Wednesday, December 3, 2014

Penyatuan Melayu dan Islam ?




Yang menjadi perbezaan pandangan sesetengah orang adalah ungkapan “Melayu Sepakat” didalam slogan “Melayu Sepakat Islam Berdaulat” kerana perkataan “Melayu” adalah merujuk kepada bangsa dan bukan merujuk kepada aqidah Islam berbanding dengan perkataan “Muslim” yang lebih jelas, kata sebilangan pengkritik.

Sebenarnya slogan “Melayu Sepakat” bertitik tolak dari 2 aspek :

Pertama : Dari hadis sahih Nabi saw riwayat Al-Bukhary berbunyi ” الأئمة من قريش ” bermaksud “Pemimpin (mestilah) dari bangsa Quraisy”.

Kedua : Realiti perpecahan dan percakaran diantara parti-parti politik seterusnya masyarakat Melayu-Islam khususnya diantara pengikut UMNO dan pengikut PAS dengan berkisar pada kalimat seperti melayu, bangsa, kebangsaan, asobiyah, nasionalis, sekular dan sebagainya yang mencerminkan fenomena jauh dari Islam yang hakiki.

Hakikat Ruh dan Jasad

Islam sebagai agama yang waqie (real world) sentiasa deal dengan apa sahaja perkara dan situasi secara keseluruhan mencakupi (1) ruh dan (2) jasad, terhadap (1) individu, maupun (2) masyarakat dan negara. Saya melihat manaa-mana para ilmuan atau pendakwah yang tidak memahami hakikat ini, mereka sukar memahami risalah Islam itu sendiri.

Sebagai contoh dalam isu Kalimah Allah, apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan Gereja tidak boleh mencetak perkataan “ALLAH” mengambil tempat perkataan “GOD”, ada pihak yang membangkang dengan berhujjah menggunakan firman Allah swt لا اكراه فى الدين bermaksud, “Tiada paksaan dalam Agama” dan mendakwa sepatutnya digunakan pendekatan dialog dengan Gereja, bukan dengan bentuk kekuatan dan penguatkuasaan.

Sebenarnya, golongan seperti ini sering menggunakan firman Allah swt لا اكراه فى الدينuntuk dakwaan mereka dalam agama tak boleh paksa-paksa, sedang mereka sepatutnya melihat firman-firman Allah swt yag lain yang memaksa dalam Agama seperti firman Allah swt وقاتلوهم حتى لا تكون فتنة ويكون الدين كله لله (Perangilah mereka sehingga tidak ada lagi huru hara, dan jadilah agama ini semuanya untuk Allah (Islam)”. Ringkasnya, sebenarnya kita tidak boleh paksa seseorang untuk masuk aqidah Islam kerana aqidah terletak di dalam jiwa dan ruh. Tetapi Islam boleh memaksa jasad manusia yang berada di luar jiwa untuk tunduk dibawah peraturan, undang-undang dan kekuasaan Islam. Itu maksud kedua-dua ayat di atas.

Kita tidak boleh paksa anak kita menyayangi Cikgu Rosnah dan subjek yang diajarinya di sekolah kerana cinta, kasih dan sayang itu terletak di dalam jiwa, tetapi kita boleh memaksa anak kita agar masuk kelas Cikgu Rosnah dan membuat kerja rumah subjek berkenaan kerana jasadnya boleh dikenakan peraturan atau digunakan kekuatan untuk mencapai apa yang difikirkan baik, lebih-lebih lagi yang dituntut Syarak.

Kita tidak boleh memaksa Ah Chong memeluk aqidah Islam kerana pegangan agama letaknya didalam hati dan jiwa. Akan tetapi kita boleh mencegah Ah Chong dari mendirikan pusat pelacuran yang ditegah oleh undang-undang Islam walaupun Ah Chong tidak menganggap zina itu haram.

