Thursday, August 10, 2017

Melayu Semakin Lupa Diri

Filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee banyak isu kritikan sosial. Pengajaran yang disampaikan oleh P Ramlee selalunya membuatkan kita bersedih dan bergelak, tetapi pada masa sama, kita sebenarnya sedang ketawakan pada diri kita sendiri.

Adegan posmen yang menghantar surat kepada watak Syawal dalam filem Ahmad Albab, antara contoh yang paling mudah. Apabila ditawarkan minum, dia menolaknya dengan memberikan alasan 'tak boleh.. rasuah,' manakala dalam filem Anak Bapak pula, ada unsur integriti yang kita boleh jadikan sebagai contoh.

Tentunya masih ada yang mengingati babak apabila watak Ibrahim Din mencadangkan kepada watak yang dimainkan oleh P Ramlee, menggunakan wang syarikat untuk membayar hutangnya. Dalam adegan itu, watak Ibrahim Din terus dimarahi oleh watak P Ramlee kerana mencadangkan sesuatu yang hina, iaitu menyalahgunakan wang syarikat.

Banyak lagi sebenarnya yang dikritik oleh P Ramlee. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, sepasang suami isteri bergaduh kerana tidak ada duit. Si suami menyalahkan isteri kerana ketika berkahwin, mereka sudah berbelanja dengan mewah, iaitu di luar kemampuan mereka semata-mata untuk tunjukkan kepada keluarga isterinya yang dia mampu.

Namun adakah kritikan seperti ini mampu membantu menyedarkan masyarakat kita, khasnya masyarakat orang Melayu yang sering dijadikan kritikan sosial dalam filem P Ramlee? Adakah mereka hanya ketawa tanpa menyedari bahawa apa yang cuba disampaikan oleh P Ramlee adalah sebagai tanda peringatan kepada kita semua.

Mungkin masyarakat hari ini perlu diberitahu dengan lebih jelas. Dalam hal ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur sikap segelintir orang Melayu yang lupa daratan apabila mula menikmati kemewahan. Sifat lupa diri ini tentunya akan memakan diri sendiri. Sultan Nazrin juga menegur maruah bangsa yang tergugat disebabkan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

"Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga," begitulah titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam'.

Apa yang dititah oleh Sultan Perak adalah sesuatu yang mesti diambil berat oleh kita semua. Jangan hanya sekadar mendengar dan membaca tetapi kemudian kita kembali semula melakukan apa yang dilarang. Itu sebab rasuah akan terus bermaharajalela dan bangsa Melayu akan terus berada di takuk lama.

Bangsa Melayu sudah membuktikan yang kita mampu menjadi sebuah bangsa yang kuat. Sejarah juga sudah mengesahkan yang bangsa Melayu pernah berkuasa di rantau nusantara sehingga terkenal di serata dunia. Namun, selagi masalah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah terus berleluasa, selagi itu kita tidak akan maju dan mungkin hanya berpuas hati dengan kejayaan kecil.

Sultan Nazrin juga menitahkan supaya orang Melayu kembali mencari hikmat kekuatan bangsa yang terletak pada agama Islam. Ambillah iktibar daripada titah Sultan Perak ini. Dalam Islam pun sudah dinyatakan dengan jelas akan hukum-hakam perkara yang berkaitan dengan rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah.

Tanyakan pada diri kita sendiri. Tidakkah ada timbul rasa bersalah jika kita melakukan dosa ini? Bagaimana pula dengan wang yang kita peroleh daripada amalan yang berdosa ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dengan maksudnya: "Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram."

Adakah kita sedang melalui zaman yang dimaksudkan ini, iaitu tidak ambil peduli dan tidak ada rasa bersalah apabila melakukan perbuatan dosa. Jika ini yang kita rasa, maka segeralah kembali ke pangkal jalan, kerana masih tidak terlalu lewat untuk kita mengubahnya.

Semuanya terpulang kepada generasi hari ini untuk sama-sama membentuk dan mengukuhkan lagi masyarakat yang benar-benar mengikut landasan yang betul untuk mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.


