Monday, December 15, 2014

Pluralisme bukan toleransi agama


Kebelakangan ini isu berkaitan pluralisme menjadi topik perbualan hangat. Pernyataan secara tiba-tiba mengenai ‘haram atau halal’ pluralisme ini boleh mengundang kekeliruan masyarakat. Pelbagai perspektif diutarakan mengikut kefahaman masing-masing. Sesetengah berpendapat pluralisme menjadi ancaman kepada Islam dan sesetengah pula berpendapat sebaliknya, iaitu pluralisme patut diterima kerana cara ini dapat membincangkan mengenai ciri-ciri agama masing-masing bagi mencari kefahaman dan mengenali kelainan serta persamaan.

Pada pendapat saya, dalam membahaskan isu pluralisme ini, kajian secara menyeluruh dari pelbagai perspektif perlu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan dari sudut Islam, sosiologi dan politik bagi membuat rumusan yang sesuai untuk kefahaman masyarakat dan kesesuaian mengikut konteks negara kita. Kajian sejarah dan latar belakang kemunculan pluralisme ini perlulah difahami untuk mengelak daripada pemahaman yang salah. Hasil pemerhatian saya ada dua pandangan yang popular berkaitan konsep pluralisme ini. 

Pluralisme melihat dan mengiktiraf semua agama adalah sama, dan kumpulan yang kedua melihat pluralisme agama ini sebagai toleransi agama atau kepelbagaian agama. Konsep ini sebenarnya hanyalah ciptaan masyarakat Barat dan juga mereka yang bukan beragama Islam. Pandangan pluralisme melihat dan mengiktiraf semua agama adalah sama rata-rata ditentang oleh umat Islam dan juga Kristian kerana pandangan ini tidak selari dengan konsep kebenaran mutlak agama yang sesebuah agama tidak memungkinkan mengiktiraf agama lain. Konsep ini jelas tidak sesuai dan bertentangan bagi negara kita yang berpegang teguh dengan Islam, manakala pandangan pluralisme sebagai toleransi agama bukan saja menerima toleransi kepelbagaian tetapi membuka peluang berinteraksi dengan lebih mendalam dengan agama lain bagi tujuan memahami tentang perbezaan masing-masing secara terbuka. Pendekatan ini juga sebenarnya tidak perlu bagi negara kita.

Dari sudut amalan masyarakat majmuk dalam konteks negara kita, Malaysia mengamalkan kebebasan beragama di samping menjaga agama Islam sebagai agama rasmi negara. Amalan keagamaan seperti hari keraian sesuatu agama cukup dihormati dengan menetapkan cuti perayaan agama sebagai cuti umum negara. Sehinggakan golongan minoriti beragama Hindu yang meliputi cuma sekitar 10 peratus penduduk negara diberi penghormatan cuti bagi dua upacara besar mereka iaitu Deepavali dan Thaipusam. Toleransi dan sensitiviti agama di negara kita sudah berada pada tahap yang membanggakan. Saya rasa tiada sebuah negara lain di dunia memberi penghormatan dan meraikan perayaan agama seperti yang kita lakukan.

Pluralisme yang diketengahkan di Barat terutama di Amerika Syarikat dipelopori bagi membuka peluang masyarakat di sana untuk mengenali agama lain dengan tujuan untuk mengubah stereotaip masyarakat yang lebih didominasi oleh kaum kulit putih Kristian kepada masyarakat yang inklusif yang menerima kepelbagaian serta menghapuskan prejudis, konflik agama dan diskriminasi terhadap warna kulit, jantina, agama dan perbezaan lain. Sekiranya konsep itu mahu diterap secara bulat-bulat ke dalam konteks Malaysia, kekeliruan dan permasalahan akan timbul kerana kita seolah-olah memberi ubat kepada orang yang salah, sakit tidak hilang, penyakit lain pula yang akan timbul terkena kesan sampingan. Ini adalah kerana latar belakang, permasalahan, sejarah, dan falsafah hidup berbeza antara negara kita dengan negara lain. 

