Friday, December 18, 2015

Bolehkah Melayu Bersatu ?

Saya pernah beberapa kali menyebut tentang politik penyatuan dalam menunjukkan kecenderungan dan minat yang tinggi ke atas tajuk penyatuan politik.

Jika benar orang melayu-islam adalah lebih kurang 50% sahaja dari bilangan penduduk malaysia seperti di maklumkan, saya mencadangkan kepada kerajaan malaysia untuk mengangkat india-muslim,cina-muslim sebagai sebahagian dari bangsa melayu-islam.Saya mencadangkan menyebarkan dakwah islamiyah wajar menjadi agenda penting UMNO untuk meramaikan lagi penganut islam di bumi malaysia.Saya juga mencadangkan supaya badan-badan dakwah diperkasakan oleh UMNO dan kerajaan demi mengembalikan melayu-islam yang telah terpengaruh dengan budaya barat dan jahil agama agar kembali menjadi penganut islam yang teguh akidah dan bersemangat jihad.

Penyatuan hanya memberikan kekuatan,apabila gerak kerja bersama diadakan. Perang badar atau perang Rusia-Jepun tidak akan berjaya dimenangi puak kecil,jika mereka bersatu dalam slogan semata-mata namun gerak kerjanya nanti mereka bercerai. Nifak perjuangan yang merosakkan penyatuan gerak kerja adalah apabila suara atau slogan yang sepakat akhirnya menghasilkan gerak kerja berlainan. Perang Uhud membuktikan kebenaran bagaimana nifak perjuangan terjadi, apabila awalnya semua mujahidin islam bertekad mahu berperang atas sebab mempertahankan akidah akhirnya sekelompok berebut mengutip harta rampasan perang yang merupakan gerak kerja bertentangan dan tidak bersama dalam kesatuan itu.

Politik penyatuan (ukhuwwah) bukan sekadar menyeru untuk rakyat berkumpul dan menyokong sesebuah parti supaya kelihatan parti itu kuat kerana punya ahli yang ramai, lebih dari itu, sejauh mana parti-parti politik dapat menjayakan gerak kerja bersama dengan menggerakkan ahli dan penyokong parti samada antara parti politik, mahupun pihak-pihak lain seperti ibubapa,sekolah,polis mahupun NGO untuk menyelesaikan isu yang jelas lagi nyata iaitu kebejatan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Ini suatu yang tidak logik jika ahli atau pemimpin politik islam dapat bersatu dengan pemimpin bukan islam untuk membantah tol atau demonstrasi banteras rasuah atau menyuarakan tidak puas hati rakyat akan tetapi gagal untuk bersatu sesama islam untuk menyelesaikan masalah umat islam yang nyata di malaysia iaitu kebejatan sosial dan akhlak, dengan kes dadah, rogol,rompak,bunuh, atau juvana remaja berleluasa melibatkan anak-anak muda pelapis negara.

Saya mencadangkan semua manusia politik dari pimpinan hingga penyokong-penyokong najis mereka yang mahu bergaduh, mencaci, menikam sesama sendiri, bertumbuk, merusuh, mencarut, memfitnah, berkonspirasi dan sebagainya patut diberikan mana-mana pulau kosong dan rakamkan aksi-aksi bodoh mereka semua itu ke dalam sebuah program realiti seperti Rancangan Survival supaya segala tindak tanduk bodoh mereka hanya berkisar dan beredar di pulau-pulau itu saja dan menjadi tontonan rakyat jelata di hari minggu untuk mengisi cuti dan menonton aksi mereka seperti menonton aksi Mr Bean dan sekalian umat lain dapat hidup bahagia dengan bekerja keras memakmurkan Malaysia dan alam jagat tanpa diganggu lagi dengan isu-isu bodoh ciptaan mereka.

Politik masa hadapan bagi golongan muda harus diluruskan. Kita perlu bangkit bukan mengguling mahupun menghentam orang-orang tua ini, namun kita perlu bangkitkan suara-suara seruan ke arah memanggil manusia kembali pada Allah dan Rasul secara terang, jelas dan tegas dengan konsisten. Tempat manakah yang lebih baik untuk memanggil orang Islam bersatu jika bukan semuanya berkumpul di rumah Tuhan kita MasjidNya.

