Showing posts with label pemikir islam. Show all posts
Showing posts with label pemikir islam. Show all posts

Tuesday, May 17, 2016

Bila Melayu Hilang Kuasa

Melayu semakin hilang kekuatan untuk mempertahankan jati diri, hilang kuasa politik, semakin hilang keistimewaan hak yang dalam masa yang sama menghilangkan juga hak Islam pada agen Melayu di tanah Malaysia.
Bukti? Melayu terlalu mudah ‘diguna-guna’ dalam janji dan strategi bukan Melayu atau Melayu yang tidak melihat Melayu pada konteks Islam dengan pelbagai kisah akujanji, persepakatan atau gabungan agenda dan gerakan bersama.
Melayu jauh ketinggalan dalam sektor ekonomi. Menurut Dr Ismail Md Salleh, pada 2004, jumlah pemilikan ekuiti orang Melayu dan bumiputera hanyalah RM100 bilion dan kemungkinan besar menjelang 2020, Melayu dan bumiputera masih tidak mampu untuk mencapai pemilikan ekuiti sebanyak 30%. Satu rumusan ringkas oleh Dr Ismail mengenai 3 faktor yang mengekang pencapaian Melayu dan bumiputera ini salah satunya ialah kelemahan mekanisme dalam melaksanakan agenda Melayu. (Wacana Bulanan DBP dengan Prof Dr Ismail Md Salleh- Ketidakseimbangan Pencapaian Ekonomi antara Kaum di Malaysia; Mengelak Bom Jangka)

Dalam isu pendidikan, bila dibenarkan saja penubuhan IPTS yang majoritinya bukan Melayu, dan tak terikat dengan kaum, senyap tiada siapa yang pertikaikan. Tapi, bila keutamaan dalam pengambilan pelajar di IPTA ditujukan kepada Bumiputera, boleh pula bukan Melayu merungut. Melambak bukan Melayu di IPTS yang jumlahnya telah melebihi 500 buah berbanding jumlah IPTA yang hanya 20 buah dan 24 politeknik bawah kerajaan. Sekarang, monopoli milik siapa? Siapa yang mendesak siapa? Dan siapa yang kena?
Melayu pecah! Hasilnya Melayu bertebar dengan karakter ekstrim, kacau-bilau atau berlepas diri. Itu pecahan masyarakat Melayu hari ini. Dan programmer yang menyusun strategi ini bagai tersembunyi. Tidak nampak siapa ‘kepala’ idea ini kerana Melayu diapit antara urusan bukan Islam atau Islam yang korup. Memang tiada pilihan.
Justeru, bagaimana mungkin kita mengumpul kembali ketuanan Islam pada agen utama bergelar Melayu di tanah Malaysia ini? Sedang konsep pemecahan Melayu dan terkedepannya agenda bukan Islam ini terus  dilaksana, didokong dari masa ke masa.

Mungkinkah lagi kita mengembalikan kekuasaan (siyadah) majoriti agen Islam (Melayu yang sejak berzaman sebati dengan Islam dalam pengamalan hidup) untuk melaksanakan agenda Islam sebagaimana berlaku pada kepimpinan asabiyyah Quraisy di tanah orang Ansar yang berbilang suku pada zaman Rasulullah dulu?
“Pemimpin Islam mesti dari Quraisy”. Ya! Asabiyah Quraisy (Muhajirin) mendapat kuasa kepimpinan di tanah orang Ansar (Madinah) yang bukan disebabkan Quraisy itu mulia dengan utusan Rasul atau  keberkatan kaum. Tapi, rahsia arahan ini adalah kerana kuasa/dokongan yang wujud pada Quraisy dan memberi kekuatan kepada pemimpin serta kuasanya itu akan ditaati. –Muqaddimah Ibnu Khaldun-
Kaum lain masih mampu bersatu pada perkara yang mengancam mereka sekalipun mereka juga berbeza fahaman politik. Mereka bersatu untuk kesamaan hak seperti yang didapati oleh pribumi. Matlamat MCA tak jauh dari DAP; menyediakan yang terbaik untuk kaum Cina. Juga DAP.

Cina bersepakat terutama dalam menjadi penguasa ekonomi di tanah Melayu. Sekalipun orang Cina tersebut buta huruf, tapi mereka akan turut membantu membeli akhbar Cina iaitu akhbar Sin Chew Jit Poh, iaitu antara akhbar yang mempunyai edaran dan keuntungan tertinggi di Malaysia.
Juga, mereka boleh bersatu dalam Perhimpunan Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Dhong Zhong) di Johor Bahru pada 6 November 2012 dan meluluskan 36 usul berhubung politik, pendidikan, budaya, agama dan sosial. Kandungannya sama seperti yang terkandung dalam tuntutan “Suqiu” 1999. Antara 17 tuntutan Suqiu yang telah dikemukan oleh 2,095 NGO Cina ini ialah kesamarataan agama, taraf Bumiputera dihapuskan, menghapuskan sistem ‘kuota’, kesamarataan peluang perniagaan di semua peringkat, serta mengkaji dan memansuhkan Akta Pelajaran 1996 iaitu membenarkan sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing.
Bulan Ogos 2010, MCA pernah menggariskan 13 resolusi dalam Kongres Ekonomi Cina yang memuatkan permintaan terhadap kerajaan untuk mementingkan merit dan bukannya kuota bagi memberi peluang kepada semua pihak untuk bersaing secara sihat dan adil.
Perlembagaan dicabar! Hak Islam terkontang-kanting di negara sendiri!
Dan, Melayu tak perlu mudah lupa akan kisah diperlekehkan sehingga mencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969 selepas tamat Pilihanraya Umum pada 10 Mei 1969.

