Wednesday, May 27, 2015

Relevankah Joshua Color Revolution ?

Joshua Wong hanya ‘icon color revolution’ yang dicaturkan oleh pemain-pemain politik global.

Color revolution bukan perkara baru, ia adalah cubaan untuk mengubah landskap politik dunia apabila pemain politik di negara negara tertentu sudah tamat tempoh.

Justeru, generasi muda perlu bijak menganalisis keadaan semasa, peka dan prihatin akan setiap aspek yang berkaitan dengan kedaulatan negara.

Jangan kerana kita marah disebabkan kelemahan kerajaan sedia ada maka digadai seluruh kedaulatan negara ini.

Joshua dijadualkan akan hadir pada 30hb Mei ini bersama aktivis Singapura, Han Hui Hui untuk berjumpa dengan Demonstran Muda Malaysia di Bangi tetapi telah di tahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang oleh pihak imigresen dan dihantar pulang.

Belia hari ini perlu mempunyai visi dan berjiwa besar, bangunkan negara mengikut acuan sendiri yang berpandukan syariat Islam.

Belia perlu mengambil iktibar pada setiap jatuh bangun negara lain sebagai panduan membangunkan semula tamadun kita.

Color Revolution sebelum ini dicanang seluruh pemerhati politik antarabangsa sebagai usaha kerajaan Amerika di dalam menyebarkan agenda demokrasi yang mengikut acuan barat dan mengakibatkan kesan yang teruk di negara Timur Tengah.

Joshua kini baru berumur 18 tahun dan diangkat sebagai ‘Top 50 The Most Influential Leader by Time Magazine’

Adakah gerakan sulit pihak-pihak di Malaysia sudah mula mengerakkan gerakan terancang untuk mengulingkan Kerajaan melalui revolusi setelah mereka gagal mengulingkan Kerajaan melalui pilihan raya dan demonstrasi jalanan?

Joshua Wong juga di kenali sebagai pengasas 'Umbrella Revolution' . Joshua semasa berumur masih 17 tahun menjadi idola baru mengalahkan Jacky Chan, Andy Lau, Aron Kwok dan sederet artis beken lain yang ada di Hong Kong. Joshua bukan artis tetapi membuat China menggelar dia sebagai “EKTRIMIS”

Di sebuah wawancara, Joshua pernah mengatakan, "If student don't stand on the front line, who else can?" Dan sekarang banyak sekali mahasiswa yang mendominasi di jalanan.

Kini banyak Joshua-joshua di jalanan Hong Kong yang teriak lantang dan berani menuntut kebebasan kepada pemerintah China. Mereka tanpa senjata tajam, hanya bermodal payung, topeng dan kacamata. Mereka tidak ingin menjatuhkan Hong Kong dan hanya menuntut kebebasan demokrasi yang telah dirampas oleh China tetapi akhirnya telah menggugat ekonomi Hong Kong.

Adakah kita ingin melahirkan lebih ramai joshua ?

Adakah ideologi ini sesuai untuk di praktikkan di sebuah negara Islam ?

Adakah relevan protes "Color Revolution" ini di amalkan di sebuah negara Islam dan negara demokrasi ?


Halatuju Belia Islam

BELIA adalah tonggak dan penerus generasi sesebuah masyarakat. Mereka mempunyai keupayaan luar biasa memandangkan dari segi tenaga, mereka sangat kuat dan keupayaan yang cukup jauh untuk mereka membina kekuatan.

Di samping itu, golongan belia mudah dipengaruhi cara berfikir dan corak hidup sesebuah masyarakat yang di anggap mereka sebagai masyarakat maju dan berjaya. Asas penilaian itu disandarkan kepada kemajuan ekonomi semata-mata.

Rata-rata masyarakat terbabit adalah masyarakat luar dimana cara hidup mereka berbudayakan corak hidup ‘hedonisme’, iaitu corak hidup yang mengutamakan kepuasan hawa nafsu. Corak hidup demikian memberi keutamaan dan keluasan kebebasan mutlak kepada individu untuk berperanan dalam kehidupan masyarakat.

Pendekatan kepada corak kehidupan sedemikian akan mengundang banyak permasalahan kepada kestabilan dan kebajikan masyarakat keseluruhannya.
Dalam lingkungan usia yang suka mencuba, belia tanpa asas pandangan hidup yang luhur dan meyakinkan, mudah dipengaruhi oleh pemikiran dan budaya ‘hedonisme’.

Kebebasan hidup tanpa ikatan adalah sesuatu yang dekat dengan minat belia. Yang menjadi kebimbangan ialah corak hidup sedemikian bukan saja membinasa upaya dan kehidupan mereka, bahkan boleh menjadi golongan masyarakat yang menggugat dan meroboh budaya sebuah masyarakat berakhlak dan bertamadun.

