Thursday, August 10, 2017

Melayu Semakin Lupa Diri

Filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee banyak isu kritikan sosial. Pengajaran yang disampaikan oleh P Ramlee selalunya membuatkan kita bersedih dan bergelak, tetapi pada masa sama, kita sebenarnya sedang ketawakan pada diri kita sendiri.

Adegan posmen yang menghantar surat kepada watak Syawal dalam filem Ahmad Albab, antara contoh yang paling mudah. Apabila ditawarkan minum, dia menolaknya dengan memberikan alasan 'tak boleh.. rasuah,' manakala dalam filem Anak Bapak pula, ada unsur integriti yang kita boleh jadikan sebagai contoh.

Tentunya masih ada yang mengingati babak apabila watak Ibrahim Din mencadangkan kepada watak yang dimainkan oleh P Ramlee, menggunakan wang syarikat untuk membayar hutangnya. Dalam adegan itu, watak Ibrahim Din terus dimarahi oleh watak P Ramlee kerana mencadangkan sesuatu yang hina, iaitu menyalahgunakan wang syarikat.

Banyak lagi sebenarnya yang dikritik oleh P Ramlee. Dalam filem Seniman Bujang Lapok, sepasang suami isteri bergaduh kerana tidak ada duit. Si suami menyalahkan isteri kerana ketika berkahwin, mereka sudah berbelanja dengan mewah, iaitu di luar kemampuan mereka semata-mata untuk tunjukkan kepada keluarga isterinya yang dia mampu.

Namun adakah kritikan seperti ini mampu membantu menyedarkan masyarakat kita, khasnya masyarakat orang Melayu yang sering dijadikan kritikan sosial dalam filem P Ramlee? Adakah mereka hanya ketawa tanpa menyedari bahawa apa yang cuba disampaikan oleh P Ramlee adalah sebagai tanda peringatan kepada kita semua.

Mungkin masyarakat hari ini perlu diberitahu dengan lebih jelas. Dalam hal ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menegur sikap segelintir orang Melayu yang lupa daratan apabila mula menikmati kemewahan. Sifat lupa diri ini tentunya akan memakan diri sendiri. Sultan Nazrin juga menegur maruah bangsa yang tergugat disebabkan perbuatan rasuah dan pecah amanah.

"Hari ini maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa. Sewajarnya bangsa berwaspada dengan titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga," begitulah titah baginda ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan 'Mengakar Kuat Umat Melayu Menjulang Tinggi Islam'.

Apa yang dititah oleh Sultan Perak adalah sesuatu yang mesti diambil berat oleh kita semua. Jangan hanya sekadar mendengar dan membaca tetapi kemudian kita kembali semula melakukan apa yang dilarang. Itu sebab rasuah akan terus bermaharajalela dan bangsa Melayu akan terus berada di takuk lama.

Bangsa Melayu sudah membuktikan yang kita mampu menjadi sebuah bangsa yang kuat. Sejarah juga sudah mengesahkan yang bangsa Melayu pernah berkuasa di rantau nusantara sehingga terkenal di serata dunia. Namun, selagi masalah seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah terus berleluasa, selagi itu kita tidak akan maju dan mungkin hanya berpuas hati dengan kejayaan kecil.

Sultan Nazrin juga menitahkan supaya orang Melayu kembali mencari hikmat kekuatan bangsa yang terletak pada agama Islam. Ambillah iktibar daripada titah Sultan Perak ini. Dalam Islam pun sudah dinyatakan dengan jelas akan hukum-hakam perkara yang berkaitan dengan rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah.

Tanyakan pada diri kita sendiri. Tidakkah ada timbul rasa bersalah jika kita melakukan dosa ini? Bagaimana pula dengan wang yang kita peroleh daripada amalan yang berdosa ini.