Monday, July 31, 2017

Senarai Cawangan GPMS Melaka

ASSALAMMUALAIKUM WBT

SELAMAT DATANG SAHABAT-SAHABAT GPMS MELAKA

KHAS BUAT BELIA BERUMUR 15-35 TAHUN SILA daftar sebagai ahli GPMS DAN MEMPEROLEHI KAD KEAHLIAN PERCUMA dan boleh daftar secara online di http://daftar.gpms.org.my

Untuk keterangan FAST RESPON http://www.wasap.my/601123856589

Hebahan Program 💻https://t.me/gpmsnegerimelaka

📲
https://chat.whatsapp.com/Cz7gPycBSAU84aVg8Hshop

#gpms #belajarterusbelajar #amanah448 #gpmsdihati #mohonshare #viralkan

"Belajar Terus Belajar"


SENARAI GPMS CAWANGAN-CAWANGAN NEGERI MELAKA

*GPMS BANDAR MELAKA*
-YDP GPMS BANDAR MELAKA-Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60172968316

*GPMS AYER KEROH*
-YDP GPMS AYER KEROH- Mad Noor Bin Hashim
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60193463669

*GPMS BUKIT KATIL*
-YDP GPMS BUKIT KATIL-Rabbani Wakiman
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/601123856589

*GPMS MERLIMAU*
-YDP GPMS Merlimau-
Khairul
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0133997247

*GPMS SERKAM*
-YDP GPMS SERKAM
Siti Salwa
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0122416438

*GPMS JASIN BISTARI*
-YDP GPMS JASIN BISTARI-
Shahrizal
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0176588562

*GPMS ALOR GAJAH*
Boleh hubungi
-YDP GPMS ALOR GAJAH-
Penghulu Abdul Rahim Yusof
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60196865277

*GPMS TANJUNG BIDARA*
-YDP GPMS TANJUNG BIDARA-Ustaz Aziz Abdullah
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60199997414

*GPMS MASJID TANAH*
-YDP GPMS MASJID TANAH- Afiq Mubassyir
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60176056028

*GPMS CAWANGAN KHAS MiCOST*
-YDP GPMS Khas MiCOST-
Arash
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0136208974

*GPMS Cawangan Khas KAYM*
-YDP GPMS Cawangan Khas KAYM-
Hafiz
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/01139666365

*GPMS Cawangan Khas UTEM*
-YDP GPMS Cawangan Khas UTEM-
Taufik
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60177326327

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Setiausaha GPMS Melaka Saudara Rabbani http://www.wasap.my/601123856589

"Belajar Terus Belajar"

Monday, July 10, 2017

Masih relevankah Sekolah Vernakular ?

Masyarakat Malaysia semakin ingin memperluaskan jurang tetapi dalam masa yang sama sanggup berpura-pura intim demi memenuhi kepentingan bangsa sendiri. Sejak sekian lama mereka telah diasingkan melalui institusi pendidikan yang menjadi asas pembangunan masyarakat. Kononnya mereka ingin mengekalkan budaya dan tradisi keturunan mereka, namun hakikatnya sikap kekitaan yang melampau pula sering disuburkan.

Mereka tidak berpeluang untuk bercampur dengan bangsa lain di aliran vernakular masing-masing. Jauh sekali untuk memahami dan menghargai sikap keterbukaan dan toleransi oleh kaum bumiputera. Ruang kosong yang tinggal ini dipenuhi dengan sikap berprasangka dan kekitaan yang melampau sebagai balasan.

Esktrimis ini telah lupa dengan asal usul mereka dan malah mereka tidak mempedulikan nasib kaum bumiputera yang selama ini mengalu-alukan kedatangan mereka. Mereka mengheret sebilangan besar dikalangan mereka dengan perjuangan esktremis mereka. Tanpa mereka sedari bahawa mereka sebenarnya membawa bangsa mereka berada di jurang kemusnahan kerana enggan untuk berpijak dibumi yang nyata. Mereka semakin jauh tersisih dari bangsa-bangsa lain yang perlu ditewaskan dengan helah "Hak Kesamarataan" demi memenuhi matlamat mereka.