Berbalik pada kita sendiri. Penyerahan kuasa atau mandat akan datang bakal diberikan kepada siapa?
Kemungkinan 1 ; mungkin kepada orang bukan Islam sekalipun mereka bukan majoriti dan tiada penekanan pada agenda Islam kerana mereka lebih ‘menguasai’ kebajikan rakyat, atau
Kemungkinan 2 ; kepada Muslim Melayu yang berwibawa yang akan tetap membawa agenda Islam.

Bayangkan Bila Melayu Hilang Kuasa. Apa pilihan kita ada ?

 

Thursday, January 8, 2015

Realiti Penyatuan Melayu-Islam





Dalam Piagam Madinah juga orang Yahudi & Nasrani yang tidak mahu mengikuti Islam disatukan apabila puak besar dari kalangan umat Islam iaitu Aus & Khazraj dapat disatukan (Orang Islam pada fasa Yathrib, sebelum kehadiran Muhajirin yang diketuai oleh Nabi Muhammad SAW). Yahudi tahu pada ketika itu Islam dari peninggalan Nabi Ibrahim sangat kuat dan menguasai majoriti penduduk Yathrib TETAPI dilemahkan oleh mereka dengan perpecahan melalui persengketaan saudara antara Aus & Khazraj. Kaum yang besar beragama Islam yang berpandu pada suhuf-suhuf Ibrahim itupun menjadi lemah. Bayangkan jika orang Islam menguasai 60% populasi kalau buat pilihanraya boleh menang, tapi orang Islam dah jadi 30% kerana pecah 2, jika pilihanraya pasti kalah dengan  "Non-believers"  yang bersatu.


Apabila datangnya Rasulullah SAW selaku seorang yang berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana “parti”. Tidak Aus tidak pula Khazraj, maka kedua-dua parti ini mampu disatukan. TIDAK Aus masuk Khazraj atau tidak Khazraj masuk Aus TETAPI mereka bersatu menjadi MADINAH.


Ini kaedah yang Allah ajar kepada Nabi dalam piagam madinah. Maka golongan majoriti telah bersatu dan megalahkan golongan minoriti yang juga bersatu. AKHIRNYA golongan minoriti tadi terbahagi kepada 2. Yang pertama mereka menuruti sistem kekhalifahan Islam dan yang ke-2 mereka masih tetap tidak menerima kekhalifahan dan membayar jizyah kepada kerajaan Madinah.


Teknik sudah ada, hebat sangatkah kita yang masih lagi mempercayai bahawa penyatuan tidak perlu berlaku…?


Sinisnya, situasi semasa piagam Madinah MIRIP apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Melayu, Islam yang majoriti terbahagi 2 golongan (UMNO + PAS/PKR). Sinisnya juga kerana golongan minoriti sangat bersatu. Sinisnya lagi apabila orang dalam parti sendiri yang mengusahakan penyatuan dan bukan satu parti berkecuali yang menjadi penyatu, secara psikologi dan sosiologi, anjuran penyatuan sebegini akan ditolak oleh pihak yang satu lagi..


Apapun, apa yang dalam piagam Madinah itu sudah masuk skop yang besar. Sebelum itu, dengan konsep yang hampir sama, Nabi telah satukan Kabilah Arab yang bertelagah untuk hak meletakkan semula batu Hajar Aswad yang jatuh ke tempatnya. Semuanya dengan sifat amanah al-Amiin dan berkecualinya Rasulullah s.a.w.


Jika sejarah kenabian hanya dibaca untuk lulus peperiksaan samalah seperti baca novel untuk hiburan. Tapi jika anda bacanya dengan strategik dan minda terbuka kita akan lihat pelajaran besar yang mampu membimbing kita menyelesaikan pelbagai kemelut kehidupan yang terkait dengannya.


UMNO cakap PAS sesat . PAS cakap UMNO kafir, masing-masing ada asas tersendiri. Para pemimpin masing-masing saling melompat-lompat ke sana ke mari.Golongan berkecuali berkata tak mahu jadi kafir dengan menyokong mana-manapun. Semakin ramai golongan berkecuali yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang sedang berpecah belah ini. Akibatnya semakin kurang kekuatan yang ada. Tidakkah ini menunjukkan yang penyatuan sangat perlu ? Adakah kita ingin lihat Islam semakin di injak dan pluralisme beragama semakin menular di kalangan anak bangsa sehingga menyebabkan Allah di samakan dengan Yesus. Tidakkah Allah itu bersifat esa , tunggal dan tidak beranak ? Samakah Allah dengan Yesus ? Melayu pula berpecah dengan Si Kitul dan Mandeliar yang menjual anak bangsa demi darjat pangkat dan harta.


