Friday, April 15, 2016

"Malaysian Malaysia" membunuh Melayu

Menulis isu ini sebenarnya mempunyai implikasi yang agak besar. Ini akan dilabel sebagai satu tulisan berbau perkauman sekiranya kita menuduh perjuangan atas nama demokrasi hanya akan menguntungkan DAP dengan agenda Malaysian Malaysia. Ini perlu kita kupas, kerana apa yang kelihatan ialah perjuangan menuntut demokrasi total mensasarkan agenda - agenda lain yang lebih menumpukan kepada soal kepentingan kaum dan hasrat mencairkan hak keistimewaan Melayu. Perlu kita tegaskan bahawa ini bukan soal penentangan antara kaum tetapi penulisan ini adalah persoalan "survival" orang - orang Melayu sebagaimana terdapat ruangan yang cukup luas untuk parti yang memperjuangkan ras mempersoalkan kedudukan kaum Melayu dan kadang kala menyentuh isu kontradiksi agama sekali.

Apa yang mahu kita sama - sama fikirkan adalah perjuangan atas nama "demokrasi tulen" yang tidak semestinya memberikan keadilan kepada kaum Melayu dan tidak kelihatan pun kehadiran tuntutan "demokrasi tulen" itu akan menjaga hak orang - orang Melayu malah yang jelas ianya hadir sebagai satu perjuangan menuntut kesamarataan kaum yang akan gagal memberi keadilan kepada bumiputera.

Peringatan kepada Melayu bukan bermaksud kita mendiskriminasi mana - mana pihak khususnya kaum lain tetapi adalah untuk kita sedar supaya kita tidak terserap dalam perjuangan "terma" tetapi akhirnya merugikan kaum Melayu itu sendiri. Kita tidak mahu Melayu tersedut dalam putaran perjuangan demokrasi tulen akhirnya menjayakan perjuangan "chauvinist" sesuatu kaum. Kita tidak mahu pula kita sebagai Melayu mendiskriminasi kaum lain tetapi kita jangan hanya duduk mendengar tuntutan kerana takut bersuara menegakkan hak.

Kita harus sedar bahawa kita perlu bangkit untuk mempertahankan hak kita sebagai bumiputera, sebagai rakyat Malaysia dan sebagai manusia. Namun perjuangan ini tidak seharusnya mengenepikan keadilan dan keadilan bukan bermakna pembahagian adil dari segi kuantitatif sahaja. Ianya bukan pengiraan "satu untuk aku dan satu untuk kamu" tetapi adalah pengagihan mengikut keperluan dengan mengambilkira bermacam faktor tambahan yang perlu dilakukan bagi mengimbangi skala yang ada.

Timbang khususnya dari sudut ekonomi yang ada bukan hadir dari nilai kosong atau seimbang. Timbang itu semenjak awal Tanah Melayu sudah condong memihak kepada kaum lain. Usaha kita adalah untuk menambah pemberat pada timbang itu agar ianya adil untuk kaum Melayu tetapi bukan bertindak mengurangkan berat untuk menyamaratakan timbang tersebut dengan mendiskriminasi kaum lain. Itu perlu kita tegaskan. Namun dalam kita menegaskan perkara tersebut ada sahaja "chauvinist" sesuatu kaum yang akan menuduh ini adalah hasutan kaum dan lebih malang pula sekiranya Melayu sendiri jadi takut untuk menyuarakan hak.

Kita sedar bahawa "chauvinist" ini ada pada semua kaum. Ini perlu kita tangani malah sekiranya ada "chauvinist" ini dari kalangan Melayu maka itu juga perlu kita tolak. Namun memperjuangkan agenda bangsa tidak seharusnya tersekat oleh ketakutan yang akhirnya merugikan kita. Kita harus berani menyuarakan sebagaimana mereka berani mempersoalkan. Kita harus terangkan kepada semua bumiputera khususnya Melayu kerana itu kewajipan kita dalam menyedarkan betapa perlu kita mempertahankan agenda Melayu supaya tidak terikut dengan perjuangan "demokrasi" oleh sesetengah mereka yang mendefinisikannya sebagai penghapusan hak - hak keistimewaan orang - orang bumiputera. Ini adalah definisi songsang demokrasi yang tidak menerapkan keadilan sebenar dalam perjuangan itu. Kita harus mendefinisikan demokrasi dalam ertikata keadilan yang sebenar dan tidak menyekat roh keadilan hanya berpaksikan perkataan dan perjuangan demokrasi kosong tanpa nilai. John Rawls dalam bukunya A Theory of Justice menyentuh, Keadilan Sosial sebagai semua "keperluan utama atau primer - kebebasan dan peluang, pendapatan dan kekayaan serta asas-asas harga diri, mestilah diagihkan sama rata melainkan pengagihan sebahagian atau semua keperluan yang tidak sama rata menguntungkan mereka yang diketepikan." Adakah ini perlaksanaan kita? Adakah segelintir yang terpilih aman menghirup kemakmuran sedangkan yang lain celaka dalam kemodenan dan pembangunan negara? Definisi ini menunjukkan bahawa keadilan sosial mensyaratkan supaya sekiranya berlakukan pengagihan yang tidak serata tetapi memihak kepada yang ketepi maka ini adalah juga ciri-ciri khusus KEADILAN.

Malangnya, kita terpaut dengan perjuang demokrasi, keadilan yang mempunyai niat - niat tertentu yang bermotifkan politik. Kita terlena dengan konon-kononnya demokrasi itu adalah keadilan dan syarat keadilan itu adalah mencabut keistimewaan hak orang Melayu. Ada pula yang berhujah bahawa adalah tidak demokratik sekiranya kita mempunyai parti berasaskan ras, tidak demokratik sekiranya ada perbezaan hak, kuota dan tidak melaksanakan meritokrasi. Lebih buruk lagi bila ada yang mengatakan kerajaan menindas, mendiskriminasi dan mencabut hak orang bukan bumiputera dan Melayu. Kumpulan ini merangkumkan perjuangan - perjuangan dan tuduhan ini sebagai kerajan tidak demokratik dan zalim. Lebih mengharukan apabila Melayu sendiri dalam Parti Keadilan Rakyat Malaysia turut seolah - olah membicara dengan nada yang serupa konsep DAP "Malaysian Malaysia" seolah - olah kewarganegaraan yang ada tiada nilai untuk hidup di Malaysia. Benar kita "Malaysian" tidak kira bangsa, adat dan agama tetapi jangan perjuangan itu menuntut pembasmian hak keistimewaan sebagai syarat demokrasi dan keadilan. Orang Melayu harus sedar dan tidak terikut dengan perjuangan keadilan dan demokrasi mereka, yang hanya tertumpu kepada cita - cita politik semata - mata.

