Saturday, March 12, 2016

Dunia, Malaysia dan Rasuah

Rasuah berlaku di sektor awam dan swasta, malah hari ini turut berlaku dalam institusi antarabangsa, institusi agama serta badan sukarela dan badan sukan. Ban Ki-Moon, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2007 menyatakan: "Corruption undermines democracy and the rule of law. It leads to violations of human rights. It erodes public trust in government. It can kill."

Rasuah sebagai antara sebab utama membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan serta mendorong kepada berlakunya ketidakstabilan politik.

Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan tetapi kerana rasuah, ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran - ada yang tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna - hasil mahsul lesap, akibatnya kemunduran terus melanda - kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, ia akan tumbuh melebar - subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, hingga memusnahkan sesebuah negara bangsa.

Rasuah mengakibatkan ketirisan khazanah negara, pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, agihan kekayaan tidak seimbang, dan peningkatan kemiskinan. Antara tahun 2001 hingga 2010, hampir enam trilion dolar disalah guna di negara-negara miskin hingga menjejaskan kehidupan rakyat biasa.

Dianggarkan, setiap tahun, satu trilion dolar pengubahan wang secara haram berlaku di negara-negara miskin dan kurang membangun; dianggarkan juga, setiap tahun, 38 ke 64 bilion dolar hasil dalam bentuk cukai di negara sedang membangun, tidak dipungut kerana rasuah.

Ketirisan satu trilion dolar, menjadi punca kepada 3.6 juta kematian setahun; kerana hasil negara yang sepatutnya dibelanjakan untuk perkhidmatan kesihatan, makanan dan infrastruktur, telah dilesapkan. Perangkaan tahun 2012 mendedahkan, separuh daripada 61 juta kanak-kanak yang tercicir sekolah rendah berlaku di Sub Saharan Afrika.

Jika rasuah berjaya dihapuskan di Sub Saharan Afrika, setiap tahun, 10 juta kanak-kanak akan mendapat kemudahan sekolah, 500,000 guru boleh dilantik, dan lebih 11 juta penghidap HIV/AIDS dapat dibekalkan ubat antiretroviral.

Rasuah turut berlaku di negara maju - negara kaya, dalam pertubuhan antarabangsa; malah berlaku pada skala lebih besar, memberikan impak global hingga menjejaskan kehidupan insan di serata dunia. Bermakna, mereka di negara maju, tidak sebersih kain yang putih - tidak sejernih air di telaga zamzam.

Sektor swasta tidak sunyi daripada skandal rasuah. Pada tahun 2012, bank ternama antarabangsa dikenakan denda 21 bilion dolar atas pelbagai kesalahan membabitkan fraud, mengelak cukai, manipulasi kadar faedah dan pelaburan berisiko tinggi. Syarikat Siemens pada tahun 2008, telah mengolah akaun syarikat untuk menghalalkan rasuah dengan menyediakan peruntukan 50 juta dolar, di bawah klasifikasi Bajet Rasuah Tahunan. Syarikat Siemens didenda 800 juta dolar di bawah akta The Foreign Corrupt Practices, Amerika Syarikat.

Pada tahun 2010, enam syarikat minyak dan gas yang beroperasi di Amerika Syarikat didenda 236 juta dolar di bawah akta yang sama. Selama 25 tahun, syarikat Walmart menjadi subjek Foreign Corruption Act; Walmart akhirnya mengaku secara konsisten telah membayar rasuah di Mexico antara tahun 2003-2008. Rolls-Royce membuat pengakuan terbuka menggunakan rasuah sebagai instrumen untuk menembusi pasaran China.

Institusi-institusi antarabangsa tidak bebas daripada pelbagai skandal. Nama baik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tercemar berikutan pendedahan skandal program 'oil-for-food' yang dilakukan oleh pihak tertentu, melibatkan individu dan syarikat di beberapa negara, antaranya, Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jerman, Perancis, Russia dan Switzerland.