Persefahaman akan terbentuk apabila kita selalu bersama untuk mencapai cita-cita

Di mana sikap saling bantu membantu untuk maju? Mengapa perlu bersikap tamak haloba dan pentingkan diri sendiri? Apakah mereka ini senantiasa bersedia untuk mengambil kesempatan keatas sikap terlalu baik bumiputra terhadap mereka?

Saling berterima kasih, Saling terhutang budi dan saling hormat menghormati.. Adakah kita mampu mewujudkan persefahaman yang tulen dan ikhlas?

Ayuh rakyat Malaysia.Jangan biarkan virus esktremis merosak dan mengancam generasi masa depan.

Mansuhkan semua sekolah vernakular. Gantikan dengan mekanisme baru untuk memelihara budaya dan tradisi mereka. Tiada sesiapa pun berhak mengasingkan rakyat Malaysia dalam apa-apa lapangan kemasyarakatan, apa lagi dalam institusi pendidikan yang menjadi asas pembentukan generasi masa hadapan.

Ayuh kita tanpa mengira kaum harus berlapang dada dan menerima sistem pendidikan berbilang kaum dalam sebuah sekolah dan institusi yang sama. Sampai bila kita ingin bertelagah atas perkara kecil ? Isu babi , isu anjing atau isu picisan yang menjadikan rakyat Malaysia sebagai minda kelas ketiga. Cuba lihat Singapura , Indonesia , Jepun atau seantero dunia masih adakah sekolah vernakular ?

Tepuk dada dan tanya selera dan renung di manakah tahap kita dalam mewujudkan Malaysia sebagai rakyat kelas pertama dan sebuah negara bangsa.

Jom Daftar Ahli GPMS

Jom semua sahabat daftar sebagai ahli GPMS dan boleh daftar secara online di http://daftar.gpms.org.my #gpms #belajarterusbelajar #amanah448 #gpmsdihati #mohonshare


Saturday, July 8, 2017

Budaya Penasihat Pemimpin Tanpa Baju ?

Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.

Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?

Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak
-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.

Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.

Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.

Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.

Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘sikerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya.

Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar.

Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masakini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.

Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.

Setiap orang mempunyai ‘bilnd spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.

Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistic dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang enteng, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai orang yang terjatuh kerana tersepak batu kecil… dibandingkan dengan terlanggar batu besar?

Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh…Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini…Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?

Friday, July 7, 2017

Masih ada harapan untuk martabatkan Bahasa Melayu ?

PERSIDANGAN Dewan Rakyat Merupakan sesuatu perkara yang di nantikan oleh setiap rakyat marhein di Malaysia bagi melihat setiap ahli parlimen berbahas.

Banyak isu yang telah dibincangkan dengan rancak oleh setiap rakyat yang prihatin terhadap perkembangan perbahasan di Parlimen, termasuklah tentang tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Dewan Rakyat. Saya terpanggil untuk mendalami salah-satu perkara yang timbul amat ketara bagi mereka yang setia mengikuti sidang Parlimen.

Seperti yang semua sedia maklum, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib digunakan dalam kesemua urusan rasmi. Dalam penghakiman kes Merdeka University Bhd. v. Government Of Malaysia di peringkat Mahkamah Tinggi, yang telah diputuskan oleh Hakim ­Eusoffe Abdoolcader pada 7 November 1981, ‘urusan rasmi’ ditakrifkan sebagai merujuk kepada, antara lain, tindakan oleh sesuatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya melalui peruntukan undang-undang Persekutuan atau negeri.

Takrifan ini selari dengan peruntukan Perkara 152(6) yang menyebut: ‘Maksud rasmi’ ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Inilah peruntukan yang perlu dihormati dan dimartabatkan tinggi oleh keseluruhan warganegara Malaysia terutama sekali oleh mereka yang berdiri di atas kuasa yang diberikan melalui peruntukan undang-undang. Mengikut takrifan dalam kes Merdeka University Bhd., persidangan Dewan Rakyat adalah antara urusan rasmi yang memerlukan pemakaian tegas peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar ini jugalah ahli-ahli Dewan Rakyat tertakluk kepada Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyebut: “Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia (sic), tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris.”

