Friday, December 18, 2015

Bolehkah Melayu Bersatu ?

Saya pernah beberapa kali menyebut tentang politik penyatuan dalam menunjukkan kecenderungan dan minat yang tinggi ke atas tajuk penyatuan politik.

Jika benar orang melayu-islam adalah lebih kurang 50% sahaja dari bilangan penduduk malaysia seperti di maklumkan, saya mencadangkan kepada kerajaan malaysia untuk mengangkat india-muslim,cina-muslim sebagai sebahagian dari bangsa melayu-islam.Saya mencadangkan menyebarkan dakwah islamiyah wajar menjadi agenda penting UMNO untuk meramaikan lagi penganut islam di bumi malaysia.Saya juga mencadangkan supaya badan-badan dakwah diperkasakan oleh UMNO dan kerajaan demi mengembalikan melayu-islam yang telah terpengaruh dengan budaya barat dan jahil agama agar kembali menjadi penganut islam yang teguh akidah dan bersemangat jihad.

Penyatuan hanya memberikan kekuatan,apabila gerak kerja bersama diadakan. Perang badar atau perang Rusia-Jepun tidak akan berjaya dimenangi puak kecil,jika mereka bersatu dalam slogan semata-mata namun gerak kerjanya nanti mereka bercerai. Nifak perjuangan yang merosakkan penyatuan gerak kerja adalah apabila suara atau slogan yang sepakat akhirnya menghasilkan gerak kerja berlainan. Perang Uhud membuktikan kebenaran bagaimana nifak perjuangan terjadi, apabila awalnya semua mujahidin islam bertekad mahu berperang atas sebab mempertahankan akidah akhirnya sekelompok berebut mengutip harta rampasan perang yang merupakan gerak kerja bertentangan dan tidak bersama dalam kesatuan itu.

Politik penyatuan (ukhuwwah) bukan sekadar menyeru untuk rakyat berkumpul dan menyokong sesebuah parti supaya kelihatan parti itu kuat kerana punya ahli yang ramai, lebih dari itu, sejauh mana parti-parti politik dapat menjayakan gerak kerja bersama dengan menggerakkan ahli dan penyokong parti samada antara parti politik, mahupun pihak-pihak lain seperti ibubapa,sekolah,polis mahupun NGO untuk menyelesaikan isu yang jelas lagi nyata iaitu kebejatan sosial dan akhlak anak-anak muda.

Ini suatu yang tidak logik jika ahli atau pemimpin politik islam dapat bersatu dengan pemimpin bukan islam untuk membantah tol atau demonstrasi banteras rasuah atau menyuarakan tidak puas hati rakyat akan tetapi gagal untuk bersatu sesama islam untuk menyelesaikan masalah umat islam yang nyata di malaysia iaitu kebejatan sosial dan akhlak, dengan kes dadah, rogol,rompak,bunuh, atau juvana remaja berleluasa melibatkan anak-anak muda pelapis negara.

Saya mencadangkan semua manusia politik dari pimpinan hingga penyokong-penyokong najis mereka yang mahu bergaduh, mencaci, menikam sesama sendiri, bertumbuk, merusuh, mencarut, memfitnah, berkonspirasi dan sebagainya patut diberikan mana-mana pulau kosong dan rakamkan aksi-aksi bodoh mereka semua itu ke dalam sebuah program realiti seperti Rancangan Survival supaya segala tindak tanduk bodoh mereka hanya berkisar dan beredar di pulau-pulau itu saja dan menjadi tontonan rakyat jelata di hari minggu untuk mengisi cuti dan menonton aksi mereka seperti menonton aksi Mr Bean dan sekalian umat lain dapat hidup bahagia dengan bekerja keras memakmurkan Malaysia dan alam jagat tanpa diganggu lagi dengan isu-isu bodoh ciptaan mereka.

Politik masa hadapan bagi golongan muda harus diluruskan. Kita perlu bangkit bukan mengguling mahupun menghentam orang-orang tua ini, namun kita perlu bangkitkan suara-suara seruan ke arah memanggil manusia kembali pada Allah dan Rasul secara terang, jelas dan tegas dengan konsisten. Tempat manakah yang lebih baik untuk memanggil orang Islam bersatu jika bukan semuanya berkumpul di rumah Tuhan kita MasjidNya.