Dari sudut ekonomi kalau ditimbang, penyertaan kaum lain menyebabkan timbang itu senget sebelah. Pendedahan 85% kontrak kerajaan jatuh semula kepada kaum lain cukup untuk kita mengatakan bahawa Melayu jauh tertinggal sungguh pun ada peningkatan. Ini cukup untuk menunjukkan bahawa bagi kaum lain timbangnya berat dan bagi Melayu dacing itu terapung di atas kerana ringan kerana kita jauh terkebelakang. Adakah dengan menuruti formula keadilan sosial maka salah kalau kita memberi ruang kepada Melayu untuk merapatkan partisipasi ekonomi tersebut?

Kita harus menegaskan : Keperluan Melayu itu untuk meningkatkan partisipasi ekonomi bukan dengan menghalang kaum lain untuk berniaga atau mendiskriminasi mereka. Ironisnya tuntutan Demokrasi dan Keadilan hanya tertumpu untuk mencabut hak - keistimewaan orang - orang Melayu dan ini amat dikesali.

Kita jangan terikut - ikut dengan perjuangan konon-kononnya atas nama demokrasi maka dengan itu hak-hak kita perlu dihakis.

Kita jangan terpedaya konon-kononnya perjuangan demokrasi mereka adalah untuk keadilan tetapi sebenarnya hanya satu tentangan yang berlandaskan pejuangan kesamarataan yang tidak adil.

Kita jangan mengatakan bahawa perjuangan Agenda Melayu itu adalah perjuangan ras, jangan sekali terserap dengan manifesto khusus DAP yang menggunakan perjuangan atas nama demokrasi tetapi perkauman.

Melayu kena berani menyuarakan hak dan Melayu tidak seharusnya mengorbankan hak yang ada semata - mata kerana mahukan undi.Kita tidak seharusnya termakan dengan dahyah pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang mengatakan mereka tidak berasaskan ras tetapi memperjuangkan keadilan sejagat, kerana itu hanyalah kenyataan politik untuk memancing undi bukan Melayu.

Hari ini kita berdepan dengan statistik bahawa 60% orang - orang Cina menolak Barisan Nasional. Ada yang bersetuju dengan statistik itu dan ada yang mengatakan statistik itu tidak benar. Yang mengatakan statistik itu tidak benar telah memberi hujah bahawa bila sampai waktu pilihanraya maka tindakan drastik Barisan Nasional adalah untuk memenangi hati pengundi Cina dengan melunaskan tuntutan mereka. Mereka berhujah bahawa statistik tersebut hanya satu ugutan dan akhirnya Barisan Nasional bertindak akur untuk terus memenangi hati pengundi Cina. Apa pun hujahnya, Melayu akan terus berdepan dengan tuntutan yang sekiranya dijawab maka apa sahaja jawapan itu akan dituduh ultra Melayu dan rasis.

Sesuaian dengan itu kita perlu menetapkan bahawa agar Melayu tidak terikut - ikut dalam perjuangan kononnya keadilan berteraskan "Malaysian Malaysia" kerana agenda mereka hanya akan mengkikis pegangan Melayu yang selama ini wujud dan perlu.


Thursday, April 14, 2016

Parti Keramat dan Islam semakin nazak ?

Hari ini, kalau kita bercakap tentang politik, khasnya politik orang Melayu, tidak dapat dinafikan senario yang sedang menyelubunginya ialah situasi kucar-kacir yang sedang mewarnainya. Sama ada parti siasah yang berasaskan sekularisme mahupun parti siasah yang berteraskan agama, kedua-duanya sedang dilanda masalah yang masih belum ada jalan keluar. Bagi para ahli politik yang menjadi pendokong kedua-dua kumpulan parti berkenaan, mereka masih berpendapat keadaan masih stabil dan terkawal. Bagi mereka apa yang berlaku bersifart sementara dan akan kembali seperti sediakala tidak lama lagi. Itu cakap orang politik semata-mata. Sedangkan rakyat kebanyakan mungkin tidak berpandangan sedemikian.

Parti terbesar orang Melayu, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sememangnya sedang dibelenggu dengan pelbagai masalah. Kepimpinannya sedang dikritik hebat sama ada dari dalam mahupun dari luar parti. Apa yang menariknya, antara pengkritik tegar kepimpinan UMNO sekarang ialah individu yang pernah menjadi pemimpin nombor satu parti berkenaan selama puluhan tahun lamanya. Hasil kritikan sesama ahli dalam UMNO itu sendiri, bibit-bibit perpecahan semakin ketara. Pemecatan timbalan presiden UMNO selaku timbalan perdana menteri pada Julai lalu merupakan antara bibit perpecahan yang sedang melanda UMNO. Kalau pimpinan sekarang silap membuat percaturan dalam mengambil tindakan, UMNO boleh hancur dalam sekelip mata sahaja. Kehancuran UMNO kali ini (jika berlaku) akan lebih teruk daripada peristiwa pengharaman UMNO pada tahun 1988 yang lalu.

Dalam hal ini, pelbagai slogan dan madah masa lalu datang kembali menerjah kotak ingatan. Doa yang pernah dilafazkan oleh (almarhum) Datuk Fadzil Mohd Noor, sajak Melayu Mudah Lupa, Takkan Hilang Melayu Di Dunia, Hidup Melayu, dan macam-macam lagi, semuanya kini menimbulkan pelbagai persoalan. Adakah UMNO sedang menghadapi saat-saat terkabulnya doa(almarhum) Datuk Haji Fadzil Mohd Noor? Adakah benar bahawa bangsa Melayu itu satu bangsa yang mudah lupa pada sejarahnya sendiri? Benarkah bangsa Melayu tidak akan hilang di dunia buat selama-lamanya? Realitinya hari ini, orang Melayu sudah pun kehilangan maruah, jati diri serta identiti di tanah Sang Nila Utama! Mampukah orang Melayu terus hidup jika politik bangsanya berada dalam keadaan kucar-kacir?