Maka secara harafiahnya, bahasa Melayu wajib dipakai oleh ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang. Malangnya, acap kali dapat kita dengar bahawa ramai ahli Dewan Rakyat yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris di Parlimen ­terutama apabila mereka menanyakan soalan lisan. Trend ini sa­ngat membimbangkan kerana setelah hampir 60 tahun merdeka, ahli-ahli Parlimen kita masih tidak menghormati identiti kebangsaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya akui bahasa Inggeris boleh digunakan setakat mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan penggunaannya. Namun, seharusnya ruang untuk berbahasa ­Inggeris di dalam Parlimen Malaysia dihadkan hanya kepada beberapa ungkapan yang tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hakikatnya, masih ramai ahli Parlimen yang selesa berbahas hampir keseluruhannya dalam bahasa Inggeris asalkan di pertengahan perbahasan mereka, disulami dengan ungkapan ‘Dengan izin, Tuan Speaker’.

Adakah nilai bahasa kebangsaan negara ini duduknya sebegitu rendah hinggakan ungkapan ini dilihat keramat dan dapat memaafkan kebiadaban kita terhadap identiti kebangsaan yang termaktub dalam undang-undang? Agak janggal untuk rakyat Malaysia menonton bagaimana wakil rakyat masing-masing berdegar-degar berbahas dalam bahasa Inggeris sedang pada mereka masih mengharapkan agar rakyat yang mereka wakili dapat menghormati bahasa kebangsaan.

Ahli-ahli Parlimen ini seperti sekadar mengambil muka apabila hal ini diketengahkan walhal hakikatnya roh undang-undang negara ini tidak dihormati dan diperkotak-katikkan mengikut keselesaan mereka. Seharusnya mereka yang mewakili suara rakyat yang mengundi mereka menunjukkan teladan yang baik, sebaliknya mereka pula yang angkuh dengan meletakkan bahasa Inggeris lebih tinggi martabatnya daripada bahasa kebangsaan.

Sama jugalah perihalnya dengan ahli-ahli Parlimen yang tidak mampu untuk berbahas menggunakan bahasa Melayu dengan fasih. Perkara ini memalukan kerana terdapat beberapa kejadian di mana apa yang diperkatakan wakil rakyat tidak dapat difahami atau kedengaran kekok dek kerana telor (pelat) mereka yang terlalu pekat. Belum lagi disebut tentang kekasaran bahasa yang digunakan dalam dewan yang berdiri atas amanah rakyat. Di mana letakkan maruah negara ini jika kita diadili berdasarkan tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Parlimen kita?

Jika negara ini hendak melihat identiti kebangsaan yang menyantuni budaya ketimuran dihidupkan ­melangkaui apa yang wujud di batasan peruntukan undang-undang, setiap rakyat yang menggelarkan diri mereka warganegara Malaysia harus memainkan peranan masing-masing. Niat ini wajar dimulakan dengan mereka yang diberi kuasa untuk mengolah masa depan undang-undang negara ini.

Sikap segelintir ahli parlimen yang lihat seperti tidak menghormati peranan bahasa kebangsaan kadangkala mengguris hati rakyat Malaysia. Jika ahli parlimen sendiri tidak menghormati dan berbicara Bahasa Melayu dengan lancar siapa lagi yang kita harapkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu.

Thursday, July 6, 2017

Relevankah menyeru memegang anjing ?


1. Adalah perbuatan yang baik apabila kita mendidik masyarakat tentang agama, terutama tentang perkara-perkara khilaf dikalangan ulamak. Kita boleh berdiskusi dan berbicara tentang khilaf-khilaf ulamak. Tiada masalah. Malah menyampaikannya adalah sesuatu yang dituntut. Jadi terpulang kepada masyarakat untuk menilai.

2. Ada dua isu apabila kita berbicara tentang program memegang anjing. Pertama : Hukum pegang anjing.
Kedua : Hukum memelihara anjing.