Rasulullah SAW pernah bersabda dengan maksudnya: "Akan datang suatu zaman, umat manusia tidak lagi mempedulikan rezeki yang diterima olehnya sama ada daripada sumber halal atau haram."

Adakah kita sedang melalui zaman yang dimaksudkan ini, iaitu tidak ambil peduli dan tidak ada rasa bersalah apabila melakukan perbuatan dosa. Jika ini yang kita rasa, maka segeralah kembali ke pangkal jalan, kerana masih tidak terlalu lewat untuk kita mengubahnya.

Semuanya terpulang kepada generasi hari ini untuk sama-sama membentuk dan mengukuhkan lagi masyarakat yang benar-benar mengikut landasan yang betul untuk mencorakkan masa depan yang lebih gemilang.


Monday, July 31, 2017

Senarai Cawangan GPMS Melaka

ASSALAMMUALAIKUM WBT

SELAMAT DATANG SAHABAT-SAHABAT GPMS MELAKA

KHAS BUAT BELIA BERUMUR 15-35 TAHUN SILA daftar sebagai ahli GPMS DAN MEMPEROLEHI KAD KEAHLIAN PERCUMA dan boleh daftar secara online di http://daftar.gpms.org.my

Untuk keterangan FAST RESPON http://www.wasap.my/601123856589

Hebahan Program 💻https://t.me/gpmsnegerimelaka

📲
https://chat.whatsapp.com/Cz7gPycBSAU84aVg8Hshop

#gpms #belajarterusbelajar #amanah448 #gpmsdihati #mohonshare #viralkan

"Belajar Terus Belajar"


SENARAI GPMS CAWANGAN-CAWANGAN NEGERI MELAKA

*GPMS BANDAR MELAKA*
-YDP GPMS BANDAR MELAKA-Mohd Saifullah Bin Hj Dolmat
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60172968316

*GPMS AYER KEROH*
-YDP GPMS AYER KEROH- Mad Noor Bin Hashim
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60193463669

*GPMS BUKIT KATIL*
-YDP GPMS BUKIT KATIL-Rabbani Wakiman
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/601123856589

*GPMS MERLIMAU*
-YDP GPMS Merlimau-
Khairul
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0133997247

*GPMS SERKAM*
-YDP GPMS SERKAM
Siti Salwa
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0122416438

*GPMS JASIN BISTARI*
-YDP GPMS JASIN BISTARI-
Shahrizal
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0176588562

*GPMS ALOR GAJAH*
Boleh hubungi
-YDP GPMS ALOR GAJAH-
Penghulu Abdul Rahim Yusof
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60196865277

*GPMS TANJUNG BIDARA*
-YDP GPMS TANJUNG BIDARA-Ustaz Aziz Abdullah
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60199997414

*GPMS MASJID TANAH*
-YDP GPMS MASJID TANAH- Afiq Mubassyir
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60176056028

*GPMS CAWANGAN KHAS MiCOST*
-YDP GPMS Khas MiCOST-
Arash
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/0136208974

*GPMS Cawangan Khas KAYM*
-YDP GPMS Cawangan Khas KAYM-
Hafiz
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/01139666365

*GPMS Cawangan Khas UTEM*
-YDP GPMS Cawangan Khas UTEM-
Taufik
❓Sila hubungi: http://www.wasap.my/60177326327

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Setiausaha GPMS Melaka Saudara Rabbani http://www.wasap.my/601123856589

"Belajar Terus Belajar"

Monday, July 10, 2017

Masih relevankah Sekolah Vernakular ?

Masyarakat Malaysia semakin ingin memperluaskan jurang tetapi dalam masa yang sama sanggup berpura-pura intim demi memenuhi kepentingan bangsa sendiri. Sejak sekian lama mereka telah diasingkan melalui institusi pendidikan yang menjadi asas pembangunan masyarakat. Kononnya mereka ingin mengekalkan budaya dan tradisi keturunan mereka, namun hakikatnya sikap kekitaan yang melampau pula sering disuburkan.