Begitulah di dalam kita membawa risalah Islam,

(1) Di satu aspek apabila sesuatu perkara itu berkaitan dengan jiwa, ruh dan hati iaitu menanam keyakinan kepada ajaran Islam, meningkatkan keimanan, mengeratkan Kesatuan melalui asas Ukhuwwah, Rasulullah saw membuat pendekatan Dakwah. Ayaat-ayat Al-Quran juga lebih kepada uslub ayat-ayat Makkiyah. Di sini ruh ruh kepada Umat iaitu aqidah memainkan peranan penting termasuk slogan “Muslim Sepakat”.

(2) Di aspek yang lain, apabila sesuatu perkara itu berkaitan dengan “fizikal” (luaran) seperti kenegaraan, keselamatan, perlindungan, kekuatan, berhadapan dengan ancaman musuh luar dan seumpamanya, maka disamping kekuatan ruh dan Aqidah itu penting, kekuatan fizikal, bangsa, kabilah, ajeer dan sebagainya adalah realiti yang tidak boleh dikesampingkan. Islam tidak melihat hanya kepada kekuatan ruh Islam, tetapi kepada kekuatan dan pengaruh luaran yang boleh memenangkan Islam.

Sayyidina Uthman bin Affan ra memahami hakikat ini dengan berkata kata-kata yang masyhur ” ان الله يزع بالساطان ما لا يزع بالقران “ (Allah menyelesaikan urusannya dengan Sultan (kekuasaan) apa yang tidak dapat diselesaikan dengan Al-Quran (tarbiyah jiwa, ruh, hati, aqidah dll.).

Kata-kata Hukamak yang masyhur ” ان الحق لابد من قوة تحميه ” (Sesungguhnya Kebenaran itu mesti ada Kekuatan yang melindunginya). Dalam menjalankan risalah Islam yang benar, mesti ada Kekuatan yang melindunginya). Arab di zaman Nabi saw berkumpul membentuk kekuatan dibawah Quraisy dalam sejarah yang panjang, termasuk di zaman Nabi saw. Tanpa Quraisy, mereka adalah kabilah yang berpecah-pecah. Sehingga dalam menentang Nabi saw, Arab bersatu dalam Perang Ahzab (puak-puak yang bersatu) dibawah Quraisy. Apabila Quraisy tidak dapat perang kerana mengikat Perjanjian Hudaibiah pada tahun 6H, Arab berpecah, dan mudah Nabi saw mengalahkan Kabilah Bani Ghatfan yang besar dan membuat pukulan terakhir terhadap Yahudi di benteng terakhir mereka di Khaibar pada tahun 7H yang membawa kepada Pembukaan Mekah pada tahun 8H.

Apabila Quraisy masuk Islam beramai-ramai, kabilah-kabilah Arab rela berada dibawah pimpinan Quraisy seperti zaman sebelumnya. Kerana itu Nabi saw berpesan dengan mengatakan ” الأئمة من قريش ” (Kepimpinan adalah dari bangsa Quraisy). Jika bangsa Quraisy adalah Bangsa Tunggak kepada kekuatan “fizikal” Islam, demi melindungi dan menyebarkan “ruh” dakwah Islam, maka Islam mengiktirafnya.

Dalam Perang Badar, Tahun 2 Hijrah, tentera Islam dibahagi mengikut kabilah, bukan sekadar mengikut aqidah. Bendera Muhajirin Mekah dikibar oleh Ali bin Abi Talib. Bendera Ansar Madinah dikibar oleh Saad bin Muaz.

Dalam Perang Uhud, Tahun 3 Hijrah, bendera Muhajirin dikibar oleh Mus’ab bin Umair. Bendera Ansar dari kabilah Al-Aus dikibar oleh Usaid bin Hudair. Bendera Ansar dari kabilah Al-Khazraj dipegang dan dikibar oleh Al-Khabbab bin Al-Munzir.



