Filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee banyak isu kritikan sosial. Pengajaran yang disampaikan oleh P Ramlee selalunya membuatkan kita bersedih dan bergelak, tetapi pada masa sama, kita sebenarnya sedang ketawakan pada diri kita sendiri.
Adegan posmen yang menghantar surat kepada watak Syawal dalam filem Ahmad Albab, antara contoh yang paling mudah. Apabila ditawarkan minum, dia menolaknya dengan memberikan alasan 'tak boleh.. rasuah,' manakala dalam filem Anak Bapak pula, ada unsur integriti yang kita boleh jadikan sebagai contoh.
Tentunya masih ada yang mengingati babak apabila watak Ibrahim Din mencadangkan kepada watak yang dimainkan oleh P Ramlee, menggunakan wang syarikat untuk membayar hutangnya. Dalam adegan itu, watak Ibrahim Din terus dimarahi oleh watak P Ramlee kerana mencadangkan sesuatu yang hina, iaitu menyalahgunakan wang syarikat.
Banyak lagi sebenarnya yang dikritik oleh P Ramlee. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, sepasang suami isteri bergaduh kerana tidak ada duit. Si suami menyalahkan isteri kerana ketika berkahwin, mereka sudah berbelanja dengan mewah, iaitu di luar kemampuan mereka semata-mata untuk tunjukkan kepada keluarga isterinya yang dia mampu.
Namun adakah kritikan seperti ini mampu membantu menyedarkan masyarakat kita, khasnya masyarakat orang Melayu yang sering dijadikan kritikan sosial dalam filem P Ramlee? Adakah mereka hanya ketawa tanpa menyedari bahawa apa yang cuba disampaikan oleh P Ramlee adalah sebagai tanda peringatan kepada kita semua.
Mungkin masyarakat hari ini perlu diberitahu dengan lebih jelas. Dalam hal ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur sikap segelintir orang Melayu yang lupa daratan apabila mula menikmati kemewahan. Sifat lupa diri ini tentunya akan memakan diri sendiri. Sultan Nazrin juga menegur maruah bangsa yang tergugat disebabkan perbuatan rasuah dan pecah amanah.
"Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga," begitulah titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam'.
Apa yang dititah oleh Sultan Perak adalah sesuatu yang mesti diambil berat oleh kita semua. Jangan hanya sekadar mendengar dan membaca tetapi kemudian kita kembali semula melakukan apa yang dilarang. Itu sebab rasuah akan terus bermaharajalela dan bangsa Melayu akan terus berada di takuk lama.
Bangsa Melayu sudah membuktikan yang kita mampu menjadi sebuah bangsa yang kuat. Sejarah juga sudah mengesahkan yang bangsa Melayu pernah berkuasa di rantau nusantara sehingga terkenal di serata dunia. Namun, selagi masalah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah terus berleluasa, selagi itu kita tidak akan maju dan mungkin hanya berpuas hati dengan kejayaan kecil.
Sultan Nazrin juga menitahkan supaya orang Melayu kembali mencari hikmat kekuatan bangsa yang terletak pada agama Islam. Ambillah iktibar daripada titah Sultan Perak ini. Dalam Islam pun sudah dinyatakan dengan jelas akan hukum-hakam perkara yang berkaitan dengan rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah.
Tanyakan pada diri kita sendiri. Tidakkah ada timbul rasa bersalah jika kita melakukan dosa ini? Bagaimana pula dengan wang yang kita peroleh daripada amalan yang berdosa ini.
Rasulullah SAW pernah bersabda dengan maksudnya: "Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram."
Adakah kita sedang melalui zaman yang dimaksudkan ini, iaitu tidak ambil peduli dan tidak ada rasa bersalah apabila melakukan perbuatan dosa. Jika ini yang kita rasa, maka segeralah kembali ke pangkal jalan, kerana masih tidak terlalu lewat untuk kita mengubahnya.
Semuanya terpulang kepada generasi hari ini untuk sama-sama membentuk dan mengukuhkan lagi masyarakat yang benar-benar mengikut landasan yang betul untuk mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.
No comments:
Post a Comment