Kita perlu melihat dari kaca mata kita sendiri mengenai keperluan dan kesesuaian dari sudut konteks negara kita yang mempunyai nilai yang berlandaskan Islam dan budaya Timur. Amalan tanpa kajian dan padanan yang sesuai mungkin akan membawa kepada hasil yang tidak selari dengan masyarakat di negara kita. Oleh itu saya melihat konsep pluralisme yang berasaskan toleransi dan dialog itu menjadi satu keperluan di Eropah dan Amerika Syarikat yang berhadapan dengan Islamofobia tetapi tidak perlu bagi negara kita yang telah sekian lama menerima kepelbagaian dan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

Berkaitan keperluan untuk berdialog antara agama, Islam sebenarnya sudah cukup menerangkan perbezaan antara Islam dengan agama yang lain. Kandungan al-Quran sendiri banyak menceritakan sifat dan ciri-ciri kaum tertentu seperti Yahudi, Kristian, dan golongan lain supaya umat Islam dapat berhadapan dan bergaul dengan mereka secara jelas. Tidak dinafikan ada konflik antara agama di Malaysia, tetapi masih pada tahap minimum dan terkawal. Apa yang kita amalkan selama ini sebenarnya sudah mendahului pluralisma.

Satu ayat Qur’an di surat Al Kafiruun yang menganjurkan, dalam urusan agama, seorang muslim harus mengikuti ajaran Islam saja. Mengakui hanya Allah SWT satu-satunya tuhan yang maha esa. tidak mengiyakan tuhan yang dimiliki oleh agama lain, tidak mengakui tuhan yang dipercaya oleh kepercayaan lain.

Dari ayat ini, seorang muslim tidak berhak mencampuri urusan agama orang lain. Dengan ayat ini pula orang beragama lain tidak berhak mencampuri urusan agama para muslim.

Dari ayat ini, seorang muslim harus menghormati orang yang beragama lain. Menghormati dalam erti; seorang muslim tetap harus berbuat baik terhadap semua orang, tetap harus berbuat baik terhadap orang yang beragama lain. Namun seorang muslim tidak ada sangkut paut sama sekali terhadap urusan dan ajaran agama lain selain Islam. Itulah akidah Islam.

Toleransi beragama bagi saya adalah "Untukmu Agamamu Untukku Agamaku"

Islam dibina di atas landasan tauhid yang suci murni. Agama selainnya dibina di atas dasar syirik yang batil, yang menyimpang dari landasan kebenaran. Allah adalah satu-satunyaTuhan yang menciptakan. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan, daripada-Nya juga kita menerima syari’ah serta manhaj kehidupan.

Justeru, mukmin wajib membersihkan diri, baik dari sudut aqidah maupun dari sudut amalan dari segala unsur syirik serta saki bakinya. Mukmin mesti jelas apa yang digariskan oleh Allah dalam semua bidang yang merangkumi dasar-dasar aqidah, syari’ah, akhlak dan sebagainya. Allah juga telah menetapkan neraca, nilai dan tasawwur yang benar tentang kehidupan dan hakikat kewujudan seluruhnya yang wajib dipegang dan diimani.

Ini tidak bermakna Islam menyuruh umatnya mengasingkan diri dari manusia. Islam tidak memerintahkan umatnya membina tembok tebal yang memisahkan mereka dari dunia. Umat Islam mesti bergaul dengan manusia, hidup di tengah-tengah mereka. Namun pada masa yang sama, umat Islam mesti dapat membezakan yang hak dengan yang batil, berfikir dan menilai sesuatu dengan neraca sendiri, berjalan mengikut rentak hukum Allah, bertindak berpandukan hidayah Allah, berinteraksi di dalam batas akhlak yang digariskan Allah.

Terdapat satu pesanan bermaksud: “Jangan kamu menjadi imma’ah (orang yang tidak tetap pendirian). Kamu berkata: jika manusia baik, kami pun baik. Jika mereka zalim kami pun zalim.Tetapi teguhkan pendirian kamu. Jika manusia baik, kamu hendaklah baik. Dan jika manusia jahat, maka jangan kamu jadi zalim dan jahat.”


"Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah apa yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (al-Kafirun: 1-6)"

No comments:

Post a Comment