Realiti Bangsa Melayu di Malaysia
Bangsa Arab adalah bangsa tunggak bagi kekuatan “fizikal” Umat Islam di Timur Tengah. Para hukamak mengatakan ” ادا دل العرب دل الاسلام “(dgn zal, bukan dal) (Jika Arab hina – lemah, berpecah, ketinggalan, jahil dll. – lemahlah Islam).

Begitu juga bangsa Melayu adalah bangsa tunggak dan kekuatan Umat Islam di Nusantara. Bangsa Melayu berperanan penting bahkan tidak keterlaluan kita katakan mereka telah berperanan tunggal dalam mempertahankan Islam di rantau ini sejak ratusan tahun lalu menghadapi serangan-serangan luar terutama dari Tentera Salib dari Eropah.

Sehingga ke hari ini bangsa Melayu masih merupakan tunggak kekuatan Umat Islam di Malaysia. Ia realiti yang kita tidak boleh nafi atau sembunyikan di dalam percakapan maupun di dalam hati kita. Pergilah ke solat Jumaat mingguan, kita akan dapat di semua bandar atau kampung, hampir kesemuanya adalah Melayu. Buatlah program ceramah Islam sempena heri kebesaran Islam dan jemputlah dengan ungkapan “Semua Muslimin dan Muslimat Dijemput Hadir” dan bukannya “Semua Melayu (sahaja) Dijemput Hadir”, nanti kita akan dapati hadirin dan hadirat yang hadir adalah hampir kesemuanya Melayu. Hampir kesemua para Ulamak, pemimpin rakyat, professional dan tentera di Malaysia adalah bangsa Melayu.

Jika muslim bangsa Cina atau India muslim berpecah, atau dihinggapi penyakit jahil, dadah atau kemiskinan, Islam di Malaysia masih boleh kuat lagi, akan tetapi sekiranya bangsa Melayu di Malaysia berpecah, jahil atau didalam kemiskinan yang melata, Islam dan Umat Islam di Malaysia akan menjadi lemah. Apabila Umat Islam menjadi lemah, pintu-pintu penyakit ruh, hati, ideologi dan akidah akan terdedah dan mudah serangan-serangan penyakit seterusnya dilakukan oleh pihak musuh dari dalam dan luar negara lebih-lebih lagi musuh tradisi umat Islam dari golongan Ahlil Kitab. Dengan ini hakikat “Jika lemah Melayu, lemahlah Islam di Malaysia” adalah ungkapan yang benar dan diterima Syarak dan tidak boleh dinafikan.

Kesan dari kempen kedua-dua jenama “Melayu” dan “Islam” yang dipelori oleh parti-parti politik khususnya sejak beberapa dekad lalu mengakibatkan lahirnya ramai dari kalangan generasi hari ini yang tidak dapat menghubungkan ikatan erat diantara Melayu dan Islam seperti yang dikehendakki oleh Islam berdasarkan nas yang telah kita bincangkan. Lebih dari itu ramai dikalangan masyarakat yang lebih terikat kepada formula Politik berbanding Kaedah Syarak sehingga terdapat pemimpin dan pengikut Melayu-Islam tidak turun menyokong usaha Kementerian Dalam Negeri dari kem “Bangsa” dalam mempertahan isu Kalimat Allah melawan puak Kristian swt sedang apa yang diperjuangkan itu adalah jelas perjuangan agama, dan bukannya “bangsa” yang tercela seperti dakwaan segelintir manusia.

Dengan sedar atau tidak sedar, pihak berjemana “Islam” ada memperjuangkan “Tanah Rezab Melayu” yang merupakan hak “bangsa” yang mereka dakwa ada diselewengkan dan dalam masa yang lain pula pihak berjenama “Bangsa” melalui KDN keluar masuk mahkamah memperjuangkan kesucian kalimat Allah, yang merupakan hak “Agama” yang tidak diperjuang oleh pimpinan tertinggi kem “Agama”

Bersatulah Melayu Demi Agama , Bangsa dan Tanah Air !

No comments:

Post a Comment