Mereka tidak berpeluang untuk bercampur dengan bangsa lain di aliran vernakular masing-masing. Jauh sekali untuk memahami dan menghargai sikap keterbukaan dan toleransi oleh kaum bumiputera. Ruang kosong yang tinggal ini dipenuhi dengan sikap berprasangka dan kekitaan yang melampau sebagai balasan.

Esktrimis ini telah lupa dengan asal usul mereka dan malah mereka tidak mempedulikan nasib kaum bumiputera yang selama ini mengalu-alukan kedatangan mereka. Mereka mengheret sebilangan besar dikalangan mereka dengan perjuangan esktremis mereka. Tanpa mereka sedari bahawa mereka sebenarnya membawa bangsa mereka berada di jurang kemusnahan kerana enggan untuk berpijak dibumi yang nyata. Mereka semakin jauh tersisih dari bangsa-bangsa lain yang perlu ditewaskan dengan helah "Hak Kesamarataan" demi memenuhi matlamat mereka.

Persefahaman akan terbentuk apabila kita selalu bersama untuk mencapai cita-cita

Di mana sikap saling bantu membantu untuk maju? Mengapa perlu bersikap tamak haloba dan pentingkan diri sendiri? Apakah mereka ini senantiasa bersedia untuk mengambil kesempatan keatas sikap terlalu baik bumiputra terhadap mereka?

Saling berterima kasih, Saling terhutang budi dan saling hormat menghormati.. Adakah kita mampu mewujudkan persefahaman yang tulen dan ikhlas?

Ayuh rakyat Malaysia.Jangan biarkan virus esktremis merosak dan mengancam generasi masa depan.

Mansuhkan semua sekolah vernakular. Gantikan dengan mekanisme baru untuk memelihara budaya dan tradisi mereka. Tiada sesiapa pun berhak mengasingkan rakyat Malaysia dalam apa-apa lapangan kemasyarakatan, apa lagi dalam institusi pendidikan yang menjadi asas pembentukan generasi masa hadapan.

Ayuh kita tanpa mengira kaum harus berlapang dada dan menerima sistem pendidikan berbilang kaum dalam sebuah sekolah dan institusi yang sama. Sampai bila kita ingin bertelagah atas perkara kecil ? Isu babi , isu anjing atau isu picisan yang menjadikan rakyat Malaysia sebagai minda kelas ketiga. Cuba lihat Singapura , Indonesia , Jepun atau seantero dunia masih adakah sekolah vernakular ?

Tepuk dada dan tanya selera dan renung di manakah tahap kita dalam mewujudkan Malaysia sebagai rakyat kelas pertama dan sebuah negara bangsa.

Jom Daftar Ahli GPMS

Jom semua sahabat daftar sebagai ahli GPMS dan boleh daftar secara online di http://daftar.gpms.org.my #gpms #belajarterusbelajar #amanah448 #gpmsdihati #mohonshare


Saturday, July 8, 2017

Budaya Penasihat Pemimpin Tanpa Baju ?

Kisahnya bermula dengan seorang raja yang suka berpakaian cantik. Baginda terlalu gilakan baju dan fesyen baru. Semua tukang jahit dalam negara pemerintahannya sudah dikerahkan untuk menjahit baju barunya. Sehelai demi sehelai. Apabila siap sahaja, raja terus memakainya dan muncul di khalayak ramai. Kembang-kuncup hatinya apabila mendengar pujian rakyat tentang kecantikan pakaiannya. Itulah saat yang paling bahagia dirasakan dalam hidupnya. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, itulah karenah raja tersebut. Dan setiap kali raja muncul dengan pakaian barunya, rakyat akan mengangguk-anggukkan kepala serta memuji-muji baju raja. Namun walaupun telah silih berganti fesyen, silih berganti baju, raja masih belum puas hati lagi. Raja masih merasakan bahawa ada lagi fesyen baru yang belum dicubanya.