Orang tua-tua dahulukala sudah pun meninggalkan pelbagai pesan untuk diwarisi dan sebagai peringatan kepada anak cucunya. “Bersatu teguh, bercerai roboh”, “bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna”, “biduk lalu kiambang bertaut”, dan macam-macam lagi, nampaknya semuanya ini tidak mendatangkan bekas dan hasil bagi membolehkan bangsa Melayu kembali bersatu untuk kepentingan generasi sekarang dan yang akan datang. Jika orang tua-tua hari ini sudah tidak lagi menghargai segala yang pernah menjadi pesanan daripada orang tua-tua dahulukala, maka tidak hairanlahjika orang tua-tua masa akan datang juga tidak akan menghargai pula harapan dan ingatan daripada orang tua-tua sekarang. Sesungguhnya UMNO tidak boleh berbangga lagi dengan ungkapan, “UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO”. Hari ini ungkapan sedemikian sudah menjadi retorik dan tidak bermakna lagi khasnya kepada generasi muda Melayu sekarang.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula merupakan parti kedua terbesar yang mendapat sokongan dan dokongan daripada orang Melayu. Sebelum ini, jika apa-apa terjadi kepada UMNO, orang Melayu masih boleh bergantung harap kepada PAS. Lagipun, antara UMNO dan PAS bukannya orang lain, PAS itu sendiri lahir daripada tulang rusuk UMNO. Oleh kerana wujudnya perbezaan dalam pelaksanaan Islam, maka kedua-duanya terpisah. Kedua-duanya pernah sebumbung pada awal dekad 70-an yang lalu, tetapi terpisah semula pada akhir dekad tersebut. Walaupun ada usaha untuk menyatukan kedua-dua parti siasah berkenaan, namun demikian perbezaan mengenai dasar dan kaedah pelaksanaan Islam menyebabkan kedua-dua parti siasah orang Melayu itu terus terpisah.

Kini PAS pula sedang dilanda masalah perpecahan dalaman yang serius. Ia berpunca daripada tercetusnya semangat berpuak yang berasaskan latar belakang pendidikan. Justeru, ada kumpulan ulamak dan ada kumpulan profesional. Walhal Islam sejak awal lagi sudah pun membanteras fahaman sedemikian. Sebab itulah antara Rasulullah S.A.W. dengan Abdul Rahman bin Auf tiada tembok pemisah antara keduanya, sedangkan latar belakang kedua-duanya amat berbeza. Bukankah Islam itu akan tegak berdiri kukuh dan teguh atas lima tonggak utama, iaitu, ulamak, umarak, pemuda, wanita dan profesional (aghnia’)? Apabila salah satunya rapuh, maka akan rapuhlah tonggak yang lain. Senario inilah yang sedang melanda PAS hari ini. Apabila salah satu kumpulan yang dilabelkan sebagai profesional rapuh, maka tidak dapat dielakkan lagi seluruh jentera parti berkenaan juga ikut turut sama rapuh setidak-tidaknya untuk jangka pendek.

Apa yang lebih memalukan ialah perpecahan dalaman yang berlaku dalam PAS turut sama membuka pekung di daada sendiri. Hari ini isu baiah yang selama ini menjadi rahsia dan strategi penting kekukuhan dalam PAS sudah menjadi perbincangan terbuka bukan sahaja dalam kalangan ahli PAS, bahkan ia sudah menjadi perdebatan umum pula. Kalau pun hendak meninggalkan jamaah, rahsia bekas jamaah lama jangan disebut lagi. Begitu juga mereka yang masih kekal dalam PAS, sepatutnya tidak menyebut isu baiah berkenaan secara terbuka sehingga boleh mendatangkan pandangan serong orang luar terhadap PAS itu sendiri.

Kini segalanya sudah pun terjadi. Bak kata orang tua-tua kita, nasi sudah menjadi bubur. Semua orang sudah tahu antara sebab kerajaan PAS Kelantan boleh bertahan walaupun dengan hanya dengan satu kerusi antara tahun 2005 – 2008 lalu ialah mungkin kerana adanya baiah berkenaan. Manakala golongan feminist pula ada asas untuk menuduh PAS telah mempergunakan wanita sebagai alat untuk kepentingan politik. Saya tidak bermaksud untuk mempertikaikanya dari aspek agama kerana golongan yang menganjurkannya bukan sembarangan tokoh dari aspek keagamaan. Namun demikian, biar apa situasi sekalipun, isu ini tidak sepatutnya dibawa dan dibincangkan sehingga ke luar seperti sekarang. Bila hal sebegini telah berlaku, maka ahli-ahli PAS dan termasuk bekas ahlinya juga mula dilihat sebagai golongan manusia yang tidak tinggi maruahnya. Mereka lebih sanggup membocorkan pekung sendiri demi memuaskan emosi masing-masing. Kalau pun hendak bercerai dan bertalak, lakukanlah dengan cara yang baik dan harmoni. Rahsia lama tidak sepatutnya dibongkar lagi.

Perpecahan dalam UMNO telah mengakibatkan munculnya Parti Melayu Semangat 46 tetapi ia gagal bertahan lama. Sebilangan bekas pemimpinnya kemudian telah kembali kepada UMNO. Namun demikian, pergeseran dalam UMNO pada dekad 90-an telah mengakibatkan munculnya Parti Keadilan Rakyat (PKR). Parti siasah ini nampaknya lebih utuh dan masih kuat mendapat dokongan rakyat. Walaupun PKR sebuah parti pelbagai kaum, tetapi realitinya ia masih dilihat sebagai parti yang mendapat sokongan besar daripada orang Melayu. Ini bermakna, secara siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 3 kumpulan besar.

Perpecahan PAS kali ini telah mengakibatkan munculnya sebuah lagi parti siasah yang dijangka akan didokong oleh ramai orang Melayu iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Buat masa ini, PAN merupakan parti siasah yang menjadi wadah perjuangan kebanyakan bekas ahli PAS yang dilabel sebagai kumpulan profesional. Ini bermakna, pada masa ini dari sudut siasahnya, orang Melayu sudah pun berpecah kepada 4 kumpulan. Nampaknya haluan siasah orang Melayu bukan terarah kepada bersatu teguh, tetapi lebih menjurus kepada bercera roboh.

Perpecahan politik dalam kalangan orang Melayu akan memungkinkan kuasa politik mereka semakin lemah. Bila perkara ini berlaku, maka orang lain akan mudah untuk mengambil kesempatan atas kelemahan yang sedang melanda. Orang Melayu yang tidak cerdik pula akan meminta sokongan bangsa lain untuk memperkukuhkan kumpulan siasah mereka. Orang lain yang akan memberi sokongan pula tidak akan menyokong tanpa sebarang habuan. Mereka akan menuntut itu dan ini sebagai balasan atas sokongan yang bakal mereka beri. Perkara yang membimbangkan ialah aapa yang bakal dituntut nanti ialah perkara yang selama ini menjadi hak eksklusif orang Melayu. Bagi orang Melayu yang pendek akal, mereka mungkin akan sanggup mengorbankan perkara sedemikian asalkan kepentingan sendiri dapat tercapai. Secara jangka panjangnya, anak cucu kita nanti akan kembali merempat di bumi sendiri.

