Saturday, March 7, 2015

Perlukah tukar kapal atau nakhoda ?

"Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu mengumpulkan angka-angka kosong?"

Tahukah kita bahawa pada tarikh 3 Mac, kira-kira lebih 90 tahun yang lampau, Khalifah Islam yang terakhir Sultan Abdul Majid 2 telah diperintahkan meninggalkan Turki. Seluruh ahli keluarga beliau dihalau keluar dari Turki yang menjadi ibu negara pemerintahan empayar Islam Uthmaniyyah. Mustafa Kamal dengan bantuan British dan Zionis kemudiannya mengumumkan berakhirnya sistem Khilafah Islam Uthmaniyyah di Turki, yang telahpun gah berdiri lebih seribu tahun.

Ramai di kalangan umat Islam, mungkin boleh menyebut bagaimana khalifah ini bermula di Madinah. Ramai juga yang maklum bagaimana kehebatan empayar ini diteruskan oleh Abu Bakar r.a., Umar r.a., Uthman r.a., Ali r.a. dan seterusnya Bani Umaiyah, Abbasiyyah dan Uthmaniyyah. Namun pastinya ramai yang akan tercengang untuk menjawab soalan “Bila dan bagaimanakah sistem khilafah ini berakhir?”

Mengimbau sejarah bagaimana tamadun empayar khilafah ini boleh runtuh mampu menginsafkan kedudukan kita umat Islam pada hari ini. Paling malang, andai tiada apa-apa perasaan dalam diri umat untuk melihat peri pentingnya khilafah ini diusahakan untuk kembali tertegak.

“Apa pula kaitan aku dengan susuk khalifah yang dikatakan jatuh 90 tahun yang lalu…? Bukankah ia berlaku jauh di Turki dan melibatkan bangsa Turki..?

Kejatuhan 3 Mac 1924M bersamaan 28 Rejab 1342 adalah kejatuhan yang perlu dipelajari. Kerajaan Islam sebenarnya bukanlah tidak pernah tewas sebelum tarikh keramat ini. Bahkah usaha menguburkan pemerintahan Islam bermula seawal zaman baginda RasuluLlah s.a.w. Peristiwa riddah (murtad) besar-besaran pada zaman Saidina Abu Bakar r.a., pembunuhan Saidina Umar r.a., pergolakan berpanjangan yang ditimbulkan pada zaman Saidina Uthman r.a. yang akhirnya membawa kepada syahidnya beliau dan Saidina Ali r.a., adalah rentetan peristiwa terancang untuk menamatkan usia Khilafah Islam ini.

Usaha ini sememangnya tidak pernah padam kerana musuh Islam tidak akan sekali-kali pernah merestui keutuhan khilafah. Termasuklah peristiwa kejatuhan Baghdad pada 656 Hijrah ke tangan askar Monggol yang menyaksikan ratusan ribu umat Islam dibunuh secara tidak berperikemanusiaan.

Namun hakikat sejarah yang tidak mampu dipadam ialah kemampuan umat Islam kembali bangkit meneruskan usia khilafah bagi memayungi umat Islam seluruh dunia.

Persoalannya, apakah yang membezakan kejatuhan 1924 ini berbanding peristiwa kejatuhan-kejatuhan sebelumnya? Kenapa Umat Islam kelihatan tidak lagi mampu bangkit membina semula khilafah..?

Hakikatnya perancangan kepada kejatuhan ini bukanlah berlaku dalam waktu yang singkat. Pelan kepada kejatuhan ini dirancang berkurun lama sebelumnya. Ketika jatuh, kerajaan Uthmaniyyah Turki hanyalah bersendirian tanpa dokongan negara-negara Islam di sekelilingnya. Bahkan hampir kesemua negara Islam disekitarnya telah dijajah. Negara Arab dan Timur Tengah menjadi habuan hidangan yang dibahagi-bahagikan oleh Perancis, Itali dan British. Kerajaan Granada dan Cyprus juga telah lenyap, manakala negara-negara Asia Tenggara diratah kekayaannya melalui penjajahan Belanda, Portugis dan British.

“Kehinaan yang menimpa manusia yang disebabkan oleh orang lain atau faktor luaran, cepat sembuh dan mudah dihapuskan. Sebaliknya jika kehinaan itu timbul dari dari dalam diri dan terbit daripada hati, ia adalah penyakit yang sangat merbahaya dan merupakan kematian yang tidak disedari….”

