Monday, December 22, 2014

Hormati Hak Wanita Islam !




Saya menyokong pendirian Puteri Umno dalam memperjuangkan hak wanita Islam dalam aspek menutup aurat. Rujuk disini . Harapan saya agar Puteri Umno tetapkan pendirian dalam perjuangan memartabatkan maruah wanita di Malaysia. Islam itu agama yang indah yang sentiasa menjaga maruah umatnya khususnya kaum wanita. Pihak Syarikat yang mengamalkan diskriminasi kepada pengambilan pekerja khususnya terhadap yang bertudung harus di ambil tindakan tegas. Perkara ini tidak patut berlaku bagi negara yang mengamalkan ajaran Islam dan Islam sebagai agama rasmi.

Dunia yang diperhambakan mentaliti materialis barat tidak menghormati wanita seadanya. Untuk menjadi wanita yang dianggap bebas dan berkeyakinan, ketiak anda harus bebas lipatan. Jika dicukur, pastikan tunggul-tunggul tinggalan dan bintik-bintik hitam tidak kelihatan. Jika tidak, teman lelaki anda akan menggunakan teropong untuk memeriksa anda. Bintik-bintik hitam tidak boleh diterimanya sedangkan ketiak teman lelakinya sendiri seperti bulu beruang yang sudah berkali kali akil baligh. Tengok saja iklan yang dimomokkan ke kaca tv kita sebelum ini.

Sampai begitu sekali wanita dinilaikan dan ditelitikan sehingga masa dalam kehidupannya banyak dihabiskan untuk membelek kekurangan diri sendiri. Mereka menjadi zombi-zombi yang telah diprogramkan untuk menilai dan memberi fokus memerhatikan kekurangan diri. Lantas diyakinkan mereka supaya mereka tidak berkeyakinan diri lagi untuk menjadi wanita super yang boleh bergerak ke mana sahaja tanpa perlu merasakan dirinya menjadi subjek untuk ditelitikan. “Tetapi jangan takut... kami ada penyelesaiannya”. Itu kata sang kapitalis sambil memperkenalkan segala macam produk sebagai remedi kekalutan resah fikiran setelah wanita-wanita ini diserang minda mereka dengan program-program yang bakal membentuk pemikiran inferiority complex.

Perhatikan sebuah lagi iklan yang pernah dimuatkan ke kaca tv kita sebelum ini. Di dalam iklan tersebut, kelihatan kelibat seorang wanita yang begitu resah dan takut. Dia takut untuk mengangkat tangannya kerana bimbang ketiaknya yang sedikit hitam itu akan menjadi perhatian manusia lain. Untuk membeli sayur di kedai kapitalis juga merupakan satu tugasan yang sukar buat dirinya. Untuk menahan sebuah teksi untuk pulang ke rumah juga merupakan satu masalah besar kepadanya. Semuanya gara-garanya ketiaknya bewarna sedikit gelap. Kemudian diberikan satu remedi kepadanya untuk mengatasi masalah tersebut. Ya, ditunjukkan kepada minda-minda yang bakal diprogramkan bahawa keyakinan wanita tersebut telah dipulihkan melalui satu magis produk pencerah ketiak. Apakah benar dia kembali memperolehi keyakinan atau dia sudah menjadi hamba produk? Untuk membeli sayur-sayuran pun takut-takut, untuk melintas jalan pun takut, untuk menahan teksi juga seperti seorang penakut. Apakah ini bentuk wanita yang menjamin masa depan negara? Berketrampilan hanya sebagai façade kepada inferiority complex yang hanya boleh diubati dengan memperhambakan diri kepada produk-produk tertentu? Bagaimana kalau ditakdirkan pada suatu hari, kontena yang membawa produk pencerah ketiak ini terbalik dan bandar tempat tinggalnya keputusan bekalan selama sebulan? Apakah dia akan kembali menjadi manusia penakut dan anak-anaknya mati kelaparan hanya kerana ibu mereka takut ketiaknya diperhatikan di kala dia membeli sayur?

Kemudian muncul pula iklan di televisyen berkenaan dengan sebuah pewangi kereta. Iklan ini pula menunjukkan betapa rendah dan bingainya tahap pemikiran wanita sehingga sanggup merosakkan, menjahanamkan serta menolak kenderaan sendiri jatuh gaung semata-mata untuk menumpang kereta wangi seorang lelaki, perempuan-perempuan dalam pelbagai pertubuhan hak wanita dengan pelbagai huruf singkatan ini bertepuk gembira tidak sedar bahawa iklan ini meletakkan tahap akal wanita lebih teruk dari seekor platypus. Sebodoh-bodoh platypus, tidak perlu dia merosakkan sarangnya sendiri semata-mata untuk menumpang sarang platypus lain yang berbau wangi. Hoi Sisters.. Kenapa tidak buat bising macam selalu?