Maka menteri-menterinya disekelilingnya pening kepala, apalagi yang boleh diusahakan untuk memenuhi kehendak raja. Kehendak raja mesti dijaga, egonya mesti dikipas terus-menerus. Dan untuk itu para menteri ‘kaki bodek’ sanggup berbuat apa sahaja. Suka hati raja, maka selamatlah kedudukan mereka. Atas desakan raja, maka para pun akhirnya sepakat untuk mewartakan satu iklan besar-besaran – satu hadiah yang cukup lumayan kepada siapa yang dapat menjahit satu pakaian fesyen terbaru untuk raja. Tukang-tukang jahit dari seluruh pelusuk negara pun berduyun-duyun ke istana membawa kertas cadangan, lengkap dengan lakaran dan sebut-harga masing-masing. Namun raja tidak perkenan kerana semua tukang jahit itu sudah dikenalinya. Kalau muka lama, tentu citarasanya juga sama dan daya kreativitinya masih di takuk lama. Akhirnya, semua tukang jahit itu pulang dengan kecewa. Tidak seorang pun diantara mereka yang diterima cadangannya. Raja terus gelisah. Siapakah tukang jahit yang boleh memenuhi citarasanya?

Berita tentang raja mencari tukang jahit yang istimewa tersebar ke serata pelusuk negara. Berita sensasi itu turut sampai ke telinga dua orang lelaki yang sangat bijak menipu. Apalagi, otak licik merekapun berputar untuk mencari helah. Mereka berdua pun sepakat untuk menipu raja. Dengan menyamar sebagai tukang jahit yang terkenal mereka pergi ke istana untuk menawarkan diri sebagai tukang jahit yang mampu menghasilkan pakaian yang sangat istimewa. Raja dan para menteri yang sudah lama ‘pening kepala’ itupun ditipu bulat-bulat dengan cerita-cerita gah daripada kedua tukang jahit palsu itu. Kononnya pakaian yang akan mereka persembahkan buat raja nanti sungguh istimewa tetapi sangat mahal harganya. Apalagi, demi mendengar cerita tentang pakaian istimewa itu, rajapun melonjak
-lonjak kegembiraan dan memerintahkan agar baju yang dimaksudkan itu dibuat segera. Belanja untuk membeli benang, jarum dan pelbagai peralatan membuat pakaian pun dikeluarkan dari khazanah negara. Belanja yang dikeluarkan sangat besar. Dan raja terpaksa memberi satu bilik khas seperti mana yang diminta oleh kedua tukang jahit untuk menjahit pakaian istimewa itu.

Tidak lama selepas itu, kedua orang tukang jahit memaklumkan kepada raja bahawa pakaian istimewa baginda telahpun siap. Lalu pada hari yang ditetapkan itu para menteri mengiringi raja ke bilik khas tukang jahit itu untuk memakai pakaiannya dan dari situ raja dijadualkan berangkat ke halaman istana untuk berjalan di hadapan rakyat jelata yang telah sedia menunggu untuk melihat pakaian raja yang baru. Tanpa bertanggung-tangguh tukang jahit memakaikan pakaian istimewa raja setelah baginda membuka semua pakaian yang sedia ada. Sambil memakaikannya kedua mereka memuji betapa segak dan cantiknya raja dengan pakaian barunya. Raja sungguh gembira walaupun sebenarnya baginda sendiri tidak nampak akan baju serta seluarnya. Tetapi oleh kerana pujian kedua tukang jahit, raja yakin sungguh bahawa pakaiannya memang cantik, walaupun sebenarnya baginda sedang berbogel.

