Sunday, April 17, 2016

Pemimpin Melayu dan Rasuah

Kita sedar rasuah menjadi sebahagian daripada budaya dalam sistem ekonomi yang digerakkan oleh kapitalisme. Kita juga sedar bahawa yang terbabit dengan rasuah bukanlah setakat sekerat dua orang Melayu, tetapi boleh dikatakan hampir kesemua bangsa di dunia ini. Kita malah sedar bahawa ada bangsa yang menjadi begitu berkuasa kerana rasuah. Kita sedar kesemuanya.

Tetapi kes Melayu di Malaysia agak kompleks dan kerana itu kita tidak boleh menjadikan orang lain sebagai kayu pengukur di dalam apa juga bentuk tindakan kita.

Kita mungkin tidak perlu mengungkit hubungan Melayu dan Islam serta sikap Islam terhadap rasuah. Ia telah berada dalam pengetahuan semua Melayu yang mengaku dirinya beragama Islam.

Ditakdirkan ada Melayu yang tergamak menolak hukum Allah dengan menganggap rasuah tidak memudaratkan sesiapa, Melayu itu patutlah merenung sejenak kedudukan bangsanya di bumi Malaysia ini.

Sebagai bangsa yang masih bertaraf ‘pilihan kedua’ di negara sendiri, dan pada masa yang sama memiliki kuasa politik yang tidak boleh dipertikaikan, Melayu hanya menempah kecelakaan jika menghalalkan perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ia hanya akan memungkinkan
pihak-pihak lain yang lebih kaya membeli dan menjual mereka dengan sewenang-wenangnya.

Sejarah Tanah Melayu telah banyak kali merakamkan kisah bagaimana ada orang Melayu dijual, ada tanah dan negeri Melayu digadai atas nama emas dan ringgit. Sejarah begitu sama sekali tidak patut dibenarkan berulang. Kita tidak mahu orang Melayu menjadi seperti orang-orang Red Indian suku
Kwakiutl di British Columbia, Kanada, yang menerima budaya mencagarkan nama untuk berhutang sebagai satu cara hidup. Kalaupun sekarang ini sudah muncul banyak Melayu yang menjual nama dan menggadai bangsa bagi mencari kekayaan secara mudah, kita masih berharap ia tidak akan menjadi resam baru yang dihalalkan.

Untuk mengekang kemungkinan-kemungkinan itu, Melayu patut mengawal keghairahan mereka. Para pemimpinnya juga mestilah mempunyai kemahuan yang luar biasa untuk memerangi gejala yang meruntuhkan ini. Tindakan yang keras dan tegas perlu diambil bagi menghapuskan rasuah. Tidak ada salahnya jika undang-undang digubal dan wartakan bagi menghukum pemberi rasuah dua kali lebih berat daripada penerimanya. Apa salahnya jika jika kedua-dua pihak yang didapati bersalah melakukan rasuah dihukum sebat dengan rotan di khalayak ramai, di tempat-tmpat terbuka seperti di Dataran Merdeka? Jika pengedar dadah boleh dihukum gantung, perasuah juga mungkin tidak patut dibenarkan hidup lama dan selesa.

Kita sedar bahawa dalam mana-mana tamadun pun, keghairahan untuk maju akan bergerak seiring dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Tetapi ini bukanlah suatu hukum yang bersikap absolute. Kenyataan itu tidak boleh dianggap sebagai anjuran bahawa untuk mengelak daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kita patut kekal mundur.

Kita boleh maju. Kita boleh berjaya. Malah kita mesti maju dan berjaya.

Namun kejayaan mempunyai dua wajah. Pertama, kejayaan yang singkat dan kedua, kejayaan yang kekal.

Untuk mencapai kejayaan jenis pertama amatlah mudah. Benarkan sahaja semua pemimpin dan pentadbir Melayu melakukan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa. Benarkan semua orang Melayu menjual dan menggadai tanah serta permit-permitnya. Esok atau lusa, anda pasti melihat begitu banyak Melayu yang kaya, yang maju dan berjaya. Tetapi selepas esok atau selepas lusa, Melayu mungkin tidak bersisa lagi.

Bagi mencapai kejayaan yang panjang dan kekal, manusia dituntut supaya mengimbangi kehendaknya dengan akal fikiran. Tidak salah untuk berasa ghairah terhadap kejayaan. Tetapi keghairahan di peringkat enthusiasm mempunyai nilai yang berbeza dengan keghairahan di tahap obsessi. Kita sepatutnya memilih yang pertama. Lakukanlah apa yang kita mampu bukan melakukan apa yang kita mahu.

Dalam ‘Russelas’nya, Samuel Johnson menyebut ‘ hasil kerja yang baik tidak dapat dicapai dengan perahan tenaga, tetapi dengan ketekunan yang berterusan.’ Dalam bahasa mudahnya ia bermakna kejayaan tidak akan dapat dinikmati melalui kegelojohan, sebaliknya ia akan diperolehi melalui kemahuan yang berpanjangan. Di dalam Islam prinsip ini menepati konsep istiqamah yang dituntut supaya diamalkan oleh setiap individu yang mahu menjadi insan cemerlang.

Secara semulajadi orang Melayu mewarisi sifat-sifat yang boleh membawa mereka ke arah kejayaan. Dua daripada sifat-sifat itu ialah ketaatan dan kesabaran. Di dalam ‘Bush-whacking’ (1882), Residen Inggeris di Pahang, Hugh Clifford mencatatkan: ‘…apabila dia (orang Melayu) bekerja untuk seseorang yang mengenalinya, dia akan bekerja seperti tidak ada orang lain bekerja.’

