Tuesday, June 9, 2015

Bila gaji marhaen berharga kasut Menteri ?

Sebagai negara Islam kita mempunyai banyak kelebihan berbanding Barat. Dalam Islam semua aturan hidup telah digariskan termasuk amanah. Maknanya kesedaran agama boleh menghalang perbuatan yang tidak amanah. Apabila amanah, dengan sendirinya ada ketelusan yakni tidak menyembunyikan daripada pengetahuan rakyat. Tidak perlu membuat kerja "untuk rakyat" secara sembunyi-sembunyi.

Memperkasakan amanah mesti bermula daripada pemimpin. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menganjurkan kempen Kepimpinan Melalui Teladan.

Tun Dr. Mahathir juga memperkuatkan penekanan kepada amanah apabila menjadikan "Bersih Cekap Amanah" sebagai asas penting dalam pentadbiran beliau. Tiga perkataan yang mudah disebut, senang ditulis tetapi amat payah dilaksanakan kecuali mempunyai iltizam yang tinggi.

Sebab itulah orang Melayu ada berkias, kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari. Orang bawahan selalu akan mengikut perangai orang di atas. Kalau orang di atas boleh buat, kenapa pula orang bawahan tidak boleh buat? Apabila ini menjadi pegangan, punah ranahlah negara.

Orang tua-tua kita berpesan lagi, jangan menjadi ketam yang mengajar anak berjalan dengan betul sedangkan seumur hidup ibu ketam tidak pernah berjalan betul. Kalau tidak percaya, cuba lihat perangai anak-anak ketam yang berjalan mengiring walaupun ibu ketam mengajar anak berjalan dengan betul sejak berkurun-kurun lamanya.

Tetapi sifat ibu ketam begini terdapat juga dalam kalangan sesetengah pemimpin kita. Bagaimanapun oleh kerana tidak mengamalkan "kepimpinan melalui teladan" maka ibu dan anak-anak ketam terus berjalan tidak betul. Lama-kelamaan yang tidak betul itu sudah sebati dan dianggap sebagai "betul".

Oleh sebab itu, kita jangan mengukur indeks amanah daripada jumlah kes. Sebabnya bukan semua kes menjadi "kes". Malah yang sudah didakwa kerana ada wang berjuta-juta ringgit malah berbillion melampaui kemampuannya pun terus senyap tetapi rakyat tidak lupa.


Tetapi apabila pemimpin memperlihatkan contoh terpuji, orang bawahan dengan sendirinya akan berasa malu sekiranya mempunyai sifat yang bertentangan dengan ketuanya. Ini amat bertepatan yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bahawa memikul amanah tidak dikecualikan waima terhadap seorang pemimpin.

Harap pemimpin-pemimpin kita menghayati titah Sultan Nazrin. Bagaimanapun ada kecenderungan dalam kalangan kita menganggap perbuatan yang tidak baik dibolehkan asalkan mempunyai tujuan yang baik. Ini kekarutan yang tidak boleh dimaafkan.

Tidak amanah boleh disamakan dengan arak. Apabila seseorang itu dikuasai arak, ini mendorong dia melakukan pelbagai kesalahan lain yang lebih besar dan menjejaskan kesejahteraan awam misalnya membunuh, merogol atau mendera.

Maknanya jika seseorang yang ada kuasa tetapi tidak amanah, ini bukan sahaja mendorong rasuah tetapi jauh lebih teruk lagi rasuah itu mematikan semua sistem yang memberikan keadilan kepada rakyat.

Saya fikir rintihan orang kampung yang kemudahan asas di kampung mereka yang mundur dan ketinggalan ada kaitan dengan sifat tidak amanah. Ini kerana dalam sesetengah kes, bukanlah tidak ada peruntukkan daripada kerajaan.

Masalahnya peruntukkan itu ada kalanya tiris kepada pemimpin-pemimpin di peringkat kawasan. Dapat peruntukkan tiga jambatan, tetapi satu jambatan sudah hilang, yang ada cuma dua sahaja.

Sekali lagi kepimpinan perlulah menunjukkan teladan dengan memastikan wujud elemen-elemen bersih, cekap dan amanah. Pemimpin yang amanah seperti Muhammad al-Fateh semasa Empayar Uthmanniyyah di Sepanyol telah membuktikan negaranya bebas daripada penyelewengan dan rasuah. Itulah ‘kepimpinan melalui teladan’ dan bukan ketam yang cakap tidak serupa bikin.

Tidak lama dulu sebuah laman web dan kiriman whatsup mema­parkan jam tangan dan handbag yang dipakai oleh bebe­rapa pemimpin dan "wanita pertama" negara ini. Pemaparan laman sesawang dan kiriman whatsup itu dalam istilah kewartawanan ialah human interest’, suatu paparan ringan yang menarik orang untuk tahu. Yang lebih penting lagi paparan itu ada nilai berita kerana tokoh-tokoh itu orang ternama.

Pengendali laman itu tidak mengulas apa-apa kecuali memaparkan harga, jenama dan model jam tangan dan bag tangan berkenaan hasil penye­lidikan dilakukan dalam masa yang lama. Cuma rakyat marhaen mungkin terkejut apabila ada antara harga jam tangan dan bag tangan itu sama dengan sebuah rumah PR1MA dan banglo mewah.

Mereka terkejut dan macam tidak percaya kerana itu daripada sudut pandang golongan yang tidak berkemampuan. Tetapi bagi golongan yang mampu, tidak ada peliknya membeli jam tangan dan bag tangan mahal. Bagi saya, membeli jam tangan atau apa sahaja yang harganya macam tidak percaya bukanlah satu kesalahan.

Tengoklah berapa banyak golongan selebriti sama ada dalam dunia hiburan atau sukan di Barat yang boros berbelanja hingga ke peringkat tidak masuk akal. Semua itu tidak menjadi kesalahan.

Tetapi dalam hidup ini bukan perkara yang salah sahaja dihindari. Yang tidak digalakkan oleh agama juga patut dielakkan. Islam agama yang melarang pembaziran.

Walaupun sesetengah orang berkata definisi membazir itu sendiri adalah suatu yang subjektif, yang marhaen anggap membazir tetapi yang kaya anggap biasa sahaja. Cuma kita mengambil jalan tengah, kalau terlampau mahal anggap itu membazir.

Seorang ulama berkata kepada saya, janganlah membazir walaupun duit yang kita miliki itu kalau disusun panjangnya boleh sampai ke Mekah.


Memanglah banyak orang politik kita yang kaya dan hidup mewah. Seperti kata Usman Awang, “Gajiku sepasang kasut menteri." Itu rezeki masing-masing dan tidak dipertikai. Cuma tidak elok kalau membazir. Itu bukan teladan yang baik kepada rakyat. Apa lagi mereka sering menyuruh berjimat padahal rakyat tidak tahu apa lagi yang hendak dijimatkan.

Nukilan insan marhaen


No comments:

Post a Comment