Menangani Peningkatan Kos Sara Hidup
1. Dalam menghadapi situasi mencabar, seharusnya tindakan serta mekanisme terbaik harus dilaksanakan oleh semua pihak secara praktikal, konsisten dan berhemah. Pihak kerajaan sebagai kepimpinan negara harus mengemukakan dan melaksanakan pelan induk yang konsisten dalam merealisasikan aspirasi 1 Malaysia iaitu Pencapaian Diutamakan, Rakyat Didahulukan. Agensi kerajaan, pihak swasta, masyarakat dan rakyat juga harus melakukan satu langkah bersepadu dalam menghadapi situasi ini secara bersama.
2. Kenaikan kos sara hidup boleh ditangani melalui beberapa tindakan berikut :
3. Pertama, melaksanakan kerangka pengurusan ekonomi secara Islam seperti yang telah digerakkan oleh Nabi Yusoff AS ketika beliau menjadi menteri kewangan Mesir suatu masa dahulu. Ekonomi adalah suatu ilmu mengurus sumber yang kita perolehi. Lihat bagaimana Nabi Yusof AS melaksanakan simpanan hasil pengeluaran negara di saat negara kaya raya sebagai langkah berjaga-jaga di saat susah. Sesungguhnya ini ialah satu langkah jangka panjang.
4. Kebijaksanaan ini adalah formula dan rahsia pengurusan ekonomi yang cemerlang dari dahulu sehinggalah masa-masa mendatang. Ciri-ciri ekonomi cara Islam juga harus dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip yang dirumuskan oleh Prof Dr Yusof al Qaradawi dalam penulisannya sebagai berikut: [1] Ekonomi Rabbani (ketuhanan), [2] Ekonomi Akhlaqi (akhlak), [3] Ekonomi Insani (kemanusiaan), [4] Ekonomi Wasatiyah (seimbang).
5. Ciri khusus ini membezakan ekonomi Islam dengan aliran ekonomi yang lain. Aliran ekonomi yang lain bermatlamatkan keuntungan dan kebendaan semata-mata tetapi ekonomi Islam adalah menggapai keredhaan Allah SWT. Ini bezanya; antara redha manusia dengan redha Tuhan kepada manusia. Dalam hal ini semua pihak seharusnya merancang keadaan ekonomi masing-masing termasuk individu, organisasi juga negara.
6. Kedua, mengubah gaya hidup yang bersesuaian dengan keadaaan semasa. Hal ini berkait rapat dengan sikap kita semua dalam menentukan gaya hidup yang sederhana dan berada di bawah pendapatan kita sendiri. Perkara ini harus meliputi semua pihak termasuk kerajaan, para pemimpin dan rakyat jelata.
7. Mengubah gaya hidup sangat berkait rapat dengan mengubah kadar perbelanjaan kita yang sejajar dengan kemampuan dan keperluan hidup. Asas ini harus dicernakan oleh pihak kerajaan dalam mengemudi pengurusan tertinggi negara bermula daripada aspek-aspek penjanaan ekonomi sehingga kepada pengurusan aset kerajaan dalam premis kerajaan yang sedia ada. Tidak boleh ada ketirisan mahupun salahguna ataupun pengecualian khas. Ketelusan mestilah dijaga jika mahukan dokongan daripada rakyat.
8. Begitu juga dengan rakyat , gaya hidup serba sederhana sebenarnya bermula dengan diri kita sendiri. Disiplinkan diri untuk tidak berbelanja melainkan perlu. Lihatlah jenama pakaian, rumah tempat tinggal, aksesori kenderaan kita sehingga kemewahan makanan harian kita. Tepuk dada, tanyalah diri.
9. Contoh yang mudah, jika dahulu kita sentiasa mengunjungi kedai makan, kini cubalah beralih untuk memasak di rumah pula. Pasti jimat. Ajar anak-anak kita erti penjimatan dan kesusahan hidup. Selain itu, boleh juga membawa bekal makanan ke pejabat atau sekolah.
10. Di samping itu, kita mesti mengawal diri daripada terperangkap dengan bebanan hutang yang mungkin tidak terbayar sekiranya kita kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi. Langkah-langkah awal perlu bermula daripada sekarang. Dengan kesedaran sekarang bahawa ekonomi Malaysia akan mengharungi saat-saat getir, elakkan diri daripada berhutang selain daripada hutang sediada yang sedang dibayar balik.
11. Kelicikan para pengiklan produk dan perkhidmatan amat mengelabui mata para pengguna hinggakan kita jatuh menjadi mangsa bilamana membeli benda yang kita tidak perlu. Contohnya dalam kemelut ekonomi sekarang, pemaju-pemaju perumahan yang mendapat segala insentif lumayan daripada pihak kerajaan rakus membina rumah-rumah, apartmen, kondominium dan rumah kedai, serta mengiklankannya seolah-olah harga jualan itu amat berpatutan. Over-building ataupun pemajuan hartanah ini dijadikan alat pencetus ekonomi dengan sistem perbankan menjadi pendana terbesar penjanaan kecairan kewangan dalam pasaran konsumer.
