Sunday, March 6, 2016

Siapakah pilihan pemimpin yang ada ?

RASULULLAH SAW menyebutkan, dalam suatu perjalanan dan pengembaraan hendaklah kamu memilih seseorang untuk menjadi ketua atau pemimpin.

Ini membuktikan betapa pentingnya setiap orang memilih pemimpin untuk menjadi ikutan baik di segala bidang organisasi, lebih-lebih lagi yang berhubungan pemerintahan negara dan seumpamanya.

Salah satu perkara yang harus diberi perhatian serius ialah mengelakkan daripada memilih pemimpin yang mengamalkan rasuah, tidak amanah dan salah guna kuasa, iaitu satu penyakit yang cukup berbahaya dan boleh memufliskan rakyat dan negara.

Penyakit ini bukanlah wabak baharu tetapi sejenis pekung atau kanser yang belum dapat diubati atau dihapuskan kerana sifat manusia yang tamak kekayaan dan kuasa. Ia berlaku hampir di semua negara dan Malaysia tidak terkecuali, sama ada di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan-kerajaan negeri yang menjadi pembangkang.

Sedikit masa dahulu kita dihebohkan dengan “politik wang” dalam bidang politik dan “rasuah dalam bola sepak” dan lain-lain lagi. Apakah penyakit kronis ini terus berjalan atau sebaliknya yang menjadi momok bagi rakyat dan negara?

Kita juga dihebohkan mengenai pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua pihak yang memiliki kekayaan tidak setimpal dengan pendapatan dan ada yang memiliki berpuluh-puluh akaun bank di dalam dan luar negara sehingga ada berjumlah berbilion ringgit. Begitu juga seorang pemimpin mempunyai berbagai jawatan disandangnya, dan ini seolah-olah untuk memperkayakan dirinya serta tidak mahu diberikan kepada pihak lain. Siapa salah dalam hal ini, orang memberi jawatan atau yang menerima jawatan?

Kisah mengenai pemimpin yang mengutamakan kroni dan mengamalkan pilih kasih juga bukan perkara baharu selain pelantikan “penyokong” untuk menduduki kerusi sesuatu jawatan berkaitan kerajaan dan rakyat walaupun mereka tidak layak dan tidak sewajarnya dilantik kerana terlibat dengan wang rakyat, rasuah dan tidak punya amanah serta lain-lain kes yang diketahui masyarakat.

Skandal demi skandal membabitkan puluhan juta dan bilion ringgit didedahkan serta ada di antaranya tidak boleh di bicarakan dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Penyakit kronis ini seakan-akan episod yang kita lihat setiap masa, ia menjadi wabak menjangkiti dan menyerang sendi-sendi denyut nadi kehidupan masyarakat kita. Ia bukan sekadar penyakit di kalangan orang perseorangan atau kumpulan tertentu, tetapi seolah-olah menjadi satu wabak yang tiada penawarnya.

Penyakit ini sangat sukar diubati tanpa kesungguhan, sikap dan sifat amanah yang mendalam serta takut akan balasan Tuhan dan hukuman, sama ada di dunia ataupun akhirat oleh mereka yang dijangkiti penyakit itu, bahkan pemimpin yang tahu ajaran agama pun kadang-kadang terlibat dengan amalan rasuah dan tidak amanah.

Bagi umat Islam, sikap amanah semestinya menjadi pegangan kuat terutama oleh mereka yang diberi kuasa dan mandat untuk mentadbir, sama ada orang politik atau penjawat awam.

Firman ALLAH bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil, dan janganlah kamu membawa urusan harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan jalan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 188).

Yang dimaksudkan memakan harta benda dengan cara batil, selain mencuri termasuk melalui perbuatan rasuah dan tidak amanah.

Firman ALLAH bermaksud: “Barang siapa menzalimi (mengambil) tanah orang satu jengkal, maka pada hari kiamat ALLAH akan menimpakan kepadanya tujuh kali ganda dari tanah yang diambilnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Perbuatan rasuah disebut juga sebagai perbuatan zalim kerana mereka yang melakukannya telah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, umpama sesuatu yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat, diguna untuk diri sendiri atau keluarga dan golongan tertentu, termasuk kroni dan penyokong politik.

Rasuah dan tidak amanah, salah guna kuasa, penyelewengan dan amalan pilih kasih adalah satu perbuatan khianat, merugikan rakyat dan negara. Orang yang rasuah dan tidak amanah, tidak layak dipilih sebagai pemimpin atau untuk mewakili kita semua sama ada di Dewan Rakyat, Dewan Negara atau Dewan-Dewan Undangan Negeri di negara kita ini.

Siapakah pilihan pemimpin yang kita ada ?

Belajar terus belajar.


No comments:

Post a Comment