Lebih teruk lagi, semakin hari semakin banyak pula iklan yang semakin menghina daya intelektual wanita menembus masuk ke ruang rumah kita tanpa sekatan. Kini iklan-iklan tersebut mengambil satu langkah ke hadapan lagi. Mereka kini giat membuat iklan yang mana jika diperhatikan dengan teliti, iklan-iklan sebegini meletakkan daya intelektual wanita lebih rendah dari binatang paling bodoh.

Nilaikan dengan akal iklan berikut. Seorang lelaki bertarak geek, tidak popular dan biasa-biasa penampilannya digambarkan di dalam frame pertama iklan. Sebelum ke perpustakaan, dia menyembur sejenis wangian yang digambarkan sebagai sangat hebat. Lalu turutan frame seterusnya menunjukkan dia berlalu masuk ke dalam perpustakaan dan melalui laluan di sebelah meja seorang wanita. Oh.. seorang wanita cantik berada di sekeliling buku-buku ilmiah di dalam sebuah perpustakaan moden yang hebat. Hanya wanita yang mementing perkembangan intelektual yang sihat akan menghabiskan masa ditempat seperti itu. Anda tidak akan bertemu Lady Gaga ditempat seperti ini. Tetapi malangnya, disebalik segala lambang intelektual yang gagah disekeliling wanita tersebut, segala kehebatan intelektual itu yang ada pada wanita tersebut dapat ditundukkan hanya dengan satu semburan wangian pada tubuh lelaki itu. Dengan tidak semena-mena wanita itu menjadi gelisah dan tak tentu arah. Pergerakan tubuhnya menunjukkan dia sudah sedia menyerah diri, maruah dan mahkota dirinya secara total kepada lelaki tersebut. Tanpa ukur dan tanpa berfikir panjang, dengan tidak tentu pasal, nombor telefonnya diserahkan kepada lelaki itu beserta gaya liuk lentuk tubuh yang mencadangkan bahawa segalanya bakal diserahkan kepada lelaki terbabit hanya kerana dia berbau wangi. Gila atau apa?

Jika anda biasa menonton National Geographic atau saluran Discovery, anda mungkin sudah biasa dengan teknik memikat pasangan yang diamalkan di alam haiwan. Kebanyakan haiwan menggunakan deria bau untuk memutuskan mana satu pasangan yang layak untuk dipilih bagi tujuan mengawan untuk melahirkan generasi pengganti. Haiwan yang menggunakan teknik sebegini tidak mempertimbangkan kriteria lain untuk menilai pasangannya selain dari faktor kedua iaitu faktor kekuatan. Setelah berjaya memikat pasangan dengan bau-bauan yang dihasilkan, pasangan jantan yang hampir dipilih tersebut, perlu pula bergaduh dan bertempur dengan jantan lain yang mahukan betina yang sama. Terkadangnya pertarungan itu sehingga meragut nyawa. Jika tidak pun kecederaan parah.

Malang sekali bagi wanita yang digambarkan di dalam iklan penyembur wangian tersebut. Dia bukan sahaja mengorbankan segala imej intelektualisme yang mengelilinginya, tetapi turut sama membiarkan maruahnya sebagai wanita yang mempunyai kuasa memilih terkorban hanya kerana hormon yang meransang nafsu seksnya tersentuh dengan semburan wangian yang dipakai jejaka tadi. Lelaki itu mendapat perempuan itu secara percuma tanpa perlu berusaha keras. Inilah yang dunia lelaki di dalam acuan barat mahukan. Money for nothing and chicks for free. Mark Knopfler teraju utama Dire Straits lama dahulu mengkritik rakan artisnya dengan lagu tersebut. Tak perlu bersusah payah, wanita itu akan segera datang melutut kepada anda tanpa perlu berbuat apa-apa. Ini sangat menghinakan. Ia satu penghinaan kepada kedudukan mulia seorang wanita. Binatang jantan di dalam saluran National Geographic itu sendiri perlu bertarung nyawa untuk mendapatkan betina pujaan, tetapi dalam iklan tersebut, si lelaki itu mendapat wanita itu tanpa perlu berbuat apa-apa. Bukankah kedudukan wanita tersebut sudah jatuh lebih hina dari binatang betina yang perlu dimiliki sehingga bergadai nyawa.