Dan apakah mereka bingung sehingga tidak tahu panggilan azan itu waktu yang signifikan untuk manusia yang mahu dipanggil muslim dan mukmin untuk bersama dan berkumpul seterusnya bersatu dalam saf-saf lurus? Apakah bingung sangat mereka sehingga tidak memikirkan bahawa waktu berkumpul bukan terhad hanya sehingga salam setiap solat sahaja? Apakah mereka tidak tahu Masjid bukan saja tempat solat, zikir, dan quran tapi juga tempat bermesyuarat? Apakah bingung sekali mereka untuk tak memikirkan apakah yang perlu dimesyuaratkan melainkan hal-hal umat jua, hal-hal teras dan matlamat kita hal perjuangan untuk pemerintahan Islam jua. Dan apakah bingung sekali mereka tak memikirkan melawat rumah-rumah orang islam, bertemu muka dengan orang Islam bagi memanggil orang Islam kepada Allah bukan hanya di waktu nak meraih undi dalam pilihanraya sahaja tetapi wajar dilakukan istiqamah setiap masa yang kita panggil sebagai dakwah? Apakah mereka bingung sekali jika Masjid tak dioperasi sesungguh mungkin dengan aktiviti ilmu dan membangkit iman, sehingga membiarkan masjid berkunci dan kosong?

Mengusahakan politik sebagai dakwah bukannya dengan cara tipu muslihat, dusta dan taqiyyah untuk dapatkan kuasa, tapi mengaktifkan seruan untuk semua kembali kepada Allah, mengoperasi sungguh-sungguh rumahNya, meletakkan kesatuan umat dalam saf solat dan mesyuarat, bertebaran bertemu manusia memanggil untuk bersama aktif istiqamah, dan inilah fasa awal politik masa hadapan yang boleh digerakkan kita orang muda malaysia. Benar, fasa berikutnya nanti adalah dalam mesyuarat itu ketika hati-hati kita duduk bersatu dibawah satu naungan dalam tempat paling mulia, Masjid Allah. Pertempuran politik umat dengan bertempias air liur atas pentas politik pilihanraya atau kepartian adalah mustahil menyatukan. Mesyuarat yang duduk beradab dalam rumah Allah dengan pasakkan teras dan matlamat sama itulah yang menyatukan. Politik menyatukan umat adalah mesyuarat di masjid yang diadakan sesudah kita tunduk bersama dalam saf solat.Teras kita iman, matlamat kita redhaNya.

Suatu kebangkitan selalu berteraskan penyatuan. Asasnya, hati-hati yang mahu pada kebangkitan itu bersatu. Hati yang bersatu, mudah untuk fikir juga bersatu. Fikir yang bersatu akan buat gerak kerja dan usahanya bersatu. Itu tonggak penyatuan. Hati, fikir, dan usaha. Kebangkitan berjalan kencang dan berombak deras dengan kadar kekuatan penyatuan hati, fikir dan usaha itu.

Kita tak memikirkan soal bilangan. Kebangkitan bukan soal bilangan. 1000 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. 100 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan.10 orang yang bersatu dan berusaha untuk bangkit adalah kebangkitan. Kita memikirkan soal tali persaudaraan. Tali itu adalah penentu bilangan peserta kebangkitan. 10 orang yang bersaudara , tapi 5 sahaja yang bersatu untuk bangkit, kebangkitan itu lemah. 10 orang yang bersaudara, 7 sahaja yang bangkit, kebangkitan juga lemah. 10 orang yang bersaudara, kesemuanya bersatu dan bangkit, itu kebangkitan yang kita mahu cetuskan.
Asasnya, tajuk penyatuan sudah selalu saya tulis dan kisahkan. Setiap tahun ada saja entri tentang penyatuan.Bolehkah Melayu Bersatu? Saya fikir lanjutkan lagi soalan itu, menjadi "Bolehkah Melayu Bersatu Dalam Usaha Menyatukan Umat Pada Tali Allah?".

Soalan sebegitu baru menjentik sikit kotak-kotak pemikiran kita umat Islam untuk memikirkan kembali teras-teras penyatuan yang Allah kehendaki kita laksanakan.

Belajar terus Belajar.


No comments:

Post a Comment