Wednesday, May 11, 2016

Tingginya jasa seorang guru

Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya

Demikianlah indahnya bait-bait puisi yang diungkapkan oleh Datuk Usman Awang mantan Sasterawan Negara pada tahun 1979 yang bertajuk Guru Oh Guru. Ternyata puisi tersebut mengiktiraf insan mulia bergelar guru sebagai insan yang bertungkus-lumus mencurahkan bakti demi mendidik anak bangsa agar menjadi generasi yang seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi, intelektual dan sosial seterusnya menjadi insan yang cemerlang, gemilang, dan terbilang. Malah, kejayaan yang dikecapi oleh pelbagai golongan pada masa kini bermula daripada pengorbanan seorang guru yang dengan lembut dan sabarnya mendidik dan mencurahkan ilmu kepada anak-anak didiknya. Justeru, memang tidak dapat disangkal lagi golongan guru merupakan barisan hadapan yang sangat penting dalam usaha menyediakan rakyat yang berpendidikan dan berakhlak mulia yang mampu menerajui tampuk kepimpinan negara ke arah kemajuan. Seterusnya generasi inilah yang bakal memacu pembangunan negara agar negara berada pada landasan yang tepat dan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain yang maju. Begitulah besarnya peranan, jasa dan pengorbanan seorang insan bergelar guru. Oleh itu, apakah cara dan wadah yang paling bermakna dapat dilakukan oleh seseorang pelajar untuk menghargai jasa dan pengorbanan gurunya?

Memang tidak dapat dinafikan, golongan pelajar merupakan individu yang paling hampir dan amat mendambakan ilmu daripada guru untuk bekalan menempuhi pelbagai ranjau dan liku kehidupan. Bermula di peringkat tadika sehinggalah ke menara gading, ilmu pengetahuan ditimba tidak putus-putus bagai air sungai yang mengalir. Bahkan ketika di sekolah, seorang guru umpama ibu dan ayah kepada pelajar yang mendidik dan mengawasi pelajar sejurus selepas sesi persekolahan bermula sehinggalah usai sesi persekolahan. Juseru pelajar mesti bergaul dengan guru persis seperti mereka bergaul dengan ibu bapa di rumah. Sebagai pelajar, mereka perlu berkelakuan baik terhadap guru walaupun di mana-mana mereka berada. Pelajar harus senantiasa menghormati guru, bersopan-santun dan berbudi pekerti mulia apabila berhadapan dengan guru mereka. Sebagai contoh, perbuatan memberi salam, mengucapkan salam sejahtera, serta ucapan terima kasih perlulah sentiasa bermain di bibir seorang pelajar. Bahasa yang sopan dengan nada suara yang lemah lembut semasa berkomunikasi adalah amat dituntut daripada pelajar kerana adalah tidak wajar seseorang pelajar meninggikan suara di hadapan gurunya. Hormatilah guru sebagaimana kita menghormati ibu bapa. Semasa di dalam kelas, pelajar yang menghormati guru tidak sesekali membuat bising sehingga mengganggu guru yang menjalankan tugasnya. Segala arahan dan suruhan guru dipatuhi. Tegasnya, berbudi bahasa serta beradab sopan merupakan amalan terpuji bagi menghargai guru yang mengajar serta mendidik kita.

Selain itu, kejayaan yang cemerlang seseorang pelajar dalam pelbagai bidang sama ada kurikulum mahupun kokurikulum juga satu cara menghargai jasa seorang guru. Guru mana yang tidak gembira apabila anak didiknya mengukir kejayaan dalam peperiksaan. Hati guru yang mana yang tidak berbunga bangga apabila anak didiknya cemerlang dalam peperiksaan. Justeru, Belajar bersungguh-sungguh bukan sahaja penting untuk kecemerlangan diri tetapi dalam masa yang sama mampu menggembirakan hati seorang guru serta turut dapat mengharumkan nama sekolah. Kecemerlangan yang diperoleh secara langsung dapat menyejukkan hati guru yang mengajar para pelajarnya. Sebagai contoh, pelajar perlu bertungkus-lumus dan berhati waja untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam semua peperiksaan yang diduduki seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolah Malaysia(STPM). Kejayaan yang tercipta diumpamakan sebagai hadiah berharga serta memastikan jerih payah guru tidak sia-sia dan berlalu begitu sahaja ibarat mencurahkan air ke daun keladi ataupun mencurahkan garam ke laut. Dalam hal ini, pelajar seharusnya sedar bahawa guru tidak pernah meminta apa-apa balasan daripada kejayaan yang tercipta tetapi cukup sekadar ucapan terima kasih.