Dan apakah mereka bingung sehingga tidak tahu panggilan azan itu waktu yang signifikan untuk manusia yang mahu dipanggil muslim dan mukmin untuk bersama dan berkumpul seterusnya bersatu dalam saf-saf lurus? Apakah bingung sangat mereka sehingga tidak memikirkan bahawa waktu berkumpul bukan terhad hanya sehingga salam setiap solat sahaja? Apakah mereka tidak tahu Masjid bukan saja tempat solat, zikir, dan quran tapi juga tempat bermesyuarat? Apakah bingung sekali mereka untuk tak memikirkan apakah yang perlu dimesyuaratkan melainkan hal-hal umat jua, hal-hal teras dan matlamat kita hal perjuangan untuk pemerintahan Islam jua. Dan apakah bingung sekali mereka tak memikirkan melawat rumah-rumah orang islam, bertemu muka dengan orang Islam bagi memanggil orang Islam kepada Allah bukan hanya di waktu nak meraih undi dalam pilihanraya sahaja tetapi wajar dilakukan istiqamah setiap masa yang kita panggil sebagai dakwah? Apakah mereka bingung sekali jika Masjid tak dioperasi sesungguh mungkin dengan aktiviti ilmu dan membangkit iman, sehingga membiarkan masjid berkunci dan kosong?

Mengusahakan politik sebagai dakwah bukannya dengan cara tipu muslihat, dusta dan taqiyyah untuk dapatkan kuasa, tapi mengaktifkan seruan untuk semua kembali kepada Allah, mengoperasi sungguh-sungguh rumahNya, meletakkan kesatuan umat dalam saf solat dan mesyuarat, bertebaran bertemu manusia memanggil untuk bersama aktif istiqamah, dan inilah fasa awal politik masa hadapan yang boleh digerakkan kita orang muda malaysia. Benar, fasa berikutnya nanti adalah dalam mesyuarat itu ketika hati-hati kita duduk bersatu dibawah satu naungan dalam tempat paling mulia, Masjid Allah. Pertempuran politik umat dengan bertempias air liur atas pentas politik pilihanraya atau kepartian adalah mustahil menyatukan. Mesyuarat yang duduk beradab dalam rumah Allah dengan pasakkan teras dan matlamat sama itulah yang menyatukan. Politik menyatukan umat adalah mesyuarat di masjid yang diadakan sesudah kita tunduk bersama dalam saf solat.Teras kita iman, matlamat kita redhaNya.

Suatu kebangkitan selalu berteraskan penyatuan. Asasnya, hati-hati yang mahu pada kebangkitan itu bersatu. Hati yang bersatu, mudah untuk fikir juga bersatu. Fikir yang bersatu akan buat gerak kerja dan usahanya bersatu. Itu tonggak penyatuan. Hati, fikir, dan usaha. Kebangkitan berjalan kencang dan berombak deras dengan kadar kekuatan penyatuan hati, fikir dan usaha itu.

Kita tak memikirkan soal bilangan. Kebangkitan bukan soal bilangan. 1000 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. 100 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan.10 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. Kita memikirkan soal tali persaudaraan. Tali itu adalah penentu bilangan peserta kebangkitan. 10 orang yang bersaudara , tapi 5 sahaja yang bersatu untuk bangkit, kebangkitan itu lemah. 10 orang yang bersaudara, 7 sahaja yang bangkit, kebangkitan juga lemah. 10 orang yang bersaudara, kesemuanya bersatu dan bangkit, itu kebangkitan yang kita mahu cetuskan.
Asasnya, tajuk penyatuan sudah selalu saya tulis dan kisahkan. Setiap tahun ada saja entri tentang penyatuan.Bolehkah Melayu Bersatu? Saya fikir lanjutkan lagi soalan itu, menjadi "Bolehkah Melayu Bersatu Dalam Usaha Menyatukan Umat Pada Tali Allah?".

Soalan sebegitu baru menjentik sikit kotak-kotak pemikiran kita umat Islam untuk memikirkan kembali teras-teras penyatuan yang Allah kehendaki kita laksanakan.

Belajar terus Belajar.


Sunday, December 13, 2015

PAU 2015-Pandangan rakyat marhein

‘Peremajaan Umno’ dengan ungkapan istilah JIL Umno dahulu pernah di ucapkan pada PAU 14.

Di mana yang hendak dikatakan peremajaan Umno. Yang dimaksud ‘remaja dan peremajaan’ adalah diukur bukan sahaja usia mereka tetapi dengan nilai, aspirasi dan cita-cita golongan muda. Bolehkah kita bayangkan seangkatan anak muda berusia di bawah 30 tahun contohnya, tetapi mempunyai ‘worldview’ yang feudal, aristokratik, rasis dan fasis dan sangat ekstrem seperti dari segi pegangan agama dan pembawaan kehidupan.

Di situ paradoksnya kalau bercakap tentang ‘peremajaan’ tetapi tidak diberikan ‘pencerahan’ yang diperlukan bagi membolehkan potensi mereka dikembangkan dan menjadi anasir yang menyatukan umat dan bangsa-negara.