Hari ini, sesetengah pemimpin Melayu memang pandai bercakap dan berpidato. Kalau bercakap bukan main lagi tegasnya. Kalau mengugut bangsa sendiri bukan main lagi sombongnya. Kalau berhujah bukan main lagi hebatnya. Bila berfalsafah bukan main lagi egonya. Walau bagaimanapun, bila dilanda sesuatu yang memerlukan pengorbanan jiwa dan raga, mereka kecut dan penakut. Kononnya bangsa Melayu lebih rela berputih tulang daripada berputih mata. Namun demikian, apabila Pulau Batu Putih hilang daripada genggaman kita, kita sekadar berputih mata melihat ia terlepas ke tangan orang lain dan langsung tidak berani berputih tulang untuk mempertahankannya. Tiada pusara yang sesuai untuk ditaburkan bunga kerana tiada seorang pun yang gugur untuk mempertahankannya.

Pada penelitian saya, hari ini ramai pemimpin dalam kalangan orang Melayu yang bercakap lebih menjurus kepada perpecahan bangsanya. Bila mereka bercakap, ia lebih kepada kepentingan kumpulan siasahnya sahaja seolah-olah hanya mereka sahaja yang betul. Mereka gagal melihat bangsa Melayu dari skop yang lebih besar. Mereka hanya pandai menoropong kuman di seberang tetapi gagal melihat gajah di depan mata sendiri. Mereka peka dengan bau pekung dan nanah orang lain tetapi gagal mencium bau yang sama dari diri dan kumpulannya sendiri. Apabila seseorang itu dipatuk dua kali oleh ular yang sama dan di tempat yang sama, dia pasti akan mati buat selama-lamanya.

Lebih malang lagi, hari ini orang Melayu seakan sudah ketandusan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berkemampuan untuk menyatukan bangsanya. Hanya sekali-sekala terdengar suara dari istana yang menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat jelata. Namun demikian, ia sekadar sekali-sekala sahaja. Setelah para pemimpin politik Melayu leka dengan bercakaran sesama sendiri, kini rakyat jelata amat mengharapkan peranan yang lebih besar dan lebih berkesan daripada duli payung mahkota pula untuk menyatukan kembali orang Melayu. Sesungguhnya duli payung mahkota adalah benteng terakhir orang Melayu dalam mempertahankan maruah, jati diri dan tanah air ini daripada terus tergadai kepada orang lain.

Selama ini pun, orang Melayu masih tidak berupaya untuk membangunkan ekonomi mereka setanding dengan orang lain. Kalau tidak kerana adanya agensi kerejaan yang mewakili penguasaan orang Melayu dalam bidang ekonomi, sudah tentulah kedudukan ekonomi orang Melayu lebih ke bawah daripada yang ada sekarang. Kini orang Melayu menghadapi masalah perpecahan pula dalam sudut politik. Dari sehari ke sehari, kedudukan semakin tak terkawal. Ia bukan lagi sekadar retak menanti belah, tetapi sudah ke tahap belah akan berkecai. Adakah orang Melayu memerlukan satu lagi landaan musibah bagi membolehkan mereka benar-benar memahami eerti dan betapa pentingnya penyatuan dan perpaduan?

Sesungguhnya Islam tidak pernah gagal untuk menyatukan umatnya, tetapi umat Islam itu sering gagal untuk menjadikan Islam sebagai wadah penyatuan untuk mereka.



Wednesday, April 13, 2016

Melayu semakin BINGUNG

BINGUNG. Bagi masyarakat biasa, mereka sudah bingung melihat krisis demi krisis, percakaran dalaman parti, skandal di kalangan pemimpin dan berbagai-bagai lagi warna-warni kotor yang mencemari politik tanah air.

Di pihak parti pemerintah, imej pemimpin nombor satu terjejas teruk, tidak cukup dengan asakan bekas perdana menteri, kini serangan bertalu pula daripada media asing.

Pemimpin-pemimpin lain pula dilihat seakan hanya mengekori ke manakah arus itu pergi tanpa berani bersuara menegur.

Di pihak pembangkang pula, pakatan ini telah hancur musnah, persahabatan selama ini bertukar menjadi permusuhan.

Situasi membingungkan ini membuatkan masyarakat tidak tahu apa yang perlu dilakukan sama ada berpihak kepada salah satu atau berdiam diri, tidak tahu ke mana hala tuju dalam perjuangan politik.

Pendapat saya hanya ada satu jalan keluar iaitu persepakatan antara parti Islam dan Melayu.

Majoriti di luar sana bimbang masa depan Melayu dan Islam, bimbang ia dirobek oleh nafsu buas ultra kiasu dan puak mereka yang tidak henti mencabar kedaulatan Islam dan keistimewaan orang Melayu yang telah dijamin Perlembagaan.

Slogan Hidup Melayu hanya tinggal slogan sahaja. Tiada apa yang istimewa untuk di gantung oleh bangsa Melayu.

Saya tidak mahu masuk campur hanya ingin melontar pandangan dalam isu-isu politik tanah air kerana politik itu sebahagian daripada Islam. Tambahan lagi, agenda Melayu Islam yang diperjuangkan, perlu dipertahankan oleh semua pihak termasuk parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

Kesepakatan yang dimaksudkan adalah kesatuan agenda di kalangan pemimpin Melayu Islam, keberanian melawan agenda musuh yang mencabar Melayu dan Islam, meskipun berbeza warna bendera parti.

Orang-orang Melayu berpecah kerana tiada satu agenda perjuangan yang menghimpunkan dan menyatukan mereka.

Pendek kata, sebagai formula kepada permasalahan politik hari ini, parti-parti Islam dan Melayu wajib duduk semeja berbincang, mencari kata sepakat agar kepentingan Melayu dan Islam terpelihara.

Ketepikan kepentingan parti, utamakan kepentingan agama, bangsa dan negara.

Krisis yang berlaku mesti segera ditamatkan, jika tidak tangan-tangan jahat akan menyambar peluang yang ada.

Biar besar manapun ombak dan badai yang melanda, majoriti rakyat Malaysia yang ditunjangi orang Melayu mahu agenda Melayu Islam diutamakan. Jika perkara teras ini dijaga dengan baik, kaum dan agama lain akan turut mendapat manfaat.



Monday, April 11, 2016

Sindrom "Tidak Tahu" Pemimpin

Ungkapan 'tidak tahu' Menteri KBS berhubung tindakan pegawai kanan bawah kementerian yang disiasat SPRM ekoran dakwaan menggelapkan wang berjumlah RM100 juta, Menteri Pendidikan turut menggunakan perkataan yang sama ketika ditanya sama ada jam tangan dibenarkan atau tidak untuk dibawa masuk ke dewan peperiksaan.

Keadaan pelik ini hakikatnya tidaklah terlalu pelik apabila PM awal-awal lagi telah mempelopori tagline ini apabila ditanya sama ada beliau tahu atau tidak tahu kemasukan wang berjumlah RM2.6 bilion ke akaun peribadi.

