Tuesday, March 1, 2016

Melayu dan duit kopi

Keresahannya terhadap nasib bangsa jelas apabila sesekali saya cuba mencari ungkapan terbaik untuk merumuskan kemelut Melayu. "Malang sekali jika bangsa kita, termasuk pemimpinnya, mudah dibeli".

Faktor kelemahan pemimpin Melayu. tidak tegas melaksanakan dasar-dasar berkaitan kepentingan bangsa. Bangsa saya bukan rasis, sebab dasar yang dikata untuk menolong orang Melayu sebenarnya baik untuk negara.

Kalau orang melihatnya dari segi perkauman, dia tidak nampak bahawa dasar untuk menolong orang Melayu, dalam bidang ekonomi khususnya, baik untuk semua. Kalau tidak, kalau orang Melayu semakin terpinggir, jika kaum lain membolot kekayaan negara, ia akan menimbulkan kemarahan dan mungkin berlaku rusuhan kaum lagi. Saya kira kaum Cina yang sedar pun bersetuju dengan pandangan ini.

Malangnya, pemimpin Melayu melihat ini dari segi kepentingan peribadi, bukan untuk orang Melayu seluruhnya. Pemimpin hanya mementingkan kuasa, nak menang, nak pastikan dalam pilihan parti dia tidak akan tergugat, segala projek yang sepatutnya diagihkan kepada rakyat disalurkan orang-orang tertentu sahaja. Orang politik banyak menyelewengkan projek yang sepatutnya untuk kepentingan rakyat dan negara. Setelah memerhatikan hal ini, saya tidak anti-Umno. Saya berpendapat, jarang-jarang ada orang politik Umno yang memikirkan kepentingan Melayu-Islam secara serius. Dia hanya memikirkan projek yang menguntungkan peribadi.

Ringkasnya, kepimpinan Melayu hari ini tidak lagi melihat kepentingan Melayu seluruhnya. Sepatut tidak memisahkan Melayu dari segi sokongan mereka kepada orang tertentu, atau kepada parti lain, sama ada pro-Umno atau dia menyokong pemimpin tertentu dalam Umno.

Oleh itu, pemimpin kita jangan bersifat terlalu politikal, terlalu peribadi, mereka perlu bersifat demokrat, pertengahan, "ummatun wasatan".

Satu lagi kelemahan pemimpin ialah dia melantik orang yang hanya boleh menyokong dia, tidak akan membantah dasar atau arahan mereka. Sebab itu kita lihat, banyak institusi Melayu diketuai oleh mereka yang diragui kelayakannya. Maksud saya ia bukan dilihat dari segi kelayakan fizikal dan ilmu sahaja, tetapi juga meritokrasi dari segi moral dan budayanya. Pemimpin harus bijaksana, apakah dia sentiasa memikirkan kepentingan rakyat atau bangsanya.

Misalnya pemimpin terlibat skandal, apa tindakan segera kita untuk mengatasinya? Begitu juga ada pegawai kerajaan yang saya dengar, ada buku (skandal) tentang dia, tetapi pegawai itu ada juga di situ.

Saya ada menulis sebelum ini tentang pandangan awam, selalunya kita menolak pandangan awam dengan mengatakan ianya tidak betul, tidak bertanggungjawab, seolah-olah pandangan rasmi itu betul dan tidak boleh ditegur.

Contohnya, buku atau laman web mengenai seseorang, yang dianggap skandal, lalu diharamkan buku atau web tersebut.Orang tidak akan menulis tentang sesuatu yang tidak pasti, kerana orang takut juga didakwa di mahkamah. Tentu ada fakta yang betul. Takkan orang nak menulis cerita bohong. Jika betul anak jantan dan bersih saman web tersebut dan amalkan sikap berani kerana benar.

Kita di Malaysia ini, saya tak fikir orang berani sangat mencipta sesuatu yang tidak betul mengenai orang tertentu, yang biasanya dianggap sesuatu yang salah.

Masalahnya, kita tidak terbuka. Jika orang yang sama (didakwa bermasalah), dia masih duduk dalam sistem, bagaimana kita hendak mengharap sistem menjadi cekap. Kita sukar mendapat bukti untuk dakwa di mahkamah. Katalah seseorang yang diketahui rasuah. Tetapi kita tidak boleh membawa di ke mahkamah kerana tiada bukti. Apa susahnya? Kalau seseorang itu gajinya RM10 ribu sebulan, tetapi dia mempunyai rumah yang berharga RM20 juta, itu bukan bukti?

Dari mana dia dapat duit sebanyak itu? Dari loteri, atau duit dadah, atau Amerika yang bagi? Apakah ini bukan bukti?