12. Seni pemasaran mereka yang menarik membuat pengguna tertipu dengan membeli rumah yang pada zahirkan hanya bernilai RM300,000 pada kadar harga jualan pemaju RM900,000 dengan insentif diskaun 7% untuk bumiputera. “Artificial inflated pricing” atau harga tidak manasabah berlipat ganda ini seolah-olah tiada siapa yang boleh menghalangnya daripada berlaku, kadangkala dikaitkan dengan gahnya nama syarikat pemaju berkenaan, kadang-kadang kerana lokasi perumahan yang agak elit ataupun pra-sarana awam sokongan perumahan yang kononnya lebih anggun daripada yang lain.
13. Pembeli membiarkan diri mereka tertipu dengan psikologi hartanah dan pakar pemasaran. Pembeli juga harus dipersalahkan dalam hal ini kerana sanggup masuk jerat yang dipasang. Rumah yang didiami sekarang pun belum habis bayar namun pemaju berjaya memujuk kita membeli rumah baru yang diinflasikan tiga kali ganda dengan janji manis bahawa pelaburan kita itu bakal mengundang pembeli baru enam bulan ke depan dengan harga tidak kurang RM1.3 juta. Spekulasi apakah ini yang menjerat umat manusia daripada berpijak di bumi nyata? Halalkah perniagaan spekulatif sebegini? Apa akan terjadi sekiranya ekonomi merudum – rumah RM900,000 tidak laku atau terpaksa dilelong?
14. Yang sah mereka yang akan membeli rumah sedemikian bukanlah orang kampung yang serba dhaif tetapi golongan terpelajar dan elit yang sudahpun selesa dengan kemewahan yang dialami sekarang. Mereka membeli di ketika ekonomi masih utuh dan berharap dapat melakukan “quick kill” dengan menjual hartanah tersebut pada kadar yang lebih tinggi dalam jangkamasa yang paling singkat. Mereka mengambil pinjaman yang banyak, kadang-kadang sehingga 90% pada harga jualan, untuk merealisasikan impian mereka untuk menjadi kaya. Bayangkanlah jika mereka ini dibuang kerja atau perniagaan terpaksa gulung tikar, apakah pihak kerajaan akan sekali lagi bail out hutang tidak berbayar golongan ini dengan menyelamatkan pemaju-pemaju dan bank-bank pemberi pinjaman tadi? Dari mana kerajaan akan mencedok wang sebanyak itu?
15. Kerakusan dan ketamakan hati sering memakan diri manusia. Persediaan mengalami saat-saat getir ini kena bermula daripada sekarang. Kita tidak boleh menunggu sehingga ia tiba di depan kita kerana kita akan terlambat dengan lambakan hutang sendiri yang akan menjerat leher-leher kita.
16. Ketiga, mengamalkan amalan berjimat cermat. Mencegah lebih baik daripada merawat. Formula ini sebenarnya sangat-sangat dianjurkan oleh Rasulullah SAW yang merupakan contoh tauladan umat manusia. Ia sangat selari dengan tuntutan Islam itu sendiri.
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan".
( Surah Al- A'raaf 7 : 31)
( Surah Al- A'raaf 7 : 31)
Sifat boros adalah sifat yang bertentangan dengan ruh Islam. Ia sangat disukai oleh musuh Allah dan musuh umat Islam iaitu syaitan. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firmannya yang bermaksud :
17. "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau belanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan-Nya".
( Surah Al-Israa' 17 : 26 – 27)
( Surah Al-Israa' 17 : 26 – 27)
18. Keempat, berbelanja secara beretika, berhemat dan bijaksana. Dalam hal ini, Prof Dr Yusof Al-Qaradawi memberikan panduan yang jelas kepada kita secara umum dalam berbelanja dalam kitabnya Daur al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iqtisad al-Islami :
[1] Berbelanja untuk perkara yang halal secara seimbang.
[2] Menyedekahkan (infaq) kepada ahli keluarga dan jalan Allah SWT.
19. Elemen secara bersih, halal dan seimbang menjadi asas utama etika berbelanja dalam Islam di samping sentiasa memikirkan mengeluarkan zakat dan infaq untuk insan-insan yang memerlukan. Indahnya Islam dalam mengurus sumber hasilan dan kewangan ini tentunya akan menjadi dunia ini aman makmur sekiranya ia dilaksanakan secara amanah dan jujur, jauh daripada sifat rakus, tamak dan kikir seperti zahirnya dalam sistem ekonomi sekarang.
Urus Ekonomi Secara Roh Islam
20. Jelas kepada kita bahawa kenaikan harga melibatkan keperluan asas ini akan memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat. Ini akan menjejaskan taraf hidup rakyat jelata dan sudah pasti akan memberi kesan kepada matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang 2020. Apa guna mencapai taraf negara maju jika rakyatnya hidup sengsara dengan segala kemiskinan dan kesempitan.
21. Hasil laporan Jabatan Audit Negara (PAC) setiap tahun memberikan gambaran ketirisan, kebocoran, salahlaku dan juga pembaziran dalam pengurusan sumber kewangan negara yang seharusnya ditangani dengan sebaik cara. Penyelesaian yang terbaik adalah kembali kepada amalan pengurusan ekonomi secara roh Islam dan mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap lapisan masyarakat, tidak kira pemimpin ataupun rakyat harus terlebih dahulu takut kepada ketentuan dan kemampuan Allah SWT mencorakkan untung nasib kita untuk kita selamat di dunia dan akhirat. Ingat firman ALLAH “ Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubah nasibnya sendiri ”.
No comments:
Post a Comment