Kerajaan Islam dan umat Islam khasnya apabila membelakangi agama kerana gejala fitnah dan hasutan menjadi darah daging.

Betul ke apa yang mereka katakan ini? Atau pun hanya sekadar kepentingan politik semata-mata?

Bagaimana pula dengan akuan bersumpah yang di buat oleh Raja Petra? Sebagai orang Islam apakah tindakan beliau memfitnah isteri Perdana Menteri berhubung isu pembunuhan Altantuya tidak mengaibkan seseorang dan tidak berdosa? Inikah manusia-manusia yang perlu kita sanjungi dan menyokong membabi buta apa yang dikatakannya. Persoalannya kenapa beliau enggan mendedahkan nama sumber pemberi maklumat tentang penglibatan Rosmah dalam pembunuhan.

Betul ke Anwar akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah 30 tahun dilaksanakan? Jika benar, nescaya ia boleh menggugat kedudukan orang Melayu untuk mencapai seperti apa yang dinikmati sekarang. Bacalah dan hayatilah wahai bangsa Melayu akan kenyataan Anwar dalam majalah Asia Inc, Asian Business Asian Views terbitan bulan Mei-Jun 2014. Renungi dan ambilah ikhtibar akan perjuangan Anwar. Kerana hilang sokonganlah beliau meraih simpati antarabangsa. Menjaja dan memburukan nama negara di persada antarabangsa sehingga beliau sanggup menjatuhkan maruah bangsanya sendiri. Semata-mata agenda politiknya untuk menjadi Perdana Menteri.

Nampaknya walaupun pilihan raya sudah berlalu, namun ahli-ahli politik masih leka dengan mainan politik demi kuasa. Sepatutnya agenda pembangunan negara dalam memastikan rakyat jelata menikmati kemakmuran negara dijadikan agenda utama. Bukannya adu domba dan fitnah yang semakin melata bermaharajalela. Fikirlah masa depan bangsa dan agama bukannya hanya pandai manis berkata, rakyat terbiar negara tergadai. Jika agenda pembangunan negara tergendala semata-mata adu domba dan fitnah menjadi agenda, tersungkurlah kemakmuran negara, hancurlah bangsa. maka ketawalah mereka-mereka melihat bangsa kita membunuh sesama kita hanya kerana gilakan kuasa.

Semoga Allah menunjukkan kebenaran atas spekulasi 1MDB , GST dan agar perbalahan dua orang gergasi politik dapat di selesaikan dengan segera. Matawang kita jatuh merudum , harga komoditi jatuh teruk dan pembangunan yang dilaksanakan adakah memberi kesan positif pada rakyat. Bajet berjuta adakah sampai kepada rakyat ? Anda sendiri boleh nilaikan. Salah siapa ?

Jangan biarkan rakyat melukut di tepi gantang. Hidup Melayu biarlah hidup yang bermartabat !


Monday, July 6, 2015

Jangan biarkan Malaysia di jajah !

1. TPPA bakal memberikan layanan sama rata terhadap para pelabur syarikat gergasi antarabangsa dari negara seperti Amerika untuk membida projek kerajaan yang selama ini diberikan kepada syarikat bumiputera. Jika kerajaan memberi layanan istimewa kepada syarikat bumiputera, pelabur asing itu boleh menyaman dan mengheret kerajaan Malaysia ke tribunal antarabangsa.

Ini bermakna, hak istimewa Melayu dan bumiputera seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai dan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera akan terbelenggu oleh kuasa syarikat gergasi antarabangsa asing yang mengawal melalui tribunal antarabangsa. Afrika Selatan telah berdepan dengan masalah ini dan terpaksa mengalah, apabila dasarnya yang mengutamakan rakyat kulit hitam (mirip DEB) telah dicabar di tribunal antarabangsa.

2. TPPA dijangka akan menghapuskan cukai import beras daripada Amerika, yang buat masa ini dikenakan sebanyak 40%. Apabila cukai ini dihapuskan, harga beras Amerika lebih murah daripada harga beras tempatan kerana subsidi tinggi yang diberikan kerajaan Amerika kepada syarikat pengeluar beras negaranya, menyebabkan harga berasnya tidak dapat ditandingi oleh harga beras negara kita.

Apabila ini terjadi, industri beras negara kita akan lumpuh, ribuan petani kehilangan sumber pendapatan, kita akan bergantung pada bekalan beras daripada Amerika yang merupakan pengeksport beras ketiga terbesar di dunia. Kesan akhir ialah keselamatan makanan negara terancam dan kedaulatan negara tergadai.

3. Piawaian HALAL Malaysia akan dikira sebagai “penghalang bukan cukai” yang menyekat perdagangan bebas. Piawaian sedia ada ini akan “ditundukkan” kepada piawaian Amalan Terbaik acuan Amerika yang dijadikan rujukan utama dalam rundingan perjanjian TPPA ini. Sudah tentu JAKIM tiada kuasa untuk memantau daging yang diproses di Amerika.

ARTIKEL BERKAITAN: Obama datang Malaysia untuk tandatangan TPPA?

Lagikan syarikat dalam negara ada yang melanggar syarat yang ditetapkan, inikan pula syarikat di luar negara. Sijil HALAL Malaysia juga meliputi produk ubatan, kosmetik dan sebagainya, yang sudah tentu sukar untuk dipatuhi oleh syarikat luar. Ini semua bakal tergadai atas alasan perdagangan bebas.