Bersatulah wahai umat Islam dan Melayu di Malaysia demi agama , bangsa dan tanah air ! Golongan yang menolak penyatuan ini semua kerana mempunyai kepentingan politik dan takut dengan perkongsian kuasa. Ingat kuasa itu tiada makna jika akhirnya Melayu Islam seperti melukut di tepi gantang.


Belajar Terus Belajar


Salam Perjuangan !

Sunday, January 4, 2015

Perlukah Sambutan Masihi ala Barat?


Saya hairan mengapa dari dahulu hingga kini, satu ‘perayaan ini’ masih wujud dan diteruskan saban tahun malah diusahakan untuk menjadikannya lebih meriah lagi dan lagi…Perayaan itu adalah sambutan Tahun Baru Masihi. Perayaan ini berhenti seketika apabila Malaysia di landa banjir dan musibah teruk di tahun 2014.

Hakikatnya para ulama sejak dahulu lagi telah memberi amaran tentang perbuatan meniru gaya orang kafir menyambut Tahun Baru Masihi.

Antaranya Imam al-Suyyuti (wafat 911H) dalam kitab al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-Nahy ‘an al-Ibtida’ di bawah tajuk ‘Bid’ah sambutan Tahun Baru Masihi’ – berkata:




“Apa yang dilakukan oleh ramai orang pada musim sejuk, dan mendakwa ia adalah hari kelahiran Nabi Isa, maka apa yang dibuat pada malam-malam ini daripada perkara-perkara mungkar seperti menghidupkan api, menyediakan makanan, pembelian lilin dan selainnya, maka sesungguhnya mengambil hari-hari kelahiran ini sebagai perayaan, ia adalah agama Nasrani @ Kristian, perkara tersebut tiada asas dalam agama Islam, sambutan hari lahir ini tidak pernah disebut pada zaman salaf terdahulu, bahkan asalnya diambil daripada agama Nasrani @ Kristian, di tambah pula dengan sebab semulajadi, iaitu pada musim sejuk, maka bersempena itu dinyalakan api”.


Para ulama menegaskan bahawa sambutan Tahun Baru Masihi adalah taqlid buta kepada budaya Barat. Keterlaluan dalam menyambutnya melunturkan jati diri umat Islam.


Dr. Jamal Abdul Hadi mengatakan bahawa syara’ tidak mengharuskan sambutan kelahiran Sayyid al-Masih (beliau adalah nabi daripada nabi-nabi Allah SWT) dengan arak dan perbuatan maksiat.


Dr. Abdul Fattah ‘Asyur mengatakan mengikut orang lain dalam perayaan-perayaan mereka yang membawa umat Islam kepada perbuatan-perbuatan seumpama mereka adalah dilarang Islam.


Dr.Yusof al-Qaradawi terlebih dahulu telah mengkritik persiapan dan persediaan yang dilakukan oleh sesetengah negara Arab dan negara Islam bagi menyambut perayaan Tahun Baru Masihi yang membawa kepada kelunturan identiti dan jati diri umat Islam sambil menyifatkan bahawa perbuatan menyambutnya adalah haram di sisi syara’.


Dr. Abdul Aziz al-Tuwaijiri menegaskan bahawa sambutan Tahun Baru Masihi adalah benda baru yang direka-reka (bid’ah) di dalam agama Kristian dan di sesetengah negara Islam mereka menjadikan kelahiran Nabi Isa a.s. sebagai cuti umum, di tambah pula dengan perkara-perkara mungkar yang mengiringi perayaan ini yang menyalahi syariat Allah dan kesemua agama samawi. Perkara-perkara bid’ah tidak diakui oleh Islam, ia adalah ikutan kepada Barat, dan ikutan kepada mereka adalah lambang restu kepada mereka yang telahpun diberi amaran oleh Allah SWT.


Dr. Abdul Fattah ‘Asyur juga mengatakan sambutan yang dikenali dengan Tahun Baru Masihi di dalam negara-negara Islam adalah ikutan membuta tuli kepada negara-negara Barat yang menjadikan tarikh miladi sebagai asas bagi kehidupan seharian mereka dalam pergaulan, perayaan, sistem kerja dan lain-lain. Beliau menambah: Kita semua mengetahui bahawa antara petunjuk Nabi SAW, sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia di kalangan mereka. Ini kerana menyerupakan sambutan-sambutan umat Islam dengan perayaan-perayaan ini, membawa mereka kepada satu bentuk perbuatan yang menyalahi apa yang dibawa oleh Islam, yang mana kita melihat dalam perayaan-perayaan ini bar-bar arak, tari-menari dan banyak lagi penyelewengan-penyelewengan akhlak yang segan untuk disebut dengan lidah, semuanya itu berpunca daripada taklid buta terhadap kaum yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.


Kesimpulannya, jangan Tahun Baru Masihi itu disambut bak perayaan orang kafir dan orang Barat. Di mana perginya Islamic world-view kita sebagai negara Islam? Namun jika Tahun Baru Masihi disambut hanya sebagai muhasabah kepada setahun yang telah berlalu dan menanam azam bagi tahun yang mendatang, tanpa konsert, tanpa perayaan, tanpa bunga api, tanpa maksiat dan lain-lain yang melalaikan dan membazirkan wang ringgit, ia tidaklah mengapa dan diharuskan.

