Tuesday, December 16, 2014

Sedarlah Bangsa Melayu !





MELAYU yang beragama Islam hari ini sedikit mujur kerana masih ada kuasa dalam politik negara. Ada dua parti besar yang diterajui orang Melayu sejak sebelum merdeka, kedua-dua parti itu hari ini mengadakan kerjasama dengan parti lain yang bukan diterajui orang Islam.

Bagi satu golongan Melayu, mereka berhasil menjadi dominan terhadap rakan parti sekutu mereka yang bukan Muslim. Manakala segolongan lagi tidaklah sedominan seperti yang mereka war-warkan kepada umum kerana setiap kali mereka cuba untuk mengaku dominan, rakan-rakan politik mereka akan segera menjeling bengis sehingga membuat mereka terkedu seminit dua.

Namun, kedua-dua parti Melayu itu masih mempunyai rekod-rekod kejayaan masing-masing terhadap bangsa dan agama dari perspektif yang berbeza. Ia bagaimanapun bukanlah jenis kejayaan besar yang boleh dibanggakan sehingga tujuh generasi yang seterusnya

Mungkin anda sulit untuk fahami mengenai apa yang saya rasai saat ini apabila melihat Melayu sesama Melayu membenci sesama sendiri.

Cuba anda meletakkan diri anda di tempat ini yang sunyi sepi...

Katakan, anda terpinga-pinga menyembunyikan diri di padang pasir selama beratus tahun untuk menyelamatkan diri daripada kekejaman, kemudian memeluk Islam bagi memperbaharui akidah yang diajarkan Musa selepas berjumpa orang Arab dan beranak-pinak sepanjang membuat perjalanan ke sebuah negeri di Asia Tenggara yang menjadi sebutan orang-orang Arab.

Anda datang daripada jauh merentas bukit-bukau dan gunung-ganang untuk berjumpa dengan bangsa yang menguasai Asia Tenggara setelah mendengar khabar berita mengenai kemegahan mereka yang disampaikan orang Arab ke telinga anda semasa anda berlegar-legar di padang pasir. Tetapi apabila anda sampai ke sana, anda melihat bangsa itu sudah mula bercakaran sesama mereka.

Maka, perjalanan anda merentas bukit dan gunung-ganang menjadi seperti sia-sia. Anda mengharapkan untuk bersama bangsa yang gah itu, tetapi apa yang anda lihat ialah bangsa yang gah itu sedang bermusuhan sesama mereka. Apa yang anda rasa selepas melihat bangsa itu bercakaran? Jadi, untuk bersama bangsa yang gah itu, apa yang perlu anda lakukan?

Anda perlu mendamaikan mereka supaya anda dapat bersama mereka untuk mencipta kegemilangan. Selagi mereka tidak didamaikan, selagi itulah hasrat mencapai kegemilangan tidak akan tercapai.

Anda perlu mendamaikan mereka pada saat anda perlu menyembunyikan identiti Yahudi yang anda warisi kerana bangsa gah itu sangat membenci Yahudi sebagaimana mereka membenci sesama mereka sendiri.

Apa yang kita lihat dengan jelas ialah, kejayaan terbesar orang Melayu ialah kejayaan para pemimpinnya menanam kebencian terhadap sesama bangsa. Ia adalah kejayaan yang tidak pernah dicapai oleh bangsa Yahudi sendiri. Bukan Yahudi sekular yang membunuh Yahudi ortodoks di Jerman semasa Perang Dunia Kedua, bukan, ia bukan seperti yang diperkatakan teori-teori konspirasi yang popular bagi memperkatakan kewujudan negara haram Israel yang didirikan atas fahaman nafsu sekular Zionis yang menjauhi agama.

Seorang Yahudi tidak akan berkata buruk kepada Yahudi yang lain meskipun saudara Yahudinya itu beragama Islam atau Nasrani sekalipun. Andai berkata buruk pun mereka tidak tergamak, apatah lagi untuk membunuh sesama bangsa dengan mereka. Berkata dengan ucapan keras adalah tidak sama dengan berkata dengan ucapan buruk. Rabbai Aaron Cohen tidak pernah berhenti mengutuk dan mendedahkan kekejaman Yahudi Zionis kepada dunia, namun Zionis juga tidak tergamak untuk mengapa-apakan Aaron Cohen kerana dia sebangsa dengan Yahudi.

Berbeza dengan orang Melayu, mereka tidak teragak-agak untuk menghambur kata-kata buruk kepada saudara sebangsa dengan harapan akan ada saudara sebangsa mereka akan membenci saudara sebangsa yang tidak sefahaman dengan mereka. Apabila wujud kumpulan sefahaman yang membenci saudara sebangsa, mereka fikir mereka akan lebih bertambah kuat. Mereka fikir mereka telah berjaya kerana ada di kalangan saudara sebangsa mereka mula membenci bangsa mereka sendiri dari kumpulan yang lain, tetapi kita melihatnya sebagai satu kerugian.