4. Sebarang peraturan baru – selepas TPPA dimeterai – yang dikenakan ke atas produk atau aktiviti syarikat asing, yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar atau memudaratkan kesihatan rakyat, akan dicabar di tribunal antarabangsa. Uruguay, Australia, Ecuador, Canada, Mexico adalah beberapa contoh negara yang sudah menjadi mangsa perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika yang melibatkan berbillion dollar US di tribunal antarabangsa berkaitan isu ini.

5. Layanan sama rata terhadap pelabur daripada syarikat gergasi asing juga akan meletakkan tanah rizab Melayu dalam risiko tinggi. Halangan ke atas syarikat pelabur asing untuk memiliki tanah rizab ini untuk tujuan komersil akan dicabar di tribunal antarabangsa. Selain itu, tindakan “jenayah bangsa” yang mengalibabakan milikan tanah rizab akan semakin meluas melibatkan pelabur syarikat gergasi Amerika pula.

6. Filem-filem lucah dan ganas yang dihasilkan oleh pengeluar filem antarabangsa akan dipasarkan secara bebas di negara ini kerana penapisan filem dianggap suatu “halangan bukan cukai” yang dihapuskan dalam TPPA. Lembaga Penapisan Filem negara tidak lagi boleh menjalankan fungsinya dan rakyat negara ini akan terdedah kepada bahan tontonan yang semakin menjahanamkan moral dan nilai akhlak sebagai tambahan kepada masalah sosial sedia ada yang sudah kronik.

7. Harga ubat-ubatan akan meningkat antara 60% hingga 80% daripada harga sekarang, kerana TPPA akan mengetatkan lagi syarat untuk pembuatan ubat-ubatan generik yang selama ini membekalkan lebih 80% daripada ubat-ubatan yang diperlukan dengan harga yang murah.

8. Dasar mengutamakan pekerja tempatan, seperti peraturan yang mewajibkan syarikat asing memberikan latihan dan memindahkan teknologi kepada anak tempatan, peraturan-peraturan yang melindungi pekerja tempatan dari sudut kesihatan, keselamatan, kebajikan dan gaji minima tidak lagi boleh dilaksanakan dalam TPPA.

Terpulang kepada syarikat pelabur asing untuk menetapkan piawaian mereka sendiri. Kesannya ialah kemasukan pekerja mahir dari negara luar seperti Amerika, tanpa mereka bertanggungjawab untuk melatih pekerja tempatan, dan lambakan buruh murah dari negara seperti Vietnam, Bangladesh dan sebagainya. Pekerja kita terpaksa bersaing dengan pekerja asing, secara sama rata.

9. TPPA sebenarnya adalah agenda Amerika untuk meluaskan kuasanya di sebelah Asia, bagi menyaingi negara China yang diramalkan akan menjadi kuasa besar beberapa tahun akan datang. Itulah sebabnya, hanya enam bab, daripada 29 bab dalam perjanjian TPPA benar-benar berkaitan dengan perdagangan. Selebihnya berkaitan kawalan polisi dan dasar yang memberikan cengkaman Amerika ke atas negara-negara yang terlibat.

Hakikatnya, Malaysia tidak perlu TPPA, kerana tanpa sebarang perjanjian perdagangan pun kita mempunyai lebihan dagangan sebanyak hampir satu billion dengan Amerika pada Mac 2015 sahaja. Manakala dari sudut lain, TPPA akan menyekat kebebasan dagangan kita dengan negara China –musuh politik, ekonomi dan ketenteraan Amerika- yang merupakan rakan dagangan terbesar kita hari ini dengan nilai dagangan sebanyak RM17.16 billion pada Mac 2015.

Hakikatnya, perjanjian ini juga sebenarnya hanya menguntungkan syarikat gergasi Amerika –yang dikuasai Yahudi- dan memangsakan rakyat awam Amerika sendiri. Itulah sebabnya ia turut ditolak oleh segelintir ahli politik Amerika yang masih berjiwa rakyat.

10. Realitinya, bangsa Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dalam negara, inikan pula untuk bersaing dengan pedagang dan pelabur asing syarikat gergasi multinasional. Fakta menunjukkan bahawa hanya 8% bumiputera memegang jawatan pengurusan dalam sektor swasta, memiliki hanya 8.2% daripada syarikat-syarikat besar dan 25% daripada nilai hartanah di Malaysia. Realiti sepatutnya menafikan fantasi.

11. Kesemua hujah di atas tidak dapat ditolak atau disangkal dengan bukti yang kuat oleh pihak perunding yang dilantik kerajaan Malaysia. Ini disebabkan bukti yang mereka ada hanyalah teks rundingan atau deraf perjanjian yang sedang dibincangkan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat menggunakannya kerana teks atau deraf itu adalah dokumen rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Hampir kesemua Ahli Parlimen, sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, tidak mempunyai akses ke atas dokumen itu atau dalam bahasa mudahnya tidak pernah membaca dan mengetahui mengenainya. Selepas dokumen berkenaan terbocor, maka segala jangkaan tentang TPPA yang dibuat -berdasarkan perjanjian perdagangan negara lain dengan Amerika sebelum ini – ternyata benar belaka.

Rundingan TPPA telah berjalan bertahun-tahun secara rahsia. Pihak yang menderaf ialah kerajaan Amerika dengan nasihat langsung daripada lebih 600 syarikat gergasinya. Manakala beberapa orang bertuah di pihak kerajaan Malaysia yang terlibat secara langsung dan mengetahui butiran teks rundingan secara terperinci ialah Datuk Jayasiri A/L Jayasena selaku ketua perunding dan Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria selaku Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang di tangan merekalah terletaknya nasib kedaulatan tanahair kita.

Hidup Melayu biarlah hidup yang bermartabat. Jangan biarkan kita di jajah lagi.

Belajar terus Belajar.