Wednesday, December 3, 2014

You Change Or You Die





Wahai UMNO, contohilah pemimpin terdahulu, sanggup berkorban jiwa raga. Mahatma Gandhi, seorang pemimpin agong India, sentiasa menaiki keretapi kelas ketiga untuk bertemu rakyat. Apabila ditanya; “kenapa selaku pemimpin besar, menaiki keretapi kelas ketiga, bukan pertama?. Gandhi menjawab: aku memilih kelas ketiga, sebab tidak ada kelas empat”.


Menurut Gandhi, pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya, tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak mahu berkorban.


Masih adakah pemimpin seperti Gandhi hari ini? Wahai UMNO! bukan maksud saya selepas ini, kita berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan tersurat, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani rakyat. Susah senang dirasai bersama.


Jangan sampai ada pemimpin yang terlampau kaya, sehingga ada rakyat yang terlampau miskin. Hari ini, seolah-olah kelihatan berlaku. Ada yang berlagak dengan rumah dan kereta besar. Anak-anak dihantar ke sekolah swasta dan luar negara.


Menjadi pemimpin atau ketua bahagian (cawangan) seolah-olah tiket untuk menjadi kaya. Maka, berlaku pertandingan merebut jawatan. Bagi mengekalkan dan memenangi jawatan tersebut, berbagai perkara akan dilakukan, termasuk merasuah. Akhirnya, kita ajar rakyat hidup memberi dan menerima rasuah. Tidak takutkah kita dengan api neraka?


Pemimpin dipilih bukan kerana akhlak dan daya intelektualnya, tetapi pemimpin dipilih berasaskan berapa banyak habuan yang diberi.


Wahai UMNO, kita sudah tidak ada masa lagi. Bangunlah sekarang sebelum terlambat. Telitilah menasihat ini. Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan ditangisi. Jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang pertama yang akan dihisab adalah pemimpin. Adakah kita memimpin rakyat ke jalan takwa?


Kedua, tegurlah pemimpin, termasuk raja, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara berhikmah. Jangan hipokrit. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Rasulullah dan 4 Khalifah kita juga ditegur rakyat. Ingatlah, kita semua manusia biasa, bukan Nabi.


Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan menjahanamkan kita.


Keempat, pertahankan hak kepada yang berhak demi pembangunan negara bangsa tercinta, bersumberkan perlembagaan. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan, tanpa rasa takut kepada ugutan ultra kiasu.


Kelima, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredhaan dan keampunan Allah. Jangan undang kemurkaan Allah dengan berbuat dosa dan maksiat.


Akhirnya, marilah kita hayati pesanan Dato' Onn Jaafar, YDP UMNO, ketika PAU 1, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat diperkekalkan dengan kesatuan hati sesama mereka.


Meskipun sesama kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamatdan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.


Marilah kita tunjukkan, hanya dengan persatuan di antara kita, akan lahir satu bangsa yang hebat, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar, mengatasi bangsa lain. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita. Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang berani menghadapi bahaya dengan bersatu hati (Mac 1946).


Ketika PAU ke-2(1950), Dato’ Onn secara sukarela mengundurkan diri dari takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Dato’ Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati di takhta kuasa. Bangunlah wahai UMNO sebelum terlambat!


Hanya beberapa kerat sahaja yang memikirkan isu ini dalam konteks yang lebih besar, seperti isu samada UMNO berjaya menghilangkan persepsi buruk rakyat yang ramai. Tidak ramai yang teringat yang UMNO itu parti politik terbesar, dan dalam isu krisis kepimpinan yang dihadapi oleh parti itu bukannya hanya melibatkan ahli-ahli UMNO. Mereka terlupa yang lebih penting ialah imej dan pandangan baik terhadap parti itu kerana yang akan dihadapi oleh parti itu ialah masyarakat awam dan bukannya setakat ahli-ahli UMNO sahaja.


Akhirnya, jika menang pun sebelah pihak dalam UMNO itu, yang menang itu akan menguasai parti yang akan kalah dan ia tidak memberikan apa-apa faedah kepada parti itu pada masa-masa yang akan datang. Bagi UMNO kekalahan itu ‘is not an option’ sebabnya jika melalui kekalahan parti itu akan terus tersungkur dan tidak akan bermaya untuk duduk dan bangun lagi.


Jika kalah UMNO akan menjadi ‘vegetable party’ dan akan hanya tinggal pada nama dan sejarah buruk yang mereka lalui sahaja. UMNO akan tersungkur bersama imej rasuahnya dan semua ‘superlatives’ buruk yang ada kepada nya itu.


Nyata perhimpunan parti itu baru-baru ini tidak menunjukkan apa-apa perubahan atau ‘prospective changes’yang positif yang sangat diperlukan oleh parti itu untuk kekal relevan di hari muka. Pimpinan setiap peringkat parti itu hanya menyebut kata-kata, ‘berubah kalau tidak akan diubah’ tetapi mereka tidak mempunyai daya dan kudrat untuk berubah kerana yang dimaksudkan oleh kata-kata itu adalah mereka sendiri.


Berubah itu ialah mereka mengundurkan diri dari kepimpinan. Tetapi mereka tidak berdaya melakukannya kerana mereka tidak boleh hidup tanpa memegang jawatan itu kerana selama ini jawatan itu adalah segala-galanya. Itulah modal berniaga untuk mereka, dan itu jugalah modal untuk menaiki tangga sosial masing-masing yang tinggi menggunung itu.

Pendeknya UMNO itu kekal seperti biasa. Oleh itu tunggu sahaja apa-apa nasib yang akan menimpa mereka. Masa itu nanti barulah mereka merasakan dan memahami makna ‘you change or you die’.

No comments:

Post a Comment