Apabila keluar, menteri terkejut melihat raja yang berbogel, tetapi oleh kerana raja begitu beria-ria memuji ‘bajunya’ maka para menteripun turut memuji. Jika pujian raja sejengkal, para menterinya pula menambah hingga jadi sehasta. Wah, raja bertambah suka!Keluar menuju halaman istana, rakyat terpaku, apa tidaknya raja mereka sedang berjalan tanpa seurat benangpun. Tetapi apabila melihat para menteri memuji pakaian raja, maka seluruh rakyat pun segera memuji. Malah lebih daripada pujian oleh para menteri. Pujian sehasta jadi sedepa. Masing-masing memuji dengan bersorak ria. Apalagi, raja pun terus berjalan dengan lagak sombong dan bangganya. Kali ini raja benar-benar puas hati. Tidak disangkanya baju dan seluarnya begitu istimewa.

Tiba-tiba, seorang budak kecil berteriak, “raja tak berpakaian! Raja berbogel.” Semua orang terkejut dengan keberanian dan kelantangan budak tersebut. Mereka terus tersentak. Minda yang tertutup tadi telah terbuka. Kejujuran budak itu telah mencairkan sifat memuji secara membabi buta mereka.Ya, raja memang berbogel. Raja tidak berpakaian. Apalagi mereka pun ketawa beramai sambil mengejek raja. Menteri-menteri pun terkejut. Benar, raja memang berbogel. Pakaian istimewa yang tidak kelihatan itu memang tidak ada lansung. Melihat keadaan itu raja pun tersedar. Barulah raja mengakui hakikatnya bagainda memang tidak berpakaian dan sedang berdiri di hadapan seluruh rakyatnya. Malunya tidak terkira. Lalu dengan pantas, baginda berlari lintang-pukang menuju ke dalam istana di tengah-tengah ejekan rakyatnya.

Itulah nasib pemimpin yang kaki ampu. Justeru mengharapkan pujian dan sanjungan, telah ramai para pemimpin yang kecundang. Pujian membutakan mereka daripada melihat kelemahan dan kekurangan diri. Mereka telah merasakan begitu ‘super’ sehingga terlanjur bertindak di luar kemampuan diri. Ada yang cuba menunjukan kekuatan dengan harta, sehingga lupa hutang sudah keliling pinggang. Mereka berbelanja besar, kerana disitulah dirasakannya mertabat dan derjat kepimpinannya. Rumah dan kereta besar seolah-olah menjadi penunjuk kepada kewibawaannya. Mereka terlupa, berlagak kaya akan menyebabkan seseorang menjadi papa. Ya, jika ‘kebesaran’ seseorang ditentukan oleh kereta dan rumahnya yang besar, maka siapakah mereka apabila kereta besar dan rumah yang besar itu hilang? Bukankah itu menunjukkan yang mereka hanyalah ‘sikerdil’ yang berdiri di bawah bayang-bayang hartanya? Pemimpin yang begini adalah salinan peribadi raja yang merasakan hebat dengan bajunya bukan oleh sikap prihatinnya terhadap nasib rakyat di bawah pimpinannya.

Selalunya pemimpin yang gila puji akan dikelilingi oleh pengikut yang kaki ampu. Dan bila ini terjadi, yang menderita adalah pengikut. Pengikut akan terus diperkudakan oleh orang atasan demi membodek pemimpin no.1. Penderitaan pengikut, kelemahan dasar dan pelaksanaan kepimpinan serta lain-lain hal yang negatif tidak akan sampai ke atas, justeru telah ditapis terlebih dahulu oleh pemimpin lapisan kedua. Siapa berani melawan arus? Jika pemimpin utama hanya mahupun yang manis-manis. Maka ‘dibancuhlah’ berita yang manis-manis walaupun dari bahan dan perisa yang palsu. Pesan nabi, “katakanlah yang benar walaupun pahit,” tidak diamalkan lagi. Dan ramailah ‘syaitan bisu’ yang diam bungkam terhadap keburukan di depan mata. Lama kelamaan, pemimpin utama semakin tersasar. Tetapi tidak ada siapa yang berani menegur, kerana semuanya menutup akal dan hati dan akhirnya yang tersasar tetap dianggap benar.

