Kata sesetengah riwayat pada malam itu, tidak sejuk, tidak panas. Pada keesokannya, mentari seolah-olah malu untuk bersinar. Teduh sahaja kelihatannya. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa.
Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam-malam tertentu. Lengkap dengan dakwa dan dalilnya. Pada tahun lalu pernah saya menerima SMS, betapa ada sahabat-sahabat yang merasa kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!”
Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya.
Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar, yang kesungguhan ibadah hanya tertumpu pada malam itu sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah?
Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat dan hebat.
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan?
Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah.
Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas.
Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”. Firman Allah:“Dan beruntunglah orang yang membersihkan dan merugilah orang yang mengotorinya.” (Surah al-Syams 91: 9-10)
Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya.
Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya.
Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Begitulah penjejak dan penemu Malam Al Qadr yang utama dan pertama – Rasulullah SAW. Setelah begitu resah, bimbang dan sedih atas kerosakan kaumnya, Rasulullah SAW pergi menyendiri (bertahannuth) di gua Hira’.
Baginda nekad. Tidak mahu “kotoran” jahiliyah hinggap pada hati dan dirinya. Hatinya meronta-meronta inginkan kebaikan buat kaumnya, tetapi apa kan daya, baginda tidak punya “senjata” dan “penawar” untuk menghadapi dan mengubatinya.
Sejak berbulan-bulan baginda di situ. Menyendiri, terasing seketika, untuk tidak terjebak dalam kejahilan dan kemusyrikan. Bukan mengalah, tetapi berundur seketika mengatur langkah. Walaupun belum nampak cara tetapi kemahuan sudah ada. Hatinya sebagai wadah itu sentiasa menganga untuk mendapat pimpinan dan bimbingan.
Dan tiba-tiba pada satu malam yang penuh barakah, cahaya dan petunjuk, turunlah malaikat Jibrail membawa wahyu yang pertama. Saat itulah, baginda mula mendapat kekuatan, tenaga dan dorongan yang sangat luar biasa. Segala yang dinanti telah tiba. Segala yang “kosong” telah terisi.
Baginda menjadi Rasul sejak itu… mula dibebankan misi yang amat besar yakni berdakwah, mendidik dan memimpin kaumnya menuju Allah. Kembali ke fitrah. Malam yang bersejarah itu dikenali sebagai malam Al Qadar!
Mulai saat itu, selamat tinggal Hira’. Tidak ada pengasingan diri lagi selepas itu. “Rahib” sudah bertukar menjadi mujahid. Cahaya yang bermula dari dalam gua itu terlalu hebat, terlalu terang… bukan itu gelanggangnya, tetapi semesta alam.
Roh iqra’ yang hebat itu disusuli kemudiannya oleh gerak Al Mudathir, lalu baginda pun menguak “selimut” uzlahnya lalu dibesarkan Tuhannya dengan sinar akidah di relung samar Jahiliah.
Apakah malam Al Qadar 1436 H ini akan ditunggu oleh hati seputih Rasulullah saw? Atau hanya diintai dan diramal oleh kebanyakan umat dengan hati yang kotor dan nafsu liar. Apakah al Qadar akan sudi bertamu di wadah hati yang begitu? Padahal hati Rasululah ketika menantinya sudah dikosongkan demi bertamu sebuah hidayah? Berapa lamakah kita telah membenci kemungkaran seperti Rasul membencinya hingga tiba saatnya baginda layak menemui malam yang agung dan hebat itu?
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu.
Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, seolah-olah setiap malam adalah ‘malam Al Qadar’. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1436 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…
Persediaan menemuinya bukan dibuat semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.
Halo semuanya!!! Nama saya MRS LISA Brown dari USA. Saya telah scammed oleh berbagai Internet pemberi pinjaman internasional, dan saya kehilangan saya sulit mendapatkan uang berjumlah di 18,170USD. Suatu hari ketika saya sedang browsing melalui internet saya tersandung pada kesaksian Mary Earl yang juga scammed dan akhirnya mendapat terkait dengan perusahaan pinjaman legit yang disebut Beacon Chambers Grup di mana ia akhirnya mendapat pinjaman, jadi saya memutuskan untuk menghubungi perusahaan pinjaman yang sama dan aku diberi pinjaman tanpa drama. Menghemat waktu Anda semua drama dan kontak Beacons Chambers Group hari ini di: mgjockers@beaconschambers.com Catatan; setiap pemberi pinjaman kredit menggunakan email gratis seperti yahoo, gmail, hotmail scammers. Awas. Jangan menghubungi mereka.
ReplyDelete