Terbaru, satu lagi iklan baru menambah lagi kepada perbuatan meletakkan maruah wanita ke dalam golongan yang sangat hina. Kali ini, iklan pencerah ketiak sekali lagi. Digambarkan di dalam iklan tersebut, dua orang wanita yang cantik paras rupa tapi rendah intelek malah mungkin juga pemalas dan jauh sekali dari golongan yang boleh dikategorikan sebagai super woman. Kedua mereka memandu sebuah kereta mewah. Cantik, lawa dan kaya tetapi digambarkan di dalam iklan tersebut sebagai memiliki mentaliti lebih rendah dari seekor unta padang pasir. Malang tidak berbau, kereta mereka pancit. Sudahlah tidak mampu untuk menukar tayar kereta sendiri, untuk menelefon pihak penyedia bantuan kecemasan pun tidak tahu. Lalu melambai-lambailah salah seorang sahabat berdua tersebut meminta pertolongan. Oleh kerana ketiaknya sedikit gelap, tiada siapa pun mahu datang menghulurkan bantuan dan pertolongan. Lalu timbul idea pada tahap pemikiran yang melebihi keupayaan Einstein berfikir di dalam minda seorang lagi sahabat berdua tersebut. Dikoyaknya lengan bajunya sehingga paras ketiak dan kemudian dia terus melambai-lambai seperti orang kerasukan puaka. Terpandang sahaja ketiaknya yang sedikit cerah, tiba-tiba dengan tidak semena-mena muncul mat-mat ketiak berlumba-lumba mahu menolong wanita terbabit. Sekali lagi ketiak dijadikan ukuran perlu atau tidak perlunya golongan wanita dibantu dan diselamatkan. Tidak bolehkah menolong mereka atas dasar mereka juga manusia dan makhluk Allah yang memerlukan pertolongan?

Cuba bayangkan jika Menteri bertanggungjawab dengan Kementerian Hal Ehwal Wanita cuba meminta bantuan kepada orang ramai dan pihak pemerintah, lalu dikatakan kembali kepadanya, “Puan, saya mahu lihat warna ketiak puan dahulu sebelum saya membantu kementerian puan?” Apa yang mahu dia kata? Apa perasaannya pada ketika itu? Tidak bolehkan membantu wanita dengan ikhlas tanpa perlu apa-apa penelitian yang tak perlu lagi menghinakan? Jadi puan menteri, tunggu apa lagi? kenapa dibiarkan kebejatan sebegini terus berleluasa?

Kebodohan demi kebodohan dipaksakan dunia moden ini kepada aras pemikiran wanita. Iklan-iklan yang semakin memperbodohkan daya intelektualisme wanita dibiarkan berleluasa sambil si pejuang hak-hak wanita bertepuk gembira berhalusinasi bahawa diri mereka sudah mencapai tahap dewata perempuan pasca modernis. Dengan kitab lengkap Shakespeare di tangan dan seekor kucing sebagai peneman, si pejuang wanita selektif pekak berbaju kurung ini mendakwa dia pencinta tafsir al Qur’an dan perkara inilah yang akan dia bawa ke mana-mana pulau jika ditakdirkan dia sesat pada suatu hari nanti.

Ketika mereka sedang diharapkan oleh kaum-kaum wanita di Malaysia untuk memperjuangkan hak-hak sepatutnya bagi wanita, perempuan-perempuan selektif pekak berbaju kurung ini pula sibuk menyelak kain separas pusat sebagai lambang betapa mereka ini setaraf Isaac Newton dalam getusan minda mereka dan berhak mendapat hak melakukan hubungan intim persis haiwan walaupun sudah bersuami. Wahai siss! Mahu jadi pejuang atau mahu jadi perempuan gila seks?! Begitu banyak isu yang harus diperjuangkan, hak untuk berkelakuan seperti haiwan pula yang diberi tumpuan. Lihat sahaja petikan akhbar dan majalah di sekeliling kita. Apakah mereka-mereka ini yang diharapkan untuk melindungi hak wanita? Patutlah masalah sosial tidak pernah berkurang dan wanita sentiasa dianggap sebagai objek seks dan barang dagangan yang tidak perlu dihormati.

Ingatlah bahawa bertudung itu tidak wajib tetapi menutup aurat itu wajib. Semoga kita semua memperolehi hidayah daripada ALLAH s.w.t.

Belajar Terus Belajar.

No comments:

Post a Comment