Monday, August 31, 2015

Sindiran buat bangsa Merdeka

Saya ingin berkongsi rasa kemerdekaan hasil dari berborak dan perbualan bersama akar umbi dalam mencari apa itu erti kemerdekaan. Adakah kita telah merdeka apabila lembabnya kerajaan tangani kenaikan harga barang, rakyat semakin terhimpit. Bezanya merdeka dan sebelumnya, kini segala-galanya perlu dibayar di tambah pula dengan GST 6%. Ramai yang tidak tahu kemewahan sebelum merdeka, tapi sejarah menceritakan oleh orang tua yang masih hidup, dalam setuju dengan kemodenan, mereka merungut tentang sikap
masyarkat moden dan maju. Rungutan orang tua membawa ke akhir hayat. Pening kepal tengok gelagat anak muda yang maju tapi tidak tahu malu. Tutup sana buka sini, tutup sini buka sana. Akhir sekali, buka semua. Tiba-tiba mengandung. Mak bapa ketawa, sejuk perut mak, anak aku normal, boleh mengandung rupanya.

Kita bersetuju bahawa kemajuan yang kita perolehi ketika ini menjadikan rakyat semakin senang. Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Susah ketika sebelum merdeka, senang ketika proses capai kemajuan dan kembali susah apabila sudah maju seperti sekarang.

Kini, sedikit demi sedikit kesempitan sudah mula dirasai. Keluar sahaja sudah memerlukan belanja. Sehari belanja RM50 sudah seperti perkara biasa. Minyak, minum, tol, bil telefon dan belanja harian sebagai perkara yang pasti.

Segalanya perlu dibayar. Begitu juga dengan cukai pintu, barangan dapur, anak sekolah, elektrik dan air, minyak kenderaan, tiusyen anak-anak, tol lebuhraya, telefon tangan, cukai kenderaan, cukai pendapatan, kenaikan harga barangan. Semuanya membebankan. Sedangkan pendapatan hanya sedikit, tapi dek kerana hendak merasakan kemajuan, maka segala-galanya perlu dibayar.

Kerja 5 tahun gaji tidak naik, tapi barangan dan perkhidmatan, harganya naik berkali-kali ganda sehinggakan kerak melebihi periuk dan kini terkeluar dari mulut periuk yang besarnya tidak pernah bertambah besar.

Tiba sahaja bulan OGOS akan ada kempen kibarkan bendera. Hidup seperti terpaksa. Hati sedih, jiwa terkongkong dengan karenah kerajaan dan tanggungjawab, tapi rakyat dipaksa untuk menyambut kemerdekaan. Saban hari media meminta agar sambutan diraikan oleh rakyat dengan menaikkan bendera. Jika 2 ke 5 tahun sebelum ini, terdapat ramai pemilik kenderaan memasang bendera pada kereta mereka, namun sekarang sudah berubah. Perbelanjaan perlu lebih berhemah dan kerana itu RM10 untuk satu bendera, dikira membazir.

Jika dahulu ada syarikat yang ingin menaja bendera dengan mengedarkannya kepada pemandu kenderaan ditol-tol tetapi kini sudah tidak kelihatan. Banyak syarikat yang sekarang sudah tidak mampu lagi menderma.

Bangsa asing melihat KEMERDEKAAN itu satu peluang, bangsa Melayu melihatkan Kemerdekaan itu satu sejarah dan keraian yang berulang. Yang pasti satu untung dan satu rugi. Rugi Melayu adalah kerana beli bendera dan keluar jauh malam, untung bangsa asing adalah kerana jual bendera dan malam duduk rumah makan bersama keluarga. Esok Melayu bangun lewat sedangkan bangsa asing bangun awal untuk terus berniaga.Jika tidak beli bendera mereka pakai baju kuning dan pergi perhimpunan BERSIH.

Berikutan kegagalan kerajaan di dalam menjaga dan menitik beratkan kepentingan rakyat, kita sebenarnya hidup seperti diera penjajahan. Sukar memperolehi barangan di zaman dahulu akibat putus hubungan kerana perang tetapi ketiadaan barangan ketika ini adalah kerana tiada wang untuk membeli barang dan pengusaha pula hentikan pengeluaran barang demi
untuk menaikkan harga barangan tersebut. Keadaan berbeza tapi hakikatnya serupa.

Merdekakah kita?

Dalam banyak-banyak kekesalan, kerajaan seharusnya bersyukur kerana masih ada golongan yang ingin menyambut kemerdekaan. Pasti dilihat nanti bagaimana adanya golongan intelek dan remaja-remaja yang menyambut kemerdekaan di pub-pub, disko dan pusat hiburan sehingga ke pagi.