Belajar Terus Belajar.

Salam Perjuangan !

Tolak Pluralisme Agama !




Agak keberatan apabila mahu memberi komen kepada seorang politikus. Kadang-kadang politik menghalalkan segala-galanya. Bagaimanapun saya tegaskan Nabi SAW mengajarkan kita "Katakan yang benar walaupun ia pahit" (Hadith ini disahihkan oleh Ibn Hibban).


Saya pernah ditanya tentang ucapan Dato' Seri Anwar Ibrahim (DSAI)berjudul Religion and Pluralism in a Divided World di London School of Economics dalam You Tube. Saya katakan DSAI seorang muslim InshaAllah tetapi padanya terdapat unsur-unsur pemikiran yang perlu diperbetulkan. Ucapan ini bukan kali pertama yang didengari oleh saya berkenaan pendapat DSAI terhadap pluralisme agama dalam apabila Cikgu Azmi TERAS pernah mengadakan Seminar Pluralisme Agama di Shah Alam dan DSAI turut mengemukakan pandangannya yang amat lunak dan mengelirukan berkenaan pluralisme agama.

Saya tuliskan beberapa point penting ucapan beliau (dalam bahasa Inggeris dan terjemahannya) yang mengandungi dukungan terhadap faham pluralisme agama sama ada secara langsung atau tidak langsung, secara sedar atau tidak sedar. Wallahu a'lam.


Mempertikaikan kebenaran aqidah yang eksklusif


DSAI : "But I say bear it we must for indeed, it is a stark reality of our world that certain religious groups hold that only certain fundamental doctrines may lead to salvation. This exclusivist outlook unfortunately cuts across the board as between religions as well as within the denominations".


Maksudnya : "Tetapi saya katakan tanggunglah, sesungguhnya, kita mesti lakukannya, ia merupakan realiti sebenar di dunia kita hari ini, bahawa golongan-golongan agama tertentu menganggap hanya ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke arah jalan keselamatan (salvation). Pandangan yang ekslusif ini (yang mengangap hanya satu agama sahaja benar), malangnya telah tersebar secara meluas dalam hubungan antara agama-agama dan juga di kalangan mereka yang sama agamanya".


Mengakui faham The Transcendent Unity of Religions : satu kebenaran banyak jalan


DSAI : "Back in the 13th century, the mystical poet Jelaluddin al-Rumi wrote in the Masnavi:

“The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality.”
Those verses couldn’t be more relevant for us today. Despite rancorous debates linking religion to conflict and discrimination, it remains a fact that at a personal level religious experience boils down to certain universal concepts. Where does man come from? What is his purpose? What happens when he dies? The spiritual path subscribes us to a universal quest for truth and the pursuit of justice and virtue.


Maksudnya : "Kembali ke belakang, dalam abad ke 13, seorang penyair sufi Jelaluddin al-Rumi menulis dalam Masnawinya (Koleksi Puisi Arab-Parsi) :

Lampu-lampunya adalah berlainan, tetapi Cahaya itu adalah sama, ia datang dari Seberang Sana; Seandainya kamu terus menerus melihat pada lampu, kamu akan tersesat; kerana dari sana muncul pelbagai bilangan dan kemajmukan (plurality).
Bait (puisi) itu adalah sangat relevan kepada kita hari ini. Walaupun terdapat perdebatan-perdebatan yang penuh dengan kebencian berlaku (hari ini) yang menghubungkan agama dengan konflik dan diskriminasi, (tetapi) yang menjadi hakikat bahawa tahap pengalaman keagamaan peribadi akhirnya kembali kepada konsep universal tertentu. Dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku selepas meninggal dunia? Jalan kerohanian itu akan membawa kita kepada satu pencarian universal tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan serta sifat keunggulan".


Dengan pluralisme agama tiada agama yang lebih tinggi dari agama lain


DSAI : "Today, freedom of religion without which there can be no religious pluralism, is an entrenched constitutional liberty in the established democracies. As such, favouring one religion over another or granting it a position at the expense of others may be considered as being against the spirit of religious pluralism. Yet this still happens even in certain established democracies in Europe while in the Middle East and in Southeast Asia this ambivalence has been virtually taken for granted until recently".

Maksudnya : "Pada hari ini, kebebasan beragama (freedom of religion) yang tidak ada Pluralisme Agama (religious pluralism), adalah tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi. Dengan demikian, maka memihak kepada sesuatu agama (tertentu sahaja) dan tidak yang lain atau memberikannya kedudukan yang mengorbankan yang lain boleh dianggap sebagai bertentangan dengan semangat pluralisme agama. Namun perkara ini masih berlaku walaupun dalam negara-negara demokrasi yang teguh kedudukannya di Eropah, manakala di Timur Tengah pula dan di Asia Tenggara, sikap bercanggahan di antara dua perkara yang saling berlawanan ini disifat sebagai perkara lumrah yang biasa berlaku(taken for granted) sehingga akhir- akhir ini".


