Thursday, March 3, 2016

Antara babi dan rasuah

Bagi masyarakat Melayu Islam di Malaysia, bila disebut tentang babi, maka akan timbul perasaan jijik peringkat paling tinggi di dalam jiwa mereka. Perasaan ini mungkin terbit kerana Islam melarang umat Islam memakan daging haiwan tersebut. Bagi tujuan beribadat, orang Islam perlu bersuci secara menyamak anggota tubuh badan yang tersentuh dengan haiwan tadi atau apa-apa yang terbit/keluar daripadanya seperti najis, kencing dan sebagainya.

Berikutan itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa semua orang Islam di semua peringkat umur tahu bahawa hukum memakan daging babi adalah haram dan jika tersentuh, maka perlu disamak.

Di sini kita boleh membuat satu kesimpulan yang longgar bahawa pengharaman memakan daging dan sifat pengotor haiwan tersebut telah menyebabkan masyarakat Melayu Islam di Malaysia mempunyai satu tanggapan yang menjijikkan terhadap haiwan yang bernama babi ini.

Di dalam ajaran agama Islam setiap yang haram, jika dilakukan, maka ia boleh mendatangkan dosa kepada si pelakunya. Bagaimanapun dalam sesetengah hal, kita sering mempunyai tanggapan yang berbeza-beza terhadap sesuatu perkara sedangkan hukumnya adalah sama.

Kita ambil contoh rasuah dan salah guna kuasa. Kedua-duanya merupakan suatu amalan yang diharamkan oleh agama Islam dan dianggap satu jenayah oleh undang-undang negara. Persoalannya, adakah tahap jijik kita -sebagai orang Islam-terhadap amalan rasuah dan salah guna kuasa ini berada pada tahap yang sama sebagaimana kita memandang jijik terhadap babi tadi?

Jika berdasarkan kepada tanggapan ramai, amalan rasuah masih berleluasa di negara kita walaupun pelbagai langkah diambil oleh pihak kerajaan untuk mengatasinya. Daripada penubuhan Badan Pencegah Rasuah hinggalah kepada penubuhan Institut Integriti Malaysia, masalah ini dilihat semakin berlarutan.

Buktinya, kedudukan Malaysia di dalam senarai Corruption Perceptions Index (CPI) yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) masih lagi tertinggal berbanding dengan Singapura, Hong Kong, Jepun mahupun Taiwan.
Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa CPI ini tidak tepat kerana ia merupakan suatu suatu tanggapan (perception) dan bukan sesuatu yang sebenar, tetapi itulah sebenarnya pandangan kasar masyarakat terhadap masalah rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

Tanggapan (perception)merupakan satu rangkaian usaha atau tindakan di mana masyarakat menterjemah dan menyusun ransangan yang diterima oleh pancaindera untuk menghasilkan satu pengertian atau makna tentang apa yang mereka perhatikan di sekeliling mereka. Jadi apa yang kita dengar, kita lihat dan kita baca tentang sesuatu akan secara tidak langsung akan memberikan kepada kita satu tanggapan atau gambaran tentang perkara itu juga.

Pada pandangan saya usaha menangani masalah rasuah di Malaysia akan mengambil masa yang lama melainkan pihak kerajaan bersungguh-sungguh dalam usahanya. Ini kerana pada tanggapan saya (dan juga mungkin tanggapan ramai), masalah rasuah di Malaysia bukan sahaja melibatkan penjawat awam mahupun swasta, malah ia turut melibatkan golongan pemimpin politik dan juga mereka yang berada di dalam institusi kehakiman.

Bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Justeru, jalan yang terbaik untuk mengelak tanggapan sebegini wujud, punca yang menyumbang kepada pembentukan tanggapan tadi perlu dihapuskan.

Banyak kepincangan yang berlaku sekarang baik di dalam dunia perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya menjelaskan kepada kita bahawa unsur-unsur kebendaan, sifat ananiah (mementingkan diri sendiri) dan runtunan hawa nafsu merupakan paksi utama yang digunapakai oleh kebanyakan anggota masyarakat di dalam membuat keputusan mereka. Lebih malang lagi apabila ia menjadi pedoman utama segelintir pihak yang mempunyai kuasa di dalam sesebuah badan atau pertubuhan.

Maka tak hairanlah jika dalam pada kerajaan berusaha sedaya upaya menyemai nilai-nilai murni di dalam anggota masyarakat baik di peringkat keluarga, masyarakat, syarikat korporat mahupun di kalangan penjawat awam melalui pelbagai dasar dan slogan; kita masih lagi dihidangkan dengan kes-kes rasuah, salah guna kuasa, keruntuhan akhlak (baik remaja mahupun dewasa) dan sebagainya.

Di sini kekuatan iman dilihat amat perlu dalam diri setiap insan kerana iman bukan saja dapat memelihara dirinya daripada melakukan perkara yang menyalahi arahan agama bahkan juga dapat mencegah dirinya daripada menjerumuskan dirinya ke dalam suasana yang boleh mendatangkan syak wasangka masyarakat ke atas dirinya dan juga institusi yang diwakilinya.

Sebagaimana Islam melarang perlakuan zina dengan mengharamkan punca kepadanya seperti berdua-duaan di tempat sunyi, begitulah pendekatan yang perlu diambil dalam menangani masalah rasuah ini.

Sebab itulah generasi awal Islam menolak sebarang perkara yang boleh mendorong mereka untuk terjebak dalam amalan ini. Malah mereka cuba mengelaknya sehabis mungkin sehinggakan para hakim dilarang untuk dipayung ketika hujan kerana dikhuatiri mereka akan terasa terhutang budi yang akhirnya boleh menyebabkan mereka tidak dapat memberi keadilan semasa menjalankan tugas.

Dengan kata lain, dalam usaha mencegah sebarang kemungkaran yang berlaku, agama Islam menganjurkan pendekatan pencegahan di peringkat akar umbi lagi, bukan bila masalah sudah merebak dan membesar.

Berbanding kaum Cina -yang merupakan penggemar daging babi - masyarakat Melayu Islam merupakan yang paling ramai terlibat dalam amalan rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia. Cuba kita lihat di media bangsa mana yang selalu di hadapkan rasuah. Harapkan pemimpin umpama ketam mengajar anak jalan lurus. Antara dosa makan babi atau rasuah ?

Dalam hal ini kita perlu fikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah amalan rasuah terutamanya di kalangan orang Islam di negara kita. Mungkinkah dengan mengubah tanggapan masyarakat bahawa rasuah dan salah guna kuasa , bukan sahaja haram, bahkan menjijikkan - sebagaimana penghukuman yang dibuat ke atas haiwan babi- dapat mengurangkan masalah ini?


No comments:

Post a Comment