Wednesday, March 9, 2016

Gerhana kegelapan politik Malaysia

Kecelaruan politik Malaysia ekoran daripada masalah dalaman yang dihadapi oleh parti pemerintah mahupun parti pembangkang sehingga kini kedua-duanya masih belum menunjukkan tanda-tanda ianya akan berakhir dalam masa yang terdekat. Malahan, masalah yang dihadapi oleh kedua-duanya nampaknya menjadi semakin tenat dan bertambah rumit. Jika masalah dalaman yang dihadapi oleh pembangkan membawa kepada berkuburnya Pakatan Rakyat serta berpecahnya parti PAS ekoran daripada penubuhan Parti Amanah Negara oleh bekas tokoh-tokoh penting dalam PAS. Barisan Nasional khususnya UMNO juga tidak dapat mengelak daripada menghadapi perpecahan ekoran daripada beberapa pimpinan tertinggi dan bekas-bekas veteran UMNO yang bukan sahaja tidak lagi menyokong Dato’ Najib selaku Presiden UMNO malah turut menyerang pentadbiran beliau.

Kecelaruan politik Malaysia dapat juga dilihat daripada situasi politik yang sedang dihadapi oleh kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia iaitu Kerajaan Negeri Selangor yang kini diterajui oleh Azmin Ali selaku Menteri Besar. Selepas PAS memutuskan hubungan dengan DAP serta tidak lagi menyertai Pakatan Harapan, Kerajaan Negeri Selangor yang dibentuk daripada kerjasama politik di antara PKR (14 Kerusi - 1), DAP (15 Kerusi) dan PAS (15 Kerusi - 2) kini berada dalam keadaan yang tidak menentu. Ini kerana, walaupun DAP dan PAS menjadi seteru politik namun kedua-duanya masih sama-sama berada dalam exco yang diketuai oleh Azmin Ali. Situasi ini sebenarnya menyebabkan Azmin Ali berada dalam keadaan yang sangat sukar untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Selangor. Apatah lagi, beliau dapat menjadi Menteri Besar bukan atas kehendak PKR dan DAP, tetapi atas pendirian PAS yang tidak bersungguh-sungguh secara konsisten menyokong Datuk Seri Datin Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Di peringkat pimpinan pusat, PKR mempunyai hubungan dan kerjasama politik yang sangat baik dengan DAP berbanding dengan PAS. Namun di Selangor, PAS masih mempunyai kerjasama politik dengan PKR kerana Azmin Ali yang mempertahankannya. Azmin Ali memerlukan sokongan PAS untuk mempertahankan Kerajaan Negeri yang kini diterajuinya. Pimpinan PKR dan DAP sebenarnya tidak dapat membuat banyak perkara untuk menekan Azmin Ali agar memutuskan hubungan dengan PAS kerana bimbang ianya boleh menyebabkan berlakunya percaturan lain yang boleh menyebabkan Kerajaan Pakatan di Selangor jatuh kepada Kerajaan Barisan Nasional. Ditambah pula, PKR sebenarnya masih banyak bergantung dengan undi penyokong-penyokong PAS di kawasan Parlimen dan DUN yang mereka tandingi, termasuklah di Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa yang telah dimenangi oleh Azmin Ali sendiri.

BN Terengganu pula semakin tenat bila Ahmad Said (Adun BN) membuat usul tidak percaya pada MB Terengganu. Jika MT berani membuat usul dengan memecat Ahmad Said pasti pilihan raya kecil akan di lakukan. Persoalannya mampukah BN menang dengan lambakan isu yang terpalit? Tambahan janji Ahmad Said yang akan membongkar isu PM yang pasti menjadi modal besar pilihan raya nanti. Lambakan liabiliti hasil tindakan pemimpin rakus pasti akan membuat perpeksi buruk untuk BN.

Dari segi prestasi ekonomi Malaysia ketika ini, kejatuhan harga minyak dunia ternyata memberikan kesan negatif kepada pengurusan kewangan negara. Ini kerana hasil yang berkaitan dengan petroleum merupakan antara sumber terpenting dalam pendapatan negara. Oleh itu, apabila harga minyak dunia terus berada dalam keadaan yang tidak stabil, maka ianya akan menyebabkan kantung kewangan negara akan menjadi tipis untuk menampung perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat. Kejatuhan nilai ringgit dikala negara sedang menanggung kesan negatif akibat daripada kejatuhan harga minyak dunia ternyata telah menambahkan lagi beban kewangan negara. Negara bukan sahaja terpaksa menanggung kerugian akibat daripada penurunan hasil eksport komoditi utama negara seperti getah dan kelapa sawit tetapi juga turut menyebabkan kos import menjadi semakin mahal. Perkara ini sudah pasti akan menyebabkan industri-industri yang bergantung kepada bekalan import akan menanggung peningkatan kos pengeluaran/operasi. Situasi ini tentunya secara tidak langsung memberikan impak yang tidak sihat kepada ekonomi negara.

Oleh itu, rakyat marhaen secara keseluruhannya tentu sekali ingin agar Malaysia dapat keluar daripada belenggu politik dan ekonomi yang tidak stabil seperti yang sedang dihadapi ketika ini, supaya Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni serta dapat memberikan kesejahteraan hidup kepada rakyatnya. Ingin menikmati kesejahteraan hidup merupakan fitrah bagi semua manusia tidak kira latarbelakang bangsa mahupun agama. Namun persoalan utama dalam kontek Malaysia ialah mampukah Pakatan Harapan merealisasikan impian tersebut ? Berdasarkan petunjuk prestasi pentadbiran mereka di beberapa buah negeri yang pernah dan sedang mereka tadbir, ternyata Pakatan Harapan hakikatnya lebih kurang sama sahaja dengan Kerajaan Barisan Nasional. Bezanya Pakatan Harapan masih ‘kurang dosanya’ berbanding dengan Kerajaan Barisan Nasional kerana mereka masih belum diberikan peluang untuk mentadbir kerajaan Pusat.

Ini adalah hakikat yang tidak boleh dinafikan kerana jika diperhalusi nescaya akan didapati bahawa punca utama yang menyebabkan kecelaruan politik dan ekonomi yang sedang melanda Malaysia ketika ini adalah berpunca daripada sistem demokrasi-kapitalism yang digunakan untuk mengurus dan mentadbir Malaysia. Maka, jika sekalipun para pemimpin Pakatan Harapan mempunyai niat yang murni untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur dan harmoni nescaya mereka tidak akan dapat menangani kerosakan secara sistematik yang dihasilkan oleh sistem demokrasi-kapitalis.

Belajar terus Belajar.


No comments:

Post a Comment