Sekurang-kurangnya para pemimpin atau penguasa negara bawa dia ke mahkamah dan tanya di mana kamu dapat wang sebanyak ini. Ini tidak, kita berpegang sangat bahawa seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan di mahkamah. Jadi dengan cara ini banyaklah orang lepas.

Bukti yang nyata bukan hanya dalam mahkamah. Bukti yang nyata ialah pada pandangan masyarakat. Dengan itu, kalau kita kata kita akan membasmi, memerangi dan membanteras rasuah, orang akan ketawa!

Sekali lagi, bagaimana fenomena ini boleh berlaku dan nampaknya seperti diterima? Ini kerana budaya kepimpinan yang tidak menuju ke arah kepentingan masyarakat. Saya tidak menuduh selama ini pemimpin tidak membuat sesuatu untuk kepentingan rakyat. Memang semua dasar dan pembangunan dibuat untuk kepentingan negara dan rakyat.

Tetapi perlaksanaannya? Dasarnya bagus, teorinya bagus, tetapi praktiknya mungkin tidak betul kerana yang melaksanakannya adalah orang-orang yang selama ini menimbulkan masalah.

Bayangkan, kalau misalnya kita melantik perasuah menjaga pintu Malaysia, orang dari negara asing seperti China dan India sebagai illegal immigrant mudah bolos, kerana dia tidak ada semangat kebangsaan dan tidak takut kepada Tuhan.

Kesannya, kita tidak tahu sudah berapa ramai orang asing sudah masuk ke dalam negara kita?

Begitu juga dalam bidang pendidikan, tentang bahasa Melayu. Mengapa ada orang menganggap bahasa Melayu tidak boleh mengangkat kemajuan bangsa? Ini tidak, ada yang beri alasan, jika kita hendak menjadi bangsa yang maju, mesti menguasai bahasa Inggeris. Ini pandangan pemimpin Melayu sendiri. Ini bukan pandangan yang betul, tidak berdasarkan ilmu.

Maka, sekarang ini kacaulah sistem pendidikan negara. Bayangkan kanak-kanak yang tidak tahu bahasa Inggeris, hari pertama dia masuk sekolah (7 tahun), dia kena belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa yang dia tidak tahu!

Mana ada negara dalam dunia ini yang memaksa rakyatnya belajar dalam bahasa yang mereka tidak menguasainya di peringkat itu? Belajar ilmu dalam bahasa yang dia tidak tahu. Tak ada lah, ini karut!

Rakyat terpaksa menerima, seolah-olah tidak boleh membantah.

Masalahnya di negeri kita, akhbarnya tidak bebas, kalau kita hendak memberi pandangan membantah (dasar ini), tidak keluar. Suara kita tidak sampai, jadi seluruh rakyat yang kadang-kadang yang kurang berfikir, dia menganggap keputusan itu (mengajar Sains & Matematik dalam bahasa Inggeris) betul.

Lalu ada orang berkata kepada saya, Jepun dan China pun sudah banyak yang belajar bahasa Inggeris. Saya kata, betul. Tetapi mereka tidak menggantikan bahasa pengantarnya ke bahasa Inggeris.

Memang mereka hendak menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama. Mereka berbuat begitu kerana ada tujuan tertentu. Kita tidak, kita hendak menjadi maju dengan menolak bahasa kita sendiri. Majulah kita!

Kita ini orang Islam, bahasa Melayu sudah menjadi bahasa Islam sudah lebih 700 tahun, konsep Islam, syariat Islam, ilmu Islam, budaya Islam dan sebagainya kita fahami melalui bahasa kita.

Contohnya, perkataan ijab qabul tak ada dalam bahasa Inggeris, nikah pun tak ada. Engaged makna bertunang itu betul. Perkataan kenyang pun tak ada dalam bahasa Inggeris. Paling habis pun mereka kata "I'm full". Full pada kita maknanya penuh.

Ini saya bagi contoh sahaja. Sebenarnya beratus perkataan kita yang tidak ada dalam bahasa Inggeris. Ini kerana 60 atau 70 peratus bahasa Inggeris adalah pinjaman. Tetapi orang tidak tahu.

Kecelaruan ini sentiasa berlaku di negara ini dan kadangkala membuat rakyat semakin bertambah persoalan yang bermain di fikiran. Kita berperang dengan persepsi negatif tetapi adakah sebarang tindakan relevan yang di ambil? Pemimpin mungkin tidak duduk di kedai kopi atau jalanan tapi isu ini sering menjadi pertikaian. Persoalannya mampukah kita bertahan ?

Belajar terus belajar.


No comments:

Post a Comment