Wednesday, April 6, 2016

ISLAM mengharamkan RASUAH

ISU berkaitan rasuah kerap dibincangkan dalam seminar, forum atau ceramah, namun ia masih berlarutan.

Takrifan rasuah luas dan bukan hanya wujud dalam bentuk monetary. Malah, merangkumi bentuk non-monetary seperti pemberian jawatan, pangkat kebesaran atau perbuatan pelepasan atau penahanan daripada obligasi atau liabiliti.
Rasuah yang biasa didedahkan oleh media massa adalah dalam kategori rasuah transaktif (transactive corruption), rasuah memeras (extortive corruption) dan rasuah defensif (defensive corruption).

Rasuah transaktif membabitkan dunia korporat dengan pemerintah atau masyarakat dengan pemerintah.

Ia dilihat sebagai rasuah yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak yang melakukan transaksi.

Rasuah memeras pula berlaku apabila pihak pemberi dipaksa untuk melakukan rasuah bagi mengelak sebarang kerugian yang bakal menimpa diri atau kepentingannya. Rasuah defensif pula merujuk kepada rasuah yang dilakukan seseorang untuk mempertahankan dirinya.

Rasuah tidak kira apa kategorinya adalah masalah yang perlu ditangani dengan serius oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi pemerintah. Perkara ini kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap sosioekonomi sesebuah negara.

Sekadar memetik kata-kata pengerusi Transparency International, Peter Eigan, "Corruption robs countries of their potential". Kata-kata ini ada kebenarannya kerana potensi yang sepatutnya dijana oleh sesebuah negara itu mungkin tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ia disebabkan wujudnya amalan rasuah dalam pentadbiran baik di sektor awam atau korporat. Apabila rasuah berleluasa, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan merosot. Keadaan itu disebabkan pelabur asing akan menjauhi negara berkenaan.

Apabila tiada pelaburan asing, kegiatan ekonomi seperti perindustrian, pertanian dan perkhidmatan akan tergendala.

Selain, ketiadaan pelaburan asing, pertumbuhan ekonomi mungkin terbantut disebabkan sumber aktif sesebuah negara yang berbentuk monetary digunakan untuk projek yang tidak berdaya maju yang diluluskan oleh pihak ingin memberi keuntungan kepada kroni mereka, tanpa menghiraukan kebajikan masyarakat.

Mungkin dana yang ada digunakan untuk projek pembangunan yang disebut sebagai projek gajah putih. Jenayah dan maksiat mungkin berleluasa kerana amalan rasuah, yang disebabkan pihak berkuasa menutup mata atau tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam kegiatan tidak bermoral di kawasan kejiranan. Kesan rasuah tidak terhad kepada sosioekonomi sesebuah negara.

Ia juga boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Contohnya, dalam kes pembalakan. Jika tender yang dikeluarkan kepada sesebuah syarikat konsesi tidak mengikut proses sebenar, kemungkinan kegiatan pembalakan secara tidak terancang akan wujud.

Perkara ini kerana pemilik konsesi tadi tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk menjalankan kegiatan pembalakan secara sistematik. Seterusnya boleh menyebabkan berlakunya hakisan, banjir lumpur, kehilangan spesies flora dan fauna. Islam sejak dulu, menyedari masalah yang bakal timbul daripada amalan rasuah. Islam secara jelas tidak berkompromi dalam isu ini.

Hal ini dapat dilihat melalui ketegasan Nabi Sulaiman apabila menolak hadiah Puteri Balqis agar membolehkannya berterusan dalam amalan penyembahan matahari apabila diseru beriman dengan Allah. Kisah ini dirakamkan pada ayat 35 hingga 37, surah an-Naml.

Contoh lain adalah ketegasan Nabi Muhammad menolak tawaran kaum Quraisy pada awal penyebaran Islam. Kaum Quraisy berjanji akan memberikan apa yang diingini Baginda daripada kemewahan dunia jika Rasulullah meninggalkan kegiatan dakwah itu.

Tawaran itu ditolak Baginda. Rasulullah menyatakan walaupun matahari diletakkan pada tangan kanannya dan bulan pada tangan kirinya, Baginda tetap tidak akan meninggalkan perjuangannya menyebarkan agama Islam kepada umat sejagat.

Ketegasan Islam dalam hal ini dijelaskan lagi melalui perintah berbentuk larangan melalui firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan kamu membawa urusan harta itu ke mahkamah supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Larangan melakukan rasuah dalam ayat di atas walaupun lebih menumpukan kepada sogokan kepada hakim agar memberi pertimbangan yang tidak adil atau berat sebelah, ia boleh merujuk kepada salah laku atau amalan rasuah yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memberi kelulusan atau kebenaran kepada mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu projek atau tender.

Rasuah tidak akan berlaku jika hanya satu pihak yang wujud. Sekurang- kurangnya perlu ada dua pihak bagi membolehkan dosa rasuah berlaku. Oleh itu, kedua-dua pihak terbabit dikira melakukan perbuatan yang diharamkan Islam.

Malah, kedua-duanya dilaknat oleh Allah atas amalan keji itu. Dalam hal ini, Nabi Muhammad bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Maknanya semua pihak yang terbabit dalam rasuah akan dilaknat oleh Allah. Perkataan laknat dalam al-Quran disebut sebanyak 37 kali.

Mereka yang dilaknat oleh Allah yang disebut dalam al-Quran antaranya:- * Iblis - "Sesungguhnya laknat-Ku tetap ke atasmu hingga hari akhirat." (Surah Sod, ayat 78) * Bani Israil - "Telah dilaknat orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampui batas." (Surah al-Maidah, ayat 78)

Jadi dalam kes rasuah, mereka yang mengamal rasuah memang setaraf dengan Bani Israil, iblis dan orang zalim yang lain kerana semuanya mendapat laknat Allah.

Laknat ini bukan saja terhad di akhirat, mungkin berlaku ketika si pelaku rasuah tadi hidup di dunia lagi. Mungkin hidup orang yang mengamalkan rasuah tadi tidak sebahagia orang lain.

Mungkin harta yang diperoleh cepat habis atau mudah hilang sama ada dicuri atau dirompak. Hal itu disebabkan tiada keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Mungkin juga dia cenderung untuk ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

Semua ini bala Tuhan yang jarang disedari oleh masyarakat kerana kurang mengaitkan bencana yang menimpa dengan salah laku yang dilakukan. Isu rasuah juga ada kaitan dengan sikap amanah.

Orang yang amanah tidak akan melakukan sesuatu yang di luar batas agama kerana tahu setiap amalannya akan dihisab dan dihitung di akhirat kelak. Ia tidak kira sama ada dia seorang pemimpin atau rakyat biasa, ketua atau pekerja biasa.

Jika sesuatu tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, rasuah tidak akan wujud dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Islam yang percaya terhadap dosa pahala.

Mereka menyedari bahawa setiap amalan baik atau buruk dilihat oleh Allah. Semuanya dan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid.



No comments:

Post a Comment