Sunday, March 27, 2016

RASUAH jalan pintas ke neraka

PERKATAAN ‘rasuah’ berasal daripada perkataan Arab, ‘al-risywah’. Dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga jenayah lain seperti merompak, memeras ugut dan menipu.
Di negara ini, dari segi undang-undang, semua perbuatan ‘memberi dan menerima suapan’ adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Berikutan kes rasuah yang melibatkan pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan yang melibatkan rasuah bernilai RM 107 Juta. Hal ini menjadi gegaran kepada dunia penajwat awam dan menjadi isu hangat. Persoalannya ketirisan ini adakah berlaku kerana cintakan dunai yang lebih atau sememangnya menjadi satu tabiat.
Rasuah bukanlah satu fenomena baru. Ia suatu fenomena universal tanpa batasan waktu dan tempat. Tiada negara boleh mendakwa bebas daripada jenayah rasuah. Kewujudannya bermula sejak sejarah peradaban manusia yang dinodai oleh sifat-sifat tamak dan haloba. Rasuah merupakan satu jenayah berat yang mudah menular ke dalam sistem hidup masyarakat.
Membanteras gejala rasuah di dalam masyarakat adalah satu jihad sosial yang sangat utama demi keadilan yang dituntut oleh Allah SWT. Perbuatan ini dengan sendirinya mencemar Islam dan negara. Mereka bukan sahaja pengkhianat kepada rakyat, malah mereka telah mengakibatkan agama Islam tercela dan negara musnah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah masuk neraka.”
Rasuah terus bermaharajalela, amaran Nabi SAW tidak sedikitpun menakutkan mereka. Tetapi buat mereka yang imannya sudah diselaputi oleh serakah duniawi, sabda Rasulullah SAW itu tidak akan mencecah ke hati nuraninya. Rasulullah SAW juga meramalkan akan datang muncul satu zaman yang mana manusia menjadikan wang sebagai berhala mereka.
Setiap kepingan wang atau dolar menjadi agama mereka. Perut-perut mereka menjadi tuhan-tuhan mereka. Perempuan-perempuan mereka menjadi kiblat mereka. Imam mereka sudah hilang kecuali namanya sahaja. Seks menjadi tumpuan mereka. Kemuliaan seseorang itu akan diukur berdasarkan kekayaannya.
Dalam hal ini, terdapat banyak hadis sahih yang menunjukkan baginda melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah. Rasuah adalah satu daripada dosa besar manakala rasuah paling keji dan besar dosanya ialah rasuah berkaitan hukum. Ini kerana hukum ditetapkan oleh Allah SWT, sementara manusia hanya pelaksana.
Dalam konteks rasuah di Malaysia, paling banyak kita menerima laporan ialah mengenai salah laku penjawat awam kerana seolah-olah mereka sahaja yang bersalah dalam hal ini. Sebenarnya, yang patut juga dipersalahkan ialah tangan yang memberi kerana dalam sistem persaingan, mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai hasrat dan tujuan.
Persoalan yang melingkari penjawat awam, misalnya dalam kes yang melibatkan negara kehilangan lebih satu bilion ringgit ekoran masalah kutipan cukai oleh pihak berkuasa kastam memberikan gambaran seolah-olah penjawat awam sahaja yang bersalah. Penjawat awam dikatakan menerima sejumlah wang bagi memberikan laluan kepada kemasukan barangan yang diisytiharkan cukai yang rendah ataupun dilepaskan begitu sahaja.
Seharusnya pihak SPRM perlu juga membuat penyiasatan mendalam mengenai kejujuran syarikat atau orang perseorangan yang membawa masuk barangan tersebut. Tanpa membuat siasatan dan bertindak mengenakan hukuman yang berat ke atas syarikat terbabit, maka semakin lama akan menyebabkan penjawat awam terasa seolah-olah mereka terus dijadikan kambing hitam dalam usaha kerajaan menghapuskan gejala rasuah dalam masyarakat.
Perlu juga disiasat secara jelas apakah motif sebenar sesebuah syarikat yang banyak bertindak sebagai ‘philanthropist’ atau dermawan dengan mengeluarkan bantuan dan tajaan dalam jumlah yang besar kepada sesebuah badan sukarela ataupun pertubuhan. Apakah syarikat-syarikat itu benar-benar ikhlas sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya?
Perbuatan rasuah sejak permulaan sejarah lagi sudah berlaku. Rasuah datang dalam pelbagai kaedah. Ada melalui acara permainan golf, janji pakej umrah malah tidak keterlaluan rasuah menggunakan wanita cantik untuk memperoleh sesuatu perkara yang dihajatinya, selain menggunakan wang dan menaja percutian mewah seseorang. Kebiasaannya, orang yang dijadikan sasaran ialah mereka yang mempunyai kedudukan atau ada kuasa membuat keputusan berhubung dengan apa yang diinginkan itu.
Contoh klasik mengenai perkara ini boleh kita lihat melalui hubungan cinta antara Samson dan Delilah. Samson merupakan seorang panglima besar dan tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa. Disebabkan ketaksubannya terhadap kecantikan Delilah, mereka akhirnya terjerat dengan kesilapan sendiri. Samson mendedahkan kelemahan yang ada pada dirinya, iaitu rambutnya yang panjang dan tidak pernah digunting.
Mengetahui kelemahan tersebut, pada suatu hari ketika Samson tertidur di pangkuan Delilah, rambutnya digunting. Selepasnya kekuatan Samson menjadi lemah, dan ketika itulah seluruh kerajaan yang dipimpin oleh Samson jatuh dan menjadi milik penduduk Palestin. Legenda itu kemudiannya dijadikan asas permusuhan antara Islam dan Kristian sehingga menerbitkan rasa marah yang mendalam. Legenda itu kemudiannya dibangkitkan kembali oleh tentera Perang Salib untuk membunuh kekuatan empayar Islam.
Menurut anggaran terbaru, negara dikatakan mengalami kerugian besar jika gejala rasuah tidak dapat dibendung. Baru-baru ini didedahkan pula lebih RM1 bilion telah berlegar dalam kelompok tertentu sehingga menyebabkan SPRM membuat sasaran untuk mendapatkan kembali RM3 bilion menerusi siasatan yang melibatkan kakitangan kastam secara besar-besaran. Lebih enam puluh orang telah disiasat dan sebahagian besar sedang menunggu untuk didakwa di mahkamah.
Kesedaran mengenai keburukan rasuah yang dikempenkan setiap masa nampaknya kurang memberi kesan menyeluruh. Dengan menjadikan penjawat awam sebagai sasaran utama, ia tidak boleh dilihat sebagai sesuatu yang bermaruah, kerana puncanya masih belum dapat dibasmi sepenuhnya.
Disebabkan rekayasa perniagaan moden memerlukan persaingan, maka syarikat yang inginkan projek kerajaan sanggup memperuntukkan sebahagian kecil wang untuk melobi dan belanja keraian tertentu asalkan projek itu menjadi miliknya.
Senario ini perlu diselidiki secara mendalam jika kita ingin menghapuskan rasuah. Persoalan rasuah adalah tidak sama dengan tanggapan apabila penawaran menjadi lebih kecil manakala permintaan semakin meningkat, menyebabkan perlumbaan menjadi sengit. Asas persaingan adalah membentuk suasana pertandingan yang sihat, tetapi tentunya ada muslihat lain di sebalik persaingan tersebut. Inilah yang seharusnya dibasmi secara menyeluruh oleh SPRM ataupun pihak berkuasa.
Seseorang penjawat awam yang dikaitkan dengan rasuah haruslah diurus dengan baik dan tidak menjadikan mereka berada dalam tekanan yang melampau. Kemungkinan rasa tertekan yang dialami oleh mereka yang tertuduh menyebabkan lebih menyakitkan hati penjawat awam apabila mereka dibawa ke balai polis dengan tangan bergari. Mereka seharusnya diberikan layanan yang mesra, dan cara siasatan yang tidak menyebabkan tertuduh terasa bagaikan berada dalam suasana aib yang besar.
Persoalan mengurus mereka yang tertuduh perlu dilaksanakan secara berhemah. Meskipun mempunyai bukti, tetapi sebenarnya berdasarkan undang-undang, selagi mahkamah belum membuat keputusan bersalah, maka tertuduh perlu dilayan sebaik mungkin.
Pihak yang mengurus usaha membanteras rasuah sepatutnya juga dapat mencari bukti untuk mendakwa mereka yang memberi rasuah. Pemberi rasuah perlu dikenakan hukuman lebih berat berbanding mereka yang menerima. Jika pemberi rasuah dikenakan hukuman lebih berat, bermakna intensiti penjawat awam melakukannya adalah kecil kerana tidak ada pihak terlalu terdesak meminta untuk diberikan kelonggaran atau pelenturan undang-undang.
Semua pihak perlu memperkuatkan iktikad dan semangat untuk membanteras rasuah. Orang politik khususnya perlu menjadi kumpulan pendesak yang kuat kerana teladan yang diperoleh penjawat awam membekas dalam karier mereka sendiri. Jangan jadi ketam anak berjalan lurus.



No comments:

Post a Comment