Budaya 'tidak tahu' ini jika ditinjau mempunyai maksud yang pelbagai dengan kesedaran niat yang rencam:

1) Benar-benar tidak tahu - menunjukkan gagalnya keupayaan kepimpinan atau kemampuan menguasai sistem urustadbir satu-satu organisasi secara menyeluruh. Keadaan ini jika benar, amatlah malang bagi sebuah negara yang mempunyai kementerian yang banyak dan saiz kabinet yang amat besar. Bila-bila masa boleh diambil kesempatan oleh sesiapa akibat kecuaian menteri yang dilantik.

2) Tahu, tapi belum bersedia untuk menjawab - menunjukkan si pemain politik masih tahu apa yang berlaku namun belum dapat merumuskan jawapan yang sesuai kepada masyarakat awam. Boleh jadi masih ligat berpusing mencari jawapan-jawapan lanjutan yang boleh diterima

3) Tahu dan memang berniat untuk menyembunyikan - menunjukkan pemain politik benar-benar nekad untuk menyeleweng dan telah siap skrip-skrip yang perlu dipaparkan ketika disoal masyarakat awam. Kebiasaannya pada kemungkinan ini, pemain politik benar-benar bersedia dan telah menyediakan pilihan-pilihan langkah lanjutan sekiranya perlu untuk dikambinghitamkan.


Mudahnya, apa pun niat dan tujuan jawapan 'tidak tahu' ini, impaknya semestinya buruk dan langsung tiada kesan positif sama ada kepada penutur mahupun amanah yang dijaga oleh si penutur.

Sindrom 'tidak tahu' ini sama ada sedar atau tidak jauh lebih buruk daripada 'denial syndrome' kerana sekurang-kurangnya orang ramai tidak terlalu sukar untuk menebak maksud si pengamal budaya penafian. Sama ada benar sebagaimana yang dinafi atau sebaliknya.

Lantas apa yang boleh diharapkan daripada budaya tidak tahu ini? Pertama sekali budaya ini lahir kerana masyarakat membenarkannya untuk 'membiak'. Budaya ini tidak akan bertelur jika masyarakat awal-awal lagi menolak mana-mana pemimpin yang serba tidak tahu.

Budaya mengangkat pemimpin-pemimpin yang hanya cerdik untuk menipu berakar daripada masyarakat yang tidak betul-betul serius memilih pemimpin.

Kedua, kerosakan pandang alam (worldview) terhadap pentadbiran negara menyebabkan budaya ini berjangkit dengan cepat. Seseorang yang berada di atas sering dilihat sebagai bos dan masyarakat bawahan dianggap sebagai kuli.

Hasilnya selama bertahun-tahun kita menyemai budaya bahawa segalanya dari atas betul sehinggalah sampai ke suatu peringkat mereka yang di atas gagal memberikan jawapan yang baik dan hanya mampu berkata tidak tahu dan kita di bawah hanya boleh terpinga-pinga.

Ketiga, gagalnya masyarakat untuk menebas budaya ini lebih awal sebaik sahaja kita sedari. Kita cukup yakin dan percaya, sepanjang 58 tahun Barisan Nasional memerintah, pasti ada pemimpin-pemimpin yang tidak tahu apa pun yang berlaku di bawah kementerian atau jabatan di bawah kementeriannya.

Maka sepatutnya daripada awal lagi kita sudah mendesak untuk mana-mana parti pemerintah yang mahu berkuasa, menyediakan bakat-bakat kepimpinan negara yang sesuai dengan jabatan-jabatan kerajaan. Kalau pun tidak lebih awal, setidak-tidaknya kita sudah boleh merencana tindakan tuntas ketika PM mengungkapkan jawapan ini dalam isu aliran kewangan ke dalam akaun peribadi beliau.

Rakyat Malaysia yang amat baik dan santun telah menjadikan budaya 'tidak tahu' ini sebagai suatu malapetaka yang merosakkan. Kita 'ok' dengan orang-orang tua yang dilantik jadi Pengerusi Surau atau Pengerusi Masjid tetapi batang hidung mereka langsung tidak pernah nampak di surau atau masjid.

Munculnya hanya di mesyuarat agung tahunan yang akan memilihnya sekali lagi sebagai kepala organisasi.

Kita 'ok' dengan memilih seorang wakil rakyat yang kaya dengan hasil pendapatan ragu sekalipun kita tahu otak serongnya langsung tidak menyumbang dalam DUN atau Parlimen semata-mata berfikir esok lusa wakil rakyat ini boleh di'pow' untuk turap jalan atau baiki jambatan yang senget.

Jika budaya ini gagal dibendung dalam gerakan rakyat yang benar-benar bersifat rakyat (bukan mengatasnamakan 'rakyat' semata-mata), ia hampir pasti membiakkan satu budaya baru di masa depan - TIDAK MENGAPA.

"Tidak mengapa, masalah RM2.6 billion ini kecil sahaja". "Tidak mengapa, apalah sangat RM100 juta yang hilang jika mahu dibanding dengan pendapatan negara yang beratus billion".

"Tidak mengapa, hutang negara masih rendah walaupun telah melepasi 55 peratus KDNK negara". Tidak mengapa itu, tidak mengapa ini. Ketika sampai ke peringkat ini, negara benar-benar telah rosak teruk.

Kita hanya ada satu negara iaitu Malaysia. Mungkin anak muda pada fasa ini perlu fokus untuk merubah negara secara berperingkat dan tahu di mana harus dikerahkan usaha.  Anak muda perlu di latih menggunakan sistem demokrasi ini dengan sebaiknya untuk memilih pemimpin.

Pemimpin serba 'tidak tahu' ini adalah perlambangan kepimpinan yang culas dan cuai. Semoga Allah menjadikan pemimpin kita lebih bijak dan lebih berintegriti pada masa hadapan.

Kritikan menunjukkan rakyat Malaysia masih sayang kepimpinan yang ada. Berubahlah wahai pemimpin.


Realiti Penyatuan Melayu Islam

Susahkah orang Melayu hendak disatukan? Adakah isu ini sengaja dibesarkan sedangkan realitinya orang Melayu sudah bersatu. Atau adakah bersatu atau perpaduan yang dimaksudkan itu lain daripada yang difahami oleh orang Melayu?

Sebenarnya orang Melayu tidak susah untuk bersatu, buktinya apabila berlaku kematian orang jauh mahupun dekat akan datang berziarah mengucap takziah kepada keluarga itu walaupun mereka tidak pernah kenal. Selepas itu mereka boleh bergaul mesra dengan tetamu yang datang. Di sini sudah wujud kerjasama tanpa terancang.

Begitu juga apabila berlaku kenduri kahwin, semua sanak saudara, rakan taulan dan mereka yang menerima jemputan boleh datang dengan hati yang tenang. Antara tetamu itu dapat berbual mesra tanpa ada sebarang sangka buruk. Malah ada yang boleh bergurau senda yang mencuit hati.