Menafikan konsep Islam dan kafir, benar dan sesat


DSAI : "I believe I’m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:

“We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.”


Maksudnya : "Saya percaya bahawa saya bukan keseorangan dalam membuat kenyataan tentang pluralisme agama untuk berkembang subur dalam dunia yang terbahagi-bahagi sifatnya ini, maka adalah perkara yang tidak boleh diterima dari segi moral apabila seseorang itu berkata kepada orang lain yang mereka mempunyai sistem kepercayaan lain (yang lebih benar) daripadanya:

Kami beriman kepada Tuhan kami dan kami percaya kami benar, anda percaya kepada Tuhan anda, tetapi apa yang anda percaya adalah tidak benar".


Terpengaruh dengan faham Falsafah Abadi (Perennial Wisdom) dan Kesatuan Metafizik (Metaphysical Unity)


DSAI : "Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth: and that is from God we were sent forth and unto God shall we return. Yet certain leaders of the major world religions continue to make exclusivist claims to the eternal truths rather than accepting the commonality that binds us. If we accept that there can be unity in diversity, religious pluralism can therefore be a unifying force, not a cause of division. That is the way to take us away from darkness into light, from war to peace and from hatred and evil to love and kindness".


Maksudnya : "Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan- amalan semata (mere practice) dan ibadat (ritual) semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Tuhan kita datang dan kepada Tuhan kita kembali. Tetapi terdapat pemimpin-pemimpin agama tertentu di dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) yang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi (the eternal truths) berbanding dengan penerimaan terhadap kebersamaan (commonality) yang boleh mengikat di antara kita. Kalaulah kita menerima bahawa (kita) boleh menjadi kesatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama adalah satu tenaga penyatuan tersebut, (dan) bukannya faktor perpecahan. Itulah jalannya untuk kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih sayang dan kebaikan".


Kesimpulannya, terdapat kesilapan pemikiran yang jelas oleh DSAI yang perlu diperbetulkan. Ada kemungkinan DSAI tidak mempunyai lmu yang mencukupi sebelum mentelaah buku-buku pemikiran yang ditulis oleh Barat dan orientalis sehingga wujud seolah-olah satu direct endorsment pemikiran Barat di dalam pemikiran DSAI. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada beliau dengan menarik balik ucapan ini. Dan semoga ada golongan ulama dan asatizah yang mendampingi beliau dapat menegur kesilapan pemikiran ini. Pihak kerajaan mungkin dengan memanggil DSAI untuk bermuzakarah tentang maksud 'pluralisme agama' boleh menjernihkan keadaan. Dasar Pluralisme telah membolehkan orang bukan muslim tanpa menutup aurat memberi ceramah di masjid dan orang Islam memberikan ucapan di dalam gereja sehingga menunjukkan toleransi dalam Islam tiada sempadan. Persoalannya adakah kerana politik dan kuasa segalanya di halalkan ?



Isu aqidah dan tiada kena mengena dengan politik kepartian!

Belajar terus Belajar 

Salam Perjuangan !

Wednesday, December 24, 2014

Kenapa non-muslim menolak Hudud ?



Nampaknya isu hudud semakin banyak diperkatakan oleh pihak non-muslim sama ada dari MCA atau DAP . Ia memperlihatkan betapa prihatinnya golongan non-muslim memantau dan meneliti pelaksanaan hukum jenayah Islam di Malaysia. Walaupun suara-suara yang mahukan pelaksanaan itu hakikatnya datang daripada pihak pembangkang (khususnya Pas) yang mungkin sukar untuk dilaksanakan dalam waktu terdekat, namun perang psikologi terhadap pelaksanaan tersebut telah pun dilakukan oleh pihak non-muslim seolah-olah hudud akan dilaksanakan pada esok atau lusa.


Pada pendapat saya, penolakan hudud oleh non-muslim itu boleh dianggap sebagai perkara biasa. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana mereka memang pun tidak beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya SAW mengenai hudud. Namun begitu, mereka terus mengkaji, meneliti, memerhati, memantau dan membuat ramalan dan andaian jika sekiranya hudud benar-benar berlaku. Begitulah tajamnya pemerhatian mereka terhadap pelaksanaan hudud di Malaysia. Soalnya, apa yang dibuat oleh kita sesama muslim dalam menanggapi isu ini? Pemerhatian saya boleh diterjemahkan menerusi beberapa noktah berikut:


a) Tiada sebarang persepakatan antara dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini iaitu Pas dan UMNO untuk melaksanakan hudud. Walaupun kedua-duanya sepakat bahawa hukum hudud terdapat di dalam al-Qur'an dan al-Sunah, namun kedua-duanya saling bercanggah dalam teknikal pelaksanaannya hingga menyebabkan isu hudud terbengkalai selama 57 tahun.

b) Pas mendakwa telah berusaha untuk melaksanakan hudud di negeri-negeri yang ditawan seperti Kelantan, namun Pas menuduh kerajaan pusat tidak membenarkan pelaksanaannya. UMNO pula mendakwa hudud Pas bukan hudud Allah, namun tidak pula UMNO membentangkan hudud Allah yang sebenar.

