Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.
Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?
Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak
-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.
Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.
Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.
Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.
Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘sikerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya.
Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar.
Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masakini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.
Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.
Setiap orang mempunyai ‘bilnd spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.
Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistic dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang enteng, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai orang yang terjatuh kerana tersepak batu kecil… dibandingkan dengan terlanggar batu besar?
Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh…Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini…Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?
No comments:
Post a Comment