Selain itu orang Melayu juga boleh bersatu dan bekerjasama ketika bergotong-royong untuk membersihkan kampung, taman, masjid dan surau. Berdasarkan itu apakah halangan untuk orang Melayu bersatu dan berpadu pada waktu-waktu lain?

Jawapan mudahnya ialah menjauhi politik sempit dan amalan berpolitik yang tidak profesional dalam kalangan orang Melayu. Mereka menganggap golongan dalam parti lawan sebagai musuh lalu tidak boleh bertegur sapa kerana benci.

Kita bukan nak salahkan politik, malah politik itu perlu dalam membina negara yang cemerlang. Kita juga tidak salahkan orang yang menyertai parti politik tertentu, tetapi yang salahnya ialah matlamat orang yang menyertai politik itu tidak benar-benar jelas. Matlamat perjuangan parti tidak difahami oleh mereka. Hal ini kerana mereka tidak diberi ilmu tentang kepentingan politik dalam Islam.

Perlu difahami di sini bahawa bersatu dan berpadu adalah tuntutan agama disebut oleh Allah dan Rasul dalam banyak tempat. Bersatu dalam soal Islam, bersatu dalam matlamat hidup dan bersatu dalam perjuangan. Namun bersatu dalam konteks ini perlu diasaskan oleh hati yang tulus dan mulus.

Sungguhpun begitu tuntutan bersatu di atas asas itu tidak menghalang daripada umat Islam berfikir dan berhujah dalam sesuatu perkara. Malah Islam mahu umatnya kreatif dalam memberi pandangan dalam memajukan hidup di dunia ini.

Menyedari halangan di atas, usaha menyatukan umat Islam dan mengukuhkan perpaduan orang Melayu dua perkara berikut perlu diberi perhatian:

1. Parti politik berasaskan orang Melayu perlu diberi penjenamaan baru. Parti yang bukan mencipta musuh tetapi mendekatkan dan menjinakkan musuh. Selain itu, politik bukan untuk kepentingan kelompok tertentu tetapi untuk kepentingan rakyat.

2. Penyatuan ummah ini perlu ditaja oleh pihak berkecuali dan tiada berkepentingan dengan mana-mana parti politik.

Bulan Ramadan masa terbaik menghimpunkan orang Melayu dan Islam di masjid dan surau, sebaiknya perpaduan ini diterjemahkan kepada semua jemaah. Guru-guru yang memberi tazkirah Ramadan harus menyedarkan umat Islam agar mengelak permusuhan. Begitu juga mimbar-mimbar masjid harus memberi ilmu tentang perpaduan ummah.

Perpaduan tersebut seharusnya atas tujuan membina kekuatan ummah, meningkatkan ekonomi dan memantapkan kedudukan bangsa dan memelihara maruah Islam dan umatnya. Kalau semua orang Melayu sedar akan kepentingan itu, tidak mungkin mereka menolak untuk bersatu. Percayalah jika dengan bersatu atas dasar ini tidak mustahil orang Melayu yang berada dalam parti yang berlain juga boleh bersatu.

Mereka boleh bersatu dan berpadu dalam memperakui pandangan lawannya jika hujahnya munasabah dan relevan. Tetapi jika pandangan itu berlainan dan tidak elok, dibantu bagi mencantikkannya. Inilah kesan perpaduan yang dikehendaki Islam.

Dalam keadaan sekarang kita seharusnya berhati-hati dengan orang yang berjuang ke arah bersatu atau perpaduan tetapi mempunyai kepentingan politik tertentu. Sebagai contoh, mereka inginkan orang Melayu bersatu supaya menyokongnya dalam pilihan raya akan datang. Maka dengan cara ini kedudukan parti yang satu lagi akan lenyap.

Sudah sampai masanya kesatuan orang Melayu berani menaiktarafkan Islam di negara ini. Orang Melayu perlu bergerak atas semangat Islam, jiwa Islam dan akhlak Islam supaya dengan itu orang bukan Islam akan hormat dan tidak menghina Islam dan umatnya.

Pada masa yang sama orang Melayu seharus tidak menjadi batu penghalang kepada orang lain untuk mengenali Islam dengan sikap kita. Jangan sampai orang lain takut kepada Islam kerana sikap kita yang suka bermusuhan.

Jangan sampai kita sebagai Islam melarang pendakwah seperti Dr Zakir Naik berceramah dengan alasan banyak laporan polis dan keselamatan negara. Kita sudah tidak berdakwah tapi kita pula menjadi batu penghalang dakwah tersebut. Mana bukti kita sayangkan agama? Mana bukti kita mendukung Islam sebagai agama rasmi?

Malah lebih malang lagi kalau ada orang lain yang hendak mengenali Islam, kita gambarkan yang negatif tentang Islam.

Semoga kita semua memperoleh taufik dan hidayah daripada Allah s.w.t. untuk memperjuangkan syiar Islam tercinta.


Wednesday, April 6, 2016

Perpecahan Melayu yang semakin parah

Sedarkah kita bahawa semakin hari, kaum Melayu yang majoritnya beragama Islam sedang menuju kearah kehancuran. Kini kaum lain selain Melayu sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk menghancurkan sekelimut perpaduan yang masih wujud dalam rumpun melayu ini. Kaum Melayu semakin lemah dan sudah tidak dihormati oleh kaum-kaum bukan melayu. Kaum bukan melayu ini semakin hari semakin berani dan bertambah biadap terhadap kaum melayu. Namun, kita perlu akui bahawa mereka berani bersikap kurang ajar kerana kelemahan kaum melayu sendiri, terutama dari segi perpaduan.

Kaum melayu sudah berpecah dan tidak bersatu. Kelemahan ketara kaum Melayu membolehkan mereka mengambil kesempatan untuk menekan kaum Melayu. Mereka tahu bahawa kaum Melayu terpaksa tunduk dan akur kepada semua kehendak mereka. Seandainya kaum Melayu bersatu, maka tiada siapa yang boleh menggangu gugat bangsa Melayu. Tidak mustahil satu hari nanti kaum Melayu akan merempat dan menjadi perlarian ditanah air nya sendiri.

Lebih malang lagi, sehingga kini tidak ada nampak usaha-usaha yang jelas sama ada dari kerajaan yang memerintah atau pembangkang untuk menyatukan kaum Melayu. Yang ada cuma dari pihak NGO sahaja. Namun, pihak NGO akan gagal dalam misinya untuk menyatukan kaum Melayu kerana perpecahan Melayu ini hanya berlaku di dalam politik sahaja. Selagi parti-parti politik melayu ini gagal bersatu, selagi itulah Melayu akan menjadi satu bangsa yang lemah. Kaum bukan melayu sudah nampak nyata keperkasaannya. Ini dapat dilihat apabila mereka sudah berani dan lantang menyanggah kedudukan istimewa kaum Melayu. Keberanian mereka ini semata-mata kerana mereka sudah bersatu di dalam salah sebuah parti politik pembangkang di Malaysia.