c) Ulama Muda UMNO (ILMUAN) menambahkan lagi hujah ketidakkemungkinan hudud dilaksanakan apabila mengatakan hudud WAJIB dijalankan secara menyeluruh merangkumi muslim dan non-muslim supaya ianya menepati prinsip keadilan. Oleh itu, selagimana non-muslim tidak mahu menerima hudud, maka selagi itulah hudud mustahil untuk dilaksanakan. Pas pula mengatakan bahawa pelaksanaan hudud hanya dijalankan di kalangan muslim sedangkan non-muslim diberi pilihan sama ada mahu dihukum berdasarkan hudud atau sivil.

d) Sebahagian ilmuan muslim pula berpandangan hudud tidak boleh dilaksanakan kecuali masyarakat benar-benar telah bersedia dan berada dalam suasana yang kondusif. Selagimana tahap tersebut tidak dicapai maka hudud tidak boleh dilaksanakan. Namun, tidak pula dinyatakan apakah 'benchmark' untuk mengukur masyarakat yang bersedia dan bersuasana kondusif tersebut. Boleh sahaja hujah yang seperti ini digunakan untuk 100 tahun lagi.

e) Tiada pihak yang membuat kajian perbandingan antara permulaan pelaksanaan undang-undang jenayah sivil dengan permulaan undang-undang jenayah Islam. Pada pengetahuan saya permulaan undang-undang jenayah sivil tidak pula dibebankan dengan syarat-syarat seperti persediaan masyarakat, pemahaman rakyat tentang undang-undang dan suasana yang kondusif. Tetapi kenapa apabila undang-undang jenayah Islam ingin kembali dipraktikkan setelah sekian lama dihapuskan oleh penjajah,lalu ia dibebankan dengan pelbagai syarat? Adakah syarat-syarat itu hanya alasan bagi melengah-lengahkan pelaksanaan hukum Islam atau ia memang perlu dipenuhi terlebih dahulu?



Sultan Brunei komited dan telah laksanakan hudud

f) Pihak autoriti agama yang diperturunkan kuasanya oleh Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam negeri-negeri, jabatan gama Islam negeri-negeri, mufti-mufti dilihat hanya membisu seribu bahasa. Tidak berperanan malah tidak memainkan apa-apa fungsi yang patut bagi menjelaskan kekeliruan yang sedang berlaku. Sepatutnya sebagai sahib al-amanah (pemegang amanah agama Islam) mereka perlu tampil bersuara secara kolektif untuk menerangkan kedudukan sebenar hudud khususnya bagi mengelakkan isu ini terus dimainkan oleh ahli politik berkepentingan, ilmuan Islam yang tidak terarah dan golongan non-muslim yang tersalah anggapan.

Sebagai penyelesaiannya saya mencadangkan seperti berikut:


a) Ketua tertinggi agama Islam di negara ini iaitu YDPA dan Raja-Raja Melayu perlu menyatakan solidariti yang padu terhadap pensyariatan hudud sebagai salah satu daripada hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Saya yakin jika Raja-Raja Melayu sendiri yang mengeluarkan kenyataan mempertahankan pensyariatan hudud, ia sudah pasti dapat meredakan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab golongan non-muslim yang beranggapan isu hudud hanyalah mainan politik semata-mata.

b) Pihak autoriti agama seperti majlis fatwa kebangsaan, majlis agama Islam, jabatan agama Islam, jabatan mufti, Jakim, JKSM, Ikim dan lain-lain perlu mempersiapkan draf lengkap jangka panjang dan jangka pendek pelaksanaan hudud di Malaysia dengan melihat kepada kedua-dua sudut teknikal perundangan mahupun hukum syara'. Mana-mana parti politik tidak perlu terlibat secara langsung dalam menggubal draf hudud tersebut bagi mengelakkan keluarnya istilah 'hudud Pas' atau 'hudud UMNO'.

c) Ditubuhkan kumpulan pemikir yang terdiri daripada pakar-pakar agama, perundangan Islam dan perbandingan agama sama ada tokoh-tokoh di peringkat tempatan mahupun antarabangsa yang berfungsi untuk memberi penjelasan dan pencerahan terhadap sebarang keraguan yang ditimbulkan oleh mana-mana pihak sama ada golongan muslim atau non-muslim berkenaan pelaksanaan hudud.



Sultan Brunei bertitah: “Siapakah kita di hadapan Allah untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu sedangkan undang-undang ini bukanlah baru digubal, tetapi telah termaktub di dalam Al-Quran dan Al Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih”

Saya yakin jika ahli-ahli politik muslim di semua peringkat daripada Perdana Menteri hingga ADUN biasa sama ada kerajaan atau pembangkang, bersedia memberi KEBEBASAN kepada ketiga-tiga institusi di atas iaitu institusi raja, institusi agama dan golongan pakar memainkan peranan masing-masing, nescaya hudud boleh dijalankan secara aman dan damai walaupun mungkin bukan dalam jangka waktu yang terdekat.