3. Hukum pegang anjing : Perkara ini khilaf dikalangan ulamak. Ada yang kata keseluruhan tubuh anjing itu najis. Ada yang kata adalah hujung lidah itu najis. Secara peribadi, saya mengambil pendapat hujung lidah itu najis. Sebab itu pendapat yang lebih kuat. Namun jika ada yang kata seluruh tubuh anjing itu najis, kita raikan.

4. Hukum memelihara anjing : Sebagaimana yang kita tahu, kita boleh memelihara anjing hanya dengan tujuan memburu ataupun menjaga tanaman. Namun tidak pula kelonggaran diberikan untuk menjadikan haiwan peliharaan.

5. Terdapat ancaman apabila kita berdampingan dengan anjing tanpa keperluan.

“Sesiapa yang memelihara anjing kecuali anjing buruan ataupun ternakan (menjaga ternakan) maka berkurangan pahalanya setiap hari sebesar qirat (Bukit Uhud)”

- (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Berbalik kepada program "Pegang anjing". Cukup bagi kita tahu terdapat perbezaan dalam hukum memegang anjing. Namun apa keperluan program ini dilaksanakan? Cukup kita tahu tahi itu najis. Tidak perlu buat program khas untuk pegang tahi.

7. Imam Syafie menjadikan Qunut itu sebagai sunnah. Namun apabila berada dikalangan masyarakat bermazhab Hanafiyah, beliau gugurkan ibadah qunut.

Rujuk : (Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaitiyah, 2/302. Wizarah Al Awqaf Asy Syu’un Al Islamiyah).

8. Imam Ahmad pula membida'ah qunut. Namun jika dia solat dibelakang imam yang berqunut, beliau akan mengikutnya dan mengaminkannya.

Rujuk : (Syaikh Ibnu ‘Utsaimin, Syarhul Mumti’, 4/25. Mawqi’ Ruh Al Islam)

9. Mengapa para ulama hebat buat demikian? Ini kerana mereka tidak mahu jadikan ianya konflik besar /provokasi dalam masyarakat dalam perkara-perkara khilaf.

10. Jika Imam Syafie boleh gugurkan Qunut di kawasan masyarakat bermazhab Hanafi, mengapa pula kamu boleh lakukan program terbuka di kawasan yang masyarakat yang berpegang mazhab Syafie?

11. Adakah kamu sengaja timbulkan konflik/ provokasi dalam masyarakat?

12. Contohilah adab pada ulama ini apabila berhadapan dengan masyarakat berlainan latarbelakang. Mendidik tidak perlu kita lakukan provokasi.

13. Kepada saudara Wan Ji, dalil "Pak Arab" bukanlah dalil membenarkan kamu berdampingan dengan anjing tanpa keperluan.

14. Saya harap Wan Ji banyak buat rujukan pada Al-Quran dan Hadis Sahih dan jangan membuta-tuli menggunakan dalil akal semata-mata dalam menentukan perkara khilaf.

15) Banyak lagi isu Nasional yang kita perlu bawa selain ini. Bagi yang ingin memelihara anjing saya nasihatkan pelihara dan berbakti pada ibubapa kamu dahulu dan itu lebih baik.

16) Jangan mengikut sifat binatang seperti anjing iaitu menyalak dan mengejar tulang walaupun di beri daging. Jauhi sifat Babi yang suka berjimak dan menyondol sepanjang masa. Saya doakan agar kita tidak di hidupkan semula dalam tersebut di akhirat kelak kerana khilaf yang kita buat.
Wallahuallam.



Perkasakan Melayu sekadar Kepujian Bahasa Melayu ?

Andai ada yang berhajat belajar di Perancis, syarat masuk mesti kuasai dan lulus ujian French, bahasa kebangsaan.

Ke Jerman; lulus Deutsche. Jepun mesti lulus dan berbahasa Nippon. Korea lulus dan berbahasa Korea, dan begitulah di kebanyakan negara luar.

Tidak terkecuali ke Amerika Syarikat mesti pula lulus Sejarah Amerika, tidak cukup berbahasa Inggeris sahaja.

Malangnya di Malaysia, Menteri-menteri dari kaum lain-lain dengan bersahaja membakulsampahkan bahasa kebangsaan; Bahasa Melayu.