Kebanyakannya adalah golongan remaja produk kerajaan. Yang terpesong akibat
sistem pelajaran ala British.

Semangat nasionalisme dan kemerdekaan kini semakin pudar. Di dalam kita mengecapi kemerdekaan dan pembangunan yang dicipta oleh pemimpin UMNO sejak dahulu, ternyata ianya menambah beban kepada rakyat. Bangsa Melayu semakin hari semakin tercicir. Pulau Pinang sudah hampir menjadi Singapura, Kuantan sudah menjadi Hatyai, Kuala Lumpur sudah menjadi New York dan Kelang sudah menjadi BRONX. Ada kemajuan, ada kemiskinan dan ada jenayah yang sukar dikawal.

Jenayah akibat kesempitan hidup menjadi-jadi. Sebelum merdeka kita diserang musuh, kini kita diserang penjenayah yang mungkin juga jiran kita sendiri. Hidup tidak seharmoni dahulu kerana ekonomi semakin membimbangkan. Kehidupan rakyat tidak seimbang. Yang kaya, teramat kayanya dan yang miskin semakin menghimpit kemiskinannya. Ada yang menjadi ROBIN HOOD dan ada yang menjadi ARIEL SHARON.

Rakyat sudah ada kasta. Pariya akan berusaha untuk menjadi kaya. Kaedah mereka berbeza. Yang bijak guna akal, yang bodoh guna kederat dan yang ingin mudah, menjadi penjenayah. Rompak sana dan sini. Jentolak bukan lagi untuk projek RMK-10 , tapi untuk merompak bank, membawa lari mesin ATM.

Setiap tahun, Bangsa melayu adalah bangsa majoriti yang menjerit sakan di hari kemerdekaan. Entah apa yang dijeritkan, saya tidak tahu. Namun yang pasti dia menjerit bila semua orang menjerit. Jeritan aku hanya ikutan dan bukan dari pengertian yang sebenar. Benarkah kita sudah merdeka? Persoalan yang dijawab dengan jawapan khayalan para pemimpin sejak dahulu.

Sorakan itu kini terhenti kerana bangsa melayu sudah tidak kekal merdeka. Puas sudah kerajaan meminta supaya kita terus bersorak, tetapi sebenarnya kita bimbang akibat SORAK MENANG, TANAH TERGADAI. Islam kini juga sudah ditindas dan dipermainkan. Bangsa Melayu sudah lama diperalatkan oleh pemimpin dan bangsa lain, kerajaan kononnya memperuntukkan belanja untuk kemajuan bangsa Melayu, sedangkan peruntukan itu lari entah ke mana.

Pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa berlaku dimana-mana tanpa ada usaha sekatan oleh kerajaan. Kebenaran digelar FITNAH dan TOHMAHAN. Kerajaan cuba membenteras sebarang kenyataan yang dianggap fitnah sedangkan tidak berusaha untuk menidakkan tuduhan dan mencari bukti. Terlalu banyak sekatan untuk mencari kebenaran tetapi kepada kerajaan pintu luas terbuka cuma malas nak cari kebenaran kerana tiada lagi kebenaran. Kerajaan sudah tahu, mencari bukti akan membuka aib diri.Pemimpin No 2 tidak boleh tanya soalan atas No 1 kerana itu juga di panggil kesalahan. Pertukaran semua penyiasat adalah tiada masalah walhal itu timbulkan persoalan dan perspeksi. Adakah kita perlu terus mendiamkan diri bila akar umbi terus menghina antara satu sama lain sedangkan pemimpin terus merencana agenda tanpa fikir kesan arus di bawah. Salah siapa jika perjuangan kita terkubur ?

Di dalam kampung Melayu yang mempunyai penduduk yang ramai keluarga, tidak tentu lagi 10 orang yang berjaya. Hendak salahkan kerajaan? Tentu alasan kerajaan, MELAYU MALAS. Kini Melayu benar-benar Malas. Malas untuk berharap kepada kerajaan, malas untuk percaya kepada kerajaan dan malas untuk menyambut kemerdekaan.

Saya memang mahu merdeka tetapi pemimpin Melayu yang mahu Melayu dijajah semula. Merdekakah kita jika hingga sekarang kita masih berharap untuk menjadi maju seperti bangsa lain? Merdekakah kita jika kita sendiri tidak boleh kritik kerajaan? Merdekakah kita jika kita sendiri di dalam kesusahan untuk sekadar hidup?

Merdekakah kita ?


No comments:

Post a Comment