Kehadiran dua tukang jahit yang pembohong di sisi raja yang gila puji adalah satu fenomena biasa dalam dunia kepimpinan masakini. Tidak kira apa corak organisasi dan misinya, tetapi jika penyakit gila puji pada pemimpin atasan terus disuburkan oleh orang kanan yang tidak bertanggung-jawab, maka kemusnahan akan berlaku, cepat atau lambat. Jika setiap teguran dan kritikan terus dicap sebagai ‘menderhaka’ maka para pemimpin akan kehilangan orang-orang setia yang tidak suka bermuka-muka. Sedangkan sejarah kepimpinan yang berjaya dikalangan para Rasul dan khulafaur Rasyidin semuanya mengamalkan sikap terbuka kepada teguran. Rasulullah pernah ditanya tentang satu keputusannya dalam satu peperangan. “Apakah ini dari wahyu ya Rasululllah?” tanya para sahabat. Jika bukan, maka para sahabat berani memberi cadangan balas. “Aku akan betulkan kau dengan mata pedang,” jerit seorang rakyat Umar apabila Sayidina Umar minta ditegur jika bersalah dalam urusan pemerintahannya. Dan Umar sendiri pernah berkata, “perempuan itulah yang benar, Umarlah yang salah,” apabila pandangannya tentang mas kahwin ditolak oleh seorang wanita tua.

Semakin tinggi pokok yang kita naik maka semakin kuatlah angin yang menggoyang, maka begitulah keadaannya dengan para pemimpin. Semakin tinggi kedudukannya dalam masyarakat maka semakin banyak ujian yang mesti dihadapinya. Ujian dalam bentuk kesusahan, cercaan dan kekurangan biasanya mudah dihadapi. Selalu ujian jenis ini menjadikan jiwa para pemimpin lebih kuat, lebih ikhlas dan lebih sabar. Layang-layang akan terbang tinggi jika melawan angin, maka begitulah taraf dan mertabat kepimpinan, semakin diuji maka semakin tinggi kualiti kepimpinannya. Namun keadaan sebaliknya boleh berlaku apabila para pemimpin diuji dengan kesenangan, pujian dan kenikmatan. Keadaan ini boleh menyebabkan sesorang pemimpin leka. Mereka mula merasakan diri mereka besar dan ‘super’. Dan pada ketika itulah datangnya kaki bodek yang mengipas hingga para pemimpin lena dengan pujian dan sanjungan. Apa sahaja yang dibuatnya dirasakan serba kena dan dia merasakan sebarang kritik adalah untuk menggugat kepimpinannya. Maka ketika itulah orang-orang yang jujur mula meninggalkannya. Yang tinggal hanyalah ‘sokong yang membawa rebah’.

Setiap orang mempunyai ‘bilnd spot’nya tersendiri, termasuk para pemimpin. Ia adalah kelemahan diri kita yang terletak pada sisi lain yang tidak kelihatan pada pandangan pandangan kita sendiri. Maka setiap orang memerlukan orang lain untuk menegur dan menyatakan kelemahan dirinya. Justeru Rasulullah saw pernah menyatakan bahawa orang mukmin adalah cermin kepada saudaranya yang lain. Ertinya, kita mesti membuka pintu hati dan minda untuk melihat diri kita melalui persepsi orang lain – dan dalam konteks ini, jika seorang mukmin pasti dia akan menegur dan membetulkan saudaranya dengan jujur dan kasih-sayang. Malah menurut Imam Ghazali, seseorang boleh melihat aib dirinya bukan sahaja melalui kacamata dan penilaian guru atau sahabatnya, tetapi juga dari pandangan musuh-musuhnya. Musuh akan mengatakan sesuatu ‘yang tidak baik’ terhadap diri kita, dan mungkin sesuatu yang tidak baik itu benar-benar ada pada diri kita yang selama ini tidak tergamak disebut oleh orang-orang yang rapat dengan kita. Maka ketika itu ‘kejian’ oleh musuh adalah ‘rahmat’ yang dengannya kita boleh memperbaiki kesilapan kita.