Terdapat juga usaha mengizin/menerima lulusan Unified Examination Certificate (UEC) ke institusi pengajian tinggi swasta Malaysia dan juga perkhidmatan awam?

Ramai sangatkah lulusan kedoktoran hingga mereka layak dibela untuk diberikan tempat..."for greater good of a few, the national language sacrificed".

Sedang hakikatnya ramai lulusan kedoktoran tidak mendapat tempat menjalani "Housemanship" yang kebanyakan terdiri dari anak-anak bangsa.

Kesinambungan dari itu, apakah "standard" dan sukatan pelajaran dan kelayakan yang dikenakan ke atas "International Schools", di mana ramai anak-anak "aristocrat" Melayu dan orang-orang kaya (dan wannabe) terkinja dan bagai desparado mengejar kelayakan "O Level"?

Adakah keputusan kepujian dalam Bahasa Melayu diutamakan dalam sistem pembelajaran mereka?

Tidak cukup itu, adakah penekanan pengetahuan Agama Islam dan atau latihan renang yang berasingan kepada pelajar lelaki dan perempuan!?

Di sebuah negara yang berdaulat, mutakhir ini, Perkara 152 semakin dirobek, dikikis, diruntuhkan sedang "lawmakers" berpeluk tubuh atau lebih tepat lagi, tidak kisah. Kononnya itulah kehendak ramai.

Siapakah Menteri-menteri tanpa Raja-Raja dan negaranya. Siapalah Menteri dan pemimpin tanpa kuasa diizinkan dari perjanjian/dokumen sejak tahun 1791 hingga 1965 yang dimeterai melalui Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia?

Perkara 159 (5) turut menyatakan sebarang pindaan hanyalah dengan perkenan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Sultan yang menganggotai Majlis Raja-Raja.

Benarkah terdapat ramai lulusan yang terpinggir kerana syarat sebagai seorang rakyat Malaysia? Bilangan mana yang ramai? Teliti kembali demografi "brain drain" yang dibawa pulang hasil usaha Talent Corps...kenapa anak Melayu disisih dan dibezakan ganjaran pulang?

Begitu mudah, amanah dan tanggungjawab yang ditagihkan dari rakyat dan pengundi dipandang sepi, di kalangan Wala' dari kalangan pemimpin Melayuku.

Layakkah terutama mereka yang "tidak remaja", tidak "situational centric", tidak peka tetapi leka dengan sokongan palsu bilangan kecil, untuk terus diberi peluang memimpin?

Berkata benarlah, walaupun pahit untuk ditelan. Bukan mengharapkan simbol dan adat sebagai pendamping untuk maruah diri.

Tambahan saya kemukakan dua isu yang timbul melibatkan pembelaan ke atas peluang anak bangsa Melayu Bumiputera.

1. JPA telah menggalakkan dan tidak menjanjikan biasiswa dan peluang pekerjaan kepada mereka yang layak di pusat pengajian luar dan dalam negara, namun lebih 1,000 orang bakal lulusan perubatan pelajar ini tidak diberikan peluang untuk menjalani Housemanship di hospital kerajaan atau swasta.
Tindakan tidak prihatin kepimpinan Melayu yang terkesima dan terhasut dengan sokongan kaum lain2 hanya menggelapkan masa depan mereka sekaligus, mengakibatkan golongan ini terpaksa mencari rezeki luar dari bidang pembelajaran dan bakal bertindak tidak menyokong dasar yang sediada.

2. Kementerian Pendidikan Tinggi telah membuka kuota lebih 36% kemasukan kepada pelajar baru tahun 1 - 5 kepada kaum lain2, di dalam bidang kejuruteraan petrochemical engineering. Tindakan ini menyebabkan kemasukan pelajar dari anak Melayu Bumiputera terpaksa dikurangkan. Lantaran kepakaran yang mampu menempatkan Melayu Bumiputera di persada dan selaras Agenda Pemerkasaan Bumiputera hanyalah satu omongan dan mengasyikkan masyarakat.