Apa yang penting, perancangan ke arah pelaksanaannya itu mampu berjalan tanpa konflik, tanpa perbalahan sesama sendiri dan tanpa campur tangan bukan Islam. Hudud juga akhirnya tidak menjadi retorik politik sesetengah pihak yang asyik berselindung di sebalik hujjah "tadarruj" atau "beransur-ansur". Hal ini seperti mana penjelasan Imam al-Qaradawi dalam kitabnya "Fi Fiqh al-Awlawiyyat" berikut:


ولا نعني بالتدرج هنا مجرد التسويف وتأجيل التنفيذ ٬ واتخاذ كلمة التدرج "تكأة" لتمويت فكرة المطالبةالشعبية الملحة بإقامة حكم الله ٬ وتطبيق شرعه ٬ بل نعني بها تعيين الهدف ٬ ووضع الخطة ٬ وتحديدالمراحل ٬ بوعي وصدق ٬ بحيث تسلم كل مرحلة إلى ما بعدها بالتخطيط والتنظيم والتصميم ٬ حتىتصل المسيرة إلى المرحلة المنشودة والأخيرة التي فيها قيام الإسلام ٬ كل الإسلام.


Maksudnya: "Dan kita tidak maksudkan tadarruj di sini hanya pelengahan dan penangguhan pelaksanaan, dan penggunaan kalimah tadarruj sebagai sandaran untuk mematikan fikrah tuntutan rakyat yang mendesak untuk menegakkan hukum Allah dan melaksanakan syariat-Nya, bahkan apa yang kita maksudkan dengannya (tadarruj) ialah menentukan matlamat, meletakkan perancangan, menetapkan fasa-fasa dengan penuh kesedaran dan kejujuran, agar setiap fasa diserahkan kepada yang seterusnya secara berstrategi, tersusun dan sistematik hinggalah perjalanan sampai kepada peringkat terakhir yang diimpikan yang padanya terbangun Islam, keseluruhan Islam".

Belajar terus Belajar..

Salam Perjuangan !

Kenapa Kalimah Allah Milik Islam


10 Alasan menafikan Tuntutan Kalimah Allah Oleh Bukan Islam



Even the former Pope, Pope Benedict XVI use the word "Al-Rabb" to blessed Arabic speaker Christians in Arab world, not the word "Allah"


Artikel ini dikeluarkan buat renungan kepada umat Islam yang masih "keliru" berkenaan isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam atau yang masih meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan Islam keseluruhannya. SEBARKAN!


1. Tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh sebahagian penganut Kristian di Malaysia bukannya berkaitan dengan isu halangan atau sekatan terhadap hak penganut Kristian untuk mengamalkan ajaran dan kepercayaan mereka yang dijamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi sebenarnya soal linguistik iaitu kesilapan terjemahan perkataan‘God’ di dalam Bahasa Inggeris yang diterjemah sebagai ‘Allah’ di dalam Bible sedangkan terjemahan yang tepat di dalam Bahasa Melayu ialah ‘Tuhan’.


2. ‘Allah’ merupakan Tuhan penganut Islam yang bersifat tunggal/esa selaras dengan Surah Al-Ikhlas di dalam Al-Quran yang bermaksud “'Dia-lah ALLAH, Yang Maha Esa. ALLAH, Tuhan tempat meminta segala makhluk. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang sekufu setara dengan Nya”.


3. Nama ‘Allah’ tidak ada disebut langsung dalam kitab suci agama Kristian sama ada Old Testamentmahupun New Testament. Nama Tuhan bagi umat Kristian ialah Yahweh atau YHWH (rujuk Lev 24:16),tetapi mereka dilarang menggunakan istilah tersebut. Manakala perkataan Tuhan (God) disebut dengan istilah Adonai, Eli, Eloi atau Elohim (rujuk Matthew 27:460). Penggunaan kalimah Allah tidak pernah dan bukan sebahagian daripada intipati integral kepercayaan dan perlaksanaan agama Kristian.


4. Umat Kristian tidak dibenarkan untuk menggunakan nama Allah di dalam terjemahan kitab suci mereka kerana kerana mereka mahu memakainya dalam bentuk uluhiyyah, iaitu dalam bentuk i'tiqad atauaqidah yang bertentangan dengan ajaran Islam iaitu berdasarkan konsep triniti - kepercayaan kepada The Father, The Son and The Holy Spirit (Tuhan Bapak, Tuhan Anak dan Ruh Suci).


5. Di Indonesia, tempat kitab Bible yang menggunakan nama Allah bagi menterjemah perkataan God yang kemudiannya digunakan di Kalimantan/Borneo, umat Kristian di sana sendiri kini mengakui bahawa kata ‘Allah’ merupakan nama khas Tuhan umat Islam. Antaranya Paderi Jahja Iskandar yang telah menerbitkan buku “Mengapa Nama YAHWEH Semakin Popular”. Menurut beliau, kata yang tepat bagi nama Tuhan sembahan orang Kristian berasaskan bahasa asli Perjanjian Lama, iaitu Ibrani ialah ‘Elohim’ (hlm. 144, 145). Jika diterjemah ke bahasa Arab, maka kata yang tepat bagi menggantikan ‘Elohim’ ialah ‘Ilah’ bukan ‘Allah’. Ini berasaskan terjemahan paling awal ke bahasa Arab, iaitu Inskripsi Zabad, tahun 512M (hlm. 127).