Hakikatnya masih ada para pemimpin yang belum mendapat iktibar daripada cerita tanpa bajunya ini. Mereka masih tidak dapat membezakan antara sikap optimis dengan realistik. Terlalu optimis akan mendedahkan kita kepada sikap suka puji yang kononnya akan mendorong peningkatan kualiti dan visi kepimpinan kita. Sedangkan sewajarnya mereka bersifat realistic dengan merasakan bahawa dalam apa jua kelemahan diri sentiasa ada. Kadangkala kelemahan itu kecil sahaja, namun akibat memandang enteng, yang kecil itu akhirnya membesar dan menghalang kelancaran kepimpinan kita. Ya, berapa ramai orang yang terjatuh kerana tersepak batu kecil… dibandingkan dengan terlanggar batu besar?

Yang pastinya dunia kepimpinan menagih kejujuran persis kanak-kanak yang masih bersih dari sebarang kepentingan (dalam cerita ini) untuk dimurnikan semula. Mereka yang tidak bergantung hidup kepada pemimpin sahaja yang dapat menyuarakan kebenaran tanpa segan silu. Bukan benci, tapi sayang. Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang anak tangan-tangankan, sayang pemimpin tegur-tegurkan! Tapi risikonya besar… bayangkan jika jarum injeksi seorang doctor dilihat sebagai pisau seorang pembunuh…Tentu sahaja kejujuran menagih korban. Hang Nadim telah terkorban kerana kejujurannya di hadapan raja Singapura. Entah apa nasib ‘budak’ yang menyebabkan raja diketawakan dalam cerita ini…Dan apakah nasib mereka yang sanggup berkata benar di hadapan para pemimpin disepanjang zaman? Sabda Nabi Muhammad antara lain bermaksud, bahawa antara jihad yang besar ialah menyatakan kebenaran di hadapan raja yang zalim… Sanggupkah kita?

Friday, July 7, 2017

Masih ada harapan untuk martabatkan Bahasa Melayu ?

PERSIDANGAN Dewan Rakyat Merupakan sesuatu perkara yang di nantikan oleh setiap rakyat marhein di Malaysia bagi melihat setiap ahli parlimen berbahas.

Banyak isu yang telah dibincangkan dengan rancak oleh setiap rakyat yang prihatin terhadap perkembangan perbahasan di Parlimen, termasuklah tentang tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Dewan Rakyat. Saya terpanggil untuk mendalami salah-satu perkara yang timbul amat ketara bagi mereka yang setia mengikuti sidang Parlimen.

Seperti yang semua sedia maklum, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang wajib digunakan dalam kesemua urusan rasmi. Dalam penghakiman kes Merdeka University Bhd. v. Government Of Malaysia di peringkat Mahkamah Tinggi, yang telah diputuskan oleh Hakim ­Eusoffe Abdoolcader pada 7 November 1981, ‘urusan rasmi’ ditakrifkan sebagai merujuk kepada, antara lain, tindakan oleh sesuatu pihak berkuasa berkanun yang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya melalui peruntukan undang-undang Persekutuan atau negeri.

Takrifan ini selari dengan peruntukan Perkara 152(6) yang menyebut: ‘Maksud rasmi’ ertinya apa-apa maksud kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.

Inilah peruntukan yang perlu dihormati dan dimartabatkan tinggi oleh keseluruhan warganegara Malaysia terutama sekali oleh mereka yang berdiri di atas kuasa yang diberikan melalui peruntukan undang-undang. Mengikut takrifan dalam kes Merdeka University Bhd., persidangan Dewan Rakyat adalah antara urusan rasmi yang memerlukan pemakaian tegas peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Atas dasar ini jugalah ahli-ahli Dewan Rakyat tertakluk kepada Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang menyebut: “Bahasa rasmi Majlis ialah Bahasa Malaysia (sic), tetapi Tuan Yang di-Pertua boleh membenarkan penggunaan bahasa Inggeris.”