Kedua-dua senario ini berlaku, berlaku dengan izin dan dibenarkan berterusan, dilihat satu langkah untuk menggotakan tuntutan kaum lain sedang Melayu Bumiputera terus merintih di tanah tumpah darah keturunannya.

Wednesday, February 15, 2017

Orang Muda Penentu PRU-14 ?


Pola pengundian di setiap pilihan raya umum perlu diketahui, siapakah rata-rata penyokong termasuk peratus etnik-etnik yang terbabit di kawasan berkenaan. Pada masa sama, soal keberadaan pengundi-pengundi atas pagar yang selalu membuat keputusan berdasarkan kredibiliti pemimpin dan isu-isu semasa tidak harus diketepikan. Ini amat penting untuk dinilai berdasarkan faktor demografi di sesuatu kawasan dan pilihan parti yang bakal dipangkah pada detik pengundian nanti.
Apa yang pasti faktor pengundi kali pertama dan pengundi muda tetap memainkan peranan penting di setiap pilihan raya umum seperti PRU12 dan PRU13, malah boleh menjadi salah satu elemen penyumbang peratus atau penentu kemenangan sesuatu parti politik. Walaupun, wujud perdebatan sama ada pengundi muda menjadi faktor penentu keputusan PRU, namun agak sukar dijustifikasi kerana ia berkait rapat dengan demografi di kawasan berkenaan. Justifikasi yang sama juga boleh diletakkan pada kategori pengundi dewasa yang mungkin juga atas pagar.
 Adalah satu kenyataan yang perlu diterima umum bahawa pengundi dewasa atau veteran selalunya mempunyai sentimen “mengenang jasa” atau “membalas budi" sesuatu parti berbanding pengundi muda yang dilihat lebih bersifat terbuka dalam menentukan sokongan pilihan mereka. Kajian membuktikan sokongan pengundi dewasa biasanya berjangka masa panjang, tetapi pengundi muda sokongan mereka lebih bersifat jangka pendek kerana mereka menilai dasar parti, sikap pemimpin dan isu semasa yang didebatkan sebelum menjelang PRU14.
Antara elemen utama yang selalunya dilihat ialah kredibiliti calon. Mereka bersandarkan harapan kepada calon yang boleh beri inspirasi dan menjamin masa depan mereka. Mereka tidak meletakkan sokongan berdasarkan sentimen politik kepartian yang selalunya diamalkan oleh kebanyakan pengundi dewasa. Ini kematangan politik yang perlu dipelajari di mana sentimen kepartian tidak ‘laris’ dalam kalangan pengundi muda atau pengundi kali pertama.
Yang jelas dalam aliran masa, kesemua pengundi di negara ini bermula daripada pengundi muda yang lama kelamaan akan menjadi pengundi dewasa dan diganti dengan pengundi muda lain. Maka adalah penting bagi BN untuk menarik sokongan pengundi muda dari awal kerana mereka akan bawa sokongan itu sehingga menjadi pengundi dewasa. Pengundi mudalah yang menentukan siapa memerintah untuk jangka masa panjang.
Rata-rata pengundi muda merangkumi 38.8 peratus atau lebih 4.5 juta daripada lebih 12 juta pengundi di negara ini, dan persoalan sekarang ialah sejauh mana mereka ini mampu menjadi penentu keputusan PRU14 nanti. Kedudukan pengundi muda ini agak unik kerana agak sukar untuk mengenal pasti sokongan golongan ini, sama ada berpihak kepada parti kerajaan ataupun pembangkang. Mereka lebih berkedudukan di atas pagar. Tiba masanya untuk bertanya apakah strategi yang digunakan  untuk memancing golongan ini?
Di sebalik, pendekatan awal yang telah pun dibuat iaitu penggunaan media sosial bagi menarik sokongan generasi muda, isu-isu semasa yang memerlukan penjelasan umum oleh para pengundi perlu diselesaikan dengan segera supaya tidak wujud persepsi negatif yang berpanjangan. Bagaimanapun, media sosial hari ini turut menjana  persepsi yang tidak baik apabila medium berkenaan dikongsi banyak kali oleh netizen. Maka BN harus mengguna pakai medium tradisional (cetak dan penyiaran) yang kini ke satu tahap telah pun mampu menggunakan teknologi interaktif dalam menyampaikan berita semasa dan keupayaan calon-calon mengguna pakai aplikasi teknologi semasa dalam mendekati pengundi-pengundi.
Kebanyakan media arus perdana hari ini, menggunakan aplikasi interaktif dalam menyalurkan berita yang mana lebih digemari oleh pengundi muda yang juga memberikan interaksi pelbagai hala. Calon politik perlu memastikan mereka mempunyai hampir keseluruhan platform media sosial sehingga ke satu tahap mungkin mereka akan ketinggalan sekiranya tidak menggunakan aplikasi-aplikasi berkenaan.
Wujud juga perbezaan dalam fokus penilaian antara pengundi muda di bandar dan luar bandar. Pengundi muda luar bandar lebih fokus kepada isu-isu tempatan seperti bantuan kepada golongan nelayan dan petani sementara pengundi muda bandar pula fokus kepada isu-isu nasional atau semasa, membuat pemerhatian pentadbiran negara, isu ekonomi, dasar luar negara dan pelbagai lagi.Apakah fokus ini kita ambil kira?