Bukan sekadar itu, mereka turut pada akhirnya menjadi bebanan kepada keutuhan keseluruhan masyarakat terbabit.

Dalam menangani kemungkinan belia Islam dipengaruhi budaya yang berbahaya dan boleh membantut kemajuan ummah, beberapa langkah berkesan perlu diberi perhatian dalam membimbing hala tuju belia Islam dalam konteks pembangunan belia di negara ini.

Pertama, belia Islam perlu memiliki pandangan hidup yang syumul berkaitan dengan Islam itu sendiri. Pengamatan sedemikian akan mewujudkan belia berwawasan serta dapat berperanan secara sesuai dan berdaya maju.

Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat. Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun sekular semasa, bahkan pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia termasuk yang bukan beragama Islam.

Prinsip Islam dalam menyusun dan membangun masyarakat adalah bersesuaian dengan nilai kemanusiaan yang membolehkannya menangani perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Di atas semangat kebenaran, keadilan dan kasih sayang, pendekatan Islam akan sentiasa sesuai dan berdaya maju. Kefahaman kepada Islam secara mendalam ini perlu diusahakan melalui sistem pendidikan negara.

Aspek kedua membabitkan pembinaan keutuhan akhlak di kalangan semua lapisan masyarakat Islam khususnya belia. Akhlak belia yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup mereka ke arah menjayakan keluhuran Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi seseorang kepada perjuangan Islam.

Akhlak tidak boleh difahami sebagai perilaku individu yang jujur dan lurus semata-mata, ia harus dilihat dalam rangka lebih luas membabitkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dalam semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyuci niat dan sikap serta memiliki sifat ehsan kepada saudara manusia yang lain dalam menjalani urusan hidup.

Kemuncak kepada penghayatan akhlak ialah anggota masyarakat akan berusaha melaksana nilai dan semangat keadilan dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki akhlak yang mulia akan membentuk individu menjadi seorang yang lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyarakat.

Kefahaman yang demikian menganjurkan kepada individu semoga membina perilakunya saja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki dan membangun akhlak masyarakat. Sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam positif. Umat Islam perlu bersama dalam urusan menyusun masyarakat dengan semangat untuk membina.

Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa akhlak belia Islam khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan negara. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah dan memiliki beberapa sifat lain yang hina, perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan.

Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini perlu dibimbing moga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada sumbangan membangun kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat.

Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Pada contohnya, prinsip ‘memperoleh keuntungan melalui tanggungjawab sosial’ wajib dihayati oleh golongan korporat Muslim.

Ia sangat menepati hasrat akhlak Islam. Golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan positif untuk meningkat kebajikan hidup ummah keseluruhannya. Melalui usaha itu, ia akan memberi teladan baik kepada generasi belia mempelajari bahawa asas akhlak tetap sesuai dalam memperoleh kejayaan dalam urusan perniagaan.

Akhlak Islam mendidik umatnya bahawa dalam menguasai harta ia harus menganggap harta itu hanya sebagai amanah Allah. Justeru, harta yang dimiliki perlu dibelanja dan dilabur demi mendapat keredaan Ilahi.

Ia tidak seharusnya menjadi matlamat mengumpul harta sebagai muktamad dalam kehidupannya. Perspektif ini yang membezakan antara akhlak Islam dengan fahaman sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan disertai kepada tanggungjawab keagamaan kepada kebajikan masyarakat.

Belia Islam yang berakhlak tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam. Amalan rasuah, menyalahguna kuasa dan menindas golongan awam yang miskin perlu dihapuskan.

Mereka perlu menangani persoalan itu dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri daripada membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina akhlak masyarakat. Dengan mantapnya akhlak masyarakat negara akan dapat menjayakan agenda pembangunan yang sejati.

Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara yang mantap. Rasulullah SAW begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa mendoakan moga-moga cubaan itu dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan.

Tambah lagi dalam keadaan semasa adalah menjadi satu tuntutan bagi sesebuah negara khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara, bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat tetapi hendaklah berusaha dengan penuh perancangan untuk mencapai taraf ekonomi maju yang mampu membolehkan negara menghayati kemerdekaan pada hakikat sebenar dan seterusnya boleh mempengaruhi perjalanan orde baru dunia.

Jika hasrat ini tidak dianggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini, keluhuran Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksana. Dalam era semasa di mana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan Islam akan hanya dapat diwujudkan daripada kedudukan kekuatan ekonomi umat Islam.