Monday, December 8, 2014

Mencari roh perjuangan



Saya mendengar pidato Presiden Sukarno di internet. Jarang  umat Melayu Islam di rantau ini mendengar ucapan pidato penentangan terhadap penjajahan, serangan dan ancaman Barat ke atas umat Islam dari seorang pemimpin negara seperti ucapan yang saya dengar hari ini. Bukan sahaja ucapannya lancar, tegas, bersemangat dan meniupkan semangat, malahan dalam ucapan ini presiden Melayu ini juga menyebut “Allah selalu berada dipihak yang benar …”, “Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar …”, “Merdeka atau mati …”.

Presiden Sukarno (1901 – 1970)



Rakyat mana-mana negara sentiasa mengharap pemimpin tertinggi mereka mengatur dan mentadbir negara dengan cekap, mempunyai misi dan visi yang jelas dan hebat kearah mana negaranya hendak dibawa dan dituju. Oleh kerana Islam mempunyai agenda dunia yang besar dan penting, harapan umat Islam terhadap pemimpin mereka adalah lebih-lebih lagi.

Zaman serangan tsunami Budaya Barat yang melanda generasi Alaf Baru, kalimat-kalimat itu hanya kedengaran dari tok tok lebai, individu-individu atau segelintir pemimpin parti pembangkang yang bukan berada diposisi pemimpin sesebuah negara, apatah lagi pemimpin sebuah negara besar seperti Indonesia yang mempunyai penduduk Islam teramai di dunia (kira-kira 250 juta pada hari ini). Presiden, perdana menteri atau apa sahaja istilah ketua sesebuah negara adalah lambang, contoh, teladan dan penentu kepada pemikiran, halatuju dan semangat sesebuah umat tersebut. Bayangkan jika semua atau kebanyakan pemimpin, presiden atau perdana menteri

Negara-negara Umat Islam memberikan ucapan seperti itu di negara masing-masing dihadapan rakyat jelata katakan semasa Yahudi menyerang Gaza pada tahun 2006 dan 2013, Amerika memerangi Iraq pada tahun 2003, Rusian masih sedang memerangi Chechnya pada hari ini, tidakkah dengan ucapan itu akan meniup ruh jihad yang kuat kedalam jiwa pemuda dan pemudi yang mendengarnya ? Bayangkan jika semua atau kebanyakan pemimpin resmi negara-negara umat Islam berpidato seperti itu ketika mereka sesama mereka duduk bersidang dalam satu persidangan mewakili seluruh umat Islam di dunia, keputusan atau resolusi yang bakal dicapai mungkin berbeza dengan minit-minit mesyuarat lesu yang dicapai dalam persidangan pada hari ini.

Saya tak fikir umat Melayu yang tenggelam dalam tsunami Budaya Barat mampu berucap seperti Presiden Sukarno, apatah lagi berjuang dengan perjuangan sebenarnya menentang Barat itu sendiri. 
( Konsert Sunburst di KL).

( Konsert Wings & Search )

Saya hanya memberi komen dari intonasi dan isi ucapan Presiden Sukarno yang saya kebetulan mendengar dari u-tube. Sebagai pendakwah dengan fikrah yang jelas, kita sedia maklum bahawa ucapan semata-mata belum cukup untuk menjadi kayu ukur dalam menilai peribadi seseorang apatah lagi perjuangannya. Bahkan salah satu prinsip hidup saya ialah menahan diri dari menilai seseorang, lebih-lebih lagi terhadap ahli-ahli politik, hanya berdasarkan ucapan dan kata-katanya. Kita mesti menilai seseorang berpandukan amalannya sekali, berdasarkan agenda perjuangan partinya, berdasarkan plan beliau mendidik masyarakat dan membangunkan material negara secara Islam, supaya keputusan yang kita buat tidak tersilap.

Malaysia di fasa dimana calon yang bukan-Islam mengalahkan calon  yang beragama Islam dengan dokongan jentera dan pengundi majoriti Islam. Ini akan hanya berlaku melalui salah satu dari dua sebab, samada 
(i) jentera dan pengundi majoriti Islam tersebut mempunyai agenda Islam jelas, dan mereka diyakinkan bahawa individu bukan islam memang ikhlas dan bersungguh akan membawa dan menjayakan Agenda Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw, atau 
(ii) jentera dan pengundi majoriti Islam tersebut tidak jelas akan agenda Islam apa yang hendak diperjuangkan.

Visi dan Misi mendidik, mentarbiyah umat agar memahami agenda mereka sebenar kemudian menyatu dan menguatkan mereka kearah menjayakan agenda tersebut bukan satu perkara yang mudah dan singkat. Apabila Abu Talib hampir akur dengan desakan Quraisy, Rasulullah saw berkata kepadanya, “Hanya satu kalimah, jika mereka mengucapkannya, Arab akan memimpin dunia dan umat Ajam (bukan-Arab) akan membayar Jizyah kepada mereka”. Abu Talib bertanya, “Apakah kalimat itu?. Jawab Nabi saw, “Lailaha illAllah (membuat persaksian dan menjayakan agenda yang terkandung didalamnya)”. [kitab seerah Ar-Rahiq Al-Makhtum m/s 84, terjemahannya “The Sealed Nectar”]

Kita juga yakin bahawa pemimpin yang baik hanya akan datang dari rakyat yang baik. Oleh itu kita berusaha dan berdoa semoga Allah swt merubah jiwa umat Islam yang lesu kepada umat yang bangkit dan peka, dari sifat materialistik kepada sifat kejiwaan yang luhur dan berkualiti tinggi, dari sikap hanya memikirkan diri dan suku sakat sendiri kepada sikap prihatin dan bercita-cta tinggi untuk memimpin dan membimbing umat-umat di seluruh pelusuk dunia.

Belajar Terus Belajar.

No comments:

Post a Comment