Di sini letak kegagalan ‘peremajaan Umno’ yang sangat ‘superficial’ dan tertumpu hanya kepada peralihan generasi untuk ‘jawatan’ atau dengan kata ‘kuasa, pengaruh dan kemewahan’ tetapi tidak berangkat meninggalkan segala tradisi dan ‘baggage’ Umno yang usang dan mengaibkan.

Rakyat tidak berhajatkan JIL Umno yang berperangai Umno lama yang didakwa umum ‘membolotkan kekayaan dan memperkaya kroni’.

Apakah saya merekayasa kesemua ini? Semua sudah tahu setiap legasi membawa kekayaan masing-masing dan tertulis dalam media arus perdana dan media baru.

Ada suara rakyat kecewa PAU 2015 tidak membahaskan perkara-perkara yang bersabitan 1MDB dan gejala kewujudan kaya-miskin! Apa perlu mengangkat isu-isu negara dan nasional ini, kalau pun tidak perlulah diulangi menyebutkan kegelojohan dan kerakusan penguasa ? Mana Jho Low dan seangkatan dengannya masih bersembunyi?

Sebab menyebut dan mengangkatnya isu-isu ini akan menginsafkan ‘JIL Umno’ akan kepincangan tadbir-urus dan tuntutan pentadbiran yang bersih, telus dan bertanggungjawab. Untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat, bukan sahaja sokongan orang Umno diperlukan, bahkan Umno mesti menyatakan bahawa mereka telah sedar dan berani mengaku kesalahan dan kesilapan lampau dan mahu berubah.

Pastinya kepercayaan rakyat yang telah tertipu kesekian lamanya ini, tidak boleh dipulihkan dengan hanya laungan slogan “Hidup Melayu” atau pengenalan kalimat-kalimat besar seperti Solidariti, Peremajaan dan Silaturahim wahai Presiden Umno!

Saya memuji perwakilan Pemuda dan Puteri yang secara terus membawa masalah rakyat daripada isu jalan kaki hingga ke pengangkutan awam. Rakyat kini terpaksa menanggung beban yang amat teruk impak daripada kejatuhan mata wang dan ekonomi dunia. Jika UMNO tidak membawa masalah rakyat siapa lagi?

Saya telah membaca pendedahan Laporan Transparency International Malaysia (M-TI) baru-baru ini yang menyenaraikan ‘Orang dan Parti Politik’ yang paling korup berbanding kelompok kerjaya yang lain termasuk Polis dan Kastam.

Kemudiannya disusuli pula oleh kenyataan media beberapa hari berikutnya dengan menyebutkan “parti politik kebelakangan ini semakin korup”.

“Parti politik kini diakui lebih banyak dicemari masalah rasuah kerana ramai ahli politik guna kedudukan kumpul kekayaan peribadi.”

Siapa Yang Tumbang Selepas Perhimpunan Agung Umno?

Kelincahan gelagat dan pidato Presiden dan kuasa MT menyekat suara Timbalan Presiden PAU 2015 di lihat satu sekatan kebebasan bersuara yang menyekat suara akar umbi. Sukar untuk dinafikan, baik oleh kawan atau lawan cara ucapan umum atau ‘public speaking’ pemimpin Umno ini semacam mereka itu ‘finalis’ dalam ‘pertandingan’ untuk merebut siapa juara pemidato dalam Umno.

Sesekali terasa mual pulak bila berlebih-lebihan atau ’over’ . Membaca dari dalam media sosial pula (Fb dan blog) semacam mengesahkan hakikat tersebut dan setiap ’kumpulan’ cuba mengangkat ‘bosnya’ serentak memperlekeh ‘pesaing’nya.

Pemimpin Umno ini tersilap dalam menanggapi apa yang dihajati dan diharapkan oleh seluruh rakyat di negara ini. Ya, rakyatlah yang bertanggungjawab menentukan sama ada Umno-BN terus memerintah atau di jadikan pembangkang di peringkat Persekutuan nanti.

Jelasnya kedua-dua mereka telah tersasar kerana hanya bermain dalam gelanggang Umno pada PAU itu, khususnya di penggulungan. Inilah apa yang dikatakan, dengan izin, ‘Playing to the gallery’.

Malangnya kalau pun semua ahli dan perwakilan dalam PAU, memberi ‘standing ovation’, bertepuk-sorak dan bertempek meneriak ‘Hidup Melayu’ sekuat-kuatnya, akan tetapi kalau rakyat dan pengundi diluar ‘gallery-gelanggang’ itu, menolak Umno-BN, maka pemimpin ini berserta seluruh pimpinan parti dan barisannya akan bakal tersungkur dan tumbang!