Catatan Clifford itu tidak harus dianggap sebagai kenyataan jelek, yang bermaksud menghina Melayu sebab berpotensi menjadi khadam yang baik. Dia mungkin tidak bermaksud begitu. Dia mungkin ikhlas apabila menyatakan kekaguman tersebut sebab di dalam buku yang sama, Clifford turut menyebut,”…mereka (orang Melayu) memang bagus. Bila-bila masa pun aku akan memilih mereka daripada memilih orang lain. Anehnya ada pula orang yang mengatakan orang Melayu adalah haiwan yang paling malas di muka bumi ini.”

Banyak orang Melayu sendiri tidak menyedari akan kelebihan mereka itu. Tradisi kurang berminat menganalisis diri menyebabkan mereka mengabaikan kelebihan tersebut.

Ketaatan adalah nilai yang dituntut di dalam kehidupan, baik yang menyangkuti urusan manusia dengan Tuhan, mahupun dalam hubungan manusia sesama manusia. Dalam sebarang bentuk kehidupan pula, ketaatan adalah tuntutan yang amat payah hendak disempurnakan.

Tetapi orang Melayu terkecuali daripada kepayahan itu. Seperti telah disebut dalam bab yang lebih awal, orang Melayu memiliki kesediaan untuk taat secara tradisi. Apabila raja mereka memeluk agama Islam, sebagaimana yang dilakukan oleh Parameswara di Melaka, atas nama ketaatan, orang-orang Melayu yang menjadi rakyatnya turut memeluk Islam. Hal yang sama berlaku di negeri-negeri lain.

Kemudian, selepas beragama Islam, orang Melayu membuktikan bahawa mereka adalah penganut yang taat. Mereka tidak akan bertolak ansur dalam hal-hal yang membabitkan maruah dan kedaulatan agama suci itu.

Sebelum itu, ketika beragama Hindu, nenek moyang orang Melayu ternyata menjadi Hindu yang patuh. Kesetiaan mereka pada kepercayaan yang dianuti itu begitu kuat, sehinggakan selepas beratus tahun meninggalkan agama itu, mereka masih mempraktiskan sebahagian daripada resam budayanya.

Di dalam budaya hidup Melayu, penekanan terhadap nilai-nilai ketaatan sentiasa berada di tempat yang teratas. Anak diwajibkan taat kepada ibu bapa, murid dimestikan taat kepada guru, rakyat dituntut taat kepada pemerintah. Pendek kata, orang Melayu diajar supaya mentaati apa sahaja yang mempunyai hubungan langsung dengan mereka. Dalam Kanun Melaka jelas disebut bagaimana si penderhaka yang tidak mentaati raja bukan sahaja mesti dihukum bunuh, malah tapak rumahnya juga akan digali dan dibuang ke laut.

Seiring dengan ketaatan itu, Melayu juga memiliki tahap kesabaran yang luar biasa. Akar umbi Hindu mereka mungkin menjadi sebahagian daripada faktor yang membina peribadi itu. Di dalam agama Hindu wujud kepercayaan bahawa ‘kesengsaraan adalah satu kenikmatan’ dan kepercayaan itu banyak membantu proses pembentukan kesabaran di kalangan penganutnya.

Apabila mereka memeluk agama Islam, asas kesabaran yang sedia ada di lubuk hati orang Melayu itu menjadi bertambah mantap kerana Islam sememangnya meletakkan kesabaran di darjat yang cukup tinggi.

Dengan pemilikan kedua-dua elemen ini, taat dan sabar, Melayu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berbuat sesuatu dengan ‘ketekunan yang berterusan’, sebagaimana disarankan oleh Johnson.
Malangnya, kebanyakan Melayu tidak menjadi begitu. Mereka mengabaikan potensi yang dimiliki. Mereka tidak mahu menjadi diri mereka sendiri, sebaliknya lebih cenderung hendak menjadi orang lain. Kesannya, muncullah Melayu jenis gelojoh dan gopoh. Kesan susulan daripada kegelojohan itu ialah muncul pula perbuatan-perbuatan yang telah disebutkan pada awal bab ini; rasuah, penyelewengan,penyalahgunaan kuasa, penjualan harga diri, penggadaian maruah bangsa dan bermacam-macam lagi perilaku buruk seumpamanya.

Tidak dinafikan bahawa di celah-celah karut-marut perangai Melayu spesis baru itu ada individu-individu Melayu yang menapak naik dengan jerih payah, bukannya dengan amalan-amalan korup yang busuk. Orang-orang seperti Tan Sri Azman Hashim, ahli bank yang terkemuka itu dan Tan Sri Shamsudin, pengasas Sapura, adalah contoh paling dekat untuk menunjukkan bahawa Melayu juga boleh berjaya di bidang ekonomi tanpa menggunakan jalan pintas sekiranya mereka memiliki tahap istiqamah yang tinggi.

Selain daripada kedua-dua nama itu, ada lagi nama beberapa kerat Melayu yang bermula dari bawah dan merangkak naik tanpa sudu emas di mulut. Tidak semua mereka menempah nama sebagai orang korperat. Sesetengahnya menjadi kaya raya sebagai pekebun, peladang atau nelayan di ceruk-ceruk terpencil yang tidak diketahui orang.

Orang-orang seperti mereka ini biasanya tidak gah. Dalam kebanyakan kes, kewujudan mereka tidak disedari sebab mereka tidak bergayut di bawah dagu sesiapa untuk mencari kemasyhuran. Namun realiti tidak akan boleh dibohongi. Secara realitinya, merekalah penyumbang sebenar terhadap pencapaian ekonomi Melayu. Merekalah wira kita yang sejati.

Sesungguhnya, kita tidak patut membiarkan nama baik orang seperti mereka ditenggelami dan dicemari oleh spesis-spesis Melayu yang karut dan rakus.




No comments:

Post a Comment