Faktor luaran yang menjadi punca kejatuhan Khilafah sememangnya telah tertulis dalam sejarah. Walaubagaimanapun, realiti ummat yang menanggung kemegahan khilafah ini adalah faktor utama yang tidak boleh dinafikan. Lihat sahaja bagaimana umat Islam lampau yang mampu bangkit mengangkat kembali tiang Khilafah yang telah terbalik. Apakah resepi dan ciri-ciri yang memampukan mereka bangkit? Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah natijah perasaan “IZZAH” yang telah sebati di dalam jiwa.

Serangan fizikal kepada susuk Khilafah di Turki tidak akan mampu berjaya meranapkan terus khilafah jika ia tidak didahulukan dengan serangan kepada jatidiri umat Islam. Fahaman dan budaya barat telahpun menjalar masuk menjadi barah di dalam urat nadi dan darah umat. Fahaman sesat baru Liberalisme, Pluralisme, Sekularisme dipopularkan habis habisan oleh tokoh-tokoh ciptaan Yahudi seperti John Locke, Adam Smith, John Stuart Mill dan lain-lain. Gerakan-gerakan yang kononnya membawa kemodenan dan membebaskan diri daripada kongkongan agama dibawa masuk ke dalam negara-negara Islam. Islam dipotretkan sebagai agama yang menghalang kemodenan manusia, sama seperti agama Kristian. Umat Islam dikelirukan dengan arus kemodenan dunia dan materialisme yang akhirnya menggadaikan prinsip-prinsip agama mereka, nilai jatidiri mereka telah hilang!

Itulah realiti umat yang sedang menanggung tiang Khilafah yang dijatuhkan oleh Mustafa Kamal pada 3 Mac 1924. Mereka benar-benar rebah dan jatuh yang tidak mampu bangkit lagi selepasnya..

Sistem Pendidikan Jahiliyah dan taghut ciptaan Yahudi dan Kristian dan materialisme itu telah melahirkan kijang-kijang yang pengecut. Mereka tidak lagi menerkam, sebaliknya melepaskan diri dari keazaman serta bersegera membolos diri dari tanggungjawab. INILAH GENERASI BARU PUTRA-PUTRI ISLAM !.

Mereka itu adalah anak-anak singa yang bertukar..
menjadi kijang yang pengecut.
Sebenarnya mereka itu adalah putera-putera muslimin yang merdeka.
Mereka diperhambakan lalu mereka bergembira…

Akhir sekali, muhasabah ini adalah kembali kepada diri kita. Silakan semua diri yang mengaku sebagai umat keramat ini, bermuhasabah dan menyoal diri masing-masing; “Berapakah nilai jatidiri anda sebagai seorang Muslim yang bersyahadah..? Adakah anda juga sebenarnya masih tergolong kalangan ummat yang membawa nilai kosong yang bertaburan!

Sejarah ini kembali berulang di bumi Malaysia dengan doktrin yang sama. Gerakan liberal , pluralisme dan sekularisme sudah mula di tiup berulang-kali. Kita umpama hilang arah dan mengikut gerakan halus mereka. Islam dan raja mula di pertikaikan setelah lama kita merdeka. Kita bukan mahu tukar nakhoda tetapi ingin menukar kapal yg selama ini menyokong Melayu Islam.

Masing2 antara kita sedang tebuk lubang untuk mempercepatkan kapal ini karam sebagai amaran kepada nakhoda dan anak kapal. Anak2 kapal yg seusia kapal saya nasihatkan agar berundur krn anda tidak mampu lagi menampal lubang-lubang yg memerlukan tenaga orang muda yg lebih idealisme.

Nakhoda pula perlu melihat dan muhasabah diri adakah pelayaran kapal ini akan tiba ke destinasi dengan kebocoran dan sikap anak-anak kapal yg semakin lupa dengan matlamat agama, bangsa dan tanah air!


Apakah halatuju kapal ini berkiblat Melayu Islam , Barat , Yahudi atau Cina yang kita akan wariskan nnt ? Perlukah kita menukar kapal ini atau menampalnya semula ?

Hidup Melayu biarlah hidup yg bermartabat!

Ketua Penerangan Gpms Melaka
Mohd Saifullah b Hj Dolmat


No comments:

Post a Comment