Wednesday, February 24, 2016

Buka Gelanggang Anak Jantan

Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita. Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang seperti itu.
Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.

Ramai sahabat Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w menyebut: “Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan”. Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu dilantik ‘Ali dan diserahkan bendera kepadanya” (Riwayat Ibn Majah, sahih).
Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti Professor atau Dr berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbezaan antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.

Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan. Seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: “Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak yatim”. (Riwayat Muslim).
Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita sekalipun tidak layak?. Kita mengkhianati amanah.

Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.
Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar berjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.
Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan berbagai.
Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.

Pengikut melihat gelagat pemimpin seperti ketam mengajar anak berjalan lurus bila pemimpin masing-masing menghina antara satu sama lain. Seorang penyokong menggelar anjing dan seorang lagi menggelar babi. Adakah ini budaya yang positif dan di amalkan Islam. Kita buka gelanggang dan bertanding secara adil atau perdamaian itu sahaja langkah yang ada demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara.

Sabda Nabi s.a.w: “Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat” (Riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan buah fikiran secara matang.

Belajar terus Belajar




No comments:

Post a Comment