6. Yayasan Lentera Bangsa (sebuah pertubuhan Kristian di Indonesia) telah menerbitkan Kitab Suci-Indonesia Literal Translation (KS-ILT). Terjemahan Bible ini tidak lagi tertera nama ‘Allah’ sebaliknya menggunakan ‘Elohim’ sebagai nama sembahan orang Kristian. Menurut Paderi Jahja Iskandar, penggunaan nama Allah dalam versi Terjemahan Baru Al Kitab (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baru) oleh Lembaga Al-Kitab Indonesia adalah bertentangan dengan ketetapan Konferensi Para Penterjemah Al Kitab Bahasa Indonesia pada tahun 1952 yang diadakan di Jakarta. Konferensi tersebut menetapkan bahawa Nama Huwa/Hoewa/Johoewa hendaklah digantikan dengan ‘Tuhan’.


7. Nama ‘Allah’ telah digunakan oleh orang Arab sejak sebelum kedatangan Nabi Muhammad S.A.W. kerana syariat bagi menyembah Allah telah diwajibkan sejak penciptaan Nabi Adam A.S. dan Rasul-rasul yang seterusnya. Namun begitu, umat Arab yang beragama Kristian tidak memanggil nama tuhan mereka ‘Allah’ sebaliknya ‘Bismil-Ābi wal-Ibni war-Rūḥil-Qudus’ (In the name of The Father, The Son and The Holy Spirit)sementara Jesus (Nabi Isa) dipanggil sebagai ‘Al Masih’ atau ‘Yasu’.


8. Masyarakat Arab menggunakan nama allah ( الله)sebagai nama umum untuk terjemahan perkataan ‘God’. Nama Allah ( الله) dengan tulisan yang sama (Alif-Lam-Lam-Ha) turut digunakan untuk merujuk nama khas Tuhan bagi umat Islam. Ianya merupakan konsep‘uruf al-balad – kefahaman setempat yang digunakan di Tanah Arab. Ianya sama seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu yang mempunyai Nama Khas (proper noun) dan nama am (common noun) tetapi tulisan Arab tidak membezakan nama am dan nama khas bagi ( الله). Sebagai contoh, bush sebagai nama am boleh diterjemah sebagai semak tetapi Mr. Bush sebagai nama khas tidak boleh diterjemah sebagai Encik Semak.


9. Tujuan sesetengah pihak untuk tetap berkeras supaya kalimah Allah tetap digunakan di dalam terjemahan Bible di Malaysia boleh difahami dengan merujuk kepada petikan didalam majalah Christianity Today(dikeluarkan di Chicago, Amerika Syarikat terbitan bulan Julai 2009) yang dengan jelas menyatakan “penggunaan kalimah Allah (dalam terjemahan versi Melayu-Indonesia) adalah suatu usaha strategik kalau bertujuan untuk membuatkan mereka (umat Islam) memahami siapa Christ! Jika kalimah ALLAH tidak digunakan akan menyebabkan umat Islam tidak akan membaca Bible!”. (rujukwww.christianitytoday.com/ct/2009/august/14.15.htmldi mukasurat 2).


10. Missionary Kristian seringkali menggunapakai nama Tuhan tempatan yang digunakan oleh penduduk di sesebuah kawasan sebagai salah satu strategi untuk menyebarkan dakyah mereka walaupun perkara berkenaan seringkali menimbulkan perselisihan faham dan kontroversi. Antaranya ‘Son of Ishvara’ di selatan India sebagai rujukan kepada Jesus, Danishi(bermaksud ‘matahari ulung’) sebagai nama tuhan Kristian di Jepun serta Appodius (nama tuhan suku kaum asli Quehua yang beragama Kristian di Peru).


Terakhir, sebuah laman sesawang Kristian mempersendakan tragedi pesawat MH370 dan menghina kalimah Allah untuk pedoman bersama :
http://creationsciencestudy.wordpress.com/2014/03/08/malaysia-airlines-flight-mh370-gods-punishment-for-islam-in-malaysia/





Saya juga tertarik dengan Lim Guan Eng yang membenarkan kalimah Allah di gunakan di Penang kemudian di sokong oleh Azmin Ali di Selangor.

Saya juga tertarik dengan ISMA yang berpendirian tidak akan mengucapkan "Selamat Hari Krismas" dan kepada penganut Kristian sehingga di labelkan pelampau oleh sesetengah pihak waimah oleh ahli politik tindakbalas dari tindakan LGE.

Mari kita berfikir sejenak dan buang segala ideologi politik untuk melihat apa yang berlaku. Adakah adil jika Lim Guan Eng masuk campur hal urusan umat Islam tetapi tiada tindakan tetapi ISMA hanya berkata tidak mengucapkan "Selamat Hari Krismas" tanpa masuk campur hal urusan agama Kristian di kecam hebat. 

Umat Islam tidak akan bertindakbalas sedemikian rupa jika Lim Guan Eng tidak masuk campur hal ehwal agama Islam dan penggunaan kalimah Allah tersebut.

Buat pemimpin ingat toleransi dalam agama adalah "Urusan Agamaku adalah urusanku , Urusan Agamu Urusan Mu" 

Salam Perjuangan !