Persoalannya di sini, mengapa pemimpin-pemimpin Islam tidak mahu menerima hakikat bahawa perpecahan kaum Melayu akan membawa bencana kepada agama dan bangsa? Adakah pemimpin-pemimpin Islam ini sedar bahawa kaum Melayu/Islam sedang berada dalam genggaman kaum bukan melayu? Perpecahan dikalangan kaum Melayu dalam politik sangat merugikan kaum Melayu itu sendiri. Hari ini kita sudah nampak bukti bahawa kaum Melayu sedang dipermainkan oleh kaum bukan melayu. Orang Melayu sudah sanggup melakukan apa saja terhadap kehendak dan perintah bukan Melayu semata-mata untuk mendapatkan sokongan politik dari mereka.

Kaum bukan melayu ini sudah menjadi kaum yang dianggap penting dan sangat disanjung oleh orang Melayu. Maka dengan itu tidak hairanlah jika segala perintah dan kemahuannya terpaksa di akuri oleh kaum melayu. Sedarkah kita bahawa, jika beginilah keadaannya, lambat laun, kaum Melayu akan berada dibawah telapak kaki kaum bukan Melayu. Sepatutnya kaum Melayu itu bersatu dalam sebuah parti untuk menjadikan suara dan pandangan mereka lebih kukuh dan utuh.

Mustahil untuk dikatakan orang Melayu/Islam di Malaysia tidak mengetahui mengapa Palestin boleh dijajah oleh Isreal. Ianya berlaku hanya kerana bangsa Palestin berpecah belah dan tidak sehaluan. Inilah sebabnya mereka menjadi lemah dan setiap hari ramai orang Palestin dibunuh oleh orang Isreal. Situasi yang sama akan berlaku di Malaysia dimana Melayu pasti akan musnah sekiranya kuasa politik Melayu berpecah belah.
Seperkara lagi, perbalahan atau perpecahan dalam Pas dan UMNO, iaitu suara politik utama Melayu, tidak akan mendatangkan faedah kepada orang Melayu sebaliknya hanya akan melemahkan lagi suara politik Melayu. Kita harus akui pada masa ini survival politik Melayu bergantung sepenuhnya kepada UMNO dan Pas.

Oleh itu, kalaulah Pas dan UMNO berpecah belah dan bertelagah sesama sendiri, ia sudah pasti akan menggembirakan puak-puak tertentu yang sememangnya ingin melihat kekuatan politik mana-mana parti yang bertunjangkan orang Melayu menjadi lemah. Melalui cara sedemikian, ia akan mampu meneruskan agenda-agenda mereka bagi membuat tuntutan yang bukan-bukan. Apabila mereka berbuat demikian orang Melayu tidak ada tempat berpaut untuk bersuara kerana UMNO tidak mempunyai kuasa sepenuhnya manakala Pas pula semakin kucar-kacir. Adakah keadaan ini yang dimahukan oleh mereka yang mengaku orang Melayu dan beragama Islam?

Dalam apa juga tindakan politik, kita mestilah berpandangan jauh. Dengan kata lain, kita tidak seharusnya memikirkan generasi Melayu pada hari ini tetapi fikirkanlah tentang masa depan anak cucu kita yang merupakan generasi akan datang yang bakal memimpin negara. Jika masalah perpecahan di kalangan orang Melayu semakin parah, tidak mustahil kuasa politik Melayu menjadi lemah sehingga ia terlepas ke tangan orang lain, dan yang akan menanggung akibatnya di masa akan datang ialah anak cucu kita. Ketika itu, apabila orang Melayu merempat dan hilang kuasa politik, kesengsaraannya akan ditanggung semua anak Melayu tidak kira, mereka itu anak orang Pas atau UMNO.

Justeru itu, berfikirlah dengan matang dan bijak dalam berhadapan dengan isu perbalahan dan perdebatan mengenai usaha menyatupadukan orang Melayu. Tetapi perlu diingat, kita tidak boleh berputus asa dengan mudah. Sebagai orang Melayu dan Islam sudah pasti ada titik persamaan di hati kecil kita yang dijadikan oleh Allah sebagai saudara seagama. Justeru adalah lebih baik kiranya kita mendoakan agar perbalahan pendapat yang tercetus dikalangan parti politik Melayu sekarang dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya tanpa memudaratkan parti itu atau kuasa politik Melayu.

Sebab itulah kenyataan seorang mufti yang memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah perlu diberikan perhatian. Jika diteliti, kenyataan beliau adalah benar kerana pada masa ini orang Melayu seolah-olah menjadi pihak minority kerana apa sahaja yang hendak diketengahkan bagi kebaikan orang Melayu hatta untuk tujuan berunding semeja pun akan dilihat bersikap perkauman, tetapi apabila ada pihak lain beria-ia memperjuangkan hak kaum mereka tidak pula dilihat perkauman.

Perbalahan yang berlaku di kalangan orang Melayu sekarang seolah-olah berada di atas satu pentas menuding jari antara satu sama lain, manakala pihak-pihak lain hanya menjadi penonton dan bertepuk tangan. Inilah situasi yang harus difahami oleh orang Melayu termasuklah kelompok-kelompok tertentu yang terlalu taksub menentang usaha perpaduan Melayu, Perpecahan di kalangan orang Melayu hanya merugikan kita tidak kiralah sama ada perpecahan itu berlaku dalam UMNO atau Pas. Jangan dibuat ukuran semata-mata untuk keuntungan politik semata-mata. Oleh itu, semua orang Melayu perlu membuka minda mereka bagi memikirkan soal ini dengan tenang dan bukannya dipengaruhi oleh sebarang sentimen. Adakah politik menjamin agama, bangsa dan negara ?


ISLAM mengharamkan RASUAH

ISU berkaitan rasuah kerap dibincangkan dalam seminar, forum atau ceramah, namun ia masih berlarutan.

Takrifan rasuah luas dan bukan hanya wujud dalam bentuk monetary. Malah, merangkumi bentuk non-monetary seperti pemberian jawatan, pangkat kebesaran atau perbuatan pelepasan atau penahanan daripada obligasi atau liabiliti.
Rasuah yang biasa didedahkan oleh media massa adalah dalam kategori rasuah transaktif (transactive corruption), rasuah memeras (extortive corruption) dan rasuah defensif (defensive corruption).

Rasuah transaktif membabitkan dunia korporat dengan pemerintah atau masyarakat dengan pemerintah.

Ia dilihat sebagai rasuah yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak yang melakukan transaksi.

