Perpaduan adalah elemen penting untuk membentuk masyarakat yang harmoni dan sejahtera. Justeru, semua pihak wajar mengelak sebarang bentuk perpecahan kerana ia tidak mendatangkan kebaikan dan keuntungan kepada masyarakat dan negara. Segala perbalahan dan perselisihan pandangan harus diselesaikan melalui meja rundingan atau saluran yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan negara dan norma masyarakat.
Kita tidak sepatutnya berpecah disebabkan perkara remeh-temeh. Kita tidak patut berpecah disebabkan permainan politik. Kita juga tidak boleh berpecah disebabkan sentimen kaum dan agama. Perpecahan disebabkan politik dan agama boleh membawa kehancuran kepada negara. Ia akan melahirkan kumpulan yang saling bertentangan dan masing-masing mahu menjatuhkan lawannya atas dasar kebencian dan permusuhan. Perpecahan dan permusuhan yang menajam boleh menyuburkan budaya fanatisme dan ekstremisme dalam masyarakat. Masyarakat yang berpecah akan hilang kekuatan. Kita akan mudah dicatur dan dihancurkan oleh musuh yang mahu menjayakan agenda jahat mereka. Musuh boleh datang dari dalam dan luar atau kedua-duanya berpadu dan bekerjasama untuk menghancurkan negara. Bencana akan menimpa negara sekiranya ada pihak dari dalam yang bersekongkol dengan musuh untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokratik. Pelbagai medium digunakan musuh luar untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah terhadap kepemimpinan negara. Kesan daripada terpedaya dengan fitnah musuh boleh menyebabkan masyarakat menjadi kucar-kacir dan berpecah belah. Politik dan ekonomi negara boleh terancam kerana fitnah. Bagi kumpulan atau individu yang mempergunakan agama untuk memecahbelahkan masyarakat, maka mereka harus kembali merenung dan bertadabbur maksud ayat 159, surah al-An'am di mana perbuatan suka memecahbelahkan atas nama agama bukan daripada ajaran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya ia adalah atas dorongan hawa nafsu mereka semata-mata. "Bahawasanya orang yang mencerai-beraikan agama mereka dengan perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau (wahai Muhammad) terkait sedikit pun dalam perbuatan mereka. Sesungguhnya perkara mereka itu hanya terserah kepada Allah. Kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka pada hari kiamat kelak apa yang mereka lakukan dan membalasnya". Ayat itu jelas menyatakan Nabi Muhammad SAW tidak ada kena mengena atau bertanggungjawab di atas perbuatan orang yang suka memecahbelahkan masyarakat atas nama agama.
Dalam konteks masyarakat Melayu, iaitu kaum teras dan majoriti di negara ini, perpecahan sama ada atas nama politik atau agama akan memberi kesan yang cukup buruk kepada masa depan bangsa Melayu itu sendiri.
Sejarah membuktikan perpecahan politik di istana Melaka kerana fitnah, tamak dan gila kuasa mengakibatkan hancurnya empayar Melayu Melaka. Sekiranya dulu kejatuhan kuasa politik Melayu Melaka itu dapat digantikan dengan kebangkitan kerajaan Melayu Johor, namun dalam konteks hari ini ke mana kita mahu bawa bangsa ini sekiranya kita kehilangan kuasa disebabkan perbalahan dan perpecahan. Perpecahan merugikan semua pihak. Musuh akan seronok apabila kita berpecah belah kerana ia akan memudah kerja mereka memusnahkan negara ini. Justeru, semua pihak harus memelihara perpaduan supaya keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati selama ini berkekalan.
No comments:
Post a Comment