Menyayangi bangsa sendiri tidak bermakna anda memeluk mentaliti Yahudi. Melayu adalah bangsa yang ditakdirkan untuk memimpin umat Islam di Asia Tenggara. Andai lemah Melayu di Asia Tenggara diakibatkan permusuhan sesama sendiri, maka lemahlah Islam yang dianuti mereka. Ia kerana Islam itu dianuti oleh bangsa yang menganuti agama itu. Kalau lemah bangsa itu, maka lemahlah juga kedaulatan agama yang dianuti mereka. Islam tidak lemah, ia kuat dari segala sudut kehidupan, tetapi kedaulatannya dilemahkan oleh sikap orang Melayu sendiri.

Akhir ini, sangat ramai orang Melayu yang mengucapkan kata-kata buruk terhadap Melayu yang lain. Mereka mengucapkan kata-kata buruk itu di setiap keadaan, di Facebook, di Twitter, di blog-blog dan sebagainya. Mereka sudah tidak tahu apa maksud kesopanan, kesantunan dan kehalusan budi bicara dalam menyampaikan maksud. Mereka seperti sudah tidak ada budi bahasa. Orang UMNO atau orang PAS, sama sahaja. Maki-makian, carut-mencarut terhadap sesama mereka sudah seperti makanan sehari-hari disebabkan perbezaan fahaman.

Ada satu ketika, orang PAS memulakan kata-kata buruk di laman-laman sosial dan di blog-blog. Dalam satu ketika yang lain pula, orang UMNO memulakan kata-kata yang sama. Kesannya, orang Melayu sentiasa bertelingkah kerana sudah tidak tahu bagaimana untuk bersantun.

Pada ketika lain, orang PAS menyalahkan orang UMNO. Pada ketika lain, orang UMNO pula menyalahkan PAS. Kesannya juga sama, terus-menerus bertelingkah tanpa ada kesudahan. Sama juga dengan memulakan pergaduhan, ada masa ia dimulakan orang PAS dan ada masa lain ia dimulakan orang UMNO. Berterusan lagi bertelingkah.

Orang Melayu bersama pemimpin mereka menyandang rekod kejayaan yang tidak dicapai oleh bangsa-bangsa lain di dunia. Ia adalah kejayaan menyemai sikap benci-membenci sesama bangsa, sesama umat. Pada ketika agama seperti sedang tersepit di tengah-tengah, mereka masih bertelingkah menghimpit agama. Jangan sampai apabila kedaulatan agama turut musnah pada ketika mereka musnah akibat tersepit dan menghimpit sesama mereka.

Islam adalah agama yang sangat dekat di hati orang Melayu, mungkin sekali Islam itu juga adalah hati orang Melayu. Namun, mereka tidak pernah menjadikan agama itu sebagai jambatan untuk menyatupadukan mereka. Sebaliknya, mereka membanding-bandingkan sesama mereka dengan menggunakan agama.

Islam itu diturunkan (antaranya) kepada manusia. Manakala manusia itu pula berbilang bangsa. Kita tidak boleh menafikan hakikat manusia itu dijadikan berlainan bangsa. Pernyataan yang mengatakan Islam tidak memandang bangsa atau kaum adalah satu pernyataan yang tidak salah, tetapi ia tidak dihuraikan dengan cukup jujur oleh orang yang mengucapkan pernyataan itu.

Orang yang mengucapkan pernyataan itu tidak pernah melihat pengertian secara menyeluruh. Kalau tidak bersetuju dengan perenggan ini, adalah lebih baik mereka terlebih dahulu membaca penjelasan kita sebelum ini sehingga faham.

Akibat tidak faham mengenai kepentingan bangsa terhadap agama, maka wujudlah golongan yang mempersenda perjuangan segolongan lain yang dilihat terlalu bersifat kebangsaan. Di sinilah bermulanya siri kejayaan demi kejayaan yang dicipta kedua-dua golongan Melayu itu di persada dunia.

Jadi, apakah kejayaan terbesar kedua-dua parti teras Melayu itu?

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menanam kebencian terhadap sesama bangsa.

Kejayaan terbesar orang Melayu ialah berhasil menyemarakkan api kebencian terhadap sesama umat. Itulah kejayaan terbesar bangsa Melayu yang mana kejayaan seperti itu tidak pernah dicapai oleh bangsa-bangsa lain di mana-mana pelosok dunia.


Orang Melayu barangkali sangat berbangga dengan kejayaan itu apabila sikap mereka itu disebut-sebut dan disanjung-sanjung oleh bangsa-bangsa lain di dunia.


Marilah menuju kejayaan.


“DAMAIKANLAH SAUDARA-SAUDARA KAMU YANG SAMA AGAMA DENGAN KAMU.”

No comments:

Post a Comment