Rasuah memeras pula berlaku apabila pihak pemberi dipaksa untuk melakukan rasuah bagi mengelak sebarang kerugian yang bakal menimpa diri atau kepentingannya. Rasuah defensif pula merujuk kepada rasuah yang dilakukan seseorang untuk mempertahankan dirinya.

Rasuah tidak kira apa kategorinya adalah masalah yang perlu ditangani dengan serius oleh masyarakat dan lebih-lebih lagi pemerintah. Perkara ini kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap sosioekonomi sesebuah negara.

Sekadar memetik kata-kata pengerusi Transparency International, Peter Eigan, "Corruption robs countries of their potential". Kata-kata ini ada kebenarannya kerana potensi yang sepatutnya dijana oleh sesebuah negara itu mungkin tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin.

Ia disebabkan wujudnya amalan rasuah dalam pentadbiran baik di sektor awam atau korporat. Apabila rasuah berleluasa, pertumbuhan ekonomi sesebuah negara akan merosot. Keadaan itu disebabkan pelabur asing akan menjauhi negara berkenaan.

Apabila tiada pelaburan asing, kegiatan ekonomi seperti perindustrian, pertanian dan perkhidmatan akan tergendala.

Selain, ketiadaan pelaburan asing, pertumbuhan ekonomi mungkin terbantut disebabkan sumber aktif sesebuah negara yang berbentuk monetary digunakan untuk projek yang tidak berdaya maju yang diluluskan oleh pihak ingin memberi keuntungan kepada kroni mereka, tanpa menghiraukan kebajikan masyarakat.

Mungkin dana yang ada digunakan untuk projek pembangunan yang disebut sebagai projek gajah putih. Jenayah dan maksiat mungkin berleluasa kerana amalan rasuah, yang disebabkan pihak berkuasa menutup mata atau tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang bersalah dalam kegiatan tidak bermoral di kawasan kejiranan. Kesan rasuah tidak terhad kepada sosioekonomi sesebuah negara.

Ia juga boleh memberi kesan kepada alam sekitar. Contohnya, dalam kes pembalakan. Jika tender yang dikeluarkan kepada sesebuah syarikat konsesi tidak mengikut proses sebenar, kemungkinan kegiatan pembalakan secara tidak terancang akan wujud.

Perkara ini kerana pemilik konsesi tadi tidak mempunyai kelayakan secukupnya untuk menjalankan kegiatan pembalakan secara sistematik. Seterusnya boleh menyebabkan berlakunya hakisan, banjir lumpur, kehilangan spesies flora dan fauna. Islam sejak dulu, menyedari masalah yang bakal timbul daripada amalan rasuah. Islam secara jelas tidak berkompromi dalam isu ini.

Hal ini dapat dilihat melalui ketegasan Nabi Sulaiman apabila menolak hadiah Puteri Balqis agar membolehkannya berterusan dalam amalan penyembahan matahari apabila diseru beriman dengan Allah. Kisah ini dirakamkan pada ayat 35 hingga 37, surah an-Naml.

Contoh lain adalah ketegasan Nabi Muhammad menolak tawaran kaum Quraisy pada awal penyebaran Islam. Kaum Quraisy berjanji akan memberikan apa yang diingini Baginda daripada kemewahan dunia jika Rasulullah meninggalkan kegiatan dakwah itu.

Tawaran itu ditolak Baginda. Rasulullah menyatakan walaupun matahari diletakkan pada tangan kanannya dan bulan pada tangan kirinya, Baginda tetap tidak akan meninggalkan perjuangannya menyebarkan agama Islam kepada umat sejagat.

Ketegasan Islam dalam hal ini dijelaskan lagi melalui perintah berbentuk larangan melalui firman Allah bermaksud: "Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan kamu membawa urusan harta itu ke mahkamah supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, pada hal kamu mengetahuinya." (Surah al-Baqarah, ayat 188)

Larangan melakukan rasuah dalam ayat di atas walaupun lebih menumpukan kepada sogokan kepada hakim agar memberi pertimbangan yang tidak adil atau berat sebelah, ia boleh merujuk kepada salah laku atau amalan rasuah yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam memberi kelulusan atau kebenaran kepada mereka yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu projek atau tender.

Rasuah tidak akan berlaku jika hanya satu pihak yang wujud. Sekurang- kurangnya perlu ada dua pihak bagi membolehkan dosa rasuah berlaku. Oleh itu, kedua-dua pihak terbabit dikira melakukan perbuatan yang diharamkan Islam.

Malah, kedua-duanya dilaknat oleh Allah atas amalan keji itu. Dalam hal ini, Nabi Muhammad bersabda bermaksud: "Allah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah." (Hadis riwayat at-Tirmizi) Maknanya semua pihak yang terbabit dalam rasuah akan dilaknat oleh Allah. Perkataan laknat dalam al-Quran disebut sebanyak 37 kali.

Mereka yang dilaknat oleh Allah yang disebut dalam al-Quran antaranya:- * Iblis - "Sesungguhnya laknat-Ku tetap ke atasmu hingga hari akhirat." (Surah Sod, ayat 78) * Bani Israil - "Telah dilaknat orang kafir daripada Bani Israil dengan lisan Daud dan Isa putera Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan selalu melampui batas." (Surah al-Maidah, ayat 78)

Jadi dalam kes rasuah, mereka yang mengamal rasuah memang setaraf dengan Bani Israil, iblis dan orang zalim yang lain kerana semuanya mendapat laknat Allah.

Laknat ini bukan saja terhad di akhirat, mungkin berlaku ketika si pelaku rasuah tadi hidup di dunia lagi. Mungkin hidup orang yang mengamalkan rasuah tadi tidak sebahagia orang lain.

Mungkin harta yang diperoleh cepat habis atau mudah hilang sama ada dicuri atau dirompak. Hal itu disebabkan tiada keberkatan dalam rezeki yang diperoleh. Mungkin juga dia cenderung untuk ditimpa sakit, kemalangan dan sebagainya.

Semua ini bala Tuhan yang jarang disedari oleh masyarakat kerana kurang mengaitkan bencana yang menimpa dengan salah laku yang dilakukan. Isu rasuah juga ada kaitan dengan sikap amanah.

Orang yang amanah tidak akan melakukan sesuatu yang di luar batas agama kerana tahu setiap amalannya akan dihisab dan dihitung di akhirat kelak. Ia tidak kira sama ada dia seorang pemimpin atau rakyat biasa, ketua atau pekerja biasa.

Jika sesuatu tugas dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, rasuah tidak akan wujud dalam masyarakat, lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Islam yang percaya terhadap dosa pahala.

Mereka menyedari bahawa setiap amalan baik atau buruk dilihat oleh Allah. Semuanya dan dicatat oleh malaikat Raqib dan Atid.