Saya tertarik dengan tindakan kerajaan menaikkan had pencen sehingga 60 tahun dan apakah telah di lakukan kajian terhadap impak  generasi muda untuk memperolehi peluang pekerjaan ?

Menurut rekod peningkatan sehingga 112,000 siswazah yang menganggur pada tahun 2015 dan meningkat 25%-30% setiap tahun akibat penambahan IPT dan populasi penduduk yang majoriti oleh orang muda? Apakah tindakan kerajaan untuk memberikan kepuasan kepada  anak muda?

Cadangan terbaru daripada bekas Ketua Setiausaha yang mencadangkan pembuangan kakitangan awam rendah adakah ini sesuatu alternatif yang baik bagi anak muda untuk memperolehi pekerjaan bermula dari peringkat bawahan ?

Saya melihat senarai 1.25 Juta nama peminjam PTPTN yang CCRIS PTPTN terdiri daripada majoriti  anak muda yang terbeban walaupun  pelbagai langkah yang di ambil oleh PTPTN untuk membantu mereka. Adakah langkah yang di ambil ini dapat menarik hati mereka menyokong kerajaan? Apakah kerajaan tidak fikir tentang situasi ekonomi semasa yang kian membelenggu anak muda? Penerangan dan pelaksanaan GST amat baik tetapi adakah  pada situasi ekonomi pada masa ini memberi kesan positif pada anak muda?
Berapa bilangan dan peratus anak muda yang menjadi wakil pemimpin berusia bawah 40 tahun ? Adakah sampai 30 % ? Saya tertarik apabila Khairi Jamaluddin di pilih menjadi Ahli Parlimen Rembau pada usia 32 tahun tetapi selepas itu kebanyakan pemimpin kitar semula di bawa masuk. Adakah ini satu penambahbaikan bagi suara anak muda? Cuba lihat pembangkang yang 50% di wakili oleh suara anak muda.Kata Soekarno "Berikan aku 10 orang pemuda aku akan menggoncang dunia". Tapi kata-kata itu hanya ucapan dan tidak pernah di ambil peduli. Saya menyokong cadangan TN50 kepada anak muda tetapi saya harap transformasi ini bukan sekadar retorik bagi menyejukkan halwa telinga anak muda sahaja. Satu langkah yang drastik dan holistik perlu di ambil untuk menarik hati anak muda.
Maka boleh disimpulkan bahawa agak sukar menentukan adakah pengundi muda menjadi penentu PRU14 kerana pengundi ini mempunyai sokongan yang berbeza antara satu sama lain. Kajian lepas membuktikan 62 peratus pengundi muda ini tidak menyokong sesiapa, mereka akan tentukan ketika mahu mengundi nanti. Ini jelas menunjukkan pengundi muda tidak mempunyai sokongan yang satu, mereka punyai sokongan yang pelbagai. Pemikiran idealis anak muda akan menjadi medan PRU-14 pada masa akan datang.

Fikir-fikirkanlah.