Di samping mencipta kecemerlangan dalam bidang akademik, para pelajar seharusnya tidak melanggar disiplin serta melibatkan diri dengan kegiatan negatif yang boleh merosakkan nama baik guru dan sekolah. Fenomena ini perlulah diberikan perhatian oleh para pelajar kerana pelbagai perkara negatif yang dilakukan oleh pelajar sama ada di sekolah atau di luar kawasan sekolah seolah-olah menggambarkan kegagalan guru mendidik para pelajarnya. Antara ciri pelajar berdisiplin ialah mereka sentiasa datang awal ke sekolah, sentiasa menepati masa, tidak terlibat dalam gangsterisme, vandalisme mahupun ponteng sekolah. Walaupun sesetengah kes dianggap terpencil, tetapi tetap digunakan utnuk menghukum semua guru di seluruh negara seperti kata peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Oleh itu, untuk mengelakkan pandangan sinis masyarakat terhadap tugas dan peranan yang dimainkan guru, para pelajar perlulah sentiasa mengamalkan perbuatan yang positif serta menjauhkan diri daripad terlibat dengan gejala negatif selepas tamat masa persekolahan. jelaslah, pelajar yang mematuhi disiplin umpama memberikan penghormatan kepada guru yang telah banyak berjasa.

Seterusnya, pelajar perlu prihatin dan menunjukkan kasih sayang terhadap guru. Amalan mengingati dan menghargai jasa guru adalah amalan mulia. para guru akan merasakan bahawa jasa mereka dihargai walaupun mereka tidak lagi berkhidmat sebagai pendidik. Kita boleh menghargai jasa guru dengan meraikan sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei setiap tahun. Dalam hal ini sambutan Hari Guru perlulah diraikan sebaik mungkin dan tidak sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Semasa sambutan Hari Guru, para pelajar boleh mengambil kesempatan untuk memberikan sedikit hadiah atau cenderamata kepada guru-guru yang mengajar mereka sebagai menyatakan terima kasih kepada insan yang diibaratkan lebah yang menghimpunkan madu kepada mereka. Hadiah yang diberikan tidak semestinya berpaksi kepada wang ringgit semata-mata tetapi mestilah disertai dengan hati yang tulus lagi ikhlas. Jika tidak mampu memberi hadiah, ucapan selamat hari guru sudah cukup bermakna buat para guru. Sesungguhnya guru tidak pernah menagih apa-apa jua balasan daripada anak didiknya walaupun telah banyak ilmu dicurahkan kepada bakal pemimpin negara pada masa depan ini. Tingginya jasa seorang guru hanya Allah mampu membalasnya.





posted from Bloggeroid

1 comment:

  1. Halo semuanya!!! Nama saya MRS LISA Brown dari USA. Saya telah scammed oleh berbagai Internet pemberi pinjaman internasional, dan saya kehilangan saya sulit mendapatkan uang berjumlah di 18,170USD. Suatu hari ketika saya sedang browsing melalui internet saya tersandung pada kesaksian Mary Earl yang juga scammed dan akhirnya mendapat terkait dengan perusahaan pinjaman legit yang disebut Beacon Chambers Grup di mana ia akhirnya mendapat pinjaman, jadi saya memutuskan untuk menghubungi perusahaan pinjaman yang sama dan aku diberi pinjaman tanpa drama. Menghemat waktu Anda semua drama dan kontak Beacons Chambers Group hari ini di: mgjockers@beaconschambers.com Catatan; setiap pemberi pinjaman kredit menggunakan email gratis seperti yahoo, gmail, hotmail scammers. Awas. Jangan menghubungi mereka.

    ReplyDelete