Wednesday, March 2, 2016

Sekolah vernakular punca perpecahan

Dari kecil lagi masyarakat kita dibahagi mengikut kaum; dan kalau menjelang umur 18 tahun, barulah kita menggalakkan perpaduan kaum, ternyatalah tindakan ini adalah terlalu lambat. Oleh kerana itu, sistem pendidikan rendah dan menengah kita mesti dibentuk semula untuk mengelak pembahagian dan perpisahan mengikut barisan kaum.

Sebelum kita bersekolah adalah mudah membuat kawan daripada kaum dan bangsa yang lain. Dalam masyarakat kita yang cukup majmuk, pada bila-bila masa kanak-kanak tentulah bermain dan berborak dengan rakan seumur mereka, tidak kira bangsa. Masalahnya muncul apabila kanak-kanak masuk sekolah. Kalau mereka semua menghadiri sekolah yang sama, tiadalah masalah - tetapi oleh kerana pihak kolonial enggan menyokong satu sistem sekolah untuk semua rakyat, kita sudah biasa dengan menghantar anak-anak kita ke sekolah mengikut keturunan masing-masing.

Kalau terdapat cukup peluang untuk kanak-kanak bergaul dan berinteraksi dengan rakan-rakan mereka daripada keturunan lain di luar sekolah, kita masih boleh mengelak persoalan polarisasi kaum. Tetapi dalam zaman urbanisasi ini, kita hidup dalam masyarakat di mana kanak-kanak tidak berinteraksi dengan jiran kerana mereka lebih gemar bersembang dan bergaul dengan rakan sekolah.

Hakikatnya sekarang ialah, anak Melayu pergi sekolah kebangsaan, kalau anak Cina pergi sekolah jenis kebangsaan Cina, kalau anak India pergi sekolah jenis kebangsaan Tamil, mana adanya perpaduan nasional? Realitinya, kita sudah mengamalkan suatu sistem pendidikan berdasarkan segregasi.

Saya kadangkala membangkitkan isu ini dengan rakan keturunan Cina , tetapi respon mereka hampir selalunya sama: pendidikan dalam bahasa ibunda kritikal untuk mengekalkan budaya dan identiti Cina! Tambahan pula, kata mereka, dengan pembangunan pesat di negara Cina, sesiapa yang fasih dalam bahasa Mandarin, tentulah masa hadapannya cerah. Namun demikian, pada pendapat saya kompromi antara kaum-kaum di Malaysia sangat mustahak demi masa depan negara kita.

Biasanya penyokong sistem yang diamalkan sekarang akan mengelakkan isu perpaduan dan pergaulan antara pelajar-pelajar daripada keturunan yang berlainan. Tetapi, ini bukanlah isu yang kecil; kalau anda hanya mempunyai kawan baik daripada satu kaum, apa kemungkinan anda boleh bergaul, berinteraksi dengan mereka yang mengamal budaya dan agama yang lain?

Oleh itu, mustahil menafikan kenyataan ini: sistem pendidikan kita pada masa sekarang menjejaskan perpaduan nasional. Penyelidik-penyelidik di Britain sudah mendapati kanak-kanak yang menghadiri sekolah di mana para pelajar terdiri daripada kanak-kanak yang terutamanya dari satu kaum sahaja, lebih mungkin bertembung dengan masalah berkawan dengan dan memahami orang daripada keturunan dan kaum yang lain.
Ini bukan maksud kita mesti memansuhkan sekolah jenis kebangsaan; bagi sebahagian rakyat, sistem sekolah ini mungkin lebih sesuai daripada sekolah kebagsaan. Tetapi saya berpendapat sekolah kebangsaan seharusnya memadai bagi kebanyakan pelajar dan ibu-bapa.

Jadi bangkitlah soalan seterusnya: mengapa kebanyakan keluarga Cina dan India membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan? Saya fikir terdapat dua sebab utama: isu akademik dan iklim sosial.