Maka secara harafiahnya, bahasa Melayu wajib dipakai oleh ahli-ahli Dewan Rakyat baik daripada pihak kerajaan atau pihak pembangkang. Malangnya, acap kali dapat kita dengar bahawa ramai ahli Dewan Rakyat yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris di Parlimen ­terutama apabila mereka menanyakan soalan lisan. Trend ini sa­ngat membimbangkan kerana setelah hampir 60 tahun merdeka, ahli-ahli Parlimen kita masih tidak menghormati identiti kebangsaan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saya akui bahasa Inggeris boleh digunakan setakat mana Yang di-Pertua Dewan Rakyat membenarkan penggunaannya. Namun, seharusnya ruang untuk berbahasa ­Inggeris di dalam Parlimen Malaysia dihadkan hanya kepada beberapa ungkapan yang tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Hakikatnya, masih ramai ahli Parlimen yang selesa berbahas hampir keseluruhannya dalam bahasa Inggeris asalkan di pertengahan perbahasan mereka, disulami dengan ungkapan ‘Dengan izin, Tuan Speaker’.

Adakah nilai bahasa kebangsaan negara ini duduknya sebegitu rendah hinggakan ungkapan ini dilihat keramat dan dapat memaafkan kebiadaban kita terhadap identiti kebangsaan yang termaktub dalam undang-undang? Agak janggal untuk rakyat Malaysia menonton bagaimana wakil rakyat masing-masing berdegar-degar berbahas dalam bahasa Inggeris sedang pada mereka masih mengharapkan agar rakyat yang mereka wakili dapat menghormati bahasa kebangsaan.

Ahli-ahli Parlimen ini seperti sekadar mengambil muka apabila hal ini diketengahkan walhal hakikatnya roh undang-undang negara ini tidak dihormati dan diperkotak-katikkan mengikut keselesaan mereka. Seharusnya mereka yang mewakili suara rakyat yang mengundi mereka menunjukkan teladan yang baik, sebaliknya mereka pula yang angkuh dengan meletakkan bahasa Inggeris lebih tinggi martabatnya daripada bahasa kebangsaan.

Sama jugalah perihalnya dengan ahli-ahli Parlimen yang tidak mampu untuk berbahas menggunakan bahasa Melayu dengan fasih. Perkara ini memalukan kerana terdapat beberapa kejadian di mana apa yang diperkatakan wakil rakyat tidak dapat difahami atau kedengaran kekok dek kerana telor (pelat) mereka yang terlalu pekat. Belum lagi disebut tentang kekasaran bahasa yang digunakan dalam dewan yang berdiri atas amanah rakyat. Di mana letakkan maruah negara ini jika kita diadili berdasarkan tindak-tanduk dan butir bicara ahli-ahli Parlimen kita?

Jika negara ini hendak melihat identiti kebangsaan yang menyantuni budaya ketimuran dihidupkan ­melangkaui apa yang wujud di batasan peruntukan undang-undang, setiap rakyat yang menggelarkan diri mereka warganegara Malaysia harus memainkan peranan masing-masing. Niat ini wajar dimulakan dengan mereka yang diberi kuasa untuk mengolah masa depan undang-undang negara ini.

Sikap segelintir ahli parlimen yang lihat seperti tidak menghormati peranan bahasa kebangsaan kadangkala mengguris hati rakyat Malaysia. Jika ahli parlimen sendiri tidak menghormati dan berbicara Bahasa Melayu dengan lancar siapa lagi yang kita harapkan untuk memartabatkan Bahasa Melayu.