Friday, June 12, 2015

Bila perpaduan kaum menjadi taruhan

Sekolah wawasan atau satu aliran sering dibincangkan dalam media bercetak, elektronik mahu pun melalui saluran internet. Hari ini Sultan Johor menyeru penubuhan Sekolah Wawasan atau sekolah satu aliran dan menolak kepentingan politik demi masa depan negara. Sekolah wawasan bukanlah satu idea baru, ia sebenarnya sudah ada dalam Laporan Razak lagi. Laporan Razak mengatakan Bahasa Malaysia akan menjadi Bahasa Pengantar bagi sekolah-sekolah di Malaysia. Dengan demikian apa akan terjadi terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan China dan Tamil? Inilah yang ditakuti oleh kaum China di negara ini. Idea Sekolah Wawasan ini ditentang hebat oleh dua buah persatuan pendidikan China, Dong Jian Zhong dan Hua Zong. Bahkan dalam satu wawancara dengan pemimpin persatuan ini dalam sebuah akhbar tempatan, jika konsep sekolah wawasan dipaksakan ke atas masyarakat China, mereka akan membuat penentuan dalam pilihanraya. Maknanya mereka tidak akan lagi mengundi BN dalam pilihanraya akan datang?

Konsep Sekolah Wawasan adalah bertujuan menyatukan masyarakat Melayu, China dan India melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan satu bahasa dan diletakkan di satu kawasan. Konsep ini tidak dapat diterima oleh orang China kerana ia seolah-olah akan menghapuskan bahasa China secara perlahan-lahan terutama bila ia tidak lagi digunakan dalam pendidikan peringkat asas seperti sekolah kebangsaan. Memelihara bahasa ibunda sendiri adalah mendapat jaminan dalam perlembagaan, dan ianya tidak harus dipaksakan ke atas mereka yang tidak mahu menerimanya. Namun, apakah selama ini masyarakat Malaysia tidak bersatu tanpa Sekolah Wawasan?. Ataukah dengan wujudnya sekolah itu apakah masyarakat Malaysia akan bersatu padu?.

Peristiwa 13 Mei adalah kemuncak perbalahan kaum di negara ini. Sesudah itu ketegangan kaum kian berkurangan sedikit demi sedikit sehingga ke hari ini. Bahkan menurut pendapat Pemimpin Suaram (Debat keluaran terbaru) adalah sukar mengajak orang China dan Melayu bergaduh hari ini, kerana mereka sebenarnya telah mengalami perasaan yang sama dari satu tekanan yang sama, iaitu tekanan kapitalisme. Ada benarnya pendapat itu kerana kapitalismelah yang menyebabkan perpecahan masyarakat di serata dunia. Di Malaysia sendiri pun, masing-masing mementingkan puak sendiri, keluarga sendiri, mementingkan kroni, semuanya adalah akibat fahaman materialisme yang berpunca dari kapitalisme Karl Marx itu.

Memang sukar untuk menyatukan manusia apalagi rakyat Malaysia yang datang dari berbagai kaum akibat kesan-kesan penjajahan British. Memang dari satu sudut manusia sukar untuk bersatu. Tetapi kita sebenarnya boleh melupakan perbezaan di kalangan kita, dan bersatu atas soal-soal dasar seperti yang disarankan banyak pihak dalam Islam terutama dalam masalah mazhab(fiqh) dalam Islam. Hassan AlBanna sendiri mengambil pendekatan sedemikian, iaitu bersatu dalam masalah dasar dan saling memaafkan dalam perselisihan yang tidak menyentuh soal dasar.

Kembali kepada persoalan pokok, apakah masyarakat Malaysia tidak pernah bersatu? Apakah tidak wujud perpaduan selama ini di bawah pemerintahan Barisan Nasional? Memang ada usaha-usaha ke arah perpaduan yang telah dan sedang diusahakan oleh pihak kerajaan. Selain dari peristiwa 13 Mei, tidak ada lagi pergaduhan kaum di Malaysia. Ertinya masyarakat kita bersatu sekalipun dalam pengertian yang longgar. Kelonggaran atau tidak mantapnya intergasi di kalangan bangsa-bangsa yang utama itu terutamanya disebabkan tidak adanya satu dasar yang kongkrit selain dari Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan berbagai-bagai dasar lagi tanpa melihat ke dalam diri manusia itu sendiri. Bahkan dari segi lain, perpaduan yang wujud di kalangan anggota masyarakat yang dipupuk sekian lama, akan dipecah-pecahkan semula oeh Barisan Nasional sendiri terutama bila tibanya musim pilihanraya. Pihak kerajaan sering menakut-nakutkan akan terjadi pergaduhan kaum jika rakyat tidak menyokong kerajaan yang berkuasa. Dengan demikian perpaduan yang cuba dipupuk akan tarhurai kembali dalam saat-saat seperti itu. Konsep pecah dan perintah akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan Barisan nasional demi untuk terus mengekalkan kuasa. Dengan begitu, perpaduan pada hakikatnya hanyalah satu mainan politik Barisan Nasional untuk meraih keuntungan politik istimewa dalam masyarakat berbilang bangsa seperti di negara ini. Sebab itulah, perpaduan hanyalah satu utopia yang tidak pernah wujud di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Jadi adalah menjadi hak mereka bila kaum China umumnya menolak Sekolah Wawasan sebagai konsep atau halatuju baru dalam mencari konsep perpaduan di Malaysia. Perpaduan tidak akan wujud walau pun dengan beribu Sekolah Wawasan diwujudkan jika perpaduan itu hanyalah satu mainan politik BN untuk dijadikan modal dalam mengekalkan kuasa politik. Perpaduan dengan sendirinya akan tercerna bila semua kepentingan masyarakat berbilang kaum ini diambil kira di samping mengekalkan keadilan serta pembahagian kekayaan yang seimbang. Perpaduan mungkin akan wujud sekiranya setiap kaum memahami cara hidup dan kebudayaan lain-lain bangsa yang hidup bersama-sama dalam satu negara. Seperti dalam menangani masalah mazhab fiqh dalam Islam, setiap kaum haruslah melupakan perbezaan yang kecil demi untuk tujuan yang lebih besar; iaitu perpaduan.

Belajar terus belajar.


No comments:

Post a Comment