Sebagai seorang pelajar sekolah kebangsaan, saya mengaku kualiti akademik di sekolah kebangsaan amat rendah. Tiada bandingan dengan sekolah jenis kebangsaan Cina; di sana, guru-guru berdedikasi dan mendorong pelajar-pelajar untuk cemerlang dalam pelajaran mereka. Di sekolah kebangsaan, guru-guru lebih kerap tiada motivasi untuk mengajar. Tambahan pula, sekolah jenis kebangsaan mengajar bahasa ibunda pelajar Cina dan Tamil; tentulah ibu-bapa Cina dan Tamil lebih suka menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan berdasarkan pengalaman sahabat saya yang menghantar anak ke sekolah vernakular.

Masalah yang lain, lebihlah rumit: iklim sosial di sekolah kebangsaan biasanya tidak begitu bertolak ansur. Sebagai contoh kejadian yang baru berlaku bila seorang guru di satu sekolah menengah kebangsaan memberitahu pelajar-pelajarnya bahawa budak India merupakan anak pelacur, di antara banyak lagi kenyataan yang menghina. Kejadian seperti ini begitu jarang di sekolah menengah kebangsaan seorang guru berkata rakyat Malaysia berketurunan Cina tidak boleh dipercayai untuk mempertahankan negara Malaysia dan memanggil "pendatang asing". Di sekolah-sekolah lain, aktiviti-aktiviti kadangkala diadakan pada hari Ahad atau hari perayaan agama yang lain, dan kakitangan sekolah bukan selalunya bertolak ansur. Semua kejadian kecil ini, menjadi alasan untuk menakutkan bagi ibu-bapa Cina dan India.

Sistem sekolah kebangsaan haruslah dibentuk semula kalau kita betul-betul mahu memupuk perpaduan. Guru-guru dan kakitangan sekolah mestilah lebih bertolak ansur dan lebih bermotivasi. Mereka yang enggan menerima hakikat bahawa kita tinggal di negara dan masyarakat yang majmuk patut berdepan dengan akibat yang serius. Untuk meningkatkan motivasi guru-guru, gaji harus naik. Kalau kerajaan kita mahu memupuk semangat perpaduan di sekolah kita, guru-guru mestilah jadi contoh untuk para pelajar agar sistem sekolah kebangsaan kita menjadi sistem sekolah kebangsaan, bukan sistem sekolah Melayu.

Selain itu, isu bahasa juga mesti ditangani. Sekolah kebangsaan tidak boleh menggantikan sekolah jenis kebangsaan, tetapi mereka masih boleh mengadakan kelas-kelas untuk bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Ini lebih baik daripada tidak mengadakan apa-apa kelas untuk bahasa ibunda kaum lain. Apabila isu bahasa ditangani, dan apabila ibu-bapa boleh mempercayai guru-guru ini, tiadalah halangan kepada satu sistem sekolah kebangsaan.

Semua, biarlah masyarakat Melayu ataupun masyarakat-masyarakat bukan Melayu, mesti sedia berkompromi sedikit. Dalam iklim masyarakat yang majmuk, hanya kompromi akan mengelakkan keganasan dan huru-hara. Mungkin cadangan-cadangan saya tidak begitu sesuai untuk masyarakat kita; itu tidak apa. Yang kita mesti tumpukan ialah masalah perpaduan; masalah sistem sekolah kebangsaan. Suatu sistem yang pada terasnya merupakan sistem yang dibahagi mengikut keturunan akan menyumbang kepada polarisasi kaum. Apa-apa sistem pun, biarlah sistem kerajaan, sistem pendidikan, sistem korporat, asalkan mengikut dasar pemecahan rakyat dari segi kaum, akan tetap gagal menyatupadukan rakyat. Cadangan ini adalah hasil perbincangan dan pengalaman ibubapa bangsa lain di samping mendesak agar sekolah vernakular di hapuskan.

Belajar terus Belajar


No comments:

Post a Comment