Sunday, June 7, 2015

Kepupusan parti keramat Melayu ?

Apa dianya perjuangan Parti Melayu ini ? Setelah 400 tahun dijajah hanya apabila berhadapan dengan cadangan penjajah untuk negeri-negeri Melayu semuanya dicantum menjadi tanah jajahan British secara langsung melalui projek Malayan Union, maka baharulah timbul kesedaran di kalangan rakyat Raja-Raja Melayu bahawa tanpa sokongan mereka maka Raja-Raja akan dipaksa menyerah negeri-negeri kerdil mereka kepada British.

Jika enggan ada ramai ahli keluarga diRaja yang sanggup menandatangani perjanjian dan dilantik jadi Raja yang diiktiraf British.

Ini sudah pun berlaku dengan penyerahan Singapura kepada British. Dan sesungguhnya inilah cara ugutan Mac Michael kepada Raja-Raja Melayu.

Tetapi buat kali pertama, rakyat yang dilarang berpolitik, bangun bersatu tanpa mengira mereka rakyat Raja mana dan negeri mana.

Kearah penyatuan inilah yang persatuan-persatuan Melayu seluruh negeri-negeri berkumpul di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Perjuangan mereka bukan untuk sesiapa. Tetapi tanpa pemimpin dan jurucakap perpaduan mereka tidak akan menjadi nyata. Maka dilantiklah Datuk Onn Jaafar sebagai kepala perjuangan keMelayuan.

Yang diutamakan pada masa itu ialah menggagalkan rancangan Malayan Union British.

Yang kedua oleh kerana Raja-Raja Melayu lemah apabila berhadapan dengan penjajah, maka kuasa mutlak Raja-Raja hendaklah dihadkan supaya suara rakyat akan menentukan nasib mereka dan negari-negeri Melayu.

Kerana pendirian rakyat yang tegas maka Raja-Raja bersetuju larangan terhadap rakyat berpolitik diketepikan.

Pendirian Raja-Raja dan rakyat Melayu merekalah yang menjadi asas politik Melayu dokongan UMNO.

Hasilnya ialah pembentukan perlembagaan yang meletakkan Raja-Raja sebagai kepala negeri dan negara tetapi pemerintahan dikuasai oleh rakyat melalui sistem demokrasi berparlimen.

UMNO sendiri menerima sistem demokrasi, terutama dalam menentukan kepimpinannya. Yang utama dalam UMNO ialah dasar perjuangannya. Dan dasar ini menekankan kemajuan bagi semua orang Melayu dan semua negeri melalui cara-cara yang akan ditentukan.

Pemimpin tidak boleh membelakangkan dasar perjuangan UMNO. Apabila Presiden UMNO yang pertama, Datuk Onn Jaafar dianggap membelakangkan dasar perjuangan UMNO, parti tidak teragak-agak menolak pendiriannya. Dan Datuk Onn pula menyedari akan amalan demokrasi, menganggap penolakan pendiriannya sebagai “undi tidak percaya” dengan senang hati melepaskan jawatannya.

Perkara yang sama berlaku kepada YTM Tunku Abdul Rahman Putra, walaupun tidak ada undi tidak percaya. Tunku berundur.

Inilah kelebihan sistem demokrasi. Di sesetengah negara percubaan dibuat untuk mengekalkan jawatan kerapkali melalui keganasan. Tetapi dalam demokrasi yang matang, peralihan kepimpinan licin tanpa merosakkan negara.

Umumnya budaya Barat yang mengutamakan hak individu lebih daripada hak orang ramai perlu ditolak.

Pemimpin yang cuba menukar perjuangan UMNO perlu ditegur. Jika tidak perjuangan akan lari jauh dari asas perjuangan Melayu. Sesungguhnya banyak sudah kesalahan yang berlaku dahulu kerana budaya Melayu yang tidak suka merentak hati pemimpin. Kemudian bermasalahlah mereka untuk menangani kesan kesalahan ini.

Ahli UMNO perlu bijak membeza antara pendekatan bagi menjayakan perjuangan UMNO dengan pendekatan yang akan mengubah perjuangan UMNO.

Semua ini mesti difahami oleh bakal ahli dan pemimpin UMNO. Jika mereka tidak tahu dan tidak faham, jika mereka anggap UMNO sebagai batu loncatan untuk kekayaan dan kuasa, adalah lebih baik jika berada diluar UMNO. Suarakanlah pendapat mereka di dalam negara yang bebas dan demokratik ini.

Ini bukan berkisar tentang siapa yang memimpin tetapi dasar perjuangan parti yang meletakkan agama, bangsa dan negara melebihi daripada individu itu sendiri. Tidak salah menegur jika kita lihat lebih banyak penyelewengan dan korupsi sebelum perkara ini di tegur oleh rakyat pada PRU14 nanti.

Adakah kita rela di tuduh kerana bersubahat di akhirat nanti ? Apakah kita bersedia untuk menjawab di hadapan Allah s.w.t. kerana bersekongkol dengan kepimpinan yang menggunakan wang negara untuk kepentingan peribadi ? Adakah kita sanggup parti keramat ini menjadi muzium dan terkubur ? Jangan kerana habuan wang ringgit kita mempertahankan individu sehingga membelakangkan prinsip perjuangan. Jika benar ia tetap benar tetapi jika salah ia tetap salah. Rakyat dahagakan jawapan dan jangan biarkan kehausan jawapan ini membuatkan rakyat menghukum parti ini.Jangan biarkan ketandusan jawapan memberikan racun buat parti ini yang di lihat dalam keadaan amat nazak sekali. Cepat berikan jawapan sebelum racun ini memakan diri. Jangan biarkan jawapan "tunggu" membuatkan rakyat menghukum kita di masa yang kian suntuk sehingga KERIS 2314 hanya mampu di ingati sebagai kursus terakhir buat parti keramat ini.

Tidak kira siapa yang memimpin perlu ikhlas dan jujur dalam menentukan hala tuju dan survival parti keramat ini. Pemimpin datang dan pergi perjuangan kekal abadi.


No comments:

Post a Comment