Justeru, saya mahu mengulas secara lebih substantif menghuraikan kenapa dan bagaimana mereka telah gagal mengekploitasi semaksimanya tumpuan seluruh rakyat terhadap PAU tempoh hari. DS Najib ada menyebut akan perihal itu, tetapi beliau sendiri lebih pentingkan ‘style’ dan gaya dengan membela isu yang yang terpalit pada dirinya secara logikal dan berfakta. Rakyat masih bertanya siapa Jho Low yang hilang hingga kini dan siapa penderma? Siapa jadi mangsa untuk menjawab persepsi ini jika bukan ahli UMNO akar umbi ?

Jelasnya yang paling kecewa adalah rakyat. Umum mengetahui rakyat adalah tidak pentingkan ‘style’ dan ‘bahasa yang berbunga-bunga’. DS Najib sejak dulu nak menandingi ketua pembangkang dan kini dengan suara timbalannya pun nak di sekat.

Amat mengecewakan rakyat adalah kerana bukan pemimpin tertinggi parti itu sengaja tidak menyinggung perihal 1MDB, isu itu tidak juga dibangkitkan oleh mana-mana perwakilan yang berucap.

PAU mempamerkan Umno yang sedang gusar dan dalam serba ketakutan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14. PRU ke-14 itu masih jauh tetapi Umno dikejar dan dihambat dengan igauan yang sampai ke tulang.

Dalam serba keserabutan fikiran inilah terserlah fenomena ‘neurosis dan paranoid’ pimpinan Umno. Dengan kekangan ruang, saya hanya mampu memilih satu isu besar sahaja dahulu.

DS Najib perlu memilih untuk meyakinkan rakyat bahawa Umnolah pejuang Islam dan konsisten dalam mendukunginya.

Umno masih lagi punya menteri-menteri, menteri-menteri besar yang sama ada telah sabit kesalahan mahupun dalam proses atau selepas perbicaraan kerana amalan rasuah dan pecah amanah dalam kes-kes seperti PKFZ dan NFC, bersedia membuat dakwaan bahawa segala-galanya mereka telah lakukan atas nama Islam dan dalam penghayatan

Hanya instrumennya sahaja ‘syariah-komplian’, sama ada dalam PKFZ, NFC dan 1MDB dan lain-lain, tetapi penipuan, dengan harga yang sangat ‘bolated’, curang dan culas adalah segala muamalat yang bertentangan dengan Syariat Islam! Sila perhatikan ayat Allah SWT:

“Dan Janganlah kamu makan (atau mengambil) hak dan harta(orang lain) di antara kamu dengan cara yang haram"

Selemah-lemah iman adalah menegur dengan hati. Saya sayangkan UMNO dan rakyat Malaysia.

Demi Agama, bangsa dan tanah air !

Salam Perjuangan



Demokrasi minoriti atau majoriti?

Setelah demokrasi berleluasa di seantero dunia, sistem ini telah ‘diserang’ kerana bersikap rasis. Demokrasi tulen hanya mementingkan golongan majoriti sahaja, sehingga mengabaikan kehendak golongan minoriti dan hak asasi individu. Apa-apa isu yang timbul akan memihak kapada golongan majoriti, menyebabkan golongan minoriti tertindas. Ini secara tidak langsung menghasilkan kasta masyarakat, seperti yang ditentang habis-habisan oleh sosialisme.

Demokrasi pasca modernisme pula, mula mengagungkan hak individu dan minoriti sebagai sandaran serta paksi perjuangan. Pasak asal demokrasi hilang kerana tangan-tangan manusia sendiri. Demokrasi dikhianati, dan diubah sesuai sesuka hati untuk memenuhi political mileage (unjuran politik) beberapa kelompok, parti dan individu. Ini menimbulkan persoalan, apakah perjuangan demokrat era pasca modernisme ini yang melihatkan kepelbagaian versi demokrasi yang wujud di dunia?

Politik antarabangsa hari ini menyaksikan apa yang diistilahkan sebagai “democracy is not a goal, but just a mere tool to achieve a personal goal”. Para pendokong demokrasi seperti Amerika Syarikat, Israel dan Eropah tidak teragak-agak untuk menggunakan alat lain apabila demokrasi melalui peti undi yang dicanangkan tidak memenuhi matlamat yang diimpikan.

Beberapa contoh yang jelas berlaku boleh diambil.

Pada 26 Disember 1991, Parti FIS (Islamic Salvation Front) telah memenangi 188 daripada 232 kerusi parlimen di Algeria, menandakan berakhirnya tampuk pemerintahan Parti NLF (National Liberation Front) yang sebelum ini mendominasi arena politik Algeria. 3 minggu selepas kemenangan ini diumumkan, pada 11 Januari 1992, Presiden Chadli Bendjedid telah meletakkan jawatan dan mengumumkan pembubaran parlimen yang baru sahaja dilantik pada minggu itu. Selepas 3 hari, 5 orang pemimpin dilantik (Haut Comité d’État) secara tidak demokratik untuk meneraju politik Algeria buat sementara waktu bagi memberi ruang agar pilihan raya baru untuk diadakan semula. Kemudian, semua pilihan raya yang berlaku hanyalah peti udi kosong yang sunyi daripada demokrasi.

Dalam web opendemocracy.net, jurnalis Hicham Yezza melaporkan seperti berikut: “Against accusations that this was simply a cynical coup d’état by the military leadership, the move was presented by many within the democratic and secular movement as a necessary last ditch attempt to “save the republic” from an imminent Islamist takeover.”

HAMAS (Islamic Resistance Movement) di Gaza pula pada tahun 2006 telah memenangi 76 daripada 132 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Kemenangan ini menyebabkan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat kaget, lantas tidak mengiktiraf kemenangan bersih Hamas. Mereka pergi lebih jauh daripada itu, dengan melabel Hamas sebagai gerakan terroris antarabangsa serta melaksanakan sekatan ekonomi dan kepungan yang kejam serta tidak berperikemanusiaan.

Tahun 2013 pula menyaksikan Mesir dikhianati oleh demokrasi, dengan rampasan kuasa oleh pihak tentera (dengan pengaruh Amerika Syarikat) ke atas kerajaan Islamis yang diketuai oleh Parti FJP (Freedom and Justice Party). Walaupun mereka memenangi majoriti dalam pilihan raya parlimen dan presiden secara demokratik serta telus, namun pihak tentera melakukan juga rampasan kuasa atas alasan sokongan kepada Islamis telah hilang dengan demonstrasi jalanan yang berlaku.

Ini tidak munasabah dengan norma-norma demokrasi, yang meletakkan peti undi sebagai cara perubahan kerajaan yang sah dan adil. Ikhwan Muslimin dilabel sebagai terroris dan esktremis antarabangsa oleh pihak tentera Mesir, dan disokong oleh negara yang bersekutu dengan Amerika Syarikat, yang dinobat sebagai demokrat dunia.

Negara-negara pejuang demokrasi lain diam seribu bahasa, langsung tidak mengatakan perubahan politik di Mesir ini sebagai sebuah rampasan kuasa yang tidak demokratik, apatah lagi mengecam dan mengkritiknya.

Dr Azzam Tamimi, telah menulis di dalam middleeastmonitor.com, “One wonders if a democratically elected civilian government through free and fair elections was really what the Americans were proposing as the solution for Egypt’s predicament why have they not been vocal about condemning those that used military power to topple such a government? A critical perspective would conclude that the US Administration and many EU governments, like the liberal supporters of the coup inside Egypt, would prefer a democratically elected government as long as it did not include Islamists.”

Akhirnya, realpolitic ala Machiavelli juga yang diamalkan oleh kuasa-kuasa besar dunia, untuk memastikan hegemoni unipolar Amerika Syarikat dan Israel terus berkuasa. Demokrasi bukanlah matlamat, hanyalah sekadar alat yang diperkudakan untuk memenuhi impian New World Order.

Ini membuatkan dunia ini akan kembali bertanya pada manusia, apakah sistem politik yang paling sesuai untuk memakmurkan masyarakat global, terutama untuk negara majoriti Muslim yang sentiasa menjadi ancaman hegemoni Barat?

Apakah acuan demokrasi yang bakal di lakarkan di Malaysia ?


Monday, November 23, 2015

Melayu-Tanah Jawi Itu Di Sini

“MELAYU – Tanah Jawi Itu Di Sini”

Dulu..
Di sini..
Di sini ini..
Bermula bicara
Di atas gunung berdiri cerita
Tinggi Beruas turun ke lembah
Hulu semenanjung sampai ke Manjung
Gangga Negara nama ditanda
Menjulang tinggi adaban dunia..

Dulu..
Di sana..
Di sana itu..

Ditulis surat
Persuratan tua buat umat
Tamra ditanda batu bersurat
Tinggal sepi dalam negeri Megat..
Di Kuala Berang terpecah urat..
Sayup terdengar jeritan kelam..
Ini negeri Megat Panji Alam..!
Banyak wali Allah dan banyak pula Ahlul Bay’tul Rasul..!
Diwartakan buat kalian anak cucu umat Muhammad SAW..
Di sini.. Dalam akhir zaman..
Ini..
Maka tersurat…
Apa yang tersirat…

“Rasulullah dengan yang arwah santabi mereka..
Asa pada Dewata Mulia Raya beri hamba meneguhkan Agama Islam..
Dengan benar bicara derma mereka bagi sekalian hamba Dewata Mulia Raya..
Di benua ku ini penentu agama Rasulullah Salallahualaihi Wassalam.
“DI BENUA KU INI PENENTU AGAMA RASULULLAH SALALLAHUALAIHI WASSALAM..!”

Raja Mandalika yang benar bicara sebelah Dewata Mulia Raya..
DI DALAM BUMI INI PENENTU FARDHU PADA SEKALIAN..!
Raja Mandalika Islam menurut setitah Dewata Mulia Raya dengan benar..
Bicara berbajiki benua penentuan itu maka titah Seri Paduka;

Tuhan..
Tuhan..
Tuhan yang menduduki Tamra ini di Benua Terengganu adi pertama..!
Jumaat di bulan Rajab di tahun saratan disasanakala..
Baginda Rasulullah telah lalu tujuh ratus dua..”
“KELUARGA DI BENUA JAUH KAN DATANG BERIKAN..”
“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”

Dulu..
Di atas..
Di atas sana..
Tersurat hikayat Merong Maha Wangsa..
Kalha.. Kataha..
Nama tercipta Negeri Kedah Tua
Sheikh Abdullah al-Qaumiri dan Sultan Muzzafar sendiri..
Berjanji teguh adinda kekanda..
Gunung Jerai ke Langkasuka..

Dulu..
Di bawah..
Dan di seberang sana..
Berteguh janji bapa saudara
Demang Lebar Daun juga Sang Sapurba
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya,
Adil saksama ganjaran di beri
Memberi malu tidak sekali”
Hikayat berlalu pecah gelora
Parameswara jadi Maharaja
Jadi lambang daulat negara
Kekallah Melaka jadi seadanya..

Dulu..
Di bawah sana..
Sultan Mansur Syah dan Bendahara Seri Paduka Raja
Tun Perak dan Laksamana Tun Tuah memacu tenaga
Lekir di hilir, Lekiu di hulu
Jebat-Kasturi tinggi berdiri..
Hilang..
Hilang terus perjanjian tua..
“Tak Melayu derhaka pada Rajanya..?”

Dulu..
Di sana..
Tiba giliran Paduka Sultan beraja
Sultan Mahmud Shah jadi ingatan
Benggali Putih buat belasahan..
Terbakarlah Melaka zaman berzaman..
Undur Sultan ke serata peri..
Tinggal sekeping hati dan alatan negeri
Kampar benteng harapan buat baginda merajai
Kekal tak kembali ke Melaka lagi..

Dulu..
Di tanah ini..
Raja Muzzaffar dijemput pergi..
Tanah Tun Saban dan Tok Temong dikongsi-bahagi
Berangkatlah ke negeri Perak yang belum beraja lagi..
Sambil diiring Paduka seberang..
Daulat raja di ranah Minang
Megat Terawis hulubalang terbilang..

Dulu..
Di bumi ini..
Datang pula dugaan Tuhan
Buat menguji hati sang raja
Supaya ingat akan asal dan jasa
Usul dititah untuk dijaga..
Lantas..
Dia berbisik..
Berbisik dari hati yang suci murni
Buat jadi benteng diri
Dari ‘penghuni’ segenap negeri..
“Selilit Tanah Minangkabau,
Selengkung Pulau Perca,
Dilengkung ular Saktimuna,
Sebenarnya Aku keturunan Raja,
Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka..”

Hari ini..
Kini di sini..
Apa yang tinggal hanya kita-kita..
Menggalas tanggungan beban derita..
Bukan hanya sekadar cerita..
Buat mainan dikala hiba..
Atau buat mengulit si kecil lena..

Hari ini..
Di bumi ini..
Yang tinggal hanyalah aku dan kamu
Setelah cukup zaman itu
Kini bermula zaman yang baru
Kembalilah kita ke Khalifah yang satu..

Aku dan kamu
Adalah darah saka,
Para panglima silam
Yang bergadai nyawa
Demi maruah agama
bangsa tanahair
Tanah tumpah nya darahku
Tanah yang sekangkang kera ini..
Inilah tanah kita..
Ini Tanah para Syed dan Syarifah..
Ini tanah Raja-Raja
Ini tanah Megat-Megat
Ini tanah Daeng-Karaeng
Ini tanah Meor-Meor
Ini tanah Wan-Wan
Ini tanah Nik-Nik
Ini tanah kita semua..
Ini tanah Ahlul Bay’t..!
… Tanah ini ‘Tanah Melayu’...!!!

Aku dan kamu
Di antara saka pustaka
Penyambung warisan bangsa


Monday, November 16, 2015

Mana kekuatan bangsa Melayu ?

Kekuatan apakah yang ada pada bangsa Melayu sehingga tiga kuasa Barat itu tidak berjaya memusnahkan negeri-negeri Melayu dan memecahkan bangsa Melayu menjadi suku-suku kaum atau ‘tribes’ yang tidak bernegeri seperti yang berlaku pada penduduk pribumi di Amerika, di Australia dan di New Zealand?

Kekuatan yang ada pada bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah perpaduan. Ini timbul daripada adanya kesedaran di kalangan orang Melayu, di mana pun mereka berada, bahawa mereka adalah anggota dalam satu kesatuan sosiobudaya dan sosiopolitik yang disebut bangsa Melayu atau the Malay nation, kata Raffles.

Empat faktor yang membentuk perpaduan Melayu dan yang berjaya mengekalkan identiti bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah: Bahasa Melayu, budaya Melayu, Islam, dan keterbukaan minda bangsa Melayu.

Kita tahu bahawa di rantau kita ini terdapat banyak sekali dialek Bahasa Melayu – dialek negeri dan dialek daerah. Tetapi, di atas segala dialek ini telah muncul satu ragam Bahasa Melayu yang kita sebut bahasa persuratan atau sekarang kita sebut Bahasa Melayu kebangsaan. Bahasa inilah yang menyatukan bangsa Melayu, tidak kira di manakah mereka berada, sama ada di Kelantan, di Kedah, di Johor atau di Negeri Sembilan.

Bahasa Melayu kebangsaan inilah yang menjadi bahasa kerajaan Melayu sejak zaman kerajaan Melayu-Islam yang pertama di abad ke-12-13, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di daerah Aceh sekarang. Sampai ke zaman pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu; Bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa kerajaan Melayu di samping Bahasa Inggeris.

Faktor lain yang cukup penting dan berpengaruh sebagai pembentuk tamadun dan perpaduan bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah agama Islam. Kita bernasib baik kerana Islam yang diterima dan diamalkan oleh orang Melayu ialah Islam menurut Sunnah Nabi.

Orang Melayu tidak dipecahkan oleh pelbagai mazhab, khususnya antara mazhab sunni dan ‘mazhab Syiah’, atau mazhab-mazhab lain seperti yang terdapat di beberapa negara Arab, misalnya di Lubnan, di Iraq, di Iran, bahkan juga di Pakistan yang menyebabkan negara-negara itu sentiasa menghadapi masalah berpecahan antara kaum berdasarkan mazhab; mereka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Akibatnya, pembangunan negara mereka terjejas. Kemajuan mereka dalam bidang apa pun terjejas. Negara mereka menjadi lemah dan mudah dijajah oleh kuasa luar.

Bangsa Melayu tidak mengalami masalah ini sepanjang sejarahnya. Walaupun mereka pernah dijajah namun perpaduan mereka, ‘solidarity’ mereka, tidak pecah – pepatah Melayu berkata, ‘bercerai kita roboh bersatu kita teguh’. Inilah semangat kebangsaan Melayu yang menyebabkan mereka dapat bersatu dalam satu gerakan kebangsaan di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan atau muslihat Malayan Union dalam tahun 1946.

Orang Melayu juga terkenal sebagai bangsa yang berminda terbuka dan kreatif. Mereka sangat toleransi terhadap kaum-kaum lain yang datang dari kawasan di luar ‘Dunia Melayu’. Ini merupakan ciri penting budaya Melayu. Pengalaman Melayu dalam sejarahnya bertembung dan berinteraksi secara kreatif, tidak secara pasif sahaja dengan tamadun luar dari India, dari dunia Arab-Islam, dari kawasan-kawasan di luar Tanah Melayu dan akhirnya dari Barat, membuktikan hakikat ini.

Itulah kekuatan yang ada pada bangsa Melayu dalam sejarahnya, iaitu perpaduan. Mereka bersatu melalui bahasa dan budaya yang sama dan melalui agama Islam. Kerana inilah orang Melayu berjaya membentuk diri mereka sebagai suatu bangsa atau nation, dan tidak berpecah kepada suku-suku kaum atau tribes yang mudah dipinggirkan sehingga akhirnya identiti mereka akan mudah dimusnahkan oleh kuasa-kuasa luar. Dato Onn Jaafar membangkitkan semangat Melayu seluruh Semenanjung, termasuk Singapura, berdasarkan seruan Alif, Ba, Ta. Alif bererti Agama Islam, ba bererti Budaya dan Bahasa Melayu, dan ta bererti Tanah Air Melayu. Inilah tiga alat yang ada pada bangsa untuk menentang gagasan dan muslihat Malayan Union.

Jadi pendapat saya usaha untuk membetulkan kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu terhadap minda bangsa Melayu dan terhadap keadaan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik atau kuasa mereka di Tanah Air mereka sendiri dan usaha untuk membina perpaduan kebangsaan sebagai asas kemajuan negara tidak akan berkesan jikalau usaha itu tidak didasarkan atas kekuatan bangsa Melayu yang telah ada pada mereka sejak dahulu. Pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka tidak berguna kepada bangsa Melayu dan kepada negara jikalau pembangunan itu tidak dapat mengekalkan perpaduan Melayu atau jika pembangunan itu boleh membawa kepada perpecahan kaum Melayu.

Hidup Melayu biarlah Hidup yang bermartabat !


Saturday, November 14, 2015

Adakah pemimpin hayati lirik Kecil Main Api

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Peribumi merintih sendiri

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan maha perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara
Melayu kan gagah di nusantara



Persoalannya adakah Pemimpin Melayu menghayati setiap lirik lagu ini ?

Adakah pemimpin Melayu yang di lantik menjadikan asas Islam dalam perjuangan ?

Pesanan saya buat pemimpin setiap tindakan pada hari ini akan memberi kesan pada generasi akan datang.

Jangan nanti generasi akan datang jadi hamba dan di gelar pendatang di tanah Melayu ini.

Jangan biarkan generasi akan datang akan menjadikan zikir makian dan hinaan atas kesalahan pemimpin terdahulu.

Jangan biarkan generasi akan datang kencing di atas kubur pemimpin terdahulu.

Hidup ini umpama roda jika hari ini pemimpin di atas mereka mesti ingat saat mereka di bawah dalam kubur nanti.
Mana Sumpah Raja Melayu yang kita pertahankan ?

Sunday, November 1, 2015

Tolak adu domba dan fitnah !

Dunia politik menggunakan kaedah "divide and rules" satu strategi untuk menghancurkan salah satu pihak untuk untuk mengekalkan jawatannya. Tidak kira dari parti politik dan NGO sekalipun di lihat menggunakan senjata ini yang di lihat menimbulkan prasangka dan fitnah antara sesama ahli.

Salah satu cara yang sering dilakukan adalah politik adu domba atau politik pecah belah. Sebenarnya perkara ini telah menjadi salah satu kebiasaan yang sudah lama digunakan sejak zaman dahulu walaupun pengadu domba tahu perkara ini fitnah dan berdosa besar. Pada awalnya banyak kerajaan hancur akibat politik adu domba khususnya pada zaman penjajahan Portugis dan Belanda sehingga lahirnya Si Kitul dan Mandeliar.

Tidak perlu lihat dari skop yang luas tetapi berdasarkan pengalaman saya dalam NGO sudah cukup membuatkan saya lebih matang. Contohnya pada situasi tersebut ada satu pihak berjanji ingin beri sesuatu , ada lagi satu pihak berkata pihak tersebut ingin memegang jawatan tersebut , ada pihak tersebut itu calon terbaik kerana hasil perkaderan , orang tersebut dah jalinkan hubungan dengan orang atasan sehingga yang paling ekstrim mengatakan bahawa seseorang itu bekerja kerana jawatan. Secara ironinya semua maklumat itu di sampaikan oleh orang yang sama kepada orang berbeza untuk mewujudkan pertelingkahan. Sebagai orang Islam saya lebih bersifat husnudzon iaitu dengan bersangka baik dan berdoa agar Allah memberi taufiq dan hidayah kepada orang tersebut agar berubah.

Pendapat saya buatlah sesuatu niat kerana Allah dan ingat amanah itu pasti akan di tanya oleh Allah s.w.t. Balasan bagi orang yang bersikap adu domba adalah api neraka sehingga pihak tersebut meminta maaf pada orang yang di adu domba sehingga menimbulkan fitnah tersebut.Dunia ini persinggahan sahaja dan akhirat kekal abadi.

Namun cara satu ini tetap digemari oleh orang politik atau pemimpin yang ingin memecah belah kelompok pengikut untuk kekal berkuasa. Akhirnya, pihak yang mempercayai adu domba tersebut meraih keuntungan yang besar akibat perpecahan yang dialami. Adakah laungan penyatuan Melayu retorik semata-mata jika Melayu sendiri mengamalkan politik pecah-belah ?

Politik adu domba kerap terjadi dimana banyak perpecahan yang terjadi antara banyak pihak akibat sebuah hal yang tidak dapat di ketahui kebenarannya. Untuk menghindari adu domba, setiap orang perlu lebih bijak dalam menyingkapi sebuah masalah yang belum tentu benar akan kebenarannya dan sentiasa berusaha memohon petunjuk daripada Allah s.w.t.

Kadangkala kita tidak sakit di tikam dari hadapan kerana kita dalam keadaan bersedia tetapi amat sakit sekali di tikam dari belakang kerana kita dalam keadaan alpa. Benar kata hukama kita tidak perlu takut dengan musuh tapi kita perlu takut dengan orang yang terhampir dengan kita. Hanya Allah tempat kita berserah dan meminta pertolongan.

Salam Perjuangan !!!