Program Millenium Development Goals (MDG), diperkenalkan pada tahun 2000, bertujuan membantu nasib lebih satu bilion manusia yang berpendapatan kurang daripada satu dolar sehari; rasuah telah mengakibatkan kos program bekalan air bersih dan sanitasi meningkat 48 bilion dolar lebih tinggi.

Sumber ekonomi dan kegiatan ekonomi di bawah sistem pemerintahan komunisme terletak di bawah kawalan langsung negara. Maklumat dikawal secara ketat, media berada di bawah kawalan pemerintah dan masyarakat awam tidak mempunyai kebebasan bersuara secara terbuka. Sistem pemerintahan sedemikian membolehkan akar rasuah tumbuh melata.

Bermula dengan era Deng Xiaoping pada tahun 1978, meskipun kekal dengan doktrin politik berteraskan komunisme, Negara China telah melakukan transformasi ekonomi secara radikal hingga kini muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Reformasi ekonomi membuka ruang untuk membolehkan berlakunya rasuah lebih besar, melalui pelbagai peluang baharu penswastaan.

Kekayaan baharu mencetuskan masalah baharu. The Washington-based Global Financial Integrity menganggarkan 2.83 trilion dolar telah dialirkan keluar secara haram dari China di antara tahun 2005 hingga 2011. Lebih 150 'economic fugitives' dari China, majoritinya terdiri daripada pegawai yang mempunyai rekod melakukan rasuah dilaporkan berada di Amerika Syarikat.

Sumber Reuters melaporkan Interpol mempunyai waran tangkap terhadap 69 warga China atas kesalahan rasuah, menggelapkan wang, fraud, dan sogokan. Xinhua News Agency pada Julai 2014, melaporkan sejak tahun 2008, 730 warga China dari pelbagai negara di serata dunia, yang disyaki melakukan jenayah ekonomi telah diserahkan kembali.

Presiden Xi Jinpeng mengakui secara terbuka bahawa China sedang dilanda masalah rasuah; mengumumkan pendirian tegas bahawa kepemimpinan beliau berazam untuk membanteras rasuah. Dalam ucapan sulungnya selepas mengambil alih kepemimpinan negara, Presiden Xi antara lain menegaskan: "Inside the party, there are many problems that need to be addressed, especially the problems among party members and officials of corruption and taking bribes, being out of touch with the people, undue emphasis on formalities and bureaucracy; ...to forge iron, one must be strong."

Rakyat China diingatkan bahawa tentera China tewas kepada tentera Jepun pada tahun 1894 walaupun pertahanan China memiliki kapal yang mahal daripada Eropah. Sejarawan menyifatkan kekalahan China adalah disebabkan amalan rasuah dalam kalangan pemimpin tinggi China ketika itu. Presiden Xi memberi amaran bahawa parti dan negara akan musnah jika rasuah tidak dihentikan. Li Keqiang dalam sidang akhbar pertama selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 15 Mac 2013, menegaskan: "stirring vested interest may be more difficult than stirring the soul...; clean government should start with oneself,. Only if one is upright himself should he ask others to be upright. After entering public service, we should give up all thought of making money".

Pegawai kerajaan dan menteri yang hidup mewah, mengadakan majlis keraian secara besar-besaran termasuk majlis perkahwinan, disiasat, diminta mengisytiharkan sumber pembiayaan. Langkah pengisytiharan harta diri dan anggota keluarga diperkenalkan dalam kalangan ahli parti dan anggota pentadbiran. Serbuan dilakukan di pusat hiburan dan pelacuran, dan tindakan dikenakan kepada polis serta pihak berkuasa tempatan kerana tidak bertindak memberhentikan aktiviti sedemikian. Sejak tahun 2013, lebih 200,000 pegawai dijatuhkan pelbagai hukuman.

Sistem pemerintahan berteraskan demokrasi, berpegang kepada doktrin kerajaan rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat. Betapa sekalipun kecacatan yang ada, sistem demokrasi sering kali dianggap lebih superior, memiliki mekanisme dan saluran untuk mendedahkan amalan rasuah elit pemerintahan. Ia dikatakan modul terbaik, membolehkan berlangsungnya amalan ketelusan, akauntabiliti serta semak dan imbang. Doktrin demokrasi membolehkan rakyat menukar kerajaan. Jika kerajaan gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

India terkenal sebagai demokrasi terbesar dunia, memberi ruang kebebasan yang luas kepada warga untuk bersuara. Namun demokrasi yang mengizinkan kebebasan bersuara tidak banyak membantu membendung rasuah secara berkesan. Amalan rasuah terus menjalar bagaikan parasit yang subur hidup di setiap pepohon pentadbiran negara. Ia dibimbangkan semakin merebak.

Peristiwa Tehelka.com adalah kes menarik untuk dijadikan rujukan. Pada 13 Mac 2001, Tehelka.com mengadakan sidang akhbar, mendedahkan skandal rasuah dalam urusan pembelian senjata. Rakaman video mendedahkan penglibatan pemimpin tinggi politik, birokrat dan tentera.

Dua wartawan Tehelka.com menyamar sebagai ejen Syarikat West End International, berunding untuk mendapatkan kontrak bagi membekalkan peralatan keselamatan. Kamera dipasang secara sulit merakamkan transaksi rasuah yang berlaku. Rakaman video mendedahkan Bangaru Laxman, Presiden Parti Bharatiya Janata menerima sogokan 100,000 Indian Rupee (2,170 dolar).

Tehelka.com turut mendedahkan budaya rasuah di Kementerian Pertahanan India. Rakaman video memperlihatkan pegawai kanan tentera minum wiski sambil berfoya-foya bersama pelacur; juga mendedahkan 16 pegawai tentera menerima sogokan antara September hingga Disember 2000. Atas desakan rakyat, Menteri Pertahanan George Fernandez meletakkan jawatan, Bangaru Laxman meletakkan jawatan Presiden Parti Bharatiya Janata, empat Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan digantung kerja.

Tehelka.com dipuji rakyat kerana berani mendedahkan perlakuan rasuah peringkat tinggi; tetapi kerajaan menguar-uarkan bahawa Tehelka.com menjadi instrumen parti pembangkang, di samping berperanan sebagai ejen Pakistan dan kepada Agensi Perisikan Eropah, bertujuan jahat memburukkan kerajaan.

Direktorat Badan Perisikan India, Pihak Berkuasa Percukaian, Jabatan Kastam dan Polis, bergabung tenaga, melakukan pelbagai siasatan terhadap Tehelka.com. Ironinya, siasatan lebih menumpukan kepada etika kewartawanan dan bukannya perlakuan rasuah yang didedahkan.

Kesudahannya, Ketua Pengarang Tehelka.com, Tarun Tejpal didakwa pada September 2001 atas kesalahan moral menawarkan pelacur kepada pegawai tentera. Shanker Sharma, pelabur terbesar Tehelka.com dipenjarakan tanpa dakwaan. Bilangan staf Tehelka.com menguncup daripada 120 orang pada tahun 2001 kepada empat orang pada tahun 2003, di samping aset syarikat yang tinggal hanya tiga komputer dan beberapa kerusi berdebu. Bermakna, Tehelka.com terpaksa gulung tikar kerana bertindak sebagai whistle blower; sementara pihak yang didedahkan melakukan rasuah, terlepas daripada hukuman; malah George Fernandez dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan tujuh bulan selepas meletakkan jawatan.

India disifatkan memiliki budaya rasuah berterusan dan berulang. Data tahun 2003 menunjukkan hanya 15 peratus daripada Dana Membasmi Kemiskinan, sampai kepada rakyat miskin. Laporan The Centre of International Policy yang berpangkalan di Washington bertarikh November 2010 mencatatkan, sejak mencapai kemerdekaan, India dianggarkan kehilangan 452 bilion dolar, pada kadar 20 bilion dolar setahun melalui pemindahan wang ke luar negara secara haram.

Wawancara Julian Assange yang disiarkan oleh Times Now News Channel, pada 26 April 2011, menyatakan rekod simpanan wang dalam bank-bank di Switzerland dari kalangan warga India mengatasi warga lain dunia.

Di Jepun, Skandal Lockheed 1976, melibatkan Perdana Menteri Kakuei Tanaka dalam urusan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways. Kakuei Tanaka melalui proses perbicaraan mengambil masa tujuh tahun. Pada Oktober 1983, Tanaka disabitkan oleh Mahkamah Daerah Tokyo, dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen. Tanaka mengemukakan rayuan. Pada Julai 1987, Mahkamah Tinggi Tokyo mengekalkan keputusan; Tanaka sekali lagi mengemukakan rayuan.

Meskipun disabitkan kesalahan, Tanaka tetap mendapat sokongan rakyat, dipilih sebagai Ahli Parlimen (DIET) kawasan Niigata dengan kemenangan majoriti besar dalam pilihan raya yang berlangsung pada Disember 1983. Seluruh prosiding perbicaraan Tanaka melewati 17 tahun.

Ketika Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993, proses rayuannya masih belum selesai; bermakna Tanaka terlepas daripada menjalani hukuman. Soal selidik dilakukan pada Januari 1995 oleh akhbar Yomiuri Shimbun mendapati, populariti Tanaka tidak terjejas kerana Skandal Lockheed, malah Tanaka berada di ranking teratas berbanding Perdana Menteri Yoshida Shigeru, Sato Eisaku dan Ikeda Hayato. Dalam kalangan penyokong, Tanaka disanjung sebagai pemimpin yang mengambil berat nasib rakyat, dianggap pemimpin politik Jepun paling popular pada era pasca Perang Dunia Kedua.

Indeks Persepsi Rasuah 2013, mencatatkan Jepun mencapai 74 markah, berada pada ranking ke-18. Namun skandal rasuah yang berlaku, meletakkan Jepun berada dalam paradoks, di antara jernih air di permukaan tasik dengan lumpur hitam di dasar tasik. Jepun dianggap hampir mencapai status sifar rasuah pada peringkat petty corruption yang melibatkan pegawai bawahan, tetapi berlaku structural corruption secara besar-besaran melibatkan pihak atasan. Ahli politik Jepun perlu modal besar untuk survival, menampung perbelanjaan aktiviti politik dan untuk mendapatkan sokongan politik.

Skandal Lockheed 1976, antara faktor yang mendorong Amerika Syarikat menggubal The Foreign Corrupt Practices Act. Skandal besar lain di Jepun adalah kes Recruit (1989), menjadi punca kepada kejatuhan pentadbiran Perdana Menteri Noboru Takeshita, kes-kes kontraktor Zenecon (1993-1994), mengakibatkan beberapa Prefectural Governors disabitkan kesalahan dan seorang daripadanya membunuh diri, dan skandal Bank of Japan/Kementerian Kewangan (1997-1998), mengakibatkan tangkapan, peletakan jawatan dan membunuh diri beberapa pegawai tinggi.

Budaya politik yang berlangsung di Jepun pasca Perang Dunia Kedua mencatatkan belanja bagi tujuan kempen pilihan raya mencecah 10 bilion dolar; sebahagian besar perbelanjaan ditaja oleh kumpulan yang dikenali sebagai Yakuza, kumpulan mafia yang berlegar dalam sistem politik dan sistem ekonomi Jepun, menghulurkan derma kepada ahli-ahli politik, kemudiannya mendapat perlindungan daripada ahli politik.

Structural Corruption begitu endemik dalam sistem yang dikawal oleh oligarki yang mengamalkan politik naungan dan budaya imbuhan lalu terbina segi tiga yang reput, persepakatan, di antara ahli politik, anggota birokrasi dan tokoh perniagaan.

Amerika Syarikat tidak terkecuali dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa. Spiro Agnew adalah Naib Presiden yang pertama meletakkan jawatan dalam keadaan aib pada 10 Oktober 1973 kerana Jabatan Kehakiman mendapati cukup bukti beliau melakukan rasuah politik dan menerima sogokan. Agnew berkompromi untuk tidak mencabar dakwaan di bawah Federal Income Tax Evasion Act jika dakwaan rasuah politik digugurkan. Beliau dikenakan denda 10,000 dolar, dihukum tiga tahun probation dan ditegah daripada mengemukakan rayuan.

Skandal Watergate berlaku pada 17 Jun 1972. Presiden Richard Nixon mengetahui dan terlibat dengan operasi espionage tersebut. Selain menyogok wang untuk menutup kes, Presiden Nixon turut menggunakan CIA untuk menghalang FBI daripada melakukan siasatan, memusnahkan bukti dan memecat staf yang tidak mahu bersubahat dengannya; perbuatan salah guna kuasa yang ketara. Apabila penglibatan Presiden Nixon tidak lagi dapat dilindungi, beliau meletakkan jawatan pada 8 Ogos 1974. Pengganti beliau, Presiden Gerald Ford memberikan Richard Nixon pengampunan di atas apa juga jenayah yang telah beliau lakukan atau mungkin telah lakukan ketika menjawat jawatan Presiden; bermakna Richard Nixon bebas daripada sebarang dakwaan mahupun hukuman.

Apakah moral di sebalik skandal yang berlaku di tiga negara demokrasi ini. Ia mencerminkan sistem nilai dalam masyarakat yang terperangkap dalam paradoks antara undang-undang, moraliti dan emosi. Betapa jawatan dan status, memberikan imuniti melepaskan seseorang yang melakukan kesalahan daripada menjalani hukuman. Ia melibatkan persoalan moral, betapa ikatan emosi di antara pengikut dengan pemimpin, betapa esprit de corps di antara mereka yang berada dalam liga yang sama, mencetuskan kesetiaan yang menghalang proses keadilan dapat dilaksanakan; mereka saling mempertahankan, saling melindungi, saling membela rakan dan kawan daripada dikenakan hukuman.

Nicollo Machiavelli dan Jean-Jacques Rousseau, memetik contoh daripada negara era silam, merumuskan kerosakan rasuah berlaku apabila rakyat sudah tidak mengambil kisah, malah memberikan kesetiaan yang membuta tuli kepada pemimpin kerana terlalu bergantung pada pemimpin hingga hilangnya minda dan jiwa merdeka; akibatnya masyarakat juga terperangkap dalam putaran ganas rasuah dan menjadi masyarakat yang rasuah, hatta tidak berupaya mengawal pemimpin daripada melakukan rasuah.

Institusi agama sewajibnya berpegang kepada etika dan nilai moral yang tinggi. Namun, dunia didedahkan dengan pelbagai skandal di Vatican. Antaranya, Monsignor Nunzio Scarano, ditahan dan disoal siasat kerana disyaki terlibat dalam perancangan penyeludupan 20 juta Euro dari Switzerland ke Itali. Pengarah Bank Vatican, Paolo Cipriani dan Timbalan Pengarah Massimo Tulli diarah berundur, disyaki terlibat dengan skandal kewangan bernilai 23 juta Euro.

Islam agama syumul, menyeluruh lagi sempurna. Kehidupan dunia berkesinambungan dengan kehidupan akhirat seperti diperingatkan dalam firman Allah SWT, Surah Al-Mu'min, ayat 39 bermaksud: "...,sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal."

Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Bazzar, Thabrani-Al-Targhib bermaksud: "Tidak dapat bergeser kaki seorang hamba pada hari kiamat, sehingga ia ditanya empat perkara: Tentang umurnya, untuk apa dihabiskan? Tentang masa mudanya, untuk apa ia gunakan? Tentang ilmunya, apakah ia mengamalkannya? Tentang hartanya dari mana ia dapat dan ke mana ia belanjakan?"

Islam menetapkan tanda aras yang tinggi untuk menghindarkan rasuah dengan menegaskan aspek integriti. Islam menegah keras perbuatan salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Adakah Malaysia sebuah negara Islam berani tangani rasuah ? Tepuk dada dan